Rabu, 6 Mac 2013

ISU AGAMA : Kolej Universiti Al-Quran: Suatu komitmen


Oleh : PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai persetujuan kerajaan menubuhkan Kolej Universiti Al-Quran Malaysia dalam Perhimpunan Ulama-umara dan Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil semalam adalah sesuatu yang sangat disyukuri. Ia merupakan satu lagi komitmen kerajaan terhadap pengembangan institusi pendidikan Islam di negara ini.

Usaha pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak lama dan doa para huffaz, ibu bapa dan masyarakat sekian lama akhirnya menjadi kenyataan. Ia memberi makna yang besar kepada ibu bapa yang banyak menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat Tahfizul Quran di seluruh negara supaya saluran peningkatan pengajian mereka dalam disiplin ilmu yang lebih luas tercapai.

Memang suatu kecenderungan baru dalam kalangan ibu bapa menghantar anak-anak mereka di sekolah-sekolah tahfiz sama ada yang dikendalikan oleh pihak kerajaan, Jabatan Agama Negeri atau pihak persendirian.

Isu yang selalu dibangkitkan ialah ke mana saluran peningkatan pengajian boleh berlaku sekiranya tidak terdapat pengkhususan di peringkat lebih tinggi supaya sistem pendidikan Islam menjadi lebih komprehensif.

Proses pendidikan al-Quran bukan sekadar menumpu kepada proses hafazan semata- mata. Ia menuntut para pelajar mendalami bidang qiraati, taranum dan tafasir supaya maksud dalam al-Quran itu difahami. Ilmu dalam al-Quran tidak hanya terbatas dalam bidang akidah, ibadah, syariah, feqah dan akhlak tetapi ia merentasi ilmu-ilmu sains dan teknologi dan mampu menghasilkan profesional dan teknokrat yang Islami.

Penubuhan Kolej Universiti Al-Quran Malaysia ini menjadi titik-tolak yang besar maknanya kepada pendidikan Islam di negara ini. Fokus pengajiannya tidak saja memberi keutamaan kepada al-Quran dan as-Sunnah dijadikan sebagai sumber ilmu dalam pelbagai disiplin yang disebut sebagai Ilmu Diniah (agama) tetapi juga memberi tumpuan kepada ilmu-ilmu insaniah (ilmu kemanusiaan) dan ilmu yang menyangkut tentang hal-hal sains dan teknologi.

Pelajar yang menumpukan pengajian mereka dalam bidang diniah boleh mengkhusus dalam sesuatu subjek supaya pengkhususan mereka dalam bidang tafsir umpamanya menghasilkan ahli tafsir yang boleh mengembangkan ilmu al-Quran menjadi sumber rujukan ilmu-ilmu yang lain.

Pelajar yang menumpukan pengajian mereka dalam bidang insaniah di samping fokusnya kepada ilmu-ilmu al-Quran boleh mengkhusus dalam bidang falsafah, sejarah, psikologi, antropologi dan sosiologi Islam umpamanya supaya akhirnya epistemologi ilmu yang terbina mengambil kira acuan yang Islami.

Hal yang sama terhubung kepada pelajar-pelajar yang mengambil bidang sains, teknologi dan bidang profesional yang lain. Oleh sebab kekuatan kefahaman al-Quran sebagai asas bidang sains dan teknologi bakal berkembang dengan nilai guna yang baik supaya kepakaran dan keahlian dipandu oleh etika yang tinggi dan nilai yang murni.

PROGRAM PENSIJILAN AL-QURAN

Pengalaman Darul Quran di Kuala Kubu Baru sejak lebih satu dekad yang lalu memulakan program Pensijilan Bersama 18 bulan bersama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menghasilkan hampir 1,000 orang huffaz yang akhirnya menjurus bidang perubatan, farmasi, pergigian, sains, kejuruteraan, seni bina dan lain-lain.

Program ini mengisi keperluan integrasi ilmu dalam kalangan generasi muda iaitu dengan menjadi huffaz, memberi perhatian kepada penguasaan bahasa Arab dan Inggeris membolehkan graduan ini meningkatkan ilmunya pada masa depan dalam bidang penjurusannya.

Lahirnya Kolej Universiti Al-Quran ini bakal meluaskan lagi peluang para pelajar tidak saja memasuki Ijazah Pertama dalam bidang masing-masing tetapi juga boleh meningkatkan lagi pengajian mereka di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

Bayangkan kalau ia terjadi di mana proses integrasi dan Islamisasi ilmu berjalan, ia bakal melahirkan jenis modal insan yang tidak saja memiliki kekuatan diniah dan rohaniah sekali gus tetapi memiliki penjurusan dan kemahiran tertentu yang penting untuk pembangunan negara dan umat.

Asas bagi ketampilan tamadun Islam tidak sekadar ilmu-ilmu diniah sebagai asas dan tapak tetapi ia memerlukan ilmu-ilmu kepakaran dan ketamadunan yang mampu menyumbang ke arah pendidikan yang lebih menyeluruh.

AGENDA ISLAM UNTUK HARI DEPAN

Salah satu kelemahan umat Islam masa lalu ialah fokus pengajiannya lebih banyak menumpu ke arah bidang diniah atau agama. Ia tidaklah salah. Memahami Islam sebagai 'Suatu Sistem Kepercayaan' dan memahami Islam sebagai 'Suatu Cara Hidup' perlu wujud integrasi ilmu supaya 'Ilmu Mengurus Diri' dan 'Ilmu Mengurus Sistem' berjalan secara seimbang.

Integrasi ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana masalah dualisme yang berlaku sekian lama menyebabkan jenis modal insan yang dilahirkan oleh sistem tidak memiliki binaan tasawwur atau world - view yang seimbang. Integrasi dan Islamisasi ilmu-ilmu diniah dengan ilmu-ilmu ketamadunan akan memberi perspektif yang lebih bermakna terhadap perubahan dan kemajuan.

Negara Islam memerlukan model seperti ini. Kita tidak mahu jenis pelajar yang memiliki produktiviti rohaniahnya tinggi tetapi produktiviti amaliah relatif rendah.

Kita memerlukan ilmuwan dan tenaga profesional yang mampu berfikir strategik dan mampu merancang dengan bijak supaya antara idealisme yang dibina, memahami realiti yang ada menyebabkan kaedah melaksana terjadi dengan penuh hemah dan berkesan.

Tradisi pendidikan Islam dan al-Quran mengambil kira lima faktor penting dalam proses pengajaran dan pembelajarannya.

Pertama kaedah hafazan yang menghubungkan al-Quran dan upaya pengingatan manusia. Yang diingati secara harfiah itu adalah kalimah-kalimah Allah yang terdapat elemen Rabbani di dalamnya. Setiap kalimah daripada al-Quran yang dibaca ada pahalanya apa lagi kalau dibaca dan diingati seluruh al-Quran tentu fadhilatnya besar.

Kedua, hafazan menuntut kefahaman. Menjadikan Islam sebagai huddan linnas dan huddan lil muttaqeen - petunjuk kepada manusia dan petunjuk kepada yang bertakwa pendidikan al-Quran memerlukan kefahaman.

Kefahaman terhadap makna menerusi proses tafasir dan kefahaman terhadap isi yang sifatnya multidimensi. Kefahaman terhadap al-Quran menjadi sumber penting berkembangnya ilmu. Ilmu adalah suluh dan daripadanya lahirnya hikmah yang memperlihatkan kebesaran Allah.

Ketiga pendekatan berfikir hasil daripada hafazan dan kefahaman. Berfikir adalah sesuatu yang anjurkan oleh al-Quran. Al-Quran mencabar manusia tentang pentingnya akal - afala ya'qiluun, mencabar tentang berfikir secara mendalam - afala ya tafaqqaruun dan mencabar manusia mengenai upaya kajian dan penelitiannya - afala ya tadabbaruun. Kemahiran berfikir adalah sesuatu yang sangat penting dalam proses pembelajaran.

Keempat ialah proses penyerapan iaitu proses internalisasi. Ilmu yang benar daripada al-Quran dijana oleh akal kemudian disaring oleh hati dan kalbu supaya nilai-nilai yang fitrah terbina ke dalam diri. Daripadanya lahir nilai-nilai yang baik seperti amanah, adil, ikhlas, dan tulus menghubungkan ilmu dan juga nilai melalui proses penyerapan yang fitrah sifatnya.

Kelima ialah proses amali atau manifestasi. Kehebatan kalimah-kalimah Allah yang diingati dan menghubungkan akal dan kalbu menyebabkan berlakunya proses penyerapan yang baik dan akhirnya diterjemahkan dalam bentuk amal.

Amal Islami adalah sesuatu yang amat penting bagi diri orang Islam kerana ilmu tanpa amal, umat ketiadaan contoh dan teladan. Amal tanpa panduan nilai-nilai Qurani yang murni bakal membimbing manusia ke jalan yang tidak ada barakah.

Oleh itu ketampilan Kolej Universiti Al-Quran menyambung program Darul Quran yang sedang berjalan bakal meletakkan pendidikan al-Quran ke tahap yang lebih tinggi dan bakal menyumbang kepada negara dan binaan tamadun.

Ia adalah sesuatu yang bermakna bagi masyarakat Islam di Malaysia kerana universiti yang bakal lahir ini diharapkan dapat menjawab persoalan pendidikan Islam yang sebenarnya supaya para huffaz yang bakal lahir, dirinya bakal memiliki ilmu-ilmu berbanding dalam pelbagai bidang dan dalam masa yang sama sifatnya menyumbang ke arah pembangunan negara berasaskan acuan yang jauh lebih integratif dan Islamik.

Penulis ialah Ahli Lembaga Darul Quran Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan