Rabu, 6 Mac 2013

ISU PENCEROBOHAN BERSENJATA DI SABAH : Jamalul Kiram III Bukan Sultan Sulu Sebenar?

Jamalul Kiram III

KUALA LUMPUR : Jamalul Kiram III, yang mengaku sebagai Sultan Sulu dan pengikutnya menceroboh Sabah serta membunuh anggota polis Malaysia, tidak boleh menuntut gelaran yang sudah tidak wujud lagi itu, kata sumber yang tahu dengan mendalam sejarah dan salasilah keluarga berkenaan.

Oleh itu, katanya, Jamalul Kiram 111 tidak berhak mengaku sebagai waris kepada sultan Sulu terakhir, Jamalul Kiram II, yang mangkat pada 1936.

Sumber itu seterusnya menjelaskan bahawa Jamalul Kiram III bukan merupakan keturunanan kepada sembilan "waris sah" Jamalul Kiram II, seperti yang tercatat dalam "Penghakiman Macaskie" pada 1939 untuk melayakkannya menerima bayaran bagi penyerahan wilayah Sabah, yang ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara, kepada British North Borneo Company (BNBC).

Sumber berkenaan, yang amat mengenali anggota kerabat diraja kesultanan Sulu serta begitu memahami sejarahnya, berkata mengikut salasilah keluarga, walaupun Jamalul Kiram III merupakan kerabat diraja, beliau bukan berketurunan waris utama yang berhak menerima bayaran penyerahan wilayah berkenaan.

"Apabila Jamalul Kiram II mangkat pada 1936, baginda tidak meninggalkan waris takhta secara langsung dan dengan itu, BNBC berhenti daripada membuat bayaran bagi penyerahan wilayah. Berikutan itu, sembilan waris berkenaan secara berkumpulan membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai pihak yang berhak menerima bayaran tahunan itu," kata sumber berkenaan.

Pada 1939, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Hakim Macaskie, membuat keputuan yang menyebelahi waris berkenaan dan dengan itu, bayaran tahunan itu disambung semula. Kerajaan Malaysia meneruskan bayaran itu berikutan penubuhan persekutuan Malaysia.

Pada 2011, keturunan sembilan waris utama Jamalul Kiram II memperoleh perintah sebuah mahkamah Sulu yang mengiktiraf mereka sebagai keturunan  secara langsung kepada sembilan waris berkenaan.

Generasi kedua waris ini ialah Dayang-Dayang Piandao Taj-Mahal Kiram-Tarsum Nuqui, Putli Nurhima Kiram-Forman, Siti Ayesha K.H Sampang, Sulatan Fuad A. Kiram, Dayang-Dayang Sheramar T. Kiram, Puteri Permaisuri Kiram Guerson dan Sitti Jenny K.A Sampang.

"Oleh itu, beliau (Jamalul Kiram III) tidak boleh mendakwa sebagai waris atau keturunan kepada mana-mana sembilan waris utama itu," kata sumber berkenaan. - BERNAMA

ISU PENCEROBOHAN BERSENJATA DI SABAH : Jangan iktiraf Kesultanan Sulu lagi


Oleh : REJAL ARBEE

AKHIRNYA setelah lapan anggota polis termasuk beberapa pegawai kanan terkorban barulah tentera dibenarkan untuk mengakhiri pencerobohan gerombolan yang mendakwa mereka sebagai anggota tentera Kesultanan Sulu.

Ramai mengharapkan dengan tindakan terakhir ini pencerobohan yang jelas menggugat kedaulatan negara itu dapat dihapuskan. Tindakan yang ditunggu-tunggu ini melegakan perasaan orang awam, khususnya di kawasan berhampiran pantai timur Sabah seperti Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Sandakan yang berhadapan beberapa kilometer sahaja dari kepulauan Tawi-tawi dan Sulu.

Gerombolan tersebut mula menceboroh negara ini di Kampung Tanduo dalam Felda Sahabat, Lahad Datu sejak 11 Februari, menggugat bukan sahaja keselamatan rakyat tempatan, tetapi lebih serius ceroboh kedaulatan negara ini.

Mulanya mereka tidak ramai tetapi bertambah kepada lebih 200 orang yang semuanya datang dari beberapa kepulauan Filipina berdekatan pantai itu.

Tidak pula diketahui apakah tambahan anggota itu hanya dari Simunul dan Jolo atau terdiri daripada orang Filipina yang sudah pun berada di kawasan timur Sabah.

Inilah yang menggelisahkan rakyat tempatan kerana ramai tidak mengetahui siapa mereka itu sebenarnya memandangkan ramai rakyat Filipina dari kawasan sama seperti Tawi-Tawi dan Sulu sudah pun menetap di Sabah, malah ada yang sudah pun mempunyai Kad Pengenalan Malaysia.

Jika tidak ditangani dengan baik ia mungkin akan lebih rumit dan berpanjangan yang mengingatkan kita kepada pertempuran bertahun-tahun antara puak pemisah Moro dengan tentera Filipina.

Bagaimanapun kenyataan beberapa pihak yang berasal dari daerah Filipina itu seperti orang Suluk dan Cocos yang membantah pencerobohan dan menyokong sebarang tindakan pasukan keselamatan untuk memulihkan keadaan amat melegakan dan dialu-alukan.

Namun timbul persoalan bagaimana ia boleh berlaku, bagaimana pihak berkuasa mulanya tidak memandang pencerobohan itu sebagai serius.Alih-alih jumlah mereka sudah lebih 200 orang walaupun kepungan telah dilakukan di sekeliling Kampung Tanduo. Mereka boleh pula menembak dengan roket. Dari mana mereka peroleh senjata itu?

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, mereka ini semuanya adalah pertempur veteran (combat veteran) selain mempunyai taktik serangan gerila yang baik, bukannya orang biasa yang tidak pernah mengangkat senjata.

Mulanya pihak polis berkata mereka ini masuk sebagai nelayan. Persoalannya kalau nelayan apakah pihak imigresen atau kastam tidak perlu memeriksa mereka? Boleh pula membawa roket dan pelancarnya?

Nampaknya perjalanan ulang-alik tanpa sebarang sekatan adalah perkara biasa di perairan di situ selama ini dan tentunya laluan itu begitu mudah dibolosi serta dimasuki sesiapa saja walaupun tidak mempunyai sijil perjalanan sah?

Hanya apabila berlaku pertempuran dan anggota polis terkorban barulah nampak ada sedikit kesungguhan untuk mengepung dan menghapuskan gerombolan mencemaskan itu.

Dikatakan kita mahu berunding supaya tidak berlaku pertumpahan darah. Memang niat kita baik tetapi kita tidak mempunyai maklumat yang betul mengenai gerombolan itu.

Dari awal lagi mereka ini dengan mendapat arahan daripada orang yang menggelar dirinya sebagai waris sebenar kesultanan itu tidak mahu berkompromi daripada desakan tidak masuk akalnya mahu mengambil kawasan yang didakwa menjadi milik kesultanan itu.

Semua ini mungkin salah kita juga apabila mengiktiraf orang ini sebagai waris kesultanan - mula memberi sagu hati kepadanya sejak zaman Tunku Abdul Rahman dahulu ketika Malaysia hendak ditubuhkan pada September 1963.

Sebenarnya sudah tiba masa kita membatalkan saja pemberian sagu hati itu yang seolah-olah memberi pengiktirafan bahawa beliau adalah waris sebenar Kesultanan Sulu walhal masih terdapat beberapa lagi waris kesultanan itu yang mendakwa mereka adalah waris sebenarnya.

Kita sepatutnya mengikut apa yang dilakukan kerajaan Filipina yang tidak langsung mengiktiraf kesultanan itu lagi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU AGAMA : Kolej Universiti Al-Quran: Suatu komitmen


Oleh : PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai persetujuan kerajaan menubuhkan Kolej Universiti Al-Quran Malaysia dalam Perhimpunan Ulama-umara dan Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil semalam adalah sesuatu yang sangat disyukuri. Ia merupakan satu lagi komitmen kerajaan terhadap pengembangan institusi pendidikan Islam di negara ini.

Usaha pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak lama dan doa para huffaz, ibu bapa dan masyarakat sekian lama akhirnya menjadi kenyataan. Ia memberi makna yang besar kepada ibu bapa yang banyak menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat Tahfizul Quran di seluruh negara supaya saluran peningkatan pengajian mereka dalam disiplin ilmu yang lebih luas tercapai.

Memang suatu kecenderungan baru dalam kalangan ibu bapa menghantar anak-anak mereka di sekolah-sekolah tahfiz sama ada yang dikendalikan oleh pihak kerajaan, Jabatan Agama Negeri atau pihak persendirian.

Isu yang selalu dibangkitkan ialah ke mana saluran peningkatan pengajian boleh berlaku sekiranya tidak terdapat pengkhususan di peringkat lebih tinggi supaya sistem pendidikan Islam menjadi lebih komprehensif.

Proses pendidikan al-Quran bukan sekadar menumpu kepada proses hafazan semata- mata. Ia menuntut para pelajar mendalami bidang qiraati, taranum dan tafasir supaya maksud dalam al-Quran itu difahami. Ilmu dalam al-Quran tidak hanya terbatas dalam bidang akidah, ibadah, syariah, feqah dan akhlak tetapi ia merentasi ilmu-ilmu sains dan teknologi dan mampu menghasilkan profesional dan teknokrat yang Islami.

Penubuhan Kolej Universiti Al-Quran Malaysia ini menjadi titik-tolak yang besar maknanya kepada pendidikan Islam di negara ini. Fokus pengajiannya tidak saja memberi keutamaan kepada al-Quran dan as-Sunnah dijadikan sebagai sumber ilmu dalam pelbagai disiplin yang disebut sebagai Ilmu Diniah (agama) tetapi juga memberi tumpuan kepada ilmu-ilmu insaniah (ilmu kemanusiaan) dan ilmu yang menyangkut tentang hal-hal sains dan teknologi.

Pelajar yang menumpukan pengajian mereka dalam bidang diniah boleh mengkhusus dalam sesuatu subjek supaya pengkhususan mereka dalam bidang tafsir umpamanya menghasilkan ahli tafsir yang boleh mengembangkan ilmu al-Quran menjadi sumber rujukan ilmu-ilmu yang lain.

Pelajar yang menumpukan pengajian mereka dalam bidang insaniah di samping fokusnya kepada ilmu-ilmu al-Quran boleh mengkhusus dalam bidang falsafah, sejarah, psikologi, antropologi dan sosiologi Islam umpamanya supaya akhirnya epistemologi ilmu yang terbina mengambil kira acuan yang Islami.

Hal yang sama terhubung kepada pelajar-pelajar yang mengambil bidang sains, teknologi dan bidang profesional yang lain. Oleh sebab kekuatan kefahaman al-Quran sebagai asas bidang sains dan teknologi bakal berkembang dengan nilai guna yang baik supaya kepakaran dan keahlian dipandu oleh etika yang tinggi dan nilai yang murni.

PROGRAM PENSIJILAN AL-QURAN

Pengalaman Darul Quran di Kuala Kubu Baru sejak lebih satu dekad yang lalu memulakan program Pensijilan Bersama 18 bulan bersama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menghasilkan hampir 1,000 orang huffaz yang akhirnya menjurus bidang perubatan, farmasi, pergigian, sains, kejuruteraan, seni bina dan lain-lain.

Program ini mengisi keperluan integrasi ilmu dalam kalangan generasi muda iaitu dengan menjadi huffaz, memberi perhatian kepada penguasaan bahasa Arab dan Inggeris membolehkan graduan ini meningkatkan ilmunya pada masa depan dalam bidang penjurusannya.

Lahirnya Kolej Universiti Al-Quran ini bakal meluaskan lagi peluang para pelajar tidak saja memasuki Ijazah Pertama dalam bidang masing-masing tetapi juga boleh meningkatkan lagi pengajian mereka di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

Bayangkan kalau ia terjadi di mana proses integrasi dan Islamisasi ilmu berjalan, ia bakal melahirkan jenis modal insan yang tidak saja memiliki kekuatan diniah dan rohaniah sekali gus tetapi memiliki penjurusan dan kemahiran tertentu yang penting untuk pembangunan negara dan umat.

Asas bagi ketampilan tamadun Islam tidak sekadar ilmu-ilmu diniah sebagai asas dan tapak tetapi ia memerlukan ilmu-ilmu kepakaran dan ketamadunan yang mampu menyumbang ke arah pendidikan yang lebih menyeluruh.

AGENDA ISLAM UNTUK HARI DEPAN

Salah satu kelemahan umat Islam masa lalu ialah fokus pengajiannya lebih banyak menumpu ke arah bidang diniah atau agama. Ia tidaklah salah. Memahami Islam sebagai 'Suatu Sistem Kepercayaan' dan memahami Islam sebagai 'Suatu Cara Hidup' perlu wujud integrasi ilmu supaya 'Ilmu Mengurus Diri' dan 'Ilmu Mengurus Sistem' berjalan secara seimbang.

Integrasi ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana masalah dualisme yang berlaku sekian lama menyebabkan jenis modal insan yang dilahirkan oleh sistem tidak memiliki binaan tasawwur atau world - view yang seimbang. Integrasi dan Islamisasi ilmu-ilmu diniah dengan ilmu-ilmu ketamadunan akan memberi perspektif yang lebih bermakna terhadap perubahan dan kemajuan.

Negara Islam memerlukan model seperti ini. Kita tidak mahu jenis pelajar yang memiliki produktiviti rohaniahnya tinggi tetapi produktiviti amaliah relatif rendah.

Kita memerlukan ilmuwan dan tenaga profesional yang mampu berfikir strategik dan mampu merancang dengan bijak supaya antara idealisme yang dibina, memahami realiti yang ada menyebabkan kaedah melaksana terjadi dengan penuh hemah dan berkesan.

Tradisi pendidikan Islam dan al-Quran mengambil kira lima faktor penting dalam proses pengajaran dan pembelajarannya.

Pertama kaedah hafazan yang menghubungkan al-Quran dan upaya pengingatan manusia. Yang diingati secara harfiah itu adalah kalimah-kalimah Allah yang terdapat elemen Rabbani di dalamnya. Setiap kalimah daripada al-Quran yang dibaca ada pahalanya apa lagi kalau dibaca dan diingati seluruh al-Quran tentu fadhilatnya besar.

Kedua, hafazan menuntut kefahaman. Menjadikan Islam sebagai huddan linnas dan huddan lil muttaqeen - petunjuk kepada manusia dan petunjuk kepada yang bertakwa pendidikan al-Quran memerlukan kefahaman.

Kefahaman terhadap makna menerusi proses tafasir dan kefahaman terhadap isi yang sifatnya multidimensi. Kefahaman terhadap al-Quran menjadi sumber penting berkembangnya ilmu. Ilmu adalah suluh dan daripadanya lahirnya hikmah yang memperlihatkan kebesaran Allah.

Ketiga pendekatan berfikir hasil daripada hafazan dan kefahaman. Berfikir adalah sesuatu yang anjurkan oleh al-Quran. Al-Quran mencabar manusia tentang pentingnya akal - afala ya'qiluun, mencabar tentang berfikir secara mendalam - afala ya tafaqqaruun dan mencabar manusia mengenai upaya kajian dan penelitiannya - afala ya tadabbaruun. Kemahiran berfikir adalah sesuatu yang sangat penting dalam proses pembelajaran.

Keempat ialah proses penyerapan iaitu proses internalisasi. Ilmu yang benar daripada al-Quran dijana oleh akal kemudian disaring oleh hati dan kalbu supaya nilai-nilai yang fitrah terbina ke dalam diri. Daripadanya lahir nilai-nilai yang baik seperti amanah, adil, ikhlas, dan tulus menghubungkan ilmu dan juga nilai melalui proses penyerapan yang fitrah sifatnya.

Kelima ialah proses amali atau manifestasi. Kehebatan kalimah-kalimah Allah yang diingati dan menghubungkan akal dan kalbu menyebabkan berlakunya proses penyerapan yang baik dan akhirnya diterjemahkan dalam bentuk amal.

Amal Islami adalah sesuatu yang amat penting bagi diri orang Islam kerana ilmu tanpa amal, umat ketiadaan contoh dan teladan. Amal tanpa panduan nilai-nilai Qurani yang murni bakal membimbing manusia ke jalan yang tidak ada barakah.

Oleh itu ketampilan Kolej Universiti Al-Quran menyambung program Darul Quran yang sedang berjalan bakal meletakkan pendidikan al-Quran ke tahap yang lebih tinggi dan bakal menyumbang kepada negara dan binaan tamadun.

Ia adalah sesuatu yang bermakna bagi masyarakat Islam di Malaysia kerana universiti yang bakal lahir ini diharapkan dapat menjawab persoalan pendidikan Islam yang sebenarnya supaya para huffaz yang bakal lahir, dirinya bakal memiliki ilmu-ilmu berbanding dalam pelbagai bidang dan dalam masa yang sama sifatnya menyumbang ke arah pembangunan negara berasaskan acuan yang jauh lebih integratif dan Islamik.

Penulis ialah Ahli Lembaga Darul Quran Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Duduk lama undang bahaya


LONDON 4 Mac - Adakah anda duduk dengan selesa? Lebih baik jangan, kerana bukti perubatan mendapati duduk terlalu selesa boleh mengurangkan jangka hayat anda.

Kerusi yang boleh meletak tangan, kerusi pejabat dan sofa sebenarnya boleh mengundang bahaya.

Duduk yang lama di kerusi berkenaan boleh meningkatkan bahaya kerana ia dikaitkan dengan beberapa wabak moden yang bertoksik daripada kanser, sakit jantung dan tekanan darah tinggi sehinggalah kepada angin ahmar.

Minggu lalu, penyelidik dari Universiti Leicester dekat sini melaporkan, masa yang dihabiskan dengan duduk dipercayai akan meningkatkan risiko.

Katanya, perbuatan itu menyebabkan tubuh manusia mengumpulkan paras tertinggi gula dan lemak berbahaya di dalam aliran darah anda, sekali gus meningkatkan risiko diabetes tahap dua.

Kerusi nampaknya seperti calon ganjil untuk termasuk dalam senarai gaya hidup berbahaya seperti minuman keras, rokok dan dadah.

Orang ramai kini didapati menghabiskan masa sehingga 10 jam sehari untuk duduk sama ada di tempat kerja mahupun menonton televisyen, berbeza dengan apa yang berlaku sebelum zaman pertengahan Eropah dengan perbuatan itu sering dikaitkan kepada aktiviti golongan bangsawan.

Satu lagi penyelidikan pada bulan lalu oleh University of Western Sydney ke atas lebih 60,000 lelaki pertengahan umur mendapati mereka yang duduk lebih dari empat jam sehari cenderung untuk mengalami penyakit kronik seperti barah, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi,

Ketua Penyelidik, Emma George berkata, kadar penyakit kronik yang dilaporkan oleh responden meningkat semakin banyak dengan masa duduk yang semakin panjang.

Mereka yang duduk lebih 11 jam sehari akan meningkatkan risiko sebanyak 40 peratus untuk mati dalam masa tiga tahun akan datang berbanding yang duduk selama empat jam sehari. - AGENSI

Slim masih kekal manusia terkaya di dunia


NEW YORK - Bilionair dari Mexico, Carlos Slim yang merupakan taikun telekomunikasi America Movil dan pemilik kumpulan Grupo Carso mengekalkan kedudukan individu terkaya untuk tahun keempat berturut-turut dengan jumlah kekayaan dianggarkan bernilai AS$73 bilion (RM226.48 bilion).

Kekayaannya meningkat AS$4 bilion (RM12.4 bilion) berbanding pada tahun lepas.

Pengasas Microsoft Corporation, Bill Gates dari Amerika Syarikat menduduki tempat kedua diikuti pemilik rangkaian pakaian jenama Zara, Amancio Ortega dari Sepanyol.

Senarai kekayaan itu dikeluarkan majalah Forbes kelmarin.

Gates yang menduduki tempat kedua mempunyai anggaran kekayaan sebanyak AS$67 bilion (RM207.8 bilion) iaitu meningkat sebanyak AS$6 bilion (RM18.6 bilion) berbanding tahun 2012.

Ortega pula berjaya melonjak ke tempat ketiga dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$57 bilion (RM176.8 bilion).

Slim and Gates mengekalkan kedudukan nombor satu dan dua sebagai individu terkaya di dunia sama seperti pada tahun lepas.

Senarai individu terkaya di dunia kini meningkat kepada 1,426 orang termasuk 210 muka baharu.

Terdapat juga peningkatan ketara jumlah bilionair wanita yang kini berjumlah seramai 138 orang berbanding tahun lepas yang mencatatkan jumlah 104 orang.

Individu terkaya di Asia masih milik Li Ka-Shing dari Hong Kong dengan jumlah kekayaan dianggarkan bernilai AS$31 bilion (RM96.1 bilion). - AFP