Rabu, 25 Mei 2011

ISU PENDIDIKAN : Sembilan Lagi Sekolah Diiktiraf Sebagai SBT (Sekolah Berprestasi Tinggi)

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu mengumumkan sebanyak sembilan buah sekolah lagi diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort Dua bagi Kumpulan Kedua, menjadikan jumlah SBT pada tahun ini sebanyak 32.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi diberikan status SBT tahun ini ialah 50 buah sekolah.

"Ia dicapai melalui program handholding atau bimbingan kepada sekolah-sekolah yang berpotensi, yang dapat mengenal pasti kekuatan dan kekurangan masing-masing untuk mencapai status SBT," katanya pada majlis pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 2, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Sebanyak 20 buah sekolah telah diumum sebagai SBT Kohort Pertama pada tahun lepas, menjadikan jumlah keseluruhan sekolah SBT setakat ini 52 buah di seluruh negara.

Muhyiddin berkata sembilan sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban; Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu; Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Sains Kuching, Sarawak, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor, Kuala Selangor dan Sekolah Menengah Agama Naim LilBanat, Kota Baharu.

Bagi kategori sekolah rendah, pengiktirafan SBT diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tung Hua, Sibu.

Muhyiddin berkata terdapat SBT yang dilawati oleh negara luar seperti Singapura, Thailand, China, Jepun dan Finland bagi tujuan penandaarasan.

Katanya ini membuktikan bahawa sekolah ini telah berjaya menarik minat negara lain untuk mengadakan kerjasama bagi tujuan peningkatan pencapaian secara keseluruhan.

Beliau berkata pengiktirafan SBT tertakluk kepada satu set KPI merangkumi bidang akademik (50 peratus), kokurikulum (30 peratus), Jaringan dan Jalinan (10 peratus) dan Etos & Watak Sekolah (10 peratus). - BERNAMA

Pesalah Juvana : Sekolah integriti sedia kemudahan lengkap

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my

SEJAJAR dengan slogan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), 'Pendidikan untuk Semua', Kementerian Pelajaran tidak mengetepikan pesalah Juvana untuk mendapatkan pendidikan seperti rakan mereka di sekolah biasa.

Menyedari pentingnya pendidikan untuk semua, kerajaan menubuhkan sekolah integriti, institusi pendidikan untuk pesalah juvana pada 2008. Penyediaan kemudahan itu sebagai usaha menjana modal insan tidak kira tempat mereka berada atau tahap umur pelajar.

Sekolah integriti untuk pesalah berusia 21 tahun ke bawah ditempatkan dalam kawasan penjara biasa tetapi semua kemudahan diasingkan daripada banduan lain.

Sekolah berkenaan beroperasi di Sungai Petani, Kedah; Kajang, Selangor; Kluang, Johor; Marang, Terengganu; Kota Kinabalu, Sabah; dan Kuching, Sarawak.

Ketua Unit Pendidikan, Ibu Pejabat Penjara, Shamsuddin Mustapha, berkata kini ada 89 guru bertugas di enam sekolah integriti dan tiga Sekolah Integriti Henry Gurney.

Selain itu, beliau berkata, Bahagian Pendidikan Khas, bertanggungjawab mentadbir Sekolah Henry Gurney yang ditubuhkan lebih awal dan kini ditukar nama iaitu Sekolah Integriti Henry Gurney Telok Mas, Melaka (lelaki dan wanita) serta Sekolah Integriti Henry Gurney Keningau, Sabah.

“Guru berkenaan bertanggungjawab mendidik 753 pesalah juvana berusia antara 14 hingga 21 tahun tetapi kebanyakan mereka berusia 17 hingga 19 tahun,” katanya ketika ditemui di Penjara Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Shamsuddin berkata, sekolah integriti menggunakan kurikulum sama dengan sukatan pelajaran sekolah biasa dan mempunyai kemudahan sama di sekolah luar penjara iaitu bilik darjah, makmal komputer, padang atau gelanggang sukan, surau dan bilik guru.

Beliau berkata, pesalah juvana yang sudah disabitkan kesalahan atau masih ditahan reman yang baru dimasukkan ke mana-mana sekolah integriti akan menjalani proses orientasi selama 14 hari.

Tempoh ini katanya, bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan suasana sekolah dengan bimbingan agama untuk pelajar Islam, kawat dan disiplin diri.

“Selepas itu, mereka ditemubual penyelia penjara, guru dan kaunselor untuk menilai tahap akademik atau kecenderungan mereka sebelum disalurkan ke aliran akademik, kemahiran atau pendidikan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Komandan Sekolah Integriti Kajang, Ketua Inspektor Noor Alang Wangsa Mohamad Nor, berkata sekolah itu mempunyai 226 pelajar termasuk enam dalam pendidikan tinggi, iaitu menyambung pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dengan OUM.

Katanya, kebanyakan pesalah dan tahanan reman itu melakukan kesalahan samun, merogol dan bergaduh serta bergaduh dengan senjata.

“Hanya segelintir daripada mereka disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Senjata Api atau Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh atau kesalahan bersabit dadah,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL(JENAYAH) : Gunakan Air Dan Serbuk Penaik Untuk Kurangkan Kesan Asid

KUALA LUMPUR: Beberapa siri insiden serangan asid di Lembah Klang baru-baru ini jelas menimbulkan ketakutan di kalangan orang awam, terutamanya kaum wanita.

Sehingga kini, sejumlah 23 kes dilaporkan sejak Mac namun orang yang bertanggungjawab masih bebas lepas.

Namun, seorang pakar kimia Prof Dr Zainudin Arifin berkata orang ramai tidak seharusnya berasa cemas dan terancam dengan insiden berkenaan.

"Mereka seharusnya keluar dan pergi bekerja seperti biasa, dan pada masa sama mereka hendaklah mengambil tindakan dan langkah keselamatan. Kesan akibat simbahan asid boleh dikurangkan jika mereka tahu apa yang hendak dilakukan," katanya kepada Bernama, Selasa.

Bagi mencegah kesan penghakisan teruk dan kecacatan kekal pada kulit, Zainudin daripada Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Malaya menasihatkan kaum wanita supaya membawa sebotol air dalam beg tangan mereka dan menggunakannya untuk mencuci simbahan asid jika kejadian seumpamanya berlaku kerana air adalah bahan pelarut mudah mencairkan kimia.

"Cuci bahagian badan dan bersihkan simbahan asid dengan menggunakan sebanyak air yang mungkin kerana masa amat kritikal ketika ini. Jika anda melengahkan pencucian asid itu, kesan lebih buruk dan menakutkan akan berlaku.

"Dapatkan sebanyak air dan berada di dalam aliran air sekurang-kurangnya 15 minit, lebih baik jika dapat 30 minit, kemudian tukar pakaian dan hanya selepas itu anda dapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata jika serbuk penaik, sodium bikarbonat boleh diperoleh, mangsa simbahan asid boleh mencampurkannya dengan air dan meletakkan di kawasan yang terkena simbahan asid bagi meneutralkan kesan asid berkenaan.

"Dan jika dalam paling teruk di mana tiada air boleh diperoleh, lap kawasan yang terkena simbahan asid dengan sebersih-bersihnya," kata beliau.

Beliau juga mencadangkan kaum wanita menggunakan alat pelindung keselamatan seperti kaca mata besar. Mengenai insiden simbahan asid yang berlaku di sekitar Lembah Klang ini, Zainuddin percaya bahan yang digunakan dalam serangan berkenaan bukan larutan beralkali seperti yang dilaporkan tetapi adalah asid cair.

Katanya terdapat empat jenis asid yang lazimnya mudah diperoleh di pasaran iaitu asid formik, asid hidroklorik, asid sulfurik dan asid nitrik.

Beliau berpendapat bahawa cadangan kerajaan untuk mengawal jualan asid di pasaran tidak sesuai dan tidak akan dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

"Jika ada seorang yang lemas, adakah kita akan melarang semua orang daripada berenang? soalnya.

Beliau berkata cadangan ini juga tidak membantu memandangkan asid merupakan bahan penting bagi kebanyakan industri pembuatan dan pertanian.

Asid boleh diperoleh dengan mudah di kedai-kedai menjual alat perkakasan dan ia juga digunakan untuk tujuan pembersihan.

"Mengenai kegunaan asasnya, asid sangat berkesan sebagai agen bagi membersihkan kotoran.

"Dan sebagai negara perindustrian, kita menggunakan banyak asid terutamanya asid sulfurik, yang juga merupakan sejenis bahan yang paling banyak dikeluarkan dan bahan penghakis paling berkesan," katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilaporkan sebagai berkata beliau akan mencadangkan kepada Kabinet untuk menghadkan penjualan asid berikutan insiden yang berterusan berlaku itu. - BERNAMA