Rabu, 20 April 2011

ISU ALAM SEKITAR : Memastikan program Hari Bumi cetus keinsafan manusia

Oleh Jamhariah Jaafar
jamhariah@bharian.com.my

Proses pembangunan melampau dalam pelbagai bentuk ganggu kitaran semula jadi ekosistem

BENCANA alam silih berganti, perubahan cuaca dan pencemaran alam yang semakin serius adalah faktor yang membuat setiap manusia perlu duduk memikirkan semula sumbangan setiap seorang bagi memastikan bumi ini tidak terus dimusnahkan oleh pembangunan dan sikap acuh tidak acuh kita sendiri.

Dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, manusia dikejutkan dengan pelbagai bencana alam. Bermula dengan tsunami yang meranapkan Aceh, pesisir pantai Thailand dan Sri Lanka pada 2004 kepada kejadian terbaru yang memusnahkan beberapa bandar Jepun, perlu dijadikan iktibar.

Justeru, sambutan Hari Bumi 2011 yang dirai setiap 22 April, tidak wajar dibiarkan berlalu tanpa sebarang usaha untuk mencetus kesedaran untuk kita memulihara bumi ini dengan lebih serius.

Tidak ramai menyedari wujudnya Hari Bumi, namun bagi kebanyakan kumpulan dan persatuan pencinta alam, Hari Bumi diraikan dengan pelbagai usaha mencetus keinsafan supaya manusia tidak terus bersikap tamak untuk memusnahkan bumi yang semakin rapuh ini.

Selepas tsunami terbaru yang berlaku di Jepun, yang bukan saja memusnahkan beberapa bandar besar, bencana terburuk dunia itu ditambah dengan gempa bumi, turut mencetus ancaman nuklear apabila beberapa loji tenaga itu turut bocor dan mengalami kerosakan serius.

Semakin ramai manusia mula berasa dan insaf terhadap bahang kerosakan yang dilakukan sendiri di muka bumi ini. Daripada proses pembangunan yang memperlihatkan sikap tamak dan gelojoh kita, memusnahkan alam semula jadi untuk diganti dengan hutan batu, membuatkan bumi ini mengalami hakisan yang semakin buruk setiap hari.

Hutan belantara semakin pupus, bukit ditarah dan ditebuk, sungai dan kawasan perairan bersih semakin diabaikan, lautan diancam pencemaran yang semakin buruk, ruang udara semakin tipis dan cuaca dunia diancam fenomena pemanasan global.

Ramai semakin insaf dan sedar. Semakin banyak kempen dilaksanakan bagi mencetus kesedaran. Keinsafan wujud di hati setiap manusia, namun ramai yang masih tidak tahu bagaimana untuk membantu dan menyumbang bagi meringankan beban yang ditanggung bumi ini.

Kempen kesedaran mengenai pemanasan global sudah pun sampai ke peringkat tertinggi. Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan (UNCED) yang kini dikenali sebagai Sidang Puncak Rio sudah mula mengenal pasti isu dan cara menangani sejak 1992 lagi.

Antara perkara dipersetujui ialah proses pembangunan mapan, yang mana negara kaya diperlukan untuk mengurangkan pencemaran di negara masing-masing, pada masa sama membantu negara sedang membangun menguruskan penjanaan tenaga dengan lebih berkesan.

Di samping itu, antara agenda yang dipersetujui membabitkan usaha membasmi kemiskinan, peningkatan kualiti air, penggunaan tenaga lebih bersih, pentadbiran yang baik, penggunaan teknologi, pengeluaran dan penggunaan produk yang mesra alam, pemuliharaan lautan dan isi kandungannya serta industri pelancongan.

Namun, keputusan Sidang Puncak Rio tidak begitu mudah untuk dilaksanakan. Beberapa negara maju bertindak untuk mewujudkan kumpulan sendiri dalam mengambil tindakan untuk menangani pelbagai isu alam sekitar.

Protokol Kyoto yang bermatlamat untuk mengurangkan pemanasan global ditandatangani pada 11 Disember 1997. Sejumlah 191 negara dunia komited untuk mengurangkan penggunaan gas rumah hijau (greenhouse) – karbon dioksida, metana, nitrus oksida, sulfur hexaflorida – di samping bersetuju berusaha mengurangkan pengeluaran gas dengan kadar 5.2 peratus menjelang 2010 berbanding tahap pada 1992.

Bagaimanapun, sidang puncak di Copenhagen tahun lalu, melaporkan hampir seluruh muka bumi kita hari ini mengalami ancaman bencana akibat fenomena perubahan cuaca yang semakin serius.

Indeks Risiko Cuaca Global melaporkan, ketika ini Bangladesh adalah negara dikenal pasti paling serius mengalami perubahan cuaca berdasarkan statistik antara 1990 hingga 2008 yang mana purata 8,240 rakyat maut akibat bencana alam setiap tahun. Kenaikan paras air laut setiap tahun turut mengancam nyawa lebih ramai rakyatnya yang tinggal di pesisir pantai.

Selain Bangladesh, negara lain yang menduduki senarai 10 teratas mengalami ancaman perubahan cuaca yang serius ialah Myanmar, Honduras, Vietnam, Nicaragua, Haiti, India, Republik Dominica, Filipina dan China.

Walaupun tidak ada negara maju dan perindustrian yang menduduki senarai 10 teratas sebagai negara paling terancam, namun Itali, Portugal, Sepanyol dan Amerika Syarikat, berada dalam senarai 20 teratas.

Selepas tsunami, gempa bumi dan kebocoran nuklear yang melanda Jepun bulan lalu, setiap negara dunia perlu insaf, walaupun tidak berada dalam senarai paling berisiko, bencana alam boleh melanda mana-mana negara pada bila-bila masa.

Apabila bumi menerima tekanan demi tekanan akibat proses pembangunan melampau manusia, ia akhirnya akan meledakkan ‘kemarahan’ dalam pelbagai bentuk. Sayangi bumi kita dan selamatkan ia daripada musnah akibat sikap tamak kita sendiri.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Merangkai tindakan hijau

Oleh SHAHARUDIN IDRUS
dinn6358@gmail.com

BERBILION tindakan hijau menghiasi tema sambutan Hari Bumi Sedunia disambut pada hari esok (22 April 2011) di seluruh dunia. Tema yang dipilih ini mencerminkan segala tindak laku yang telah diambil oleh warga bumi dalam menangani masalah alam sekitar yang kian parah.

Pelbagai tindakan hijau yang dilaksanakan kini adalah akibat daripada rentetan pelbagai kemusnahan yang telah dilakukan oleh manusia ke atas muka bumi ini sejak ratusan malahan ribuan tahun dahulu. Justeru, telah menimbulkan kesedaran dan komitmen tentang peri pentingnya alam sekitar perlu dipelihara dan dipulihara sepenuhnya untuk kegunaan masyarakat hari ini dan akan datang.

Tindakan hijau ini terhasil akibat langsung daripada kedurjanaan alam sekitar yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengikut etika serta syariat yang ditetapkan lantas mengeksploitasi sumber alam ini sewenang-wenangnya dan hanya mementingkan keuntungan ekonomi semata-mata. Maka, terjadilah masalah yang kita alami pada hari ini.

Persoalan yang timbul di pemikiran kita ialah apakah setelah sesetengah pihak di negara maju khususnya yang menjadi perintis kepada permasalahan alam sekitar, meminta pula pihak lain untuk memulihkannya bersama-sama mereka. Lantas, akibat tindakan itu mereka dilihat pula sebagai pejuang alam sekitar yang begitu hebat dan terkehadapan dalam mengetengahkan isu-isu yang menyangkut permasalahan alam sekitar.

Mereka juga telah mencipta konsep-konsep pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang lunak untuk memperlihatkan tentang kehebatan mereka.

Laungan amaran mengenai trend penggunaan sumber ini telah pun dibuat oleh sekumpulan penyelidik yang menganggotai Club of Rome hampir empat dasawarsa yang lalu. Dalam buku yang berjudul Limits to Growth mereka menyatakan bahawa jika corak pertumbuhan penduduk dunia, industrialisasi, pencemaran, pengeluaran makanan dan penghakisan sumber berlaku secara terus-terusan, had batas untuk pertumbuhan planet Bumi ini akan dicapai dalam tempoh seratus tahun akan datang.

Namun begitu, belum pun separuh daripada jangka masa yang dinyatakan itu sampai, pelbagai masalah yang bersabit dengan had tampungan bumi telah melanda. Amaran seumpama itu tidak mendapat perhatian secara serius daripada mana-mana pihak. Kesannya yang dapat diperhati dan dirasai kini adalah kesan rumah hijau dan keadaan cuaca yang berlaku di luar daripada kebiasaannya sebelum ini.

