Khamis, 6 Oktober 2011

ISU BAHASA : Dasar bahasa dan sikap bangsa

BULAN ini, kita sekali lagi menggerakkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Suatu gerakan yang mula dilaksanakan pada 2009 menggantikan gerakan sebelum ini seperti Gerakan Cintai Bahasa Kita dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN). Kesemuanya diurusetiakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Segala kegiatannya akan mengingatkan rakyat bahawa Malaysia memiliki satu Dasar Bahasa Kebangsaan.

Seorang anak Malaysia yang dilahirkan pada 1957, kini sudah mencapai usianya yang ke-54. Sepanjang lima dekad lebih, itulah juga usia kedaulatan Malaysia setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Bagi seorang anak Malaysia yang dilahirkan pada 1963, kini pula sudah menjangkau usia 48 tahun, sekiranya tanggal pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 diambil kira. Soalnya kenapa selama beberapa dekad itu, isu dan persoalan bahasa tidak putus-putus diperkatakan.

Fungsi bahasa Melayu dan bahasa lain dengan jelas dan tegas disebut dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Disemak 1971). Malahan daripada kedua-dua sumber tersebut telah diperluas tafsiran terhadap kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam beberapa undang-undang yang lain, serta dalam peraturan-peraturan jabatan dan surat pekeliling Kerajaan.

Apakah rakyat Malaysia tidak peduli atau mereka benar-benar tahu bahawa Malaysia mempunyai satu dasar bahasa yang sangat molek? Apakah semua agensi baik di peringkat pusat, negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) atau mana-mana rangkaian institusi kerajaan cekal mendukung dan bertindak dalam usaha-usaha pelaksanaan dasar bahasa?

Sungguh aneh seandainya kepemimpinan di pelbagai peringkat tadi bersikap 'acuh tidak acuh', bersikap 'tidak apa' atau 'sambil lewa' atau lebih banyak mendiamkan diri, berpuas hati setakat kemajuan pencapaian rutin yang ada.

Dalam mana-mana peradaban dunia sekalipun, bahasa itu adalah asas pembinaan tamadun bangsa. Memang Malaysia itu sebuah negara berbilang kaum, lalu tercitralah berbilang budaya, bahasa, agama, kepercayaan, warisan seni dan sebagainya, tetapi kepelbagaian itu bukan penghalang kepada kesatuan.

Jika keluhuran Perlembagaan dijunjung dan kedaulatan undang-undang dihormati, maka Malaysia sedang berada di jalan cerah disuluhi pedoman aspirasi Perlembagaannya. Tonggak-tonggak kenegaraan sudah kejap dikanunkan secara persetujuan bersama melalui 'kontrak sosial' yang asal.

Di Malaysia jelas ada tanda-tanda bahawa perjuangan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang unggul, bahkan sehingga mencapai taraf salah satu bahasa komunikasi dunia dihambat oleh sikap dan tabiat bangsa Malaysia sendiri.

Bangsa Melayu pemilik asal bahasa ini pun tidak memiliki suatu keyakinan penuh. Senario mutakhir sedikit goyah, ditambah pula dengan sikap rakyat yang terlalu bermain politik dalam gelanggang semua perkara. Sebahagiannya terheret di sebalik perjuangan perkauman sempit bukannya wawasan kenegaraan.

Dasar bahasa kian terganggu apabila sikap terhadap bahasa Inggeris yang terus 'didewa-dewakan' dan tidak diletakkan dalam perspektif yang benar. Kita bukannya tidak tahu pengimportan budaya yang berorientasikan bahasa Inggeris banyak mendorongkan nilai-nilai budaya negatif 'hedonisme', 'vandalisme' dan 'kriminalisme'.

Selain dari rakyat bukan Melayu yang belum menyeluruh menjiwai bahasa Melayu sebagai milik bersama, penekanan terhadap sains dan teknologi serta perindustrian telah mencetuskan tanggapan baharu.

Kemajuan kononnya hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris yang dianggap sangat luar biasa itu. Sikap kita ini sangat berbeza dengan sikap negara-negara lain di Asia seperti Jepun, Korea, Taiwan dan China atau Jerman, Perancis di Eropah.

Sesungguhnya rakyat bukan sukar memahami bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa negara adalah milik bangsa Malaysia. Bahasa Melayu itulah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal. Slogan 1Bahasa 1Bangsa 1Negara tetap mendukung konsep 1Malaysia kerana kita ada satu bahasa bersama untuk satu bangsa Malaysia di negara Malaysia yang cuma satu.

Pengaruh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu telah merentasi sempadan kaum, etnik dan sukuan, komuniti dan wilayah. Sayangnya kemajuan dan pengembangannya semakin kehilangan penegasan disebabkan sikap bangsanya.

Di Malaysia, ada tendensi dalam pengurusan dan pentadbiran, BM mula digunakan secara bercampur dengan BI. Situasi rasmi dan tidak rasmi mulai kabur. Kewibawaan BM turun naik. Apakah kemungkinan kesan penggunaan bahasa dalam perspektif yang tidak betul?

Jika suasananya berterusan maka akan terjadi masalah dan implikasi besar pada masa hadapan. Apakah kita tidak terfikir bahawa suatu waktu bahasa Melayu sebagai bahasa negara akan pupus? Tabiat dan sikap negatif yang berterusan boleh membawa kepada kemusnahan.

Penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan hendaklah diinsafi semua pihak. Usaha pemertabatannya mungkin tidak menjadi isu lagi kerana statusnya sudah berada di tahap tinggi sebagai bahasa negara. Apa yang perlu dilihat ialah dari segi penyusunan rancangan strategik pelaksanaannya.

Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggerakkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu/Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Apakah matlamatnya telah disejajarkan semua agensi, institusi, organisasi dan sektor berkaitan?.

Penegasan semula pelaksanaan dasar bahasa memang perlu dilakukan. Tetapi kita kena melihatnya dari banyak sudut. Cuba teliti tahap kesedaran terhadap Dasar Bahasa Negara, fungsi sebenar bahasa Melayu, pencapaian pelaksanaannya, masalah utama pelaksanaan, peranan agensi perancangan bahasa yakni DBP, peranan agensi pengembangan bahasa yang lain yakni pelbagai pihak berkuasa kerajaan dan perancangan strategik bagi pembangunan, pengembangan dan kemajuannya menjelang tahun 2020.

Di pentas dunia global kini, sikap yang harus diambil adalah bagaimana bahasa negara sendiri diperkukuh martabatnya, di samping kita tidak memisahkan diri menguasai bahasa-bahasa utama yang lain. Bahasa Melayu salah satu bahasa yang besar. Jumlah 300 juta penuturnya itu bukan suatu angka yang kecil.

Bahasa Melayu juga salah satu bahasa antarabangsa, bahasa serantau dan bahasa nasional di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Kita boleh kecundang sekiranya bahasa asing dijunjung tinggi sehingga kita kehilangan bahasa dan jati diri negara bangsa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/