Rabu, 17 Oktober 2012

ISU GLOBAL : Autonomi demi kestabilan serantau


Oleh NURUL ANUAR KARI

PERJUANGAN berdarah lebih 40 tahun di selatan Filipina yang merangkumi dua atau tiga generasi pelapis akhirnya mencapai titik noktah pada 15 Oktober 2012 dengan perjanjian mewujudkan wilayah autonomi Bangsamoro bagi menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).

Penghujung pergolakan yang meragut lebih 120,000 nyawa dan mendesak ratusan ribu lagi melarikan diri meninggalkan kampung halaman akan melalui lembaran baru ke arah kedamaian serta pembangunan masyarakat Islam di negara itu.

Siapa dapat menjangka pemilihan Presiden Benigno Aquino III selaku pemimpin baru Filipina akan membawa kepada perjanjian damai yang bakal menamatkan konflik berdarah tersebut dengan memilih jalan diplomatik berbanding ketenteraan.

Pihak pejuang pula, khususnya Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang rata-ratanya dibarisi pelapis muda, mungkin tidak menyangka tuntutan autonomi akan dipenuhi kerajaan Filipina dalam tempoh hayat mereka.

Tentera pejuang kini tidak perlu lagi menyorok di dalam hutan ataupun menggunakan kekerasan untuk mendapatkan dana kewangan sementara rakyat di selatan mahupun di seluruh Filipina tidak perlu lagi hidup dalam ketakutan.

Penduduk Bangsamoro tidak perlu khuatir akan campur tangan mahupun penindasan, sementara rakyat Filipina lain tidak perlu bimbang dengan serangan keganasan, penculikan dan pergolakan baru daripada saudara mereka di selatan.

Melalui Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang dimeterai kedua-dua belah pihak, bermulalah detik baru dan penamat kepada konflik yang menjejaskan rakyat sehingga melangkaui sempadan Filipina.

Perjanjian 13 muka surat wilayah autonomi itu mengandungi sembilan fasal utama iaitu penubuhan, undang-undang asas, kuasa kedua-dua pihak, hasil dan pembahagian kekayaan; persempadanan wilayah, hak asasi penduduk, peralihan dan pelaksanaan; normalisasi dan lain-lain.

Turut diperakui dalam perjanjian autonomi itu termasuk keperluan mengukuhkan Mahkamah Syariah dan membenarkan Bangsamoro menguatkuasakan sistem keadilan Syariah kepada umat Islam di wilayah tersebut.

Bukan sahaja kuasa ekonomi, politik dan pelaksanaan cukai, kuasa autonomi juga akan membolehkan penduduk wilayah itu menerima bahagian lebih besar daripada pendapatan sumber asli dan memainkan peranan lebih aktif dalam aspek keselamatan.

Dengan pemerintahan sendiri dan sumber pendapatan yang lebih stabil, pembangunan infrstruktur dan modal insan di selatan Filipina bukan sahaja akan memakmurkan Bangsamoro malahan menstabilkan keadaan serantau.

Inilah yang dinanti-nantikan dan diraikan secara besar-besaran rakyat Bangsamoro dari bandar, pekan hingga ke perkampungan di pedalaman yang selama ini tersepit antara hidup aman dalam jajahan dan kemiskinan, atau perjuangan demi masa depan pewaris bangsa.

Pembangunan wilayah Bangsamoro yang kaya dengan sumber asli dijangka akan mengurangkan kebanjiran penduduknya di sempadan negara-negara jiran di samping mampu membawa limpahan manfaat kepada penduduk sekitar rantau tersebut.

Perdamaian antara kedua-dua belah pihak juga akan mengurangkan keperluan ketenteraan kerajaan Filipina di wilayah selatan malahan turut mengurangkan beban pasukan keselamatan di negara-negara jiran menyekat anggota pemberontak mahupun pendatang haram.

Malaysia yang merupakan antara pengantara perundingan MILF dengan Manila sejak lebih 10 tahun lalu juga boleh menarik nafas lega memandangkan konflik berterusan hanya memberi impak negatif melangkaui sempadan Filipina khususnya kepada penduduk di negeri Sabah.

Era baru kemananan dan pembangunan Bangsamoro akan membolehkan kerajaan Filipina fokus kepada membawa keluar semua rakyatnya daripada kitaran kemiskinan dan memulakan proses pemulihan serta melupakan tragedi kehilangan ahli keluarga kerana pertumpahan darah.

Kini, proses pelaksanaan autonomi akan melalui tempoh transisi panjang bagi merapatkan kembali hubungan yang renggang dan diharap dapat diselesaikan dalam tempoh pentadbiran Presiden Aquino sehingga 2016.

Walaupun dengan bantuan pihak luar, kesediaan pihak berbalah berbincang dan menandatangani perjanjian damai rasmi, tetapi semuanya masih terlalu awal untuk kepastian mutlak. Perdamaian boleh musnah jika pentadbiran baru tidak menyokong malahan menentang perjanjian tersebut.

Bagi pemerhati antarabangsa dan keselamatan, Mohamad Faisol Keling, cabaran utama kepimpinan Bangsamoro kini adalah untuk membuktikan mereka mampu menguruskan sebuah pentadbiran sendiri.

"Proses pembentukan negara bangsa ini mengambil masa yang lama dan berterusan. Oleh itu, mereka perlu buktikan kemampuan memeritah dan membangunkan wilayah sendiri, ini perlu mereka jaga jika mahukan autonomi.

"Jangan pula jadi seperti di Timor Leste yang memberontak mahukan kemerdekaan tetapi selepas itu dilihat gagal mengurus tadbir dan menggerakkan pembangunan wilayah mereka," tegas pensyarahKolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia .

Katanya lagi, apa yang diharapkan semua pihak adalah kerjasama penduduk Bangsamoro untuk membangunkan negara bangsa mereka melalui pendidikan, peluang kerja, peningkatan taraf hidup dan paling penting, pemerintahan yang efisyen.

Menurut beliau, senario sama sebenarnya turut berlaku di Acheh dan selatan Thailand yang berkait rapat dengan selatan Filipina.

"Dengan mencapai keamanan dan perkongsian kuasa di Acheh, kemudian selatan Filipina, diharapkan kesan berangkainya dapat 'berjangkit' ke selatan Thailand.

"Malaysia memainkan peranan besar dalam perbincangan di Acheh dan selatan Filipina, dan mungkin juga suatu hari nanti kita dapat membantu situasi di selatan Thailand pula," katanya.

Mohamad Faisol menjelaskan, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menegaskan 'jika jiran kita makmur, maka kita juga akan makmur'.

"Kata-kata itu jelas melihatkan kesan negatif pergolakan di selatan Filipina yang menyebabkan kegiatan penculikan berleluasa sehingga ke dalam sempadan negara kita di samping kebanjiran pendatang haram dari sana.

"Jika konflik ditamatkan, bukan mereka sahaja makmur malahan kita juga merasakan impak positifnya kelak," ujarnya.

Jelasnya lagi, Malaysia yang mempunyai pengalaman dalam berkongsi kuasa serta wilayah autonomi mampu berkongsi modulnya dengan negara jiran yang bergolak.

Mengambil contoh di selatan Thailand, beliau berpendapat konflik berlaku kerana keengganan berkongsi kuasa dan tiada tolak ansur antara pihak berbalah.

"Mungkin Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membantu situasi di selatan Thailand pula selepas ini kerana ini juga jihad untuk umat Islam di sana seperti mana di Acheh dan selatan Filipina.

"Usaha ini bukan sahaja untuk pendidikan, kemajuan dan keamanan malahan untuk menyelamatkan nyawa penduduk Islam di sana," tegas pemerhati antarabangsa itu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan