Rabu, 11 November 2015

ISU BAHASA : Guris, gores, biadap dan biadab



Oleh : FAIZAH MOHAMAD NOR

KITA sering keliru dengan penggunaan kata biadap atau biadab, guris atau gores. Kebiasaan yang sering kita guna kadang-kadang menyimpang terus daripada maksud asal. “Hatiku kau guris luka”, “Peraduan gores dan menang”, “Cerminnya terguris”,“Biadap sungguh” dan banyak lagi contoh penggunaan guris, gores, biadap dan biadab. Adakah betul penggunaan perkataan-perkataan tersebut?

“Jangan biadap”, “Biadap sungguh”, “Kelakuan biadap remaja kini menjadi-jadi” sering kali menujah cuping telinga kita. Pengguna bahasa mungkin keliru dengan bunyi akhir sama ada dengan bunyi konsonan ‘p’ atau dengan konsonan ‘b’.  Mungkin terdapat juga pengguna bahasa yang tidak pernah terfikir dengan bunyi akhir perkataan ini sama ada biadap atau biadab. Marilah sama-sama kita mengkaji asal kedua-dua perkataan ini.

Jika kita teliti kedua-dua perkataan ini mengalami proses pengimbuhan kepada kata dasarnya adap dan adab. Kedua-dua kata ini menerima imbuhan awalan daripada bahasa Parsi ‘bi’ yang bermaksud tiada. Awalan ‘bi’  bererti tiada dan digunakan untuk menerbitkan kata adjektif, tetapi penggunaannya terbatas.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan adap; adap-adapan dan adab membawa maksud yang berbeza. Adap; adap-adapan bermaksud pulut kuning yang dihidangkan dalam upacara perkahwinan. Jika diletakkan awalan ‘bi’ pada perkataan adap akan membawa maksud tiada pulut kuning dihidangkan dalam upacara perkahwinan. Jika tidak menjadi kesalahan dari segi fungsi awalan ‘bi’ sekalipun, penggunaannya tetap tidak tepat.

Contoh ayat yang biasa kita dengar seperti “Jangan biadap” akan membawa maksud “Jangan tiada pulut kuning dalam upacara perkahwinan” mungkin boleh diterima, tetapi jika ayat “Kelakuan biadap remaja kini menjadi-jadi” akan membawa maksud “Kelakuan tiada pulut kuning dalam upacara perkahwinan remaja kini menjadi-jadi” sangat pelik bunyinya.

Penggunaan yang tepat ialah biadab. Imbuhan awalan ‘bi’ bergabung dengan kata dasar adab (bi + adab = biadab). Biadab bermaksud tidak ada budi bahasa, tidak beradab. Biadab juga bermaksud tidak bertamadun atau belum maju. Biadab merupakan kata adjektif yang berlawanan dengan kata beradab. Perkataan beradap selalu kita guna untuk makan beradap dalam majlis perkahwinan sahaja. Dalam bahasa Melayu tidak ada perkataan biadap.

Banyak pengguna bahasa Melayu yang menggunakan perkataan guris, terguris, atau mengguris. Sebagai contoh “hatiku terguris dengan kata-katamu”, “Besi yang tajam itu telah mengguris cermin keretanya”.

Sebenarnya, perkataan tersebut tidak tepat. Kamus Dewan Edisi Keempat tidak menyenaraikan perkataan guris sebagai entri. Dakwaan bahawa perkataan guris untuk hati dan cermin tidak dapat dibuktikan ketepatannya.

Perkataan yang tepat ialah gores. Entri Kamus Dewan Edisi Keempat menyenaraikan perkataan:
a.  gores -  garis, calar, coret
b.  bergores, bergores-gores -  bergaris, berparut
c.  menggores -  menggaris, mencalar, menggarit
d. menggoreskan -  menggariskan, menggaritkan
e. tergores -  tergaris, tercorek
f.  goresan -  yang sudah digores, tanda atau bekas digores
g. penggoresan -  perihal mengores
h. penggores -  alat untuk menggores

Berdasarkan entri ini, ayat “Hatiku terguris dengan kata-katamu” sepatutnya ditulis “Hatiku tergores dengan kata-katamu”. “Besi yang tajam itu telah mengguris cermin keretanya” sepatutnya ditulis “Besi yang tajam itu telah menggores cermin keretanya”.

Istilah “Peraduan Gores dan Menang” menunjukkan penggunaan perkataan gores yang betul dari segi ketepatan maksudnya.

Kesimpulannya, selama ini tanpa kita sedar kita telah menggunakan “Jangan tiada pulut kuning dalam upacara perkahwinan” untuk maksud  tidak berbudi bahasa. Guris atau gores juga menimbulkan kekeliruan walaupun tiada entri perkataan guris dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.

Sikap cakna kita sebagai pengguna bahasa untuk menggunakan bahasa yang betul akan memelihara keindahan bahasa itu. Marilah kita sama-sama menggunakan bahasa yang betul dan tepat agar bahasa Melayu terus berkembang. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.

Sumber : http : //www.sinar.com.my/

ISU SOSIAL : Kecelaruan sosial punca kes buang bayi meningkat


Oleh : Akhbar Satar
 bhnews@bh.com.my

NEGARA kita semakin maju. Negara berkembang pesat dalam semua aspek sama ada dari segi ekonomi, politik ataupun sosial, selaras dengan Wawasan 2020. Dalam kepesatan pembangunan fizikal itu, kita mengalami masalah sosial yang agak kronik, seperti pembuangan bayi. Kemelut pembuangan bayi semakin berleluasa. Keadaan ini amat membimbangkan.

Baru-baru ini, polis menahan seorang wanita dipercayai ibu kepada bayi berusia sehari yang dibuang di dalam sebuah mesin basuh rumahnya di Kampung Ulu Dulang Kechil, Yan, Kedah. Hasil siasatan, suspek berusia 38 tahun itu mengaku melahirkan bayi berkenaan dalam bilik air di rumah berkenaan yang dikongsi bersama bapa mentuanya, tanpa pengetahuan suami serta bapa mentuanya. Bayangkan, ada juga yang membungkus mayat bayi dengan plastik, mencekik bayi sebelum ditanam, dibuang ke dalam mangkuk tandas, bahkan ada yang sanggup menanam bayi hidup-hidup.

Mengikut ahli kriminologi, pengaruh rakan sebaya dan pergaulan bebas, suka sama suka, ingin mencuba seks, terlalu percayakan lelaki, terdedah aktiviti seksual secara berleluasa melalui jaringan internet, persekitaran tempat tinggal dan dirogol, antara sebab remaja terjebak dalam gejala pembuangan bayi.

Punca keadaan sosial yang tidak teratur juga berkait rapat dengan hubungan renggang antara anak dan ibu bapa. Keadaan ini menjadikan remaja berani keluar rumah dan terbabit dengan aktiviti salah laku seksual sehingga hamil. Mereka kemudiannya mencari jalan mudah dengan membuang bayi yang dilahirkan akibat hubungan seks luar nikah.

Keruntuhan moral

Keruntuhan moral remaja juga dipengaruhi cara hidup. Sering kali ia membabitkan remaja yang berasal dari kampung dan berhijrah ke bandar. Di bandar pula, kurang pengawasan dan kasih sayang ibu bapa juga mempengaruhi tingkah laku remaja.

Ada juga remaja yang cukup didikan agama atau pelajar institusi pengajian tinggi yang terbabit dalam gejala pembuangan bayi.

Oleh sebab takutkan dirinya atau bayi yang dilahirkan tidak diterima keluarga, serta pandangan serong dan cacian masyarakat, mereka mencari jalan mudah untuk membuang bayi mereka seperti sampah, dibuang di merata tempat, di masjid, surau, sungai, tong sampah, tepi jalan dan yang paling teruk di buang ke dalam mangkuk tandas tanpa sedikitpun rasa belas kasihan atau perikemanusiaan.

Di Jerman, kerajaan menyediakan tempat khas sebagai pelindung kepada bayi yang dilahirkan akibat masalah sosial tadi. Tempat khas ini dikenali sebagai Babywiege, bertujuan mengelakkan bayi mati atau terbunuh akibat terdedah kepada kesejukan selepas dibuang. Undang-undang mereka juga membolehkan seorang bayi dijaga oleh hospital selama lapan minggu. Dalam tempoh dua bulan, seseorang ibu boleh mengambil semula anak yang mereka tinggalkan jika berubah fikiran. Selepas dua bulan barulah bayi itu, diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dijadikan anak angkat.

Di negara kita, sebuah badan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-Anak Yatim Kuala Lumpur mewujudkan ruang khas Pelindung Bayi atau Baby Hatch di Kampung Tunku, Kuala Lumpur. Penyediaan ruang ini bagi membolehkan sesiapa yang terdesak meninggalkan bayi mereka di tempat selamat.

Cara alternatif terbaik

Ini adalah satu cara alternatif terbaik untuk sesiapa yang melahirkan anak luar nikah supaya tidak melakukan jenayah pembuangan bayi atau lebih sadis lagi, membunuh bayi mereka.

Penempatan bayi di tempat perlindungan itu bagi membolehkan bayi yang dilahirkan, dijaga dan dapat diserahkan kepada keluarga angkat yang sesuai. Penyediaan tempat seperti ini tidak bermaksud untuk menggalakkan mereka membuat perlakuan yang bercanggah dengan tatasusila moral, tetapi bertujuan menyelesaikan masalah sosial yang berat, seperti pembuangan bayi yang seterusnya boleh mengakibatkan pembunuhan.

Tempat seperti ini sebenarnya tidak perlu diwujudkan sekiranya kita mempunyai masyarakat yang bertanggungjawab. Lazimnya polis menyiasat kes pembuangan bayi mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Sekiranya didapati bersalah, seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

 Polis juga boleh menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang meletakkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Bagi kesalahan membunuh bayi, siasatan boleh dilakukan mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan. Seksyen 309B memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Disarankan supaya kerajaan mengkaji semula Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan supaya denda yang lebih berat dikenakan ke atas mereka yang bersalah. Ini perlu dilakukan supaya remaja akan berasa lebih takut dan serik untuk membuang bayi.

Kabinet pernah memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan itu dikenakan hukuman berat. Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun yang sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Hukuman lebih berat

Hingga kini polis belum lagi menggunakan seksyen ini. Hukuman berat penting supaya mereka akan berhati-hati ketika bergaul dan mengelak hubungan yang melampaui batasan agama. Ini membolehkan mereka menghayati gaya hidup sihat dan kejadian mengandung tanpa nikah dan membuang bayi pasti dapat dielakkan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan pusat seperti Taman Seri Puteri Cheras yang memberi perlindungan dan pemulihan kepada remaja yang terbabit, tetapi apa yang masih kurang ialah publisitinya. Insitusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri dan masjid perlu memainkan peranan lebih aktif dan mencari jalan pencegahan serta penyelesaian holistik untuk mengelak berlakunya kes buang bayi atau menyekatnya daripada merebak sehingga tidak boleh dikawal lagi.

Sebagai masyarakat Islam kita patut sama-sama mencari penyelesaian kepada masalah ini dengan memberi penekanan didikan agama yang sempurna kepada anak dan menjaga nasib bayi yang bakal dilahirkan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ini. Keluarga adalah pelindung utama dalam membina pembentukan sahsiah dan kesejahteraan psikologi dalam kalangan remaja.

Pemantauan ibu bapa terhadap aktiviti anak perlu. Ibu bapa hendaklah meluangkan masa untuk anak. Di samping itu, bantuan pihak sekolah secara berterusan juga boleh membantu remaja yang terlanjur. Dua institusi ini, iaitu institusi keluarga dan sekolah begitu dekat dengan remaja dan jika kedua-duanya digembleng dengan rapi, ia dapat menyumbang kepada pengurangan kes remaja hamil luar nikah dan pembuangan bayi, bahkan pembunuhan yang tidak berdosa.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Rojak Jejas Kemurnian Bahasa


Oleh : Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@mediaprima.com.my

Sejak ledakan media sosial kira-kira sedekad lalu, penyalahgunaan bahasa menerusi medium itu makin ketara dan membimbangkan.

Penggunaan bahasa rojak serta istilah dan singkatan ciptaan sendiri makin mendominasi kehidupan masyarakat, sekali gus mengetepikan kepentingan penggunaan bahasa standard terutama dalam kalangan generasi muda terutama pelajar.

Sekilas pandang, penggunaan ‘bahasa cacamarba’ seperti itu tidak akan mencacatkan fungsi dan kemurnian bahasa secara keseluruhannya, namun ia bakal meninggalkan kesan membimbangkan pada jangka panjang.

Jika tidak ditangani dengan kaedah sesuai, dikhuatiri bahasa carcamarba ini akan menenggelamkan fungsi dan peranan bahasa standard dalam kehidupan seharian.

Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Sharil Nizam Sha’ri berkata, peng­gunaan bahasa yang tidak mengikut penggunaan standard bukan saja boleh merosakkan nilai bahasa, malah dikhuatiri menghakis jati diri masyarakat secara perlahan-lahan.

Beliau berkata, fungsi bahasa sebagai medium komunikasi antara fungsi terbesar dalam kehidupan manusia yang membantu individu atau kolektif untuk memahami maksud sesuatu interaksi.

“Penggunaan bahasa carcamarba tanpa meng­ikuti standard memang boleh mencacatcelakan fungsi bahasa sebagai medium komunikasi.

“Walaupun ramai melihat isu penyalahgunaan bahasa di media sosial bukan sesuatu yang serius, ia masih boleh memberi kesan membimbangkan pada jangka panjang.

“Generasi muda yang sebahagian besarnya pelajar menggunakan bahasa ciptaan sendiri yang lintang-pukang ketika berkomunikasi melalui media sosial. Ini boleh memberi kesan jika mereka terikut-ikut menggunakannya dalam peperiksaan penting,” katanya.

Dr Sharil Nizam berkata, ada pihak beranggapan penggunaan bahasa berkenaan dalam media sosial hanya bagi tujuan santai dan tidak perlu diperbesarkan.

“Memang tidak salah jika tujuannya begitu, tapi yang membimbangkan ialah jika ia turut digunakan di luar waktu berkenaan, misalnya sewaktu berinteraksi dalam situasi formal atau bersama-sama orang berkepentingan?

“Kebiasaan yang kerap boleh menyebabkan penggunaan bahasa cacamarba turut terbawa-bawa dalam situasi itu.

“Impaknya, bukan saja kredibiliti bahasa tercalar, malah pengguna dan penerima turut menerima tempias ,” katanya.

Kebimbangan masyarakat mengenai isu ini ada asasnya apabila satu kajian Mercator Research Centre dan The Fryske Academy pada 2014 di Belanda mendapati penggunaan bahasa standard makin merosot dalam kalangan generasi muda.

Menerusi kajian yang dijalankan terhadap 2,000 pelajar berusia 14 hingga 18 tahun mendapati mereka lebih menggemari penggunaan bahasa ringkas terutama dalam aplikasi WhatsApp (95 peratus), Facebook (86 peratus) dan Twitter (76 peratus).

Dr Sharil Nizam berkata, penggunaan bahasa yang tidak menepati piawaian menyebabkan kelangsu­ngan bahasa sukar dipertahankan dan lebih buruk lagi menyebabkan kepupusan perkataan.

“Tidak boleh dinafikan, penggunaan bahasa standard juga perlu selari de­ngan peredaran masa dan pemodenan masyarakat.

“Itu tidak salah, namun soalnya ialah kecenderungan masyarakat yang mempunyai kemahiran mewujudkan bahasa atau perkataan baru sendiri sedangkan kewujudan sesuatu perkataan baru perlu mengikut syarat tertentu sebelum dipersetujui sebulat suara atau diiktiraf oleh badan profesional seperti Dewan Bahasa dan Pustaka,” katanya.

Katanya, prosedur itu perlu dipatuhi kerana hanya cara itu dapat menjamin keutuhan perkataan berkenaan, selain memberi peluang kepada bahasa terus berkembang pada landasan betul.

“Meskipun bahasa bersifat subjektif, peraturan­nya perlu diguna pakai bagi menjamin kualiti perkataan yang ditutur atau digunakan.

“Tidak salah menggunakan bahasa atau perkataan ringkas mengikut pemahaman sendiri tapi perlu ada batas dan syarat.

“Jika kita sendiri tidak mempertahankan penggunaan bahasa standard, dikhuatiri generasi masa depan akan terkapai-kapai kerana bahasa juga mencerminkan siapa dan budaya diri kita sebenarnya,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Isnin, 2 November 2015

ISU BAHASA : Polemik BM-BI tercetus semula?


Oleh : AZMAN ANUAR AZMAN

Menerusi pembentangan Bajet 2016 baru-baru ini kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM135 juta bagi pelaksanaan program Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Bagaimanapun segelintir pejuang bahasa Melayu kembali berasa cuak dengan pendekatan pihak Kementerian Pendidikan yang akan memperkenalkan dua inisiatif baharu iaitu Program Imersif Tinggi (HIP) dan Program Dwibahasa (DLP).

HIP akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di semua sekolah, manakala DLP diberi pilihan kepada pelajar.

Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang berlangsung pada tahun 2003 dan ditamatkan pada 2009 dianggap tidak dirancang dengan rapi. Sebab itu melalui dasar MBMMBI, kerajaan bertekad mengambil guru-guru yang bahasa ibundanya bahasa Inggeris dari luar negara, dan melatih siswazah yang berbakat menjadi guru bahasa Inggeris yang terlatih.

Kementerian Pendidikan juga menyusun semula kurikulum bahasa Inggeris supaya sesuai dengan budaya Malaysia, menyediakan makmal bahasa yang mempercepatkan penguasaan bahasa Inggeris, dan menyemak kembali pendekatan pedagogi yang lebih dinamik. Langkah-langkah berdaya maju ini diambil supaya dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan berkesan.

Sebab itu kini Kementerian Pendidikan percaya dua program baharu itu di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris bertujuan merealisasikan aspirasi rakyat menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof, HIP satu program untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris melalui peningkatan penggunaan dan penguasaan bahasa tersebut dalam komuniti sekolah.

“DLP pula merupakan program pengukuhan bahasa Inggeris yang mana sekolah diberi peluang untuk menawarkan pengajaran dan pembelajaran subjek Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka Bentuk dan Teknologi dalam dua bahasa, sama ada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

“Program yang melibatkan kos sebanyak RM38.5 juta ini sejajar dengan usaha pengukuhan bahasa Inggeris di bawah dasar MBMMBI yang akan dilaksanakan menerusi gelombang dua PPPM 2013-2025,” kata Khair.

Dalam pelaksanaan bagi kedua-dua inisiatif tersebut, sebanyak 300 buah sekolah telah dikenal pasti melaksanakannya sebagai perintis. Pemilihan sekolah tersebut berdasarkan kepada permintaan ibu bapa dan pengetua atau guru besar serta kesediaan sekolah berkenaan melaksanakannya.

Dalam hal ini benarkah semua ibu bapa murid dan pelajar di sesetengah sekolah bersetuju dengan keputusan yang mungkin dibuat hasil mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang biasanya dihadiri tidak sampai 50 peratus daripada jumlah ibu bapa dan penjaga yang anak mereka belajar di sekolah itu?

Sebab itu Kementerian Pendidikan digesa mengkaji semula pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) kerana dilihat seolah-olah mengembalikan dasar PPSMI yang dimansuhkan pada 2009.

Gerakan supaya dikaji semula dasar itu dapat dilihat pada 29 Oktober lalu apabila berlangsung pertemuan Meja Bulat Isu Sistem Dwibahasa Pendidikan Negara yang menghimpunkan tokoh penting dalam bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bau-bau usaha pihak tertentu untuk cuba menghidupkan semula konsep PPSMI sudah dihidu oleh Persatuan Penulis Nasional (Pena) dalam Mesyuarat Agung Tahunannya pada 12 Oktober lalu. Pena menggesa Kementerian Pendidikan tegas mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan dan perlu diutamakan dalam urusan rasmi dan pendidikan. Jadi cadangan mewujudkan DLP hendaklah dihentikan.

Kementerian Pendidikan memang sudah mengambil keputusan untuk menggantikan PPSMI dengan strategi MBMMBI pada 2009. Bagaimanapun keputusan pemansuhan PPSMI tamat pada 2016 bagi sekolah rendah dan 2021 bagi sekolah menengah.

Pilihan

Kalau dilihat dari segi pelaksanaannya, murid yang belajar menggunakan konsep PPSMI masih wujud. Sebab itu usaha menghidupkan PPSMI dari semasa ke semasa diperkatakan terutama melalui ruangan surat pembaca di dalam akhbar berbahasa Inggeris.

Golongan ibu bapa ini bukan sahaja mempersoalkan keputusan yang telah dipersetujui oleh Kabinet, bahkan terus memujuk kerajaan supaya dikembalikan dasar tersebut atau setidak-tidaknya meminta Kementerian Pendidikan memberi kebenaran kepada ibu bapa untuk membuat pilihan bagi anak-anak mereka sama ada untuk meneruskan PPSMI atau memilih dasar MBMMBI.

Alasan utama yang diberikan mengapa mereka tetap memilih PPSMI adalah atas nama ‘demokrasi dan kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan’ yang mana ibu bapa berhak untuk memilih apakah dasar atau aliran pendidikan untuk anak-anak mereka di sekolah.

Sekarang, ke mana hala tuju dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris?

Sebenarnya MBMMBI adalah jalan tengah yang diambil oleh kementerian supaya bahasa Melayu terus diangkat untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa Inggeris tidak ditinggalkan sebagai bahasa antarabangsa.

Pendekatan dwibahasa ini patut disokong dengan mengambil pendekatan yang lebih terancang dari sudut latihan keguruan, aplikasi ICT, makmal bahasa, penyusunan semula kurikulum dan buku teks.

Kepentingan memajukan bahasa ibunda di banyak negara di dunia tidak menjejas keupayaan pelajar untuk maju. Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea Selatan umpamanya memartabat bahasa ibunda, tetapi dalam masa yang sama pelajar China, Jepun dan Korea Selatan dihantar ke Amerika Syarikat, Britain, Australia dan New Zealand untuk menguasai ilmu dalam bahasa Inggeris. Negara ini terus maju kerana dasar memartabatkan bahasa ibunda dan memperkasa bahasa Inggeris dilaksanakan.

Dalam konteks negara kita, para ibu bapa akan berasa berbelah bahagi ke mana arah untuk anak mereka hendak mendapatkan ilmu – di sekolah yang memiliki Program Dwibahasa atau sekolah yang melaksanakan Program Imersif Tinggi. Sudah tentu akan ada kelebihan dan kekurangan pelajar yang memilih salah satu program pendidikan berdasarkan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris ini kelak.

Kita berharap sesetengah pihak di Kementerian Pendidikan tidak melakukan persiapan memperkasa bahasa Inggeris jauh lebih rancak dan dijadikan fokus penting berbanding dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Langkah yang sepatutnya ialah penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kecekapan dalam menggunakan bahasa Inggeris harus bergerak seiring supaya yang dikejar dapat dan yang dikendung tidak berciciran.

Kecuali jika sekarang semakin menebal keyakinan golongan elit dan pendukung faham liberal orang Melayu yang memiliki sikap mementingkan perniagaan dan dunia korporat yang merasakan bahasa Melayu akan menyebabkan anak mereka ketinggalan.

Sekiranya ada pihak yang meminta supaya ibu bapa dan sekolah diberi pilihan dalam menentukan program baharu MBMMBI ini maka berhati-hati dengan kesan jangka panjang kepada negara. Banyak iktibar daripada pelaksanaan PPSMI.

Apa pun pilihan dibuat hanya akan memberi keuntungan kepada sekumpulan kecil masyarakat elit dan tidak kepada golongan majoriti pelajar. Bakal berlaku jurang dan status sosial yang amat ketara sekiranya perkara itu terjadi.

Terserah kepada pemimpin dan orang Melayu sendiri untuk memperkasakan bahasa ibunda mereka. Adakah orang Melayu masih mempunyai keyakinan terhadap keupayaan bahasa Melayu untuk berperanan sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu, dan bahasa perpaduan negara ini?

Keputusan Kementerian Pendidikan barangkali ada hikmah yang kita tidak nampak. Maka berilah kepercayaan kepada Kementerian Pendidikan untuk melaksana dan memperkasakan sistem pendidikan di negara ini.

Yang penting jangan jadikan polemik BM-BI menyebabkan sistem pendidikan kita kucar-kacir.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 10 September 2015

ISU BAHASA : Harapkan pagar, pagar makan padi


Oleh : Muhammad Daud

KITA pasti pernah terbaca tentang pendapat yang mengatakan bahawa peribahasa yang sebenar ialah “harapkan pegar, pegar makan padi” bukannya “harapkan pagar, pagar makan padi”.

Penyokong pandangan ini memberikan hujah bahawa telah berlaku kesilapan semasa menterjemah peribahasa ini daripada tulisan Jawi kepada tulisan Rumi, lagipun tidak logik untuk mengharapkan pagar bagi menjaga padi kerana pagar merupakan objek yang tidak hidup.

Lebih logik jika diharapkan pegar iaitu sejenis burung yang memakan padi atau dikenali juga sebagai burung kuang untuk menjaga padi kerana burung pegar ini hidup.

Bagi menilai peribahasa yang sebenar antara dua peribahasa ini, pertama sekali kita perlu melihat sosiobudaya masyarakat Melayu terlebih dahulu.

Masyarakat Melayu yang hidup sebagai petani bekerja keras untuk menanam padi bagi menyara hidup mereka. Pada masa itu, kehidupan mereka seratus-peratus bergantung pada penanaman padi. Adakah logik jika masyarakat Melayu menyerahkan tanggungjawab untuk menjaga padi mereka kepada sejenis burung yang memakan padi?

Bukankah pekerjaan itu dianggap sebagai suatu perbuatan yang sengaja untuk mencari susah.

Berdasarkan kajian tentang sosiobudaya Melayu, peribahasa “harapkan pagar, pagar makan padi” lebih tepat kerana istilah pagar di sini bukan hanya merujuk pagar yang diperbuat daripada kayu-kayu yang dipacak ataupun diperbuat daripada kawat duri tetapi maksudnya lebih luas daripada itu.

Dalam kamus bahasa Indonesia, pagar bermaksud pengawal atau penjaga. Kalau diteliti maksud pagar dalam bahasa Indonesia ini yang merupakan bahasa serumpun kita, semakin kukuhlah pandangan bahawa peribahasa yang sebenar ialah “harapkan pagar, pagar makan padi”.

Maksud peribahasa “harapkan pagar, pagar makan padi” ialah harapan yang diletakkan pada bahu seseorang tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkan. Keyakinan terhadap kebijaksanaan masyarakat Melayu dahulu masih kuat kerana tidak mungkin mereka akan meletakkan harapan untuk menjaga tanaman padi mereka kepada sejenis burung yang memakan padi.

Sebenarnya nenek moyang kita tidak sewenang-wenangnya mencipta peribahasa mengikut kemahuan sendiri kerana peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang khusus.

Peribahasa telah dicipta melalui pemerhatian dan kajian yang teliti. Pemilihan perkataan juga amat sesuai dengan maksud yang hendak disampaikan selain menonjolkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.

Kita dapat menerima peribahasa “harapkan pegar, pegar makan padi” jika maksudnya harapan yang diletakkan pada seseorang yang sudah diketahui kejahatannya kerana lebih relevan dan berkaitan. Konsepnya sama jika kita mengharapkan kucing untuk menjaga ikan kerana sudah pasti ikan itu akan dimakan kucing memandangkan ikan merupakan makanan kucing.

Tidak mungkin masyarakat Melayu menyerahkan kuasa menjaga ikan kepada kucing, mengamanahkan monyet untuk menjaga pisang ataupun meminta kambing bagi menjaga tanaman sirih. Kalau percaya akan haiwan-haiwan ini, tunggulah akibatnya.

Penulis pernah terbaca suatu pesanan daripada orang tua-tua supaya tidak bermalam di rumah perempuan muda bersuamikan orang tua. Pesanan ini jelas menggambarkan sikap berhati-hati masyarakat Melayu untuk mengelakkan perkara yang buruk daripada berlaku. Pemikiran ini jelas menggambarkan bahawa tidak mungkin leluhur kita itu percaya akan pegar untuk menjaga padinya.

Kalau dikaji peribahasa Melayu secara menyeluruh, sebenarnya kita dapat mempelajari jati diri dan imej orang Melayu yang menjadi pendokong kewujudan peribahasa  Melayu. Ciri-ciri yang terkandung dalam peribahasa membolehkan kita mengenali sifat dan perwatakan orang Melayu sejak dahulu lagi.

Orang Melayu sebenarnya suatu bangsa yang tersusun dalam pelbagai bidang sejak dahulu lagi. Kemantapan orang Melayu dari segi politik, ekonomi dan sosial dapat kita kaji dan pelajari melalui kisah-kisah sejarah dan hasil karya lama. Imej itu merupakan imej orang Melayu yang dapat diperhatikan melalui khazanah ciptaan mereka iaitu peribahasa kerana peribahasa itu sendiri merupakan ayat atau kelompok kata yang teratur, ringkas dan padat.

Penulis ialah Munsyi Dewan  dan Guru Cemerlang Bahasa Melayu SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/


ISU BAHASA : Dah jatuh, panjat tinggi lagi!


Oleh : MOHD HAZANI MAHAD

“IBU dah pesan banyak kali, jangan panjat tangga tu!”

“Sekarang dah jatuh, panjat tinggi lagi!”
   
Jika difikirkan, pelik sungguh kata-kata seorang ibu seperti ujaran di atas. Ayat pertama, beliau melarang anaknya memanjat tangga. Ayat kedua pula, setelah anaknya jatuh, disuruhnya pula anak itu memanjat tangga  lagi. Apakah maksud kata-kata ibu itu sebenarnya?

Penulis juga pernah mengalami pengalaman yang sama. Sebelum memulakan pengajaran di dalam kelas, penulis pernah menegur keadaan kebersihan kelas pada suatu pagi. Berikut merupakan antara dialog yang masih diingati penulis sewaktu bercakap dengan pelajar di dalam kelas tersebut.

“Cuba kamu perhatikan tingkap yang masih berdebu dan terdapat cebisan kertas di lantai.”

“Kelas lain kotor juga, cikgu.”

“Ya, kelas lain juga kotor. Tak patut kelas kamu saja yang ditegur. Lagipun, kelas kamu ni taklah kotor sangat.”

“Terima kasih, cikgu.”

Penulis ragu-ragu dengan ungkapan terima kasih yang diucapkan pelajar, sama ada mereka faham atau sebaliknya teguran yang diberikan penulis. Apakah anak-anak hari ini sudah tidak arif untuk memahami maksud tersirat? Begitu juga dengan situasi pertama, berkesankah ragam bahasa ini kepada anak-anak yang sedang membesar?

Bahasa yang merupakan alat komunikasi untuk menyatakan perasaan, buah fikiran, perkongsian ilmu tidak akan dapat berfungsi jika mereka tidak memahami maksud penutur yang bercakap dengannya. Mereka tidak dapat mentafsir maksud di sebalik kata-kata yang diucapkan. Sudah menjadi resam bagi orang-orang Melayu iaitu segala bentuk teguran, pertentangan pendapat, saranan, perasaan tidak puas hati tidak diungkapkan secara terbuka. Keadaan ini dapat mengelakkan salah faham dan rasa tersinggung pihak lain.

Bentuk bahasa yang dituturkan dalam dialog di atas ialah ragam bahasa terbalik. Terbalik kerana perkataan yang diungkapkan membawa makna berlapis dan tidak merujuk pada kata-kata yang digunakan. Mengapakah perlu digunakan bahasa terbalik, tidakkah berterus terang itu lebih baik? Jika penulis menggunakan contoh situasi pertama, ibu tersebut sebenarnya telah menegur anak tersebut dengan berterus terang iaitu “Ibu dah pesan banyak kali, jangan panjat tangga tu!” Namun begitu, teguran tersebut tidak diendahkan.

Apabila anak tersebut jatuh dan mendapat kecederaan, ibu tersebut tidak bermaksud untuk melukakan hati dan perasaan anak tersebut dengan menyindirnya. Sebaliknya, dia telah menggunakan ungkapan yang berbeza dengan maksud yang sama iaitu melarang anaknya daripada mengulangi perbuatan tersebut. Tindakan ini dapat menguatkan maksud dan mengukuhkan hasrat ibunya supaya anaknya tidak melakukannya lagi. Ibunya juga berharap agar anaknya memahami maksudnya tadi dengan menggunakan bentuk bahasa yang berbeza.

Belajarlah daripada orang-orang tua dahulu yang menggunakan kebijaksanaan fikiran dan keluhuran akal budi dalam menyelesaikan masalah. Peribahasa Melayu mengungkapkan, bagai menghela rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak terserak. Bagai menghela tali jala, rasa tegang dikendurkan, rasa kendur ditegangkan juga menjelaskan bahawa pekerjaan yang sukar hendaklah dilaksanakan dengan cermat dan berhati-hati. Persoalan faham atau tidak ungkapan tersebut, tentulah memerlukan masa dan didikan yang berterusan. Yang penting, anak dan pelajar tersebut perlu mengubah sikap dan berfikir terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan yang bijaksana, seperti nasihat pendeta, berhambakan tangan, bersaksikan mata, berhakimkan hati.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Ahad, 6 September 2015

ISU ALAM SEKITAR : Kemungkaran kita terhadap alam


OLEH : MOHD AZMI ABDUL HAMID

SEMEMANGNYA ALLAH menentukan berlakunya sesuatu musibah. Akan tetapi sebab-musabab daripada tingkah-laku kita, tidak mempedulikan kerosakan alam sekitar dan mengkhianati amanah ALLAH sebagai khalifah alam, juga perlu diberi perhatian.

Lihat bagaimana kita berlaku biadab atas nama pembangunan, merosakkan hutan, sungai, pantai, laut, bukit, gunung dan sejumlah flora serta fauna yang diamanahkan kepada kita. Pencemaran air dan udara, keracunan akibat penggunaan bahan kimia yang berleluasa dan penyebaran wabak penyakit. Semua natijah daripada kebiadaban kita 'memperkosa' alam tanpa batas.

Lantaran itu kita menerima akibat sehingga alam turut 'mengamuk'. Atas nama pembangunan yang kita laksanakan, kita telah mengetepikan sensitiviti bumi ini. Ekologi yang cukup seimbang telah kita rosakkan sehingga bencana alam semakin kerap dan merata. Insiden bencana yang semakin kerap seperti gempa bumi, ribut taufan, banjir besar, tanah runtuh, penghakisan pantai dan kemarau yang berpanjangan adalah petanda keseimbangan alam telah dirosakkan oleh tangan manusia sendiri.

Perhatikan bagaimana kita menggondolkan bukit kita di seluruh negara. Lihat bagaimana kita menebang hampir semua hutan sehingga sistem tadahan air kita musnah. Bukan sedikit kesan pembalakan rakus yang kita benarkan sehingga sanggup menipu diri dengan menggelar adanya pembalakan haram. Sedangkan balak yang dapat dilihat berlori-lori jelas di atas jalan raya tidak mungkin boleh dikata haram kerana ia bukan bergerak secara sembunyi seperti orang menyeludup dadah.

Kini kita semakin melenyapkan hutan tropika kita, bukan sekadar suatu khazanah yang tidak ternilai malah juga sebagai pengimbang alam untuk dunia. Kekayaan fauna dan flora yang tersimpan di dalamnya diiktiraf sebagai hutan yang mempunyai kepelbagaian spesies yang tertinggi di dunia. Kini kita menghadapi kepupusan pelbagai spesies. Persekitaran kita diporak-perandakan tanpa rasional atas nama mengejar gelaran negara maju.

Sungai yang menjadi sebahagian keperluan manusia telah kita tukar menjadi parit-parit besar. Sampah domestik dan sisa buangan industri dalam skala yang sangat besar disalirkan ke sungai sehingga kondisi sungai berada dalam keadaan parah. Sungai mula 'mengamuk' dengan melimpahkan airnya sehingga berlaku banjir besar yang memusnahkan harta-benda dan meragut nyawa, gara-gara kebiadaban kita merosakkan sistem sungai.

Demikian juga keghairahan kita mendirikan ratusan empangan kononnya untuk pembekalan air dan tenaga hidro, ternyata kesannya telah memusnahkan aliran air sungai yang alami. Kita menenggelamkan ribuan hektar tanah yang melibatkan ratusan perkampungan tradisional atas nama pembangunan menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan. Bukan sahaja ia merosakkan mata pencarian penduduk desa, malah menimbulkan pelbagai kesan sosial kepada masyarakat yang menjadi mangsa kepada pembangunan.

Keghairahan kita menggali sumber bumi dan melombong apa sahaja yang ada dalam bumi, tidak diteliti kesannya kepada kestabilan permukaan bumi. Natijah jangka panjang tidak dipedulikan sama sekali. Eksploitasi terhadap apa sahaja yang ada di perut bumi jelas tidak terbatas.

Natijah yang kita terima akibat 'maksiat' ke atas alam adalah himpunan dosa yang nampaknya dibalas dengan pelbagai bencana alam yang semakin kerap dan kronik. Ribut taufan semakin kerap melanda, banjir berlaku pada kadar yang besar dan meluas, tanah runtuh yang terjadi di mana-mana dan hakisan pantai semakin berleluasa.

Kemungkaran kerana kerosakan moral yang dipamerkan oleh segelintir manusia tidak bertamadun di atas Gunung Kinabalu lalu sepatutnya dibanteras dan jangan dibenarkan berulang lagi. Konsep bumi dan alam yang ada nilai kudus tidak ada dalam kamus sistem hidup sekular dalam masyarakat Barat. Akan tetapi merosakkan alam dengan sengaja oleh tangan kita sendiri melalui polisi pembangunan yang kita biaya dan rancang sendiri, juga adalah kemungkaran yang perlu kita banteras.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Pertahankan budaya bangsa


Oleh : LIM SWEE TIN 

APAKAH kita sudah muak untuk mempertahankan budaya sopan-santun bangsa kita? Sukarkah kita mengekalkan keyakinan bahawa bangsa kita bukan jenis bangsa yang kasar? Pelik atau janggalkah andai kita menerima hakikat bahawa kehidupan kita diselubungi aura halus dan lemah-lembut, yang menjamin kelangsungan rasa hormat, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat?

Adakah kita mahu memusnahkan semua ini, dan bersedia hidup dalam ketakutan, kebimbangan dan ketidakstabilan yang berpanjangan? Adakah kita lebih selesa tercengkam dalam keadaan huru-hara dan kacau-bilau yang tidak berkesudahan?

Menjaga sensitiviti setiap kelompok masyarakat adalah penting. Kita tidak boleh mengharapkan orang selama-lama­nya tidak terasa hati apabila kita terus-terusan mendesak dan mengasak dengan kata-kata kasar yang melukakan, ejekan serta sindiran yang tajam menikam. Kita kadang-kadang banyak mengguris, tetapi apabila ada sedikit tindak balas, dengan pantas kita membalas; “Takkanlah kata begitu pun tak boleh?”

