Sabtu, 24 April 2010

SENJATA BAHASA

Bahasa adalah senjata
yang menyelamatkan maruah bangsa.

Dengan senjata bahasa
kita redah rimba silam yang guram
kita hapuskan ular sangsi yang menghampiri
kita bunuh ulat seteru yang mengganggu
kita nyahkan serangga prasangka yang
menduga.

Dengan senjata bahasa
kita susuri denai masa depan yang berpedoman
kita hancurkan kuku penguasa yang berpura
kita patahkan jari pengkhianat yang menggugat
kita lenyapkan lidah petualang yang bercabang.

Dengan senjata bahasa
kita susuri denai masa depan yang berpedoman
kita benamkan sisa hujah yang menyanggah
kita tanam baki prejudis yang menghiris
kita kuburkan bangkai helah yang menanah.

Bahasa adalah senjata
yang meneguhkan peradaban bangsa.

NAZIM MOHD SUBARI
Endau, Johor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tangani gejala sosial tugas semua pihak

Oleh Nik Safiah Karim

Masyarakat perlu lahirkan generasi muda seimbang rohani, jasmani seiring perubahan zaman

KINI masalah sosial amat ketara dalam masyarakat kita. Saban hari ada berita kanak-kanak didera, gadis dirogol dan remaja terbabit pelbagai salah laku. Di samping itu, jumlah penagih dadah semakin meningkat dan kes pembuangan bayi sampai ke tahap menggerunkan. Banyak juga perkara ini berlaku di kalangan orang Islam sehingga kita tertanya-tanya apakah menyebabkan mereka berbuat demikian.

Yang sering ditanya kebanyakan orang ialah: “Apakah yang sedang berlaku kepada masyarakat kita hari ini? Apakah ini kesan kemajuan?” Pada hemat saya, persoalannya lebih kompleks daripada itu. Memang diakui masyarakat kita sudah berubah daripada pelbagai segi, antaranya cara hidup, sistem nilai yang dipegang dan institusi sedia ada seperti keluarga dan perkahwinan.

Agak relevan juga jika diteliti siapakah terbabit dalam tindakan yang dianggap sebagai masalah sosial ini. Sebenarnya tidak ada kelompok tertentu. Dalam kes penderaan kanak-kanak, yang melakukan perbuatan kejam itu ialah orang dewasa daripada bapa tiri hingga kekasih si ibu. Siapakah pula yang merogol? Jawapannya juga orang dewasa, daripada bapa tiri kepada bapa sendiri, abang, sepupu hingga bapa saudara dan datuk mangsa.

Yang mendera isteri sudah semesti lelaki dewasa. Yang membawa jangkitan HIV/Aids kepada isteri juga lelaki yang bergelar suami. Demikian juga, wanita bergelar ibu yang pandai melahirkan anak tetapi tidak sanggup menjaga dan memelihara mereka dengan baik selepas melahirkan. Mereka juga orang dewasa. Wanita yang membabitkan diri dengan penagihan dadah dan kemudian mewariskan gejala penagihan itu kepada anak dalam rahimnya juga wanita dewasa.

Jika dilihat beberapa kegiatan sosial lain pula, pelakunya ialah remaja termasuk merempit, buang bayi, penagih dadah dan minuman alkohol. Jumlah remaja terutama lelaki yang menghuni pusat serenti amat besar dan gadis yang hamil di luar nikah juga semakin meningkat, begitu juga gadis yang lari dari rumah mengikut kekasih sama ada teman senegara atau orang asing.

Banyak sebab sudah diutarakan untuk menerangkan mengapa masalah sosial begitu menonjol pada masa ini. Sebenarnya tidak ada satu sebab khusus mewujudkan keadaan ini, tetapi nampaknya ia timbul akibat beberapa faktor.

Satu antara sebab yang kerap dikemukakan ialah ketiadaan ajaran agama yang mantap dan mencukupi. Dalam kajian dibuat beberapa pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap remaja di beberapa pusat tahanan, ramai mengatakan mereka tidak tahu dan tidak pernah sembahyang lima waktu.

Ibu bapa mereka tidak menjadi model cara hidup Islam seperti tidak pernah sembahyang berjemaah bersama keluarga. Walaupun mereka pernah mengikuti mata pelajaran agama di sekolah, kebanyakannya tidak dapat mempraktikkan ilmu yang diajarkan.

Sesetengah pihak pula menyalahkan media massa. Ada juga kebenaran hal ini. Pelbagai mesej, baik dan buruk diterima melalui program dan filem yang disiarkan melalu televisyen dan panggung wayang. Kewujudan video lucah membawa banyak kesan buruk terutama terhadap remaja yang memang suka mencuba.

Pengaruh budaya asing yang datang melalui pelbagai saluran media tidak serasi dengan jiwa Timur masyarakat kita dan ini meruntuhkan sistem nilai sedia ada, diganti dengan nilai baru seperti sifat individualisme dan materialistik.

