Oleh : Dr Rozieta Shaary
Boleh dikatakan semua tahu
pentingnya ciri-ciri keibubapaan yang baik. Namun, dalam dunia semakin maju dan
bergerak pantas, