Jumaat, 10 Februari 2012

ISU KENEGARAAN : Pemimpin sejati sentiasa prihatin bela rakyat


Oleh ROHAMI SHAFIE

RASULULLAH SAW ialah pemimpin teragung pernah dilahirkan di muka bumi ini. Baginda seorang pemimpin yang menyatukan kabilah-kabilah yang bergaduh di bawah panji Islam.

Baginda menunjukkan ciri-ciri kesatuan ummah supaya umat Islam bersatu padu sepanjang masa. Baginda diangkat sebagai pemimpin terbaik sepanjang zaman yang membela umatnya.

Rasa kasih baginda kepada umatnya tidak kira masa. Keprihatinan baginda terhadap umatnya tiada tolok bandingnya. Baginda mementingkan orang lain berbanding dirinya sendiri. Baginda tidak sesekali meninggalkan orang lain ketika kesusahan. Tidak pula hanya bercakap kosong dengan menabur pelbagai janji tetapi tidak pula ditunaikan. Jauh sekali mengaut kekayaan atas kapasitinya sebagai pemimpin terulung.

Baginda tidak meninggalkan sebarang harta kecuali al-Quran dan hadis yang menjadi sumber rujukan utama umatnya. Kepimpinan dan keperibadian baginda mencerminkan betapa indahnya itu Islam. Baginda sentiasa diingati setiap masa.

Sewajarnya, pemimpin-pemimpin di Malaysia menjadikan baginda sebagai idola pemimpin terbaik di dunia. Nasib rakyat wajib dibela. Usahlah hanya menabur pelbagai janji tetapi janji-janji tersebut hanya sekadar tinggal janji-janji manis kerana ia tidak realistik. Rakyat Malaysia memerlukan pemimpin yang sentiasa membela rakyat. Kekayaan negara diagih-agihkan dengan adil untuk rakyat. Yang kaya membantu yang miskin. Yang miskin pula bertanggungjawab untuk sentiasa mempertingkatkan taraf ekonomi mereka.

Pemimpin yang baik sentiasa memikirkan dan melaksanakan janji-janji untuk membela nasib rakyat. Tanggungjawab pemimpin amat besar sama sekali dan akan ditanya di akhirat nanti sejauh manakah beliau melaksanakan amanah dengan baik. Apabila disebut pembelaan, rakyat mahukan kehidupan yang selesa, makmur dan bahagia. Jika tidak diurus dengan baik, lihatlah apa yang terjadi di Mesir. Rakyat memberontak dan sehingga sekarang negara tersebut masih lagi bergolak. Pergaduhan sesama rakyat terbawa-bawa sehingga ke padang bola. Semuanya bermula dek kerana negara ditadbir urus mengikut hawa nafsu sendiri. Bukan untuk membela rakyat tetapi digunakan untuk kepentingan diri sendiri. Nescaya, pemimpin sebegini tidak ke mana. Lambat lalu rakyat akan memberontak.

Pemimpin yang lupa daratan akhirnya akan rebah jua. Walhal, Rasullullah SAW dengan jelasnya mengajar umatnya bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik dan disayangi rakyat. Dalam konteks negara kita Malaysia, pelbagai program pembangunan ekonomi dilaksanakan sejak dahulu lagi. Namun demikian, banyak lagi program yang melibatkan pembangunan ekonomi rakyat perlu dilaksanakan. Program-program terbaru yang melibatkan produk-produk ekonomi 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia, Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia, SARA 1Malaysia dan Baucar Buku 1Malaysia serba sedikit mampu melegakan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

Tidak kurang juga, ada cadangan menetapkan gaji minimum para pekerja sektor swasta. Semuanya untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan pada masa yang sama berusaha untuk mempertingkatkan pendapatan rakyat. Rakyat mengharapkan program-program sebegini diteruskan pada setiap masa. Manakala idea-idea terbaru untuk memperkukuhkan lagi ekonomi rakyat diketengahkan agar kualiti kehidupan rakyat dapat dipertingkatkan. Rakyat juga berharap segala bantuan diberikan bukanlah sebagai "gula-gula" menjelang pilihan. Tidak kira apa pun tindakan, ia perlu disusuli dengan keikhlasan.

Pemimpin yang baik juga tidak boleh sesekali terlalu memanjakan rakyatnya dengan memberi pelbagai bantuan yang keterlaluan. Lihatlah contoh yang berlaku di negara-negara Eropah seperti Greece dan United Kingdom (UK). Rakyatnya diberikan kemewahan yang palsu semata-mata untuk menjadikan pemimpinnya sentiasa popular dan disayangi. Rakyat tidak boleh dijanjikan bulan dan bintang. Apa yang boleh dijanjikan adalah melaksanakan sebaik mungkin untuk membela nasib ekonomi rakyat mengikut kemampuan yang ada.

Di UK, negara yang berpaksikan konsep negara berkebajikan, rakyatnya yang rajin bekerja terpaksa menyumbang sebahagian besar pendapatan melalui potongan cukai untuk "membahagiakan" rakyat yang tidak mahu bekerja. Walhal kebanyakan yang tidak mahu bekerja ini mempunyai kudrat yang secukupnya untuk bekerja. Natijahnya, rakyat yang bekerja bersungguh-sungguh berasa tidak puas hati dengan mereka yang malas bekerja meskipun mampu mengerah kudrat mereka untuk mendapatkan rezeki. Maka, ada satu yang tidak kena dengan sistem ekonomi sebegini.

Rakyat sendiri bertanggungjawab sepenuhnya untuk memajukan ekonomi dengan berusaha untuk mempertingkatkan produktiviti. Apa akan terjadi jika sekiranya produktiviti tetap sama tetapi pendapatan sentiasa ditingkatkan atas dasar kononnya itu hak para pekerja? Yakinilah, negara tersebut bakal terjerumus ke kancah krisis ekonomi dalam tempoh jangka masa panjang.

Justeru, para pemimpin perlu mencontohi Rasullullah SAW yang mengajar umatnya mengenai keadilan dan keseimbangan yang merupakan jalan terbaik dalam mengurus ekonomi rakyat dan negara. Dengan cara ini sahaja, para pemimpin akan dihormati dan disayangi oleh rakyat, manakala rakyat pula akan berasa nasib mereka terbela pada setiap masa.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Pemenang Anugerah World Press Photo 2011


JURUGAMBAR Sepanyol yang bertugas untuk The New York Times, Samuel Aranda dinobatkan pemenang anugerah World Press Photo 2011 menerusi gambar seorang wanita berpurdah mendakap seorang ahli keluarganya yang cedera ketika demonstrasi terhadap Presiden Saleh di Sanaa, Yaman. - Foto Reuters

ISU EKONOMI : 24.7 Juta Pelancong Lawat Malaysia Sepanjang 2011


KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan ketibaan 24,714,324 pelancong asing sepanjang tahun lepas, mengatasi jumlah 24,577,196 pada 2010.

Daripada jumlah itu, negara juga turut mencatatkan perolehan sebanyak RM58.3 bilion pada 2011 berbanding RM56.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, ini sejajar dengan sasaran Pelan Pelancongan Malaysia 2020 untuk mencapai 36 juta kunjungan pelancong dan perolehan pelancongan berjumlah RM168 bilion menjelang 2020.

Beliau berkata, pertumbuhan dua angka dalam ketibaan pelancong dicatatkan sebahagian besarnya dari negara jarak jauh dan sederhana seperti Kazakhstan, New Zealand, Russia, Iran, Afrika Selatan, Perancis, Myanmar, Taiwan, China dan Brunei.

"Ketibaan dari Kazakhstan melonjak sebanyak 65.9 peratus, yang dirangsang oleh penerbangan terus tiga kali seminggu oleh Air Astana dari Almaty ke Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Akaun Pelancongan Satelit (TSA) 2000-2010 di sini, Jumaat.

Dr Ng berkata, pasaran lain menunjukkan pertumbuhan yang kukuh termasuk New Zealand, naik sebanyak 23 peratus, yang meraih manfaat daripada pembukaan pejabat Tourism Malaysia di Auckland pada Mei tahun lepas.

Dr Ng berkata, ketibaan pelancong dari Rusia menyaksikan peningkatan sebanyak 21.3 peratus yang disokong oleh usaha promosi besar-besaran di negara tersebut selain penerbangan mingguan oleh Trans Aero yang bermula pada Disember.

Beliau menjelaskan sasaran ketibaan 25 juta ditetapkan bagi 2011 tidak dapat dicapai berikutan penurunan dalam ketibaan pelancong dari negara seperti Indonesia, Thailand, Jepun dan Filipina.

"Indonesia mencatatkan penurunan 14.8 peratus susulan pemansuhan yuran fiskal yang membolehkan pengembara Indonesia ke luar negara tanpa singgah di Malaysia.

"Jumlah pelancong dari Jepun berkurangan sebanyak tujuh peratus ekoran tsunami, Thailand akibat banjir dan negara Timur Tengah disebabkan gerakan Arab Spring, yang kesemuanya berlaku tahun lepas," kata Dr Ng.

Mengenai TSA 2000-2010, beliau berkata ia adalah satu set akaun berhubung industri pelancongan yang dikendalikan oleh Jabatan Statistik.

Dr Ng menambah, Malaysia adalah negara ketiga di Asean selepas Indonesia dan Filipina yang melaksanakan TSA, selain berada dalam kelompok eksklusif 39 negara yang ketika ini menggunakan TSA.

"Kementerian akan menggunakan keputusan TSA untuk memulakan dasar dan strategi pemasaran dalam menjadikan Malaysia destinasi pelancongan antarabangsa terulung," katanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Mengapa Melayu semakin layu?


Oleh : Dr. Sidek Baba

Isu Melayu dibicarakan sejak sebelum merdeka lagi. Munshi Abdullah dalam tulisan dan tanggapannya menyatakan orang Melayu ini malas, suka berlipur lara, suka membuang masa dan gemar bercinta. Pendeta Zaaba sering membicarakan isu Melayu dalam tulisan dan pemikirannya.

Selepas merdeka Datuk Senu Ab Rahman dalam buku Revolusi Mental mengupas masalah orang Melayu yang perlu berubah. Tun Mahathir dalam bukunya Dilema Melayu juga memberi analisis tentang orang-orang Melayu dan pada akhir kepimpinan sebagai perdana menteri, Tun Mahathir menyebut “Melayu mudah lupa“.

Ada dua ekstrem dilalui oleh orang Melayu sejak merdeka. Kemerdekaan yang diperjuangkan menyebabkan orang Melayu bersatu dan banyak pengorbanan dilakukan atas nama ingin merdeka. Ekstrem kedua ialah kelompok agamawan yang mengambil pendekatan tradisional dalam memahami maksud beragama, cuba terjemahkannya dalam sistem melalui syarah dan retorika serta amat sedikit menghasilkan Islam dalam bentuk model alternatif. Umat Islam masih menjadi pengguna setia terhadap produk Barat baik dalam ilmu, budaya hidup, sistem, ekonomi dan teknologi.

Ibn Khaldun dalam Cyclical Theorynya mengenai turun-naik tamadun menyatakan proses perubahan sering mengalami suatu puncak yang membawa kepada kemerosotan nilai tamadun dan menyebabkan kedatangan tamadun baru yang lain. Akibat proses mengisi kemerdekaan yang tidak sepenuhnya diisi berpandukan etika dan nilai, menyebabkan ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan terjadi. Ia menyebabkan elemen tidak puas hati dan penentangan berlaku. Bila kesedaran keagamaan meningkat dan dalam masa sama faham liberal dan sekularisme tidak banyak berubah, menyebabkan konflik antara kelompok terjadi.

Telah sekian lama orang-orang Melayu dibelenggu mentaliti subsidi. Hak istimewa sepatutnya memberi dorongan untuk Melayu maju dan berdaya saing, tetapi hilang kreativiti dan tidak mampu berdaya saing dengan orang yang tidak ada hak istimewa. Lalu ekuiti orang Melayu masih belum mampu melepasi paras 20 peratus.

Walaupun dasar hak istimewa ini melahirkan ramai kelompok menengah Melayu, tidak ramai bersyukur dan bantu pula orang lain untuk maju dalam bisnes. Hasad dengki masih menjadi amalan orang-orang Melayu.

Akibat proses perubahan sosial yang terdorong atas asas kebendaan dan kenafsian, lahirlah generasi muda yang hilang pedoman atau berlagak ekstrem. Isu kerosakan moral, salah guna dadah, buang bayi, kadar perceraian tinggi, merempit, memiliki emosi penentangan dan anti status-quo yang relatif tinggi adalah faktor Melayu semakin layu.

Berfikir simplistik, membina persepsi negatif terhadap orang lain, kurang berusaha dan tiada daya kompetensi, berlagak kebendaan dan mementingkan diri sendiri, sikap ambil mudah dan rasa secukup hidup, terlalu sukakan hiburan dan diulit emosi serta diri dengan cerita-cerita seram, tahyul dan hantu adalah antara hal-hal negatif yang membawa kemunduran berfikir dan bertindak orang-orang Melayu. Ia tidak membawa kepada ketinggian akal budi insan dan jauh lagi untuk membina peradaban.

Oleh itu orang Melayu perlu melalui proses tajdid atau transformasi di segenap peringkat. Ia harus bermula pada tahap keluarga supaya pendidikan anak-anak berlaku dalam fitrahnya. Membenarkan keciciran berlaku dalam keluarga menyebabkan anak-anak bakal cicir di sekolah dan dalam masyarakat. Tahap awal persekolahan pendidikan adab dan etika harus dijadikan keutamaan.

Hari ini banyak masa dan belanja terbuang kerana di satu pihak ingin menyuburkan kebaikan dalam masyarakat dan sistem tetapi dalam masa sama ketidakbaikan juga subur dan menyebabkan generasi muda menjadi celaru dan keliru. Keadaan sebegini menyukarkan pembentukan jati diri generasi muda. Kita sering bercakap tentang natijah akhir (the end result) tetapi kurang merenung akar-sebab (the root causes).

Faktor Islam dalam pendekatan wasatiah atau sederhana perlu dijadikan agenda dalam proses pembangunan dan perubahan. Globalisasi yang datang sedang mengukuhkan faham kapitalisme baru, faham liberal dan neo-liberalisme yang cuba menafikan peranan agama sebagai sumber pedoman dalam kehidupan.

Pendekatan wasatiah bukan bermakna kita menolak prinsip-prinsip yang Islami. Pendekatan berimbang ini amat sesuai menghadapi realiti kini. Ia menuntut sikap kreatif dan proaktif umat Melayu memikir, mengolah dengan bijaksana supaya perubahan terjadi di segenap tahap tetapi sifatnya patuh-syariah (syariah compliance) tetap dijadikan pedoman.

Ia akan terjadi sekiranya orang-orang Melayu terbentuk dalam acuan modal insan integratif. Sikap dan mentaliti orang-orang Melayu harus dibentuk dengan acuan integratif dan Islami. Maka barulah tasawwur atau pandangan semesta orang-orang Melayu akan berubah.

Jika ia terjadi, bakal berlaku perubahan sosial (social engineering) yang sifat menyumbang terhadap kepimpinan dan kepengikutan. Umat Melayu harus reflektif terhadap tamadun Islam, bukannya nostalgik terhadap sebahagian budaya Melayu yang mengekalkan budaya primitif yang menjadikan kita mundur.

Sumber : http : //www.sinar.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Jawatankuasa khas kaji kemerosotan minat jurusan sains


IPOH 9 Feb. - Satu jawatankuasa khas ditubuh bagi mengkaji punca serta penyelesaian kepada masalah kemerosotan minat pelajar untuk mengambil jurusan sains dan matematik di sekolah.

Arahan penubuhan jawatankuasa itu dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pelajaran semalam.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, jawatankuasa khas itu diminta mengkaji secara menyeluruh termasuk memikirkan langkah bagi mencapai sasaran 60 peratus pelajar sains dan 40 peratus sastera.

Kementerian memandang serius isu kemerosotan minat pelajar dalam bidang sains dan matematik iaitu hanya 37 peratus dalam bidang sains dan 29 peratus sahaja bagi sains tulen, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Rapat 1Malaysia bertemakan ”Transformasi Pendidikan” di sini hari ini.

Beliau berkata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud diberi tanggungjawab berhubung penubuhan jawatankuasa berkenaan yang akan menyiapkan laporan terperinci mengenai perkara itu. — BERNAMA