Bagaimanapun, atas rasa keprihatinan terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar, pelbagai tindakan hijau telah dilakukan. Dua pendekatan tindakan hijau yang dilihat telah dan sedang diambil secara bergandingan oleh pelbagai pihak (kerajaan, syarikat swasta, NGO dan CBO) untuk membantu tindakan hijau ini berlegar di sekeliling kita sama ada disedari ataupun tidak.

Jutaan ringgit juga telah dilaburkan untuk tujuan tersebut. Sebagai contohnya dalam usaha mengurangkan pergantungan yang keterlaluan kepada sumber petroleum dan gas, pelbagai kaedah alternatif diperkenalkan dari pihak atasan hinggalah barangan yang dijual di pasar-pasar malam semuanya menjurus kepada tindakan hijau ini.

Menyedari akan hakikat tersebut, satu perubahan yang bersifat revolusi dituntut untuk berubah secara pantas dalam setiap aktiviti sosial dan ekonomi daripada yang bersifat semasa yang dilihat tidak sihat dan tidak lestari kepada suatu corak penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui sebagai asas kepada aktiviti ekonomi dan sosia.

Satu-satunya jalan terbaik untuk mengubah darjah pergantungan kepada sumber tenaga petroleum dan gas ini sebagai contohnya adalah dengan meluaskan amalan cara dan gaya hidup beretika. Amalan yang sewajarnya dimulakan dari dalam diri setiap insan untuk memastikan kehidupan mereka akan terus berada dalam kesejahteraan pada masa kini dan hadapan.

Telah banyak usaha yang berterusan yang dijalankan untuk mencari sumber alternatif tenaga demi kelangsungan dan survival kehidupan manusia di satu-satunya planet yang dihuni oleh manusia ini. Usaha yang dilakukan kerajaan untuk mewujudkan sistem transit massa (MRT) sebagai contohnya perlu dilihat dalam konteks pelan tindakan hijau untuk membawa masyarakat di negara ini keluar daripada pergantungan yang keterlaluan terhadap sumber petroleum dan mengurangkan kesan pencemaran karbon dioksida yang dibebaskan oleh asap kenderaan dan kilang-kilang.

Perancangan untuk mewujudkan sistem pengangkutan massa berasaskan tenaga elektrik dapat mengurangkan jejak karbon bagi setiap penduduk terutamanya di bandar-bandar besar di negara ini.

Usaha-usaha penyelidikan yang sedang dilakukan dalam penggunaan tenaga nuklear untuk menghasilkan tenaga yang boleh diperbaharui boleh dikategorikan dalam paradigma ini. Manakala dalam terma sosial dan ekonomi pula adalah melalui kawalan harga sumber; polisi yang digubal; serta gaya hidup yang beretika dan perubahan tingkah laku.

Usaha yang dilakukan oleh kerajaan seperti kempen mengurangkan penggunaan beg-beg plastik, kitar semula, amalan hidup sihat serta program Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar dan Bandar Lestari - Anugerah Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar akan dapat mengubah tingkah laku penduduk dan akhirnya dapat mengurangkan pergantungan keterlaluan kepada sumber tersebut.

Kesemua usaha yang dilakukan perlu dirangkaikan dalam etika tindakan hijau yang akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan sebuah masyarakat beretika serta berhemah dalam menggunakan sumber alam kurnian Ilahi dan mampu bertahan dalam gaya hidup yang lebih sihat dan hijau sifatnya.

PENULIS ialah Felo Penyelidik/Pensyarah Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Makan makanan terbaik untuk tingkat kesihatan

Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org

Bersenam, kawal makan mampu atasi obesiti, hindari penyakit

MAJORITI rakyat negara ini dikatakan tidak mengambil berat terhadap keadaan kesihatan mereka. Corak hidup mereka yang mendiami kawasan bandar seperti Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Ipoh dan Seremban lebih menjurus kepada keadaan yang boleh menjejas kesihatan. Oleh itu, tidak menghairankan negara ini kini menduduki tempat teratas bagi rantau Asia Tenggara yang mempunyai rakyat yang dianggap obes, iaitu keadaan kegemukan yang boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan.

