Oleh Ruhaiza Rusmin
SEJAJAR usaha memartabatkan
bidang pendidikan tinggi negara, pensyarah di institusi pengajian tinggi
disyaratkan mempunyai kelayakan doktor falsafah (PhD).
Syarat itu sebagai satu dasar
cukup relevan bagi meningkatkan imej golongan itu sebagai pemangkin bidang
pendidikan tinggi negara setanding institusi antarabangsa.
Bagaimanapun, segelintir pihak
menganggap ia sebagai satu diskriminasi kerjaya terutama bagi mereka yang lama
berkhidmat, namun tidak mempunyai PhD.
Akhirnya, ia memberi tekanan
kepada golongan terbabit dan menjadikan mereka dalam dilema.
Persoalannya, adakah tanpa PhD,
pensyarah berkenaan tidak boleh mengajar dengan baik?
Adakah mempunyai bilangan
pensyarah berkelayakan PhD mampu menjamin sesebuah institusi itu cemerlang
dalam menjalankan fungsinya?
Timbalan Naib Canselor (Akademik
dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Azni Zain Ahmed
mengakui PhD bukan ukuran sebenar pensyarah mampu melaksanakan proses
pembelajaran, namun tetap menjadi penanda aras kemampuan mengembangkan
kepelbagaian pengetahuan baru.
Beliau berkata, tidak salah jika
pensyarah tanpa PhD mempersoalkan isu itu, namun harus dilihat dalam konteks
lebih luas terutama persaingan dan penerokaan ilmu baru tanpa sempadan.
“Isu ini tidak seharusnya menjadi
sensitif atau bebanan kepada golongan terbabit kerana mereka adalah pensyarah
dalam kelompok kerjaya profesional.
“Mereka perlu melihatnya dalam
konteks dan pandangan lebih luas, bukannya mempersoal atau mempertikaikan isu
peribadi.
“Tidak dinafikan, pensyarah tanpa
PhD mampu mengajar dengan baik, namun percayalah, sedikit sebanyak pasti
memberi impak dan mencalarkan imej institusi pengajian,” katanya.
Dilema pensyarah tanpa PhD
dilihat sebagai satu isu yang dapat mencabar kredibiliti individu serta
institusi, selain mewujudkan jurang perbezaan tertentu di kalangan kelompok
profesional terbabit.
Ada melihat PhD sebagai satu
keperluan semasa yang relevan sejajar sistem dan dasar pendidikan tinggi serta
era globalisasi.
Ada pula berpendapat, PhD hanya
sebagai batu loncatan memperoleh kelebihan lain seperti penentuan pangkat dan
gaji.
Beliau berkata, setiap individu
ada pendapat masing - masing, namun masih wujud perbezaan jika ada PhD atau
tidak.
“Biarpun aspek itu dilihat
subjektif, kelayakan PhD membolehkan mereka menikmati kelebihan termasuk
potensi menjalankan tanggungjawab.
“Bersesuaian dengan tahap PhD itu
sendiri yang bermaksud ‘menghasilkan ilmu baru’, pasti wujud perbezaan tahap
intelektual.
“Perlu diingat, mereka mengajar
di menara gading, bukan sekolah, jadi tahap intelektualnya perlu lebih tinggi
bagi mencambah pelbagai ilmu baru,” katanya.
Katanya, pengalaman kerja adalah
kelebihan dan boleh membantu, malah ada yang lebih baik berbanding pensyarah
mempunyai PhD.
“Cuma, dari segi kedudukan
akademik, mereka dilihat masih kurang setara selain peluang menikmati kelebihan
lain agak terbatas.
“Saya percaya mereka yang bekerja
mahukan yang terbaik dalam kerjayanya, justeru jika kelayakan sedia ada tidak
memenuhi syarat ditetapkan, peluang agak sukar,” katanya.
Bagaimanapun, masih belum
terlewat bagi mereka yang tidak mempunyai PhD membuat anjakan perubahan.
Menurutnya, sejajar hasrat negara
menjadi hab pendidikan dunia, peluang melanjutkan pengajian di institusi dalam
atau luar negara kini terbuka luas.
“Di institusi sendiri, ada
ditawarkan peluang melanjutkan pengajian kepada kakitangan, begitu juga di
industri seperti pengenalan MyPhD.
“Tiada sebab mengapa mereka
beralasan untuk tidak sambung belajar. Kalaulah soal komitmen menjadi penyebab,
saya berpendapat itu hanya alasan semata-mata.
“Mereka perlu bersikap pandang ke
depan, barulah relevan dengan jawatan pensyarah yang disandang, sekali gus
diiktiraf sebagai sumber penyampai ilmu peringkat tinggi,” katanya.
Timbalan Naib Canselor (Akademik
dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia, Profesor Datin Paduka Dr Aini
Ideris berkata, bagi tujuan memartabatkan bidang pendidikan negara dan
setanding universiti terkemuka dunia, pensyarah perlu mempunyai kelayakan
tertinggi akademik.
Menurutnya, tidak timbul soal
diskriminasi kerana mereka tahu kriteria atau garis panduan ketika pelantikan
dibuat.
“Pensyarah tanpa PhD, sumbangan
mereka dinilai mengikut kriteria, sedikit berbeza termasuk mengambil kira tahun
perkhidmatan.
“Justeru, tidak timbul soal
diskriminasi jika menyumbang mengikut garis panduan ditetapkan itu kerana sudah
diberi penerangan.
“Ini soal masa depan membabitkan
pendidikan tinggi negara, pentingnya kelayakan setara bagi memastikan institusi
kita setanding di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau menggariskan tiga tugas
hakiki pensyarah iaitu pengajaran dan pembelajaran (termasuk penyeliaan pelajar
ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD), penyelidikan, penerbitan dan inovasi
(termasuk pemfailan paten dan mengeluarkan produk boleh dikomersialkan) dan
perkhidmatan profesional dan perundingan.
“Pengalaman saja (tanpa PhD)
tidak dapat memenuhi keseluruhan tugas kerana tidak boleh menyelia pelajar PhD.
“Dengan adanya PhD ditambah
pengalaman, sudah pasti dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih
berkeyakinan dan berkesan.
“Oleh itu, PhD sangat penting
dalam dunia hari ini di mana ilmu berkembang begitu pesat dan pantas,” katanya
mengakui tiada halangan bagi mereka yang hampir penghujung perkhidmatan
menyambung pengajian hingga PhD.
“Ramai antara mereka yang
memperolehnya pada usia lanjut. Tiada halangan cuma mereka perlu pandai menguruskan
masa.
“PhD bukan senang kerana banyak
cabaran perlu ditempuhi. Jika tidak pandai menguruskan masa, maknanya mereka
tidak mampu memperoleh PhD,” katanya.
Katanya, kini semua institusi
pengajian tinggi awam memerlukan pensyarah mereka mempunyai PhD.
“Ini selari penanda aras seperti
universiti terkemuka. Di negara ini, ada universiti melantik pensyarah dengan
kelulusan ijazah sarjana dan meneruskan PhD selepas itu.
“Ada pula melantik pensyarah yang
berkelulusan PhD dan golongan ini dilantik sebagai pensyarah kanan, iaitu gred
lebih tinggi berbanding pensyarah.
“Bagaimanapun, bagi bidang
kritikal dan keperluan meruncing, mereka yang belum mempunyai PhD turut
dilantik sebagai pensyarah dan seterusnya melanjutkan PhD, sebelum dilantik
sebagai pensyarah kanan,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/