Khamis, 3 November 2011

ISU BAHASA : Keputusan Memansuhkan PPSMI Muktamad - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah muktamad, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau akan membuat penjelasan terperinci bagaimana kedudukan PPSMI dan bagaimana pelaksaan Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan dilaksanakan, khususnya yang berkaitan peralihan berikutan keputusan kerajaan untuk memansuhkan dasar itu.

"Kabinet pada 2009 sudah buat keputusan PPSMI tidak akan diteruskan. (Esok)kita akan jelas satu persatu 'concern' ibu bapa dan bagaimana untuk menangani masalah ini di masa hadapan," katanya selepas merasmikan majlis perjumpaan dengan Guru-Guru Bahasa Inggeris:SMR HR Group di sini, Khamis.

Justeru katanya, beliau mahu semua polemik berhubung isu itu dihentikan kerana kementerian tidak akan tunduk lagi pada sebarang desakan daripada mana-mana pihak memandangkan keputusan pemansuhan PPSMI sudah muktamad.

Mengenai desakan beberapa pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang mahu kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan PPSMI secara pilihan di sekolah, Muhyiddin berkata, terserah kepada rakyat untuk menilai mereka.

"Bagi kerajaan dan majoriti rakyat faham, sejak diumum pemansuhan dasar itu pada 2009 kita tidak menerima reaksi negatif, sebahagian besar terima baik termasuk apabila saya bawa perkara ini ke Parlimen untuk dibincang dan dibahaskan, semua pihak setuju termasuk pembangkang, pada waktu itulah," katanya.

Muhyiddin menegaskan, pemansuhan PPSMI tidak dilakukan secara terburu-buru atau berdasarkan politik, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan apa yang difikirkan terbaik untuk rakyat dan negara. "Kementerian Pelajaran mempunyai cukup data dan maklumat tentang bagaimana PPSMI dilaksana, apa 'outcome' pelaksanaannya yang kita nilai dan kemudiannya memutuskan untuk memansuhkan dasar itu," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu turut menyifatkan bantahan pihak-pihak berkenaan sebagai "sudah lepas tempoh" dan "ketinggalan zaman" memandangkan keputusan mengenainya telahpun dibuat sejak 2009 manakala dasar MBMMBI juga telah dilaksanakan.

Lebih penting, kata Muhyiddin, adalah soal peralihan dasar dan pelaksanaannya yang akan diumumkan esok.

Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata disebalik perdebatan berterusan mengenai PPSMI, beliau percaya pendekatan guru cemerlang merupakan satu daripada inisiatif terbaik untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris bagi guru dan pelajar di negara ini.

Muhyiddin berkata berdasarkan interaksi dan maklum balas daripada pelbagai pihak serta rakan sejawatannya dari negara lain, pendapat yang sama diberikan iaitu penguasaan bahasa Inggeris hanya boleh diperoleh menerusi mempelajari bahasa itu dan bukannya belajar bahasa itu menerusi pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains.

Katanya menerusi beberapa inisiatif yang diperkenalkan seperti penambahbaikan terhadap sukatan pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah, membawa masuk guru yang bahasa ibundanya bahasa Inggeris serta menaik taraf sistem sokongan seperti makmal bahasa, yang akan diperluaskan di seluruh negara, akan dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di Malaysia.

Projek Latihan Mentor, Latihan Bahasa Inggeris (ELT) SMR berobjektif membantu Guru Bahasa Inggeris Sekolah Rendah Malaysia yang mengajar Tahun 1, 2 dan 3 untuk meningkatkan keberkesanan dalam pengajaran Bahasa Inggeris kepada murid mereka.

Ia memberikan kepada dua penekanan, pertamanya membantu guru dengan teknik metodolgi komunikasi dan keduanya meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka secara peribadi untuk meningkatkan keyakinan dan kefasihan bahasa Inggeris.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMR Datuk R. Palan, bagi tempoh 10 bulan lepas, sebanyak 120 guru mentor dari seluruh dunia telah berpeluang bekerja dengan guru tempatan.

Guru mentor berkenaan yang berasal dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Afrika Selatan dan negara-negara Eropah, telah diambil bekerja berdasarkan kefasihan mereka dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa ibunda mereka, kelayakan pendidikan dan ESL serta pengalaman dalam bilik darjah, katanya. -BERNAMA