Keangkuhan dan kesombongan jangan dibiar menguasai diri. Kelak semakin membesar dan akhirnya kita sudah tidak mampu lagi mengukur sedalam manakah keangkuhan dan kesombongan itu kerana telah pergi terlalu jauh. Memelihara rasa saling menghormati amatlah penting. Perasaan sebegini sudah kita pupuk berdekad-dekad lama­nya. Kita telah diasuh untuk menghayatinya. Apakah sukar untuk kita mengekalkannya?

Kemesraan bukan berpura-pura. Kemesraan harus dijalin secara tulus ikhlas. Jika dapat kita jalinkan kemesraan dengan begitu indah, mengapa pula hendak mencarik-carikkannya?

Kita kadang-kadang terlupa akan harga mahal yang telah kita bayar untuk semua ini. Dari generasi ke generasi kita te­lah membuat pembayaran yang tidak ternilai demi keharmonian hidup di tanah air, Malaysia. Lalu mahukah kita mele­burkannya dalam sekelip mata?

Tingkah laku dan tindak tanduk kita hendaklah berpada-pada. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Nenek moyang kita selalu mengingatkan jangan celupar. Kita mungkin boleh berkata, saya tidak menyebutnya, hanya tertulis di atas sepanduk. Tetapi bukankah dengan mempamer serta menjulang sepanduk itu, kita mengesahkan yang kita tahu, faham dan memihak kepada kata-kata itu.

Sepanduk yang kita julang itu secara jelas menjadi petunjuk yang kita menyokong, bersikap dan berfikiran sedemikian. Dalam dunia hari ini, sebarang paparan sedemikian boleh dirakam, disebar dan dipamerkan semula, ia menjadi sesuatu yang sukar diubah atau ditarik balik lagi. Mahu tidak mahu kita harus memikul tanggungjawab itu.

Pijak-memijak ini terlalu kasar bagi bangsa Malaysia. Wari­s­­an kita tidak membenarkan hal seumpama ini berlaku. Ia tersangat tidak sopan bahkan kurang ajar dan biadab. Betul, di luar negara ada berlaku perbuatan serupa ini. Apakah perlu kita mencedok bulat-bulat? Kita ada sikap hemah tinggi, amalan berbudi dan menjunjung ‘kesopanan dan kesusilaan’, yang menjadi teras penting Rukun Negara kita!

Ruang untuk mengamalkan nilai-nilai baik dan terpuji sentiasa terbuka. Masyarakat Malaysia perlu melestarikan acuan yang telah kita bina. Setiap orang ada kemarahannya. Sesiapa pun barangkali tidak berpuas hati dalam satu dua atau ba­nyak perkara. Apakah kita mahu setiap orang hanya menghormati perasaan kita tanpa kita juga memikirkan perasaan orang lain?

Kita perlu kembali menjadi bangsa Malaysia di bumi yang tercinta ini. Kita unik kerana warna-warni latar kehidupan kita halus dan cantik. Nenek moyang kita membariskan jutaan peringatan yang penuh berhikmah. Kita anak cucunya tidak perlu mendabik dada mengatakan peringatan itu sudah lapuk ditelan masa. Masih sangat banyak yang berguna dan perlu melandasi kehidupan kita kalaulah benar kita masih sayangkan kedamaian hidup yang kita ada!

Malaysia tiada pilihan selain terus memelihara keharmonian yang kita nikmati sekarang. Kita tidak sama sekali mahu mengikuti jejak sesetengah negara yang rakyatnya berterusan mende­rita dan sengsara. Hidup tidak tenteram, politik porak-peranda dan ekonomi runtuh. Benar, kita boleh mengutip semula serpihan-serpihan kaca yang kita taburkan di halaman dan mengubati kaki kita yang luka. Namun, selalu akan ada kekhuatiran serpihan itu kekal di situ, dan kaki kita tidak pernah sembuh-sembuh.

Oleh itu, lebih baik jangan taburkan serpihan kaca di halaman rumah kita. Marilah kita melangkah dengan tenang tanpa merasa ragu atau bimbang.

DR. LIM SWEE TIN ialah Sasterawan Penerima Anugerah Kesusasteraan Asia Tenggara atau S. E. A. Write Award.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Ahad, 9 Ogos 2015

ISU SOSIAL : Jenayah buli: Perketat lagi penguatkuasaan


KUALA LUMPUR - Penguatkuasaan bagi menangani masalah buli dan kelakuan ganas dalam kalangan pelajar dan remaja di negara ini perlu diperketatkan lagi berikutan kekerapan kes itu berlaku pada masa ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti  Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Romzi Ismail berkata, peringatan terhadap kesan negatif gejala itu perlu kerap dimaklumkan kepada pelajar bagi menghindarkan mereka daripada cenderung melakukan jenayah tersebut.
   
"Pihak sekolah atau institusi pengajian, ibu bapa dan pelajar perlu melihat kembali modul-modul sedia ada bagi mengetahui punca gejala itu berlaku dan mencari jalan penyelesaian," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
   
Beliau berkata, pihak bertanggungjawab perlu melakukan intervensi terhadap gejala buli agar mereka yang terlibat dalam kelakuan itu dibawa ke muka pengadilan.
   
"Program seperti aktiviti pembimbing rakan sebaya dan sesi  kaunseling dapat membantu memupuk kesedaran  dalam diri pelajar, selain pemantauan dari segi emosi dan akademik," katanya.
    
Beliau berkata, kaedah 'role-play' atau lakonan peranan juga boleh dipraktikkan bagi menyelami perasaan individu yang menjadi mangsa buli dan memberi pengajaran kepada mereka agar tidak melakukan keganasan yang sama.
   
Romzi berkata, dari sudut psikologi, kejadian buli berlaku disebabkan pembuli dan mangsa buli mengalami masalah mengenali diri sendiri.
   
Beliau berkata, kebiasaannya mangsa buli merasakan diri mereka lemah, tidak mempunyai kawan, sering memendam perasaan serta tidak berkongsi cerita dengan orang lain menyebabkan mereka rasa terasing daripada kelompok komuniti.

Bagi si pembuli pula, katanya golongan itu sebenarnya tidak mempunyai keyakinan diri, menunjukkan kekuatan bagi melindungi kelemahan mereka dan ada di antara mereka mempunyai pengalaman hitam menjadi mangsa buli atau keganasan lain yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian.
   
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung (NUTP), Hashim Adnan pula berpendapat, usaha menangani isu ini harus giat diteruskan dan tidak boleh dipandang mudah oleh semua pihak.
   
Hashim berkata, antara punca masalah keganasan itu berlaku adalah disebabkan pelajar atau remaja cepat merasa bosan dan mengisi masa terluang dengan aktiviti negatif.
   
"Gejala buli dapat dibendung jika diisi dengan aktiviti bermanfaat seperti kem motivasi dan jati diri bagi mengeratkan hubungan di antara pelajar.
   
"Pengisian kerohanian dalam diri pelajar seperti pendidikan keagamaan dan moral juga penting bagi menggalakkan pelajar berkelakuan baik serta saling hormat-menghormati," ujar beliau. - Bernama

Selasa, 26 Mei 2015

ISU SOSIAL : Didik kanak-kanak terhadap ancaman pedofilia


TATKALA masyarakat Malaysia sudah semakin memahami istilah pedofilia, para ibu bapa terutamanya perlu menyedari bahawa kanak-kanak di Malaysia turut terdedah dengan bahaya jenayah seksual yang dilakukan oleh pedofilia.

Apatah lagi dalam era teknologi komunikasi dan maklumat yang serba canggih pada hari ini, kanak-kanak kini lebih terdedah kepada ancaman pedofilia apabila pelaku mudah mendampingi dan memperoleh imej mereka menerusi rangkaian laman sosial. Yang sedemikian, sangat penting bagi ibu bapa untuk melindungi dan mendidik anak-anak mereka mengenai ancaman berkenaan.

Berbanding dengan negara-negara barat, yang sudah lama mengenal pasti gejala ini dan mempunyai pangkalan data pesalah laku pedofilia, kita tidak mengetahui sejauh mana gejala pedofilia berlaku di Malaysia.

Baru-baru ini isu pedofilia menjadi perbincangan hangat apabila masyarakat di negara ini dikejutkan dengan berita seorang penuntut Malaysia dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh sebuah mahkamah di London apabila mengaku bersalah atas 17 kesalahan memiliki 30,000 imej dan video pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Sudah tiba masa untuk para ibu bapa di negara ini berbicara tentang seks dengan anak-anak, sekali gus mengajar kemahiran melindungi diri daripada gangguan seksual termasuk diajar membezakan cara sentuhan, sama ada ia wajar  atau ia satu perlakuan tidak senonoh. Cuma sejauh manakah sikap keterbukaan mereka dan mendidik anak-anak mereka mengenai ancaman pedofilia?

Mengulas persoalan ini, pensyarah kanan Psikologi Perkembangan Kanak-Kanak Jabatan Psikologi Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Dr Nazariah Shar'ie Janon berkata ibu bapa harus lebih bersikap terbuka dan bersedia menjawab persoalan tentang seks dengan rasional, sesuai dengan usia anak.

"Ibu bapa perlu memberitahu anak-anak bahawa tubuh badan mereka adalah milik mereka sendiri dan mereka tidak boleh membenarkan orang lain menyentuh tubuh badan mereka. Kita sebagai (ibu bapa) terangkan kepada anak-anak tentang empat bahagian penting yang boleh menjurus kepada penderaan seksual iaitu mulut, dada, punggung dan alat kemaluan.

"Empat bahagian ini adalah bahagian sensitif di mana orang lain tidak dibenarkan menyentuh, meraba, mencium atau memegang. Kita perlu maklumkan kepada anak-anak supaya mereka berhati-hati jika mengalami keadaan seperti itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Dr Nazariah berkata, penerangan yang jelas amat penting agar penterjemahan kanak-kanak mengenai isu seks tidak disalahertikan dan anak-anak memahami bahawa keselamatan diri daripada gangguan seksual adalah satu perkara penting yang mesti diingat.

"Contohnya ibu bapa boleh melukis gambar seperti orang lidi dan tandakan bahagian mana yang dikatakan sensitif jadi kalau mereka (anak-anak) berasa sakit dan pernah disentuh ajar mereka menjerit dan maklumkan kepada ibu bapa," katanya sambil menambah kata ibu bapa juga harus mendidik anak-anak mereka supaya tidak mempercayai orang yang tidak dikenali.

Dr Nazariah berkata, adalah lebih baik jika kanak-kanak diberi pendedahan awal pendidikan seks apabila mereka sudah boleh membezakan antara perkara baik dan buruk.

Beliau berkata, sedari awal kanak-kanak perlu dididik mengenai perkembangan fizikal tumbesaran badan peringkat demi peringkat.

"Contohnya, kalau kita (ibu bapa) mempunyai anak-anak berumur dua tahun ke atas beritahu bahawa mereka supaya tidak boleh tunjuk tubuh badan mereka kepada orang lain mahupun ahli keluarga sendiri. Ajar mereka tutup tubuh badan dengan baju atau tuala selepas mandi terutamanya, jadi tidaklah anak-anak ini berbogel selepas mandi," katanya.

Dr Nazariah turut menekankan supaya ibu bapa mengamalkan komunikasi berkesan dan sentiasa meluangkan masa bersama dengan anak-anak untuk berkongsi dan mendengar masalah yang dihadapi mereka, sekali gus membina hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak.

Melalui sentuhan kasih sayang dan kepercayaan yang dibina dalam hubungan kekeluargaan ini, ibu bapa dapat melahirkan anak-anak yang positif.

Mengenai penguatkuasaan undang-undang berhubung jenayah seksual kanak-kanak, Dr Nazariah berkata kerajaan harus sedar bahawa penguatkuasaan undang-undang yang efisien boleh membantu mengekang masalah ini daripada berleluasa.

"Saya rasa dengan ada teknologi hari ini, kita mampu mengakses lebih banyak maklumat.

"Mengapa tidak kita mencontohi negara-negara maju yang sudah lama melihat isu penderaan seksual kanak-kanak ini satu perkara serius dan saya harap kerajaan patut mempunyai undang-undang khas terhadap pesalah jenayah seksual kanak-kanak seperti pedofilia.

"Jangan menganggap isu ini taboo kerana ia boleh menjadi perkara serius jika kita gagal menanganinya dan setakat ini tiada penguatkuasaan atau undang-undang sangat efektif untuk mengesan individu yang aktif memuat turun video dan imej pornografi kanak-kanak di Malaysia," katanya.

Lebih membimbangkan apabila anak-anak diberi kebebasan untuk mengakses internet tanpa kawalan ibu bapa.

Beliau berkata, ini akan memberi jalan mudah kepada individu yang mempunyai keinginan seks terhadap kanak-kanak untuk mencari peluang menjejaki mangsa.

Berikutan itu, Dr Nazariah berkata, kerjasama daripada semua pihak amat penting untuk memastikan pesalah jenayah seksual kanak-kanak dikenakan hukuman setimpal agar kanak-kanak tidak terus menjadi mangsa individu tidak berperikemanusiaan.

Sumber : Bernama (22 Mei 2015)

Isnin, 25 Mei 2015

ISU BAHASA : OUM, DBP bekerjasama martabat bahasa Melayu


KUALA LUMPUR 22 Mei – Kerjasama antara Open University Malaysia (OUM) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berupaya melahirkan lebih ramai pakar dalam bahasa Melayu di samping memartabatkan bahasa berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, ini adalah inisiatif terbaik dalam usaha mengangkat bahasa berkenaan ke peringkat global melalui program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) dengan pengkhususan Bahasa Melayu yang bakal ditawarkan di Universiti Pengajian Antarabangsa Beijing (BFSU), Beijing, China

Katanya, pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian tersebut berpeluang mendapat pengiktirafan ilmiah dan mempunyai kepakaran dalam pengajian bahasa tersebut, sekali gus mampu melestari, memperkenal serta memperkasa penggunaan bahasa berkenaan kepada komuniti bukan masyarakat Melayu.

“Saya yakin dengan pendekatan dan penyampaian yang disediakan oleh pihak OUM bersama-sama DBP melalui pelbagai program, latihan, input dan aktiviti berasaskan pengetahuan akademik bahasa Melayu, dilihat mampu menarik minat bangsa lain untuk mendalami keunikan dan keindahan bahasa tersebut serta budaya yang diamalkan penuturnya.

“Saya lihat perkara ini akan memberi impak positif kepada pelajar di Universiti Beijing agar mereka mampu menguasai, mengamalkan bahasa Melayu dan fasih bertutur menggunakan bahasa tersebut ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara OUM dengan DBP bagi menawarkan Program Bahasa Melayu dan Program Pengajian Melayu di China dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Prof. Dr. Zaharani Ahmad; Naib Presiden Kanan OUM, Prof. Datuk Dr. Mansor Fadzil; Ketua Akademi DBP, Dr. Amran Joned dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Meteor OUM, Prof. Dr. Ahmad Hashim.

Menurut Awang Sariyan, pihaknya bersama-sama dengan OUM akan saling bertukar kepakaran dan berkongsi maklumat dalam hal-hal pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu bagi memastikan matlamat memartabatkan bahasa tersebut berjaya.

Sementara itu, Anuwar berkata, pihaknya akan menyediakan program-program yang bersesuaian dengan pengajian bahasa Melayu sekiranya mendapat kelulusan secepat mungkin dari Universiti Beijing berkenaan penawaran bidang di universiti berkenaan.

Katanya, pihaknya menyasarkan pengajian Bahasa Melayu yang pertama akan bermula pada awal tahun depan sejurus mendapat kelulusan dan melihat program tersebut bakal mendapat potensi besar melalui program jarak jauh dan pendekatan e-Learning.

“Kami juga menyediakan platform e-Learning yang memudahkan pelajar untuk mengakses pembelajaran pada bila-bila masa dengan menggunakan internet. Pengajian melalui e-Learning ini merupakan satu nilai tambah yang terbaik, malah sedikit-sebanyak membantu dan tidak tertumpu kepada pengajaran secara bersemuka bersama-sama tenaga pengajar.

“Saya berharap kerjasama ini dapat mencapai matlamat dalam menyemarak dan memperkukuh pengajian bahasa Melayu agar dapat berkembang dan diangkat sebagai bahasa antarabangsa untuk digunakan di negara-negara lain,” katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 16 Mei 2015

ISU PENDIDIKAN : HARGAI JASA DAN SUMBANGAN GURU


Oleh : NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED 

TEMA sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ta­hun ini adalah Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak. Tema ini membawa makna yang cukup besar sekali gus menggambarkan betapa signifikan sumbangan dan peranan guru yang tidak pernah pudar mahupun ditelan dek zaman.

Peranan guru dalam pelbagai aspek kehidupan anak didik terutamanya dari segi ilmu dan akhlak digambarkan secara menyeluruh melalui tema ini. Tema ini juga memberikan mesej yang cukup jelas mengenai tuntutan dan harapan masyarakat dan negara terhadap peranan guru yang semakin hari semakin mencabar.

Seperti biasa tarikh keramat 16 Mei datang lagi sebagai memenuhi salah satu hari dalam kalendar ha­rian kita dan sekali gus menandakan hari yang telah dimasyhurkan sebagai Hari Guru di negara ini. Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari bulan yang sama dalam 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Fe­deral Legislative Council) telah me­nerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang selepas itu dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajar­an Kebangsaan maka tarikh keramat ini besar maknanya kepada kita semua terutamanya kepada institusi pendidik­an dan perguruan negara.

Saban tahun pelbagai isu mewarnai dunia pendidikan negara baik yang positif dan membanggakan mahupun yang kurang enak untuk kita dengar. Contohnya, beberapa kejadian buruk di sekolah yang melibatkan masalah disiplin pelajar, tindak tanduk guru serta campur tangan ibu bapa terus mewarnai kalendar persekolahan tahunan kita. Malah beberapa insiden di universiti melibatkan mahasiswa dan pensyarah turut mencuri perhatian khalayak. Namun kedudukan guru di mata rakyat tidak pernah pudar mahupun tenggelam.

Cuma ada ketikanya kita terfikir sejauh mana peranan dan sumbangan guru itu dihargai masyarakat. Sebagai peringatan bersama secara ringkas tetapi penuh bermakna marilah kita hayati antara bait-bait keramat dari sajak nukilan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang pada 1979 yang bertajuk ‘Guru Oh Guru’. Antara lain sajak ini berbunyi:

“Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca”

Setiap satu rangkap sajak ini menceritakan sumbangan, peranan dan kejayaan besar guru dalam mendidik dan membentuk peribadi dan karakter dalam masyarakat kita. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita pasti terhutang budi sekurang-kurangnya kepada seorang guru dalam apa jua keadaan sekalipun. Guru juga sentiasa diangkat sebagai agen perubahan sosial yang cukup berkesan. Ringkasnya, tiada kita seperti pada hari ini tanpa ajaran dan bimbingan daripada seorang insan mulia bernama guru.

Adakalanya kita rasa cukup sedih dan kecewa apabila berlakunya kejadian seperti pelajar menampar guru, ibu bapa memarahi guru, kenderaan guru dirosakkan oleh pelajar dan sebagainya yang jelas menunjukkan bahawa kita masih kurang rasa hormat dan sayang kepada insan mulia ini. Dapat dikatakan, guru bertanggungjawab membentuk tamadun manusia melalui penyebaran ilmu dan pembentukan akhlak yang mulia. Jasa guru sama ada guru sekolah, tadika mahupun pensyarah amatlah besar, begitu juga pengaruh mereka.

Justeru, usahlah kita asyik mencari kesalahan mereka semata-mata. Sekarang amat jarang kita dengar pelajar mahupun ibu bapa mengucapkan ‘terima kasih’ kepada guru. Ini adalah perkembangan yang cukup menyedihkan dan sepatutnya tidak berlaku dalam masyarakat kita yang begitu mementingkan gaya hidup yang sopan santun dan nilai-nilai murni sejagat. Walaupun kita juga akui bahawa memang ada segelintir guru yang mungkin bermasalah atas pelbagai faktor peribadi terutamanya bagi mereka yang memilih kerjaya guru kerana terpaksa dan tiada pilihan lain, tetapi adalah tidak wajar untuk kita menghakimi keseluruhan institusi perguruan hanya kerana nila setitik seperti ini.

Hakikatnya, tugas guru pada zaman yang semakin canggih ini dilihat cukup mencabar berbanding guru zaman dahulu. Pelajar sekarang juga didapati lebih tahu serba serbi dan cepat memberontak dan bertindak balas mengikut emosi masing-masing. Akibatnya, guru terpaksa melalui pelbagai dugaan dan rintangan baik di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah, apatah lagi di peringkat universiti dalam memenuhi kehendak dan tuntutan pelajar dan juga ibu bapa mereka.

Maka dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menyedarkan anak-anak mereka mengenai jasa dan sumbangan guru. Anak-anak perlu diajar untuk menghormati guru mereka. Pada masa sama ibu bapa juga perlu percaya dan membenarkan guru menjalankan tanggungjawab mereka tanpa sebarang gangguan jika mahu melihat anak mereka menjadi manusia berguna kelak.

Masyarakat perlu meletakkan guru dalam kedudukan sewajarnya. Perlu diingat bahawa gelaran guru pada seseorang itu akan kekal hingga ke akhir hayatnya yang menandakan tugas mendidik tidak pernah berhenti walaupun guru itu telah bersara dan dianggap sebagai tugas yang kekal hingga ke akhir hayat seseorang individu bergelar guru.

Walaupun ramai masih beranggapan kerja guru mudah, boleh pulang rumah awal, kerja separuh hari dan mempunyai cuti panjang namun tidak ramai sedar, tahu dan menyelami hakikat sebenar tugas seorang pendidik. Tidak ramai yang sedar guru perlu bekerja sehingga lewat petang walaupun mengajar sesi pagi, terpaksa bekerja di hujung minggu serta melayan pelbagai kerenah anak murid dan ibu bapa sepanjang masa. Itu belum lagi soal tugas pekeranian yang semakin bertambah.

Hakikatnya, waktu kerja guru bukanlah mengikut jadual kerja seperti penjawat awam lain iaitu 8 pagi hingga 5 petang tetapi kerja dan tanggungjawab mereka adalah berterusan sepanjang masa iaitu 24 jam tanpa mengira hari dan waktu. Justeru, kita perlu mengiktiraf sumbangan guru dengan sebaiknya. Untuk itu, dalam kita bergerak secara agresif untuk melaksanakan dan menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi mentransformasikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh kita perlu juga memberi fokus kepada kepentingan guru yang merupakan antara komposisi dan pemain utama dalam ekosistem pendidikan negara.

Hal ini penting demi mengangkat martabat profesion perguruan ke tahap sewajarnya sekali gus memperkasakan laluan kerjaya guru itu sendiri. Ini kerana pemantapan profesion perguruan akan turut memantapkan sistem pendidikan negara yang sekali gus mampu melahirkan modal insan dan generasi masa depan yang hebat, berkaliber, serba boleh dan bijak.

Apapun kita tetap berharap agar guru itu sendiri memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh jujur dan ikhlas. Jagalah nama baik dan imej jawatan ini yang sentiasa menjadi sanjungan masyarakat. Jangan sesekali bertindak mengikut emosi. Bersabarlah dengan kerenah anak didik dan teruskan usaha dan niat murni untuk mendidik anak bangsa.

Sama-samalah kita mendoakan agar golongan guru terus memainkan peranan demi melahirkan modal insan dan generasi pelapis yang mempunyai nilai jati diri yang unggul dan boleh menjadi warga yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara secara keseluruhannya. Apapun penulis mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga pendidik di atas jasa dan sumbangan ikhlas selama ini. Selamat Hari Guru, cikgu.


PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/