Rabu, 8 Julai 2009

KALAU DAHI TIDAK MENGENAL SEJADAH DI DUNIA ________________________________________



Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan, 

Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan 
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan 


Tutuplah 'auratmu sebelum 'auratmu ditutupkan 
Dengan kain kafan yang serba putih 
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih 
Walaupun orang yang hadir itu merintih 

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai 
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah 
Dengan empat kali takbir dan satu salam 
Berserta Fatihah, Selawat dan doa 
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah 
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus 
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup? 

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud 
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput? 
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian 
Justeru kumenyeru sekalian Muslimin dan Muslimat 
Usunglah dirimu ke tikar solat 
Sebelum kamu diusung ke liang lahad 
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat 

Iringilah dirimu ke masjid 
Sebelum kamu diiringi ke Pusara 
Tangisilah dosa-dosamu di dunia 
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa' 

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan 
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan 
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan 

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan 
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal 
Bukan yang pergi 

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan 
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan 
Ingatlah di mana saja kamu berada 
Kamu tetap memijak bumi Tuhan 
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan 
Serta menikmati rezeki Tuhan 

Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya 
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya 
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti 
Lalu menjadi segumpal darah 
Lalu menjadi seketul daging 
Lalu daging itu membaluti tulang 
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti 
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu 
Yang kalau jatuh ke tanah 
Ayam tak patuk itik tak sudu 
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu 
Yang lebih agung dari malaikat 

Lahirmu bukan untuk dunia 
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat 

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah' 
Dengan penuh rela dan bersedia 
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah' 
Jalan kemenangan akhirat dan dunia 

Ingatlah yang kekal ialah amal 
Menjadi bekal sepanjang jalan 
Menjadi teman di perjalanan 
Guna kembali ke pangkuan Tuhan 
Pada hari itu tiada berguna harta, takhta dan putera 
Isteri, kad kredit dan kereta 
Kondominium, saham dan niaga 
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia…

(Radio IKIM)


ISU PEMANSUHAN PPSMI 2012

Transformasi kurikulum B. Malaysia

PUTRAJAYA 8 Julai - Berikutan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Kementerian Pelajaran akan mula melaksanakan transformasi kurikulum Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik.

"Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.

"Pada masa sama, pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum Bahasa Malaysia sekolah rendah," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, di peringkat sekolah menengah pula, transformasi kurikulum Bahasa Malaysia akan memberi penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu.

Selain itu katanya, ia juga memberi penekanan kepada soal memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.

Kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, percaya dengan pendekatan baru itu negara akan dapat memartabatkan Bahasa Malaysia, memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting demi masa depan negara.

SUMBER : http://www.utusan.com.my/

ISU PEMANSUHAN PPSMI 2012

12 langkah mantapkan bahasa Inggeris

PUTRAJAYA 8 Julai - Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan 12 langkah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Ia diluluskan Kabinet hari ini selaras dengan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikut langkah-langkah tersebut:

- Menambah seramai 13,933 guru Bahasa Inggeris (BI) termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan 12,333 guru tambahan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

- Menyediakan guru penolong BI gred DG41 bagi kelas besar melebihi 35 murid dalam tahun satu dan dua untuk meningkatkan masa perhubungan guru dan murid.

- Menambah waktu BI bagi sekolah kebangsaan (SK) tahap satu sebanyak 90 minit kepada 330 minit seminggu manakala tahap dua daripada 210 minit kepada 300 minit seminggu.

- Waktu BI bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) tahap satu pula ditambah daripada 60 minit kepada 120 minit seminggu manakala tahap dua ditambah daripada 90 minit kepada 120 minit seminggu.

- Menambah waktu BI bagi tingkatan satu hingga lima daripada 200 minit kepada 280 minit seminggu.

- Peruntukan waktu BI bagi Malaysian University English Test (MUET) tingkatan enam ditambah daripada 320 minit kepada 400 minit seminggu.

- Waktu BI bagi matrikulasi ditambah 100 peratus iaitu daripada tiga jam kepada enam jam seminggu.

- Program Sastera Kontemporari bahasa Inggeris Kanak-Kanak diperkenalkan kepada semua murid sekolah rendah tahap dua untuk mengukuhkan minat membaca dan memperkenalkan unsur-unsur sastera.

- Mewujudkan makmal bahasa Inggeris di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa itu dengan berkesan.

- Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran BI melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.

- Pelajaran tatabahasa Inggeris diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.

- Menyerapkan elemen sains dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran BI untuk mendedahkan murid dengan istilah berkaitan dalam bahasa Inggeris.

SUMBER : http://www.utusan.com.my/

Sains Dan Matematik Dalam BM Dan Bahasa Ibunda 2012 - Muhyiddin

PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuatkuasa pada 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya ketika mengumumkan perkata itu di Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Muhyiddin berkata pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia dan bahasa ibunda akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkat Empat di sekolah menengah yang bermula 2012.

Bagaimanapun, katanya, perubahan itu tidak melibatkan Tingkatan Enam dan matrikulasi.

Beliau berkata untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

Beliau berkata kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang dihasratkan.

"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.

"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik," katanya.

Selain itu, katanya, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap profisiensi.

Katanya peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus," katanya.

Beliau berkata jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.

Muhyiddin berkata laporan "Trends in Mathematics and Science Study 2007" turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007.

"Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007," katanya.

Beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

"Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris," katanya.

Katanya berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil di SJK(T).

Sumber :http://www.bernama.com/