Novel tak hina mana-mana kaum
KUALA LUMPUR: Dialog Novel Interlok yang berlangsung di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), di sini semalam membuat ketetapan mempertahankan novel karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain sebagai teksKomponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).
PresidenPENA, Mohamad Saleeh Rahamad, berkata ketetapan itu akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Menteri Pelajaran dengan gesaan supaya kemurnian novel itu dikekalkan kerana ia tiada masalah.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar dan Timbalan Presiden PENA, Amiruddin Md Ali Hanafiah. Dialog menampilkan pengkaji sastera, Dr Fatimah Busu; penulis, Dr Ilias Zaidi dan Setiausaha Agung PENA, Syed Mohd Zakir sebagai ahli panel.
Mohamad Saleeh menyifatkan sebarang campur tangan politik berdasarkan kepentingan peribadi dan perkauman dalam bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan akan menimbulkan kekeliruan dan pergeseran yang tidak berkesudahan.
“Kesan penarikan balik novel itu juga akan merosakkan kredibiliti karya sastera bertaraf antarabangsa dan sistem pendidikan negara yang dipersetujui secara bersama semasa pembentukan kemerdekaan,” katanya.
Setiausaha Satu Gabungan Badan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan kelmarin, meminta semua pihak tidak mempolitikkan penggunaan Interlok dalam KOMSAS selain menyarankan Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran menjemput persatuan penulis dan sasterawan membincangkan isu itu.
“Dari aspek akademik, teks ini mempunyai garapan dan fakta yang baik. Provokasi tidak sepatutnya timbul kerana ia sudah digunakan dalam subjek Sastera sekitar 1970-an tanpa masalah,” katanya.
Presiden Persatuan eSastera Malaysia (E-SASTERA), Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abas, pula berkata perbincangan mengenai kesesuaian Interlok sebagai teks KOMSAS perlu dibuat secara intelektual.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/