Sabtu, 22 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Banyak Manfaat Penggabungan Kementerian Pelajaran & Kementerian Pengajian Tinggi

Datuk Seri  Idris  Jusoh
KUALA TERENGGANU : Banyak manfaat diperoleh hasil daripada penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada Kementerian Pendidikan, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata antara manfaat itu adalah mampu mewujudkan sinergi kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan juga daripada segi kepakaran yang terdapat pada kedua-dua kementerian sebelum ini.

"Dengan penggabungan ini kos akan berkurangan dan program-program juga tidak ada duplikasi...ia akan memberi manfaat kepada rakyat dan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program perdana "Let's Talk And Let's Go Global" anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan dan Jabatan Penyiaran di sini Sabtu.

Idris berkata program anjuran UMT itu merupakan satu contoh bahawa program kerjasama antara pihak institusi pengajian tinggi dan pihak sekolah sama ada peringkat menengah mahupun rendah dapat dilaksanakan dengan baik.

Mengenai usaha untuk memperkasa Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, beliau berkata pihak kementerian akan terus melatih guru Bahasa Inggeris agar lebih mahir dalam penguasaan bahasa global itu. Katanya bukan sahaja mereka perlu mahir dalam bahasa Inggeris malah juga perlu mempunyai pengetahuan luas tentang perkara semasa yang berlaku di peringkat antarabangsa.

"Bukan hanya Bahasa Inggeris sahaja, dalam bidang sains, matematik perlu ditingkatkan, perlu ditingkatkan kemahiran berkomunikasi, perlu ditingkatkan penggunaan teknologi dan banyak lagi perkara," katanya.

Seramai 260 pelajar Tingkatan 4 dari 13 sekolah sekitar Kuala Terengganu menyertai program "Let's Talk and Let's Go Global" dengan diberikan pendedahan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris selama enam bulan menggunakan pelbagai medium seperti radio, filem, portal pendidikan, media sosial, foto, akhbar dan video. - BERNAMA