Di sekolah pula kekurangan guru lelaki menimbulkan pelbagai kesan buruk, misalnya menurunnya disiplin pelajar dan tiada contoh yang sesuai bagi pelajar lelaki. Suasana pembelajaran tidak memuaskan juga disebut antara faktor yang menyumbang kepada masalah sosial.

Sistem pendidikan menekankan kejayaan akademik semata-mata yang menyediakan pelajar untuk lulus peperiksaan tetapi tidak untuk hidup dan bukan membina peribadi sempurna serta menyeluruh gagal menghasilkan lulusan yang cergas, cerdas dan bertanggungjawab.

Kesimpulannya, banyak yang tidak kena dengan masyarakat kini yang jika tidak ditangani, akan membawa kepada situasi lebih teruk. Agak senang jika kita menuding jari kepada kerajaan dan menyenaraikan pelbagai langkah untuk dilaksanakan. Dengan demikian, kita meletakkan kesalahan seluruhnya di atas bahu kerajaan.

Namun, secara ikhlas yang bertanggungjawab bukan kerajaan semata-mata. Kita sebagai ibu bapa mempunyai tanggungjawab tertentu terutama dari segi melahirkan anak yang apabila dewasa kelak, mempunyai peribadi sempurna, kukuh, mulia dan bertanggungjawab. Jika remaja kini tidak mempunyai asas agama yang kukuh, maka ibu bapa patut memainkan peranan masing-masing dibantu institusi yang relevan seperti sekolah, jabatan agama, alim ulama dan pemimpin masyarakat.

Ada keluhan yang mengatakan cara kita memperkenalkan bidang agama tidak menarik bagi remaja. Mungkin hal ini perlu diteliti pihak berkenaan. Apakah benar kita hanya menekankan aspek ritual dan hafalan semata-mata dan tidak memperlihatkan kepentingan mengaitkan ajaran agama dengan kehidupan harian? Perkara ini penting kerana sudah ada kecenderungan di Barat untuk menganggap agama sebagai tidak relevan lagi dalam dunia serba moden ini.

Selain ibu bapa, sistem persekolahan perlu menilai kembali pendekatan mereka dan membuat penyesuaian supaya lulusan yang dilahirkan sesuai dengan perubahan yang berlaku dalam negara dan mereka dapat memikul tanggungjawab dalam dunia yang sudah berubah.

Akhir sekali, hakikat bahawa masyarakat kita sudah dan sedang berubah dengan amat pesat tidak boleh dilupakan. Malaysia bukan saja mengalami perkembangan ekonomi dan sosial yang menakjubkan, tetapi masyarakat kita turut mengalami perubahan yang mengejutkan. Dalam masa yang singkat kita berubah daripada masyarakat pertanian kepada perindustrian yang berasaskan kemajuan sains dan teknologi.

Kejutan sedemikian semestinya meninggalkan kesan. Namun, jika kita pandai dan bijak menangani kejutan ini, kestabilan akan dicapai. Kita berdoa semoga retak yang sedang berlaku akan dapat dibaiki tanpa meninggalkan kesan terlalu membimbangkan. Namun, jika tidak ditangani segera dengan tabah, retak boleh menjadi belah.

Penulis ialah Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Antara tahu, tak tahu dan tak mahu tahu

"Pengetahuan adalah kuasa" diterjemahkan daripada knowledge is power. Sesiapa yang ada pengetahuan, maka ia memiliki kuasa.

Maka dari situ, manusia berusaha untuk mendapatkan pengetahuan, kerana dengannya ia akan dapat meraih kuasa. Sementara mereka yang berkuasa pula akan menghalang pesaingnya daripada memiliki pengetahuan.

Antara contoh ketara ialah Amerika Syarikat muncul sebagai negara kuasa besar antara sebabnya ialah ia mempunyai pengetahuan lebih daripada negara-negara lain di dunia. Antara caranya untuk menghalang sebarang pencabarnya pula ialah menyekat pengetahuan tertentu daripada dimiliki mereka. Umpamanya menghalang pengetahuan mengenai tenaga nuklear kepada Iran.

Begitu juga dalam negara yang autokratik atau kurang demokratik. Bagi menghalang sebahagian daripada rakyatnya muncul sebagai pencabar pihak berkuasa, maka kerajaan yang memerintah akan menghalang pengetahuan tertentu daripada diketahui oleh warganegaranya sendiri. Maka mereka melakukan penapisan atau mengharamkan buku-buku serta menghalang laluan kepada laman-laman web.

Contohnya ialah apa yang dilakukan oleh China. Menghalang pengetahuan daripada rakyat adalah apa yang menjadi amalan negara-negara komunis yang kebanyakannya telah tumbang. Tetapi amalan ini juga dilakukan oleh negara-negara bukan komunis yang masih tidak mempercayai perlunya pengetahuan dimiliki oleh rakyat, bukan saja sebagai hak warganegara tetapi untuk kemajuan negara.