Angka Kementerian Kesihatan menunjukkan sehingga 60 peratus daripada keseluruhan rakyat negara ini didapati gemuk, iaitu 30 peratus obes dan 30 peratus lagi mempunyai berat badan berlebihan. Malah, Kementerian Kesihatan menganggarkan sehingga 1.7 juta daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas mengalami keadaan obes. Bahkan pemantauannya mendapati masalah obesiti ini turut membabitkan golongan kanak-kanak lelaki seawal usia tujuh tahun dan semakin banyak dialami remaja dalam lingkungan umur antara 13 hingga 17 tahun.
Keadaan ini sepatutnya sudah mencemaskan kebanyakan daripada kita untuk berusaha mengamalkan corak hidup yang lebih sihat supaya tidak berterusan dilanda penyakit, khususnya kencing manis dan darah tinggi yang boleh membawa kepada sakit jantung dan serangan angin ahmar, selain buah pinggang. Malangnya, keadaan ini telah berlarutan bertahun-tahun tanpa ada keazaman di kalangan rakyat untuk berusaha menanganinya walaupun pelbagai usaha dan kempen dijalankan pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan untuk menggalakkan rakyat mengamalkan corak hidup yang lebih sihat.

Dikatakan juga 20,000 rakyat negara ini mengalami kegagalan ginjal dan jumlah ini dijangka meningkat pada masa akan datang. Oleh itu, tidak menghairankan kenapa jumlah rakyat yang memerlukan pemulihan darah melalui proses dialisis semakin meningkat. Timbalan Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Jaafar Md Zain, berkata risiko pesakit ginjal untuk mendapat sakit jantung adalah amat tinggi kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai penyakit lain seperti kencing manis dan darah tinggi. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula pernah menyebut lebih 45,000 keluarga di Malaysia dicengkam kemiskinan kerana pencari nafkah mereka terlantar tidak dapat berjalan untuk mencari nafkah disebabkan penyakit kencing manis. Apabila ketua keluarga menghidap penyakit itu hingga terlantar dan tidak boleh bekerja, keluarganya mengalami penderitaan dan tentunya akan membebankan negara.

Sudah banyak diusahakan kerajaan dan badan lain supaya rakyat negara ini lebih prihatin terhadap kesihatan mereka dengan mengamalkan kehidupan lebih sihat iaitu makan makanan yang tidak memudaratkan badan dan selalu melakukan senaman. Malah, Prof Jaafar menyarankan setiap rakyat cuba mengekalkan berat badan yang ideal dengan bersenam selama 30 minit setiap hari, minum air sebanyak 1.5 liter sehari dan mengamalkan pemakanan sihat. Kementerian Kesihatan sendiri sejak 1991 sudah melakukan pelbagai kempen Cara Hidup Sihat, misalnya untuk menggalakkan rakyat mengurangkan pengambilan gula kerana gula dikenal pasti sebagai bahan utama yang membawa kepada masalah kegemukan atau obesiti, selain daripada menjalankan pelbagai program mempromosikan makanan sihat.

Terbaru ialah usaha Kementerian Kesihatan mahu menentukan murid sekolah tidak disediakan makanan tidak sihat ketika berada di sekolah. Semua kantin sekolah kini dilarang menjual makan yang dilabel sebagai makanan ‘junk’ yang terdapat dengan mudahnya di mana-mana. Malah, ia berusaha untuk menyekat kantin sekolah menjual nasi lemak. Tetapi usaha ini mendapat tentangan ramai ibu bapa dan pertubuhan guru kerana nasi lemak tidak harus disamakan dengan makanan ‘junk’. Apakah sudah ada penyelidikan menyatakan nasi lemak tidak sihat?
Sekiranya tidak ada penyelidikan yang menunjukkan bahawa memakan nasi lemak boleh mendatangkan kemudaratan kenapa pula ia harus diharamkan? Pengharaman ini akan hanya menjejaskan usaha sesetengah golongan berpendapatan rendah untuk menambahkan pendapatan keluarga. Malah, ada makanan lain, misalnya roti canai yang mempunyai banyak minyak dianggap lebih memudaratkan daripada nasi lemak. Ini tidak pula diharamkan.

Antara makanan yang tidak sihat dan boleh menjejas minda pelajar dan menjadikan mereka kurang bermaya dalam kelas ialah pengambilan makanan ringan atau ‘junk.’ Sememangnya ramai pelajar terdedah dengan makanan ringan demikian. Perkara ini boleh dilihat di setiap sekolah yang mana ramai pelajar akan menyerbu ke gerai jualan makanan ringan sebaik keluar dari pagar sekolah.

Malah, anak di tadika pun terdedah kepada penjaja yang muncul di luar pagar sekolah/tadika waktu tamat sekolah. Inilah yang patut dikawal. Memang diketahui bahawa kebanyakan daripada makan ringan sedikit sekali mempunyai khasiat kerana mengandungi kadar gula tinggi, menggunakan pewarna dan perisa tiruan dan boleh meningkatkan ketagihan hingga memudaratkan dan boleh pula membawa kepada pelbagai penyakit seperti kerosakan gigi, buah pinggang serta obesiti.

Oleh itu, pelajar hendaknya dipastikan makan makanan terbaik untuk kesihatan seperti buah-buahan, sayur- sayuran, susu segar serta banyak meminum air masak. Diketahui di kalangan orang Melayu mereka tidak banyak makan sayur-sayuran hinggakan nasi lemak pun kini sudah tidak lagi disajikan dengan kangkung seperti pada tahun-tahun dulu. Juga dinyatakan bahawa pengambilan makanan ringan boleh mengakibatkan pelajar kelihatan lesu tidak bermaya, mudah letih, tidur di dalam kelas dan tidak berasa segar dan bersemangat untuk belajar.

Selain makanan ringan ramai pelajar, malah rakyat negara ini terlalu banyak minum air tin/kotak dan teh tarik yang mengandungi gula pada kadar yang amat berlebihan. Inilah juga yang sepatutnya dikawal.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Tuntutan hidupkan PPSMI tidak releven

SAYA merujuk kepada beberapa surat kepada editor sebuah akhbar yang masih membangkitkan persoalan sama ada langkah memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di sekolah rendah dan menengah sebagai wajar atau sebaliknya. PPSMI digantikan dengan Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Perbahasan mengenainya tidak lagi relevan memandangkan kerajaan sudah memutuskan perkara itu dengan teliti dan mengambil kira pandangan pakar. Saya masih ingat menghadiri sesi khas di Shah Alam yang dianjurkan badan bukan kerajaan yang berpangkalan di Johor pada awal tahun lalu, ucap utama disampaikan oleh profesor kanan yang sangat dihormati dan tersohor dari universiti tertua negara ini di Lembah Klang. Ketika menyampaikan ucap utamanya itu, lebih lima kali profesor terbabit menyatakan: “siapa yang berfikir kita boleh membaiki penguasaan bahasa Inggeris anak-anak kita dengan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris adalah ‘gila’.
Saya mahu berkongsi sedikit pengalaman dan pemerhatian sebagai seorang yang mengajar pendidikan tinggi lebih 30 tahun dan sekarang sudah bersara. Saya menerima pendidikan aliran Inggeris, tetapi tidak pernah terfikir atau berasa rakan dalam bidang sains (kini prof madya atau prof) dari Sekolah Alam Shah dan mendapat sarjana serta ijazah doktor falsafah dalam negara atau luar negara tidak sedarjat dengan saya. Saya juga tidak pernah beranggapan anak lelaki dan menantu saya kurang berwibawa hanya kerana mereka melalui pendidikan dalam 80-an dan 90-an melalui sistem pendidikan kebangsaan (aliran Inggeris sudah dimansuhkan). Sudah pasti saya sangat berbangga dan sedar bahawa USM dan UKM, perintis Sistem Pendidikan Kebangsaan, yang sudah mengeluarkan ratusan ribu ahli sains dan profesional dalam bidang perubatan, pergigian, kejuruteraan, perakaunan, dll, banyak memberi sumbangan kepada negara kita. Graduan dengan kepujian kelas kedua dan ke atas, diterima menyambung pengajian pasca sarjana di hampir semua negara di seluruh dunia, meskipun mereka daripada aliran Melayu. Sudah tentu, pelajar yang lebih daripada sederhana ini, lebih daripada cekap dalam bahasa kedua kita, bahasa Inggeris.
Bahasa Melayu (termasuk bahasa Indonesia yang berasal daripada bahasa Melayu) yang berada pada kedudukan kelima paling ramai dipertuturkan (lebih 300 juta penutur) di dunia selepas Inggeris, Mandarin, Hindi dan Sepanyol. Sejak empat dekad lalu, ahli akademik dan pakar bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka serta universiti bekerjasama membangunkannya sebagai bahasa untuk matematik, sains dan teknologi, dengan berinspirasikan bahasa Inggeris dan pengalaman Indonesia. Sudah tentu, kepentingan bahasa Inggeris tidak diabaikan. Pemerhatian peribadi saya terhadap pelajar yang menekuni sains sosial adalah mereka yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik, juga bagus dalam mata pelajaran lain, juga menguasai bahasa Melayu dengan baik. Kira-kira 15 peratus pelajar yang tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik adalah mereka yang pencapaiannya dalam subjek lain kurang memuaskan, selain penguasaan bahasa Melayunya juga lemah.

Pengalaman sembilan tahun di luar negara (enam tahun di Australia dan tiga tahun di United Kingdom) membolehkan saya merumuskan bahawa orang British dan Australia mengagumi penguasaan bahasa Inggeris pelajar kita. Sesetengah mengelompokkan pelajar Malaysia dengan pelajar Singapura dan Hong Kong yang sememangnya cekap berbahasa Inggeris di kalangan pelajar asing. Saya masih ingat pada Minggu Orientasi, pelajar dari seberang laut diminta menduduki ujian kecekapan bahasa Inggeris dan mereka yang mendapat markah tertentu akan diarahkan mengikuti tuisyen khas bahasa Inggeris sekurang-kurangnya untuk satu semester. Seingat saya tiada seorang pun pelajar kita yang terpaksa melalui perkara terbabit.

Akhir sekali, kajian yang saya lakukan dalam subjek neuropsikolinguistik, pembelajaran dan pembangunan, hubungan di antara fungsi otak, pembelajaran dan pembangunan. Subjek ini rumit. Ringkasnya, pengkaji menemui otak kita berfungsi lebih baik, lebih kreatif dan berkesan jika pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam bahasa kebangsaan sesebuah negara. Kejayaan beberapa negara Eropah termasuk Russia dan Asia Timur seperti Jepun, Korea dan China, mengesahkan perkara terbabit. Kajian intensif di Jerman menunjukkan negara itu pada abad ke-16 dan ke-17 ketinggalan dan rakyat Jerman, khususnya golongan elit menderita daripada rasa rendah diri. Bahasa pengantar ketika itu ialah Perancis yang dianggap sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa untuk membangun. Tetapi seorang pejuang bahasa kebangsaan, Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716) melancarkan kempen dan mempopularkan penemuan baru bahawa Jerman akan mudah berkembang seperti Perancis, Britain dan Russia, jika Jerman membangunkan bahasa kebangsaan dan menggunakannya sebagai alat pengajaran dan pembelajaran. Kelompok elit Jerman menerima saranan itu selepas kematian Leibniz dan teorinya terbukti benar. Malahan, ketika dalam perjalanan pulang ke lawatan rasmi ke Souchou-Shanghai akhir tahun lalu, saya terbaca rencana yang memetik Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, mengaku dasar dua bahasa dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama adalah gagal, atau beliau dinasihat secara silap, berikutan generasi muda China dan Melayu menderita rasa rendah diri dan hilang jati diri etnik dan bangga diri.

Beberapa bulan lalu, saya membaca dengan penuh minat pengumuman yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapha Muhamad, Malaysia sudah memasuki kelab berprestij 10 negara paling bersaing dalam 2010 dari kedudukan ke-18 pada tahun sebelumnya dan lebih ketinggalan sebelumnya. Terima kasih Dasar Pendidikan Kebangsaan dan profesional generasi muda yang dihasilkan negara ini sejak empat dekad lalu.

- Dr Wan Hashim Wan Teh, Fakulti Pengurusan dan Kajian Pertahanan, Universiti Nasional Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : CIKGU BERANTAKAN ?

Beban tugas guru kian mencabar

Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my

PERHUBUNGAN guru dan pelajar yang dulunya berlangsung secara harmonis, saling menghormati serta mendapat pengiktirafan masyarakat, kini semakin berantakan.

Bukan saja pelajar dilanda masalah disiplin, guru juga semakin mula menunjuk lagak dengan tindakan membelakangkan nilai kemanusiaan dan kewarasan

Dan masyarakat pula mula diasak pelbagai pertanyaan dan persoalan mengenai nilai serta kredibiliti guru.

“Adakah guru boleh mendidik?”, “Guru sudah hilang akalkah hingga sanggup mendera dan menghukum pelajar seperti haiwan?” serta pelbagai lagi persoalan yang memerlukan jawapan segera.

