Ahad, 6 September 2015

ISU SOSIAL : Pertahankan budaya bangsa


Oleh : LIM SWEE TIN 

APAKAH kita sudah muak untuk mempertahankan budaya sopan-santun bangsa kita? Sukarkah kita mengekalkan keyakinan bahawa bangsa kita bukan jenis bangsa yang kasar? Pelik atau janggalkah andai kita menerima hakikat bahawa kehidupan kita diselubungi aura halus dan lemah-lembut, yang menjamin kelangsungan rasa hormat, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat?

Adakah kita mahu memusnahkan semua ini, dan bersedia hidup dalam ketakutan, kebimbangan dan ketidakstabilan yang berpanjangan? Adakah kita lebih selesa tercengkam dalam keadaan huru-hara dan kacau-bilau yang tidak berkesudahan?

Menjaga sensitiviti setiap kelompok masyarakat adalah penting. Kita tidak boleh mengharapkan orang selama-lama­nya tidak terasa hati apabila kita terus-terusan mendesak dan mengasak dengan kata-kata kasar yang melukakan, ejekan serta sindiran yang tajam menikam. Kita kadang-kadang banyak mengguris, tetapi apabila ada sedikit tindak balas, dengan pantas kita membalas; “Takkanlah kata begitu pun tak boleh?”

Keangkuhan dan kesombongan jangan dibiar menguasai diri. Kelak semakin membesar dan akhirnya kita sudah tidak mampu lagi mengukur sedalam manakah keangkuhan dan kesombongan itu kerana telah pergi terlalu jauh. Memelihara rasa saling menghormati amatlah penting. Perasaan sebegini sudah kita pupuk berdekad-dekad lama­nya. Kita telah diasuh untuk menghayatinya. Apakah sukar untuk kita mengekalkannya?

Kemesraan bukan berpura-pura. Kemesraan harus dijalin secara tulus ikhlas. Jika dapat kita jalinkan kemesraan dengan begitu indah, mengapa pula hendak mencarik-carikkannya?

Kita kadang-kadang terlupa akan harga mahal yang telah kita bayar untuk semua ini. Dari generasi ke generasi kita te­lah membuat pembayaran yang tidak ternilai demi keharmonian hidup di tanah air, Malaysia. Lalu mahukah kita mele­burkannya dalam sekelip mata?

Tingkah laku dan tindak tanduk kita hendaklah berpada-pada. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Nenek moyang kita selalu mengingatkan jangan celupar. Kita mungkin boleh berkata, saya tidak menyebutnya, hanya tertulis di atas sepanduk. Tetapi bukankah dengan mempamer serta menjulang sepanduk itu, kita mengesahkan yang kita tahu, faham dan memihak kepada kata-kata itu.

Sepanduk yang kita julang itu secara jelas menjadi petunjuk yang kita menyokong, bersikap dan berfikiran sedemikian. Dalam dunia hari ini, sebarang paparan sedemikian boleh dirakam, disebar dan dipamerkan semula, ia menjadi sesuatu yang sukar diubah atau ditarik balik lagi. Mahu tidak mahu kita harus memikul tanggungjawab itu.

Pijak-memijak ini terlalu kasar bagi bangsa Malaysia. Wari­s­­an kita tidak membenarkan hal seumpama ini berlaku. Ia tersangat tidak sopan bahkan kurang ajar dan biadab. Betul, di luar negara ada berlaku perbuatan serupa ini. Apakah perlu kita mencedok bulat-bulat? Kita ada sikap hemah tinggi, amalan berbudi dan menjunjung ‘kesopanan dan kesusilaan’, yang menjadi teras penting Rukun Negara kita!

Ruang untuk mengamalkan nilai-nilai baik dan terpuji sentiasa terbuka. Masyarakat Malaysia perlu melestarikan acuan yang telah kita bina. Setiap orang ada kemarahannya. Sesiapa pun barangkali tidak berpuas hati dalam satu dua atau ba­nyak perkara. Apakah kita mahu setiap orang hanya menghormati perasaan kita tanpa kita juga memikirkan perasaan orang lain?

Kita perlu kembali menjadi bangsa Malaysia di bumi yang tercinta ini. Kita unik kerana warna-warni latar kehidupan kita halus dan cantik. Nenek moyang kita membariskan jutaan peringatan yang penuh berhikmah. Kita anak cucunya tidak perlu mendabik dada mengatakan peringatan itu sudah lapuk ditelan masa. Masih sangat banyak yang berguna dan perlu melandasi kehidupan kita kalaulah benar kita masih sayangkan kedamaian hidup yang kita ada!

Malaysia tiada pilihan selain terus memelihara keharmonian yang kita nikmati sekarang. Kita tidak sama sekali mahu mengikuti jejak sesetengah negara yang rakyatnya berterusan mende­rita dan sengsara. Hidup tidak tenteram, politik porak-peranda dan ekonomi runtuh. Benar, kita boleh mengutip semula serpihan-serpihan kaca yang kita taburkan di halaman dan mengubati kaki kita yang luka. Namun, selalu akan ada kekhuatiran serpihan itu kekal di situ, dan kaki kita tidak pernah sembuh-sembuh.

Oleh itu, lebih baik jangan taburkan serpihan kaca di halaman rumah kita. Marilah kita melangkah dengan tenang tanpa merasa ragu atau bimbang.

DR. LIM SWEE TIN ialah Sasterawan Penerima Anugerah Kesusasteraan Asia Tenggara atau S. E. A. Write Award.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

2 ulasan: