Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Rakyat
Malaysia Sekalian,
1. Alhamdullilah, beberapa jam
lagi kita akan menyambut tahun baru 2013. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu
bersyukur kerana kita akan menyambut tahun baru ini dengan berlatarbelakangkan
pelbagai kejayaan dan pencapaian yang telah kita tempa dengan berkat usaha
bersama di sepanjang Tahun 2012.
2. Tahun 2012 telah menyaksikan
tamatnya fasa pertama Prakarsa Transformasi yang melibatkan lapangan Kerajaan,
Ekonomi dan Politik. Kesan inisiatif ini amat positif. Di peringkat
antarabangsa misalnya, angka tunjuk negara dalam pelbagai bidang telah
meningkat secara yang membanggakan. Laporan Bank Dunia, “Doing Business 2013”
misalnya, telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah berurus
niaga di dunia manakala laporan “World Competitiveness Yearbook 2012” telah
menempatkan Malaysia sebagai negara ke-14 paling berdaya saing di dunia.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi,
3. Dalam menangani cabaran yang
bakal mendatang untuk Tahun 2013, serta dalam rangka membina kejayaan yang
berterusan, kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran dari pengalaman yang
lalu. Apa yang baik dan telah terbukti berjaya perlulah kita teruskan dan tambahbaik
dengan segala kelemahan yang ada dibaiki. Sementara apa yang terbukti gagal
patut ditamatkan dan diambil teladan daripadanya. Untuk meneruskan usaha bagi
memastikan wawasan nasional Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan
tinggi akan tercapai, kita perlu membina di atas asas yang telahpun diletakkan
melalui lembayung Dasar Transformasi Nasional.
4. Bagi Tahun 2013, kita perlu
meneruskan agenda nasional bagi mengukuhkan perpaduan Kebangsaan yang merupakan
teras kelangsungan negara dengan berpandukan Falsafah 1Malaysia Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
5. Kedua, meneruskan usaha untuk
meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan sistem jaringan keselamatan sosial di
mana setiap rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan akan memperolehnya, di mana
bantuan kebajikan dan subsidi adalah disasarkan kepada yang benar-benar
memerlukan dan diperkukuhkan lagi dengan jaringan kebajikan institusi keluarga,
korporat dan keagamaan.
6. Ketiga, meningkatkan
kemakmuran negara dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, kesihatan
fiskal dan merangsang sistem pergerakan sosial yang bertunjangkan harapan, di
mana pencapaian seseorang individu hanya dihadkan oleh daya imaginasi, daya
keusahawanan dan sejauh mana kesanggupan individu berkenaan untuk bekerja
keras, di mana kreativiti, inovasi dan kesanggupan mengambil risiko akan
mendatangkan laba yang lumayan.
7. Keempat, untuk memastikan
Malaysia akan menjadi tempat terbaik untuk membina sebuah kehidupan. Tempat
terbaik untuk berkeluarga dan membesarkan anak-anak, sebuah negara yang
mempunyai masyarakat penyayang, sistem keluarga yang kukuh, kejiranan dan jalan
yang selamat dari jenayah, alam sekitar yang lestari, sekolah dan institusi
pendidikan yang berkualiti serta sistem perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan
berkemampuan.
Rakyat Malaysia Yang Dihormati,
8. Saya yakin dan percaya bahawa
fajar kejayaan akan sentiasa menyinari Malaysia dan kehidupan rakyatnya.
Insya-Allah, dengan perancangan yang rapi serta teliti, dan pelaksanaan yang
berkesan, hari ini akan lebih baik dari hari semalam dan hari esok akan menjanjikan
kemungkinan yang berterusan.
9. Marilah kita tanyakan diri
kita apakah yang mampu kita lakukan untuk menentukan apa yang kita dambakan,
apa yang kita impikan mampu tercapai. Tidak ada istilah sumbangan kecil atau
besar, yang ada hanyalah kesanggupan melakukan sesuatu. Negara memerlukan
tuan-tuan dan puan-puan. Marilah bersama-sama saya untuk menjadikan impian kita
ini suatu realiti. Berdirilah di sisi saya untuk kita bersama-sama menentukan
kejayaan, bergeraklah dan bekerjalah bersama-sama saya untuk melakar sebuah
masa depan yang terbaik, untuk negara dan anak-anak kita.
10. Saya dan Kerajaan hari ini
tidak akan mampu mengkhidmati rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa
sokongan dan dokongan padu tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Berikanlah kami
mandat yang jelas dan kami berjanji akan menggunakan kepercayaan tuan-tuan dan
puan-puan itu dengan sebaik-baiknya bagi membina sebuah Malaysia untuk semua.
Selama inipun, telah terbukti kami menepati segala janji dan komitmen yang
diberi.
Rakyat Malaysia Sekalian,
11. Masa depan negara dan
anak-anak kita adalah terlalu penting untuk dipertaruhkan mahupun untuk
dijadikan bahan eksperimen. Membina sebuah negara yang berjaya memerlukan usaha
yang berterusan dengan hala tuju yang jelas. Meruntuhkan sebuah negara pula
hanya memerlukan masa yang pendek namun kesannya berpanjangan. Di tangan
kitalah terletak keputusan bagaimana masa depan negara hendak dicorakkan, ke
mana Malaysia hendak di bawa. Bapa-bapa dan ibu-ibu pengasas negara telah
mengemudi Malaysia ke mercu jaya dengan keringat, air mata dan darah. Hari ini
tanggungjawab terletak pula di bahu kita. Sama ada Malaysia terus mara ke
hadapan atau berundur.
12. Malaysia sesungguhnya ialah
sebuah negara di mana peluang, tanggungjawab, kemakmuran dan nilai murni
dikongsi bersama oleh warga yang majmuk, dipenuhi jutaan peluang di sebalik
pelbagai kemungkinan yang terbentang. Kemungkinan itu suatu rahmat. Kemungkinan
itu asas aspirasi. Saya menyeru untuk kita bersama-sama mencorakkan dalam
merealisasikan destini Malaysia muncul sebagai sebuah kemungkinan yang terus
menyinar.
13. Akhir kata, saya mendoakan
agar Tahun 2013 ini menjanjikan kerahmatan kepada semua rakyat Malaysia.
Selamat Tahun Baru 2013.
Wabillahi Taufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sumber : http://www.pmo.gov.my/