Oleh : WAN JEMIZAN
W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
KADANGKALA dalam
kehidupan kita terdapatnya masalah yang tidak kita temui penyelesaiannya. Sudah
terlalu ramai orang yang kita temui termasuklah pakar-pakar kaunseling dan alim
ulama untuk menyelesaikan masalah yang berlaku namun masih belum mendapat cara
penyelesaiannya. Maka, ketahuilah jawapan kepada permasalahan tersebut ialah
kesabaran.
Terlalu banyak ayat
al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang menjelaskan bahawa seorang yang beriman
tidak akan memasuki syurga sehinggalah imannya itu diuji. Antaranya ayat kedua
dalam surah Al-Ankabut yang mana
Allah SWT menjelaskan: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan
dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Bukan mudah
sebenarnya untuk kita mendapat nikmat syurga Allah SWT di akhirat kelak dengan
hanya mengisytiharkan keimanan melalui mulut sahaja. Allah SWT semestinya akan
menguji keimanan setiap hambanya untuk mengetahui sejauh mana kualiti keimanan
itu.
Keimanan ini harus
dibuktikan melalui ikrar dengan lidah, membenarkan dengan hati dan melakukan
dengan anggota badan.
Cabaran-cabaran ini
boleh datang daripada luar atau dalaman diri kita sendiri. Sengaja Allah SWT
menurunkan cabaran-cabaran ini sebagai ujian untuk mengenalpasti siapa yang
akan terus iltizam dan istiqamah dalam keimanan ini. Ia seolah-olah merupakan
proses penapisan (filtering process) secara langsung daripada Allah SWT untuk
mengetahui siapa yang benar-benar beriman kepada-Nya.
Allah SWT
menjelaskan bahawa cara untuk berhadapan dengan ujian ini adalah dengan meminta
pertolongan daripada-Nya dengan sabar dan mengerjakan solat.
Firman Allah SWT
yang bermaksud: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan
mengerjakan sembahyang. Dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali
kepada orang-orang yang khusyuk. (al-Baqarah: 45)
Al-Imam al-Baghawi
di dalam tafsirnya, Ma`alim at-Tanzil menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah
mintalah pertolongan di atas segala bala yang menimpa ke atasmu dengan cara
bersabar menanggung segala kesusahan (masyaqqah) dan segala kesukaran terhadap
jiwa daripada segala taklif syarak.
Syed Qutb pula
menyebut dalam Fi Zilal al-Quran: Perkataan
minta tolong dengan sabar banyak diulang-ulang kerana ia merupakan bekalan
yang semestinya wujud dalam pertembungan dengan sebarang kesusahan
(masyaqqah)."
Allah SWT juga
telah berfirman yang bermaksud: Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya
Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang
menyusahkannya) Dan memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.
(at-Thalaq: 2-3)
Imam Nawawi dalam
menjelaskan ayat ini menyatakan bahawa ia diturunkan berhubung satu peristiwa
di mana seorang sahabat telah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang
kerisauannya kerana anaknya telah ditawan oleh pihak musuh. Lalu dia
dinasihatkan bersabar oleh Rasulullah SAW maka dia bersabar. Tidak lama
kemudian, anaknya berjaya melepaskan diri daripada tawanan musuh.
Malah bukan itu
sahaja, dia berjaya membawa pulang beberapa ekor kambing kepunyaan musuh
tersebut. Maka dengan kepulangan anaknya, bergembiralah dia serta mendapat
untung rezeki yang tidak disangka-sangka. Inilah salah satu kelebihan daripada
kesabaran.
Sabar ada
batasan
Kita juga perlu
menyedari bahawa sabar ada batasannya. Kita tidak boleh bersabar apabila
melihat Islam dinodai, nyawa saudara kita terancam, hak kita dipijak-pijak dan
sebagainya. Nabi SAW akan bersabar sekiranya diri Baginda dihina oleh kafir
Quraisy.
Sebaliknya, Baginda
SAW akan bertindak apabila Islam dihina dan dicaci oleh pihak musuh. Walau
bagaimanapun, tindakan Baginda SAW terhadap musuh bukanlah secara semborono,
tetapi dengan mengambil kira hukum syariat, etika dan adab dalam Islam.
Lantaran itu,
jangan serik dan jemu untuk terus bersabar. Jangan biarkan nafsu dan kemarahan
menguasai diri kita. Insya-Allah, segala masalah dan cabaran yang kita hadapi,
anggaplah ia merupakan ujian daripada Allah SWT. Ia pasti akan berlalu apabila
tiba masanya nanti.
*PANEL penulis
ialah dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/