Malangnya, semakin banyak salah laku guru didedahkan, masih ada yang berani berterusan menongkah arus dengan mengambil jalan penyelesaian sendiri seolah-olah tragedi yang berlaku tidak mampu meninggalkan peringatan.

Persoalannya, mengapakah guru masih tidak mahu mengambil iktibar? Adakah keberanian itu kerana berasa diri kebal dengan status terhormat yang diberikan masyarakat ataupun dibelenggu faktor lain hingga menjadikan mereka bertindak tanpa kewajaran.

Bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim, berkata masyarakat seharusnya memahami guru hanya manusia biasa yang tidak lekang daripada melakukan kesilapan.

Menurutnya, status guru hanya disandang kerana seseorang terbabit dengan kerjaya berkenaan manakala secara khususnya, mereka masih seperti anggota masyarakat lain yang berdepan dengan tekanan dan cabaran.

“Apabila masyarakat menggunakan status guru dalam membuat penilaian, secara tidak langsung membabitkan keseluruhan golongan berkenaan. Dengan kata lain, kalau seorang bermasalah, semuanya seolah-olah melakukan kesalahan serupa dan patut dihukum.

“Sedangkan yang bermasalah hanya seorang dua. Hakikatnya, mereka tetap sama seperti orang lain yang melaksanakan tugasan dan tanggungjawab dengan cabaran masing-masing,” katanya.

Kebelakangan ini imej guru serta sistem pendidikan negara bagaikan tercalar teruk dengan pelbagai insiden luar jangkaan menjadikan masyarakat mula menilai dan memperkatakan profesionalisme golongan terbabit.

Jika dulu guru hanya menggunakan pendekatan rotan bagi tujuan mendidik, kini ada pula berani menggunakan kekerasan fizikal atas alasan sama. Malangnya kekerasan itu berakhir pula dengan tragedi.

Beliau berkata masyarakat boleh menyalahkan guru yang bersalah, namun perlu adil membuat penelitian terperinci sebelum menjatuhkan andaian.

Akuinya, ada guru berdepan dengan tekanan persekitaran luar biasa yang menjadi punca tindakan luar kewarasan, ditambah bebanan kerja serta sikap pelajar yang bermasalah.

“Dunia pendidikan hari ini tidak sama seperti dulu. Cabaran keterlaluan bukan saja persekitaran tapi sikap segelintir masyarakat yang bongkak serta lepas tangan menjadikan guru seperti ditindas.

“Masyarakat tidak boleh memaksa untuk memenuhi kehendak mereka secara total, malangnya berapa ramai mahu memahami? Kesudahannya apabila sentiasa ditekan dan tertekan, mereka boleh hilang pertimbangan.

“Apabila timbul isu membabitkan guru, masyarakat pula memberikan hukuman dan komen negatif sedangkan kebenaran masih belum terbukti. Ini menambah lagi beban guru yang sudah sedia terbeban,” katanya mengakui cabaran besar guru hari ini berlegar kepada matlamat untuk memuaskan hati ibu bapa dan masyarakat.

“Malangnya dalam memastikan usaha itu berjaya, banyak halangan perlu dihadapi, namun tidak semua memberi sokongan menjadikan tugas guru semakin sukar. Ditambah tekanan memenuhi standard tugasan, persekitaran, bilik darjah, keluarga dan sebagainya, guru pasti sukar ‘bernafas’.

“Jadi mengapa masyarakat tidak mahu memudahkan tugasan itu dengan bersama menggembleng usaha dan memberi ruang privasi kepada guru mencorakkan sendiri tanggungjawab? Saya percaya cara itu dapat membantu mereka lebih berdaya saing dan kurang tekanan,” katanya.

Beliau bagaimanapun akur ada guru mempunyai emosi tidak stabil, bercelaru dan memerlukan rawatan sama ada berbentuk dorongan psikologi atau perubatan.

“Masalahnya, mereka berkelakuan normal namun bahaya kepada pelajar. Guru seperti ini memerlukan pemerhatian khusus dan sekolah terutama pentadbir perlu peka kerana membabitkan soal keselamatan.

“Bagaimanapun, jangan meletakkan kesalahan atau noktah penamat terhadap perlakuan itu. Jika boleh dibantu, hulurkan bantuan ataupun merujuk kepada mereka yang lebih arif dan pakar untuk membantu,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim, berkata tekanan terhadap komitmen tugas yang perlu dilaksanakan mengikut standard tertentu memungkinkan guru bertindak di luar batasan.

Menurutnya, guru yang tidak sanggup lagi menerima tekanan boleh bertindak di luar kawalan termasuk melempiaskan kemarahan kepada pelajar tanpa disedari hingga mengakibatkan masalah lain.

“Dulu, guru boleh mencorakkan cara pengajaran sendiri tanpa perlu memberi banyak komitmen terhadap tugasan lain. Berbanding sekarang, terlampau banyak kerja remeh temeh terpaksa dilakukan termasuk tugas dokumentasi yang perlu diserahkan kepada pihak tertentu.

“Tekanan demi tekanan di samping tidak mendapat sokongan persekitaran menyebabkan segelintir guru akhirnya tertekan. Untuk menyalur atau meredakannya, mereka menzahirkan kepada golongan yang tidak mampu melawan dan kebiasaannya pelajar menjadi pilihan.

“Malangnya, ramai tidak prihatin terhadap masalah ini dan melambakkan segala tanggungjawab pada guru. Apatah lagi kebanyakan pelajar hari ini ‘tidak makan saman’ menyebabkan guru bagai terpaksa mengambil tindakan luar biasa untuk mengimbangi keadaan meskipun salah,” katanya.

Beliau berharap guru yang berasakan diri bermasalah agar dengan rela hati bertemu kaunselor atau pihak bertauliah untuk meredakan tekanan dan mencari alternatif terbaik untuk mengawal diri.

“Jika berasakan diri bermasalah, jumpa kaunselor untuk mencari penyelesaian. Tidak usah malu dan ketepikan persepsi buruk orang lain demi kebaikan diri sendiri.

“Amat malang sekali imej guru yang selama ini dihormati tercalar gara-gara masalah yang boleh diselesaikan. Dalam hal ini, masyarakat atau pelajar tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana mereka berhak untuk bersuara,” katanya.

Bapa pelajar sekolah menengah di Alor Setar, Kedah, Izir Ahmad, berkata guru yang melepaskan kemarahan kepada pelajar dianggap tidak profesional dan melanggar batas tanggungjawab diamanahkan.

“Saya akui ada pelajar hari ini sangat degil, namun sebagai guru dan orang dewasa, perlu bertindak secara matang untuk mengawal perasaan. Walaupun perasaan bersifat subjektif, namun ia boleh dibentuk dengan pemikiran positif.

“Sebagai bapa, saya juga gusar melepaskan anak ke sekolah untuk dididik oleh guru bermasalah. Bagaimanapun saya yakin hanya segelintir guru saja yang bermasalah manakala yang lain masih berdedikasi untuk mendidik pelajar menjadi cemerlang,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Nota Hujung :

Perkataan "berantakan" berasal daripada bahasa jawa yang membawa maksud keadaan yang kacau atau tidak teratur ( Kamus Dewan, edisi keempat).

ISU BAHASA : DBKL langgar dasar bahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR 19 April – Kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan undang-undang penggunaan bahasa kebangsaan di premis komersial di ibu kota bercanggah dengan dasar bahasa kebangsaan.

Setiausaha 1 Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu mematuhi dan melaksanakan setiap tindakan dengan berpegang kepada Perlembagaan Negara.

“Kerajaan tidak mengamalkan dasar pelbagai bahasa kerana Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Justeru DBKL sebagai PBT yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan dan Perlembagaan Persekutuan perlu tegas menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu termasuk dalam segala bentuk iklan, nama tempat dan bangunan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah menegur sikap DBKL yang acuh tak acuh dalam menggunakan bahasa kebangsaan apabila semakin banyak premis komersial termasuk nama kedai dan bangunan di Kuala Lumpur menggunakan bahasa Inggeris.

Perkara itu turut disokong Ahli Dewan Negara, Datuk Akbar Ali yang turut menggesa PBT itu bertindak lebih tegas terhadap penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan itu.

Dalam pada itu, tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berpendapat saranan itu tepat pada masanya memandangkan ia juga adalah luahan hati pakar-pakar bahasa yang lain.

Sambil mengucapkan terima kasih atas keprihatinan itu, Nik Safiah berkata, bukan sahaja DBKL malah semua badan berkanun yang mempunyai kuasa untuk meluluskan dan membenarkan permohonan seperti nama bangunan, nama tempat dan nama jalan perlu prihatin untuk menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/