Bagi pihak yang menghalang sesuatu pengetahuan daripada diketahui umum, antara alasannya ialah untuk memelihara ketenteraman. Ini kerana ada kalanya pengetahuan itu mendatangkan bahaya. Akhirnya apa yang dikatakan baik atau buruk adalah penilaian subjektif.

Maka dalam hal ini, knowledge is power berkaitlah pula dengan ignorance is bliss. Maknanya ialah kejahilan itu ketenteraman. Bliss bermaksud kebahagiaan dalam perkahwinan jika dirujuk kepada rumah tangga. Tetapi bliss dalam keadaan jahil juga boleh bermaksud kebahagiaan. Maka lebih tepat lagi ia dimaksudkan sebagai ketenteraman hati. Dengan tidak mengetahui sesuatu perkara, mungkin ia lebih mendatangkan ketenteraman. Lebih-lebih lagi jika tahu pun, seseorang tidak dapat melakukan apa-apa. Lagi sekali perkara ini juga bersifat subjektif.

Kejahilan

Jadi bila masa pengetahuan itu menjadi kuasa, dan masa mana kejahilan itu mendatangkan ketenteraman? Adakah memiliki kuasa itu akan sentiasa mendatangkan ketenteraman hati?

Manusia mahukan kuasa, tetapi pada waktu yang sama, juga mahukan ketenteraman hati. Sementara hakikatnya pula ialah manusia tidak akan dapat memiliki semua pengetahuan. Kemampuan untuk memiliki pengetahuan adalah terhad, walaupun berbeza di antara satu sama lain. Begitu juga tidak ada pula manusia yang jahil mutlak. Semua manusia sedikit sebanyak mesti memiliki sesuatu pengetahuan.

Dalam hal kekuasaan dan ketenteraman, manusia juga akan membuat perkiraan yang serupa. Tidak ada manusia yang boleh memiliki kuasa mutlak, hatta seorang diktator sekalipun. Begitu juga dengan ketenteraman. Sebagai manusia, ada masa mereka akan menikmati ketenteraman, pada waktu lain pula ada juga masa kegelisahan. Otak manusia sudah berfungsi sebegitu rupa.

Akhirnya apa yang dapat dirumuskan ialah keseimbangan. Kita mahu pengetahuan tetapi berpadanan dengan keperluan kita. Ini kerana kuasa yang kita kehendaki dihadkan oleh alam. Begitu juga dengan ketenteraman. Ia juga dihadkan oleh alam.

Akhirnya dalam mendapatkan keseimbangan antara pengetahuan dan kejahilan, maka otak kita sendiri yang menentukan. Kalau terlalu banyak maklumat, otak kita akan terbeban, berasa bosan dan terus tidak ambil peduli.

Inilah yang sebenarnya sedang berlaku apabila manusia terdedah kepada banyak maklumat melalui pelbagai media termasuk Internet. Buat pertama kali dalam sejarah, manusia disogok dengan begitu banyak maklumat dan akses kepada pengetahuan.

Maka dalam keadaan begini, dalam berusaha untuk mendapatkan kuasa tetapi pada waktu yang sama mahu menikmati ketenteraman, dalam erti kata lain, usaha untuk mendapatkan pengetahuan diseimbangi dengan keinginan untuk kekal jahil dalam sesuatu perkara, maka apa yang diperlukan ialah keupayaan untuk memilih maklumat.

Ada maklumat yang wajar diserapi, tidak kurang pula yang perlu dielak. Terutamanya berita dan iklan yang tidak berkaitan dengan kita, atau lebih buruk lagi mengganggu emosi dan kehidupan.

Justeru seseorang tidaklah perlu melayari laman-laman web, blog atau apa saja dalam Internet yang tidak digemari. Begitu juga seseorang tidaklah perlu membaca buku atau bahan cetak yang tidak bermanfaat kepada dirinya. Kesemua itu membuang masa dan perasaan saja. Begitu juga, elak daripada menonton filem atau televisyen yang akhirnya hanya mendatangkan perasaan negatif.

Ignorance yang diterjemahkan kepada kejahilan mempunyai akar kata ignore, atau tidak mempeduli. Justeru jika ia diterjemahkan untuk menjadi tidak peduli dan bukannya kejahilan, maka ignorance is bliss boleh membawa maksud sikap tidak mempeduli yang membawa ketenteraman.

Justeru di samping pengetahuan, kejahilan dan tidak peduli boleh dirumuskan sebagai tahu, tidak tahu dan tidak mahu tahu.

Maka dalam zaman ledakan maklumat yang membawa terlebih bebanan kepada minda manusia, sikap tidak mahu tahu mempunyai tempat tersendiri dalam zaman ini.

Kalau sesuatu perkara atau isu itu tidak digemari, tidak perlu, tidak relevan dan tidak mendatangkan manfaat kepada seseorang, maka wajar diambil sikap tidak mahu tahu.

Jika dapat diurus sewajarnya, maka akan dapat diwujudkan keseimbangan antara tahu dan tidak tahu dengan bersikap tidak mahu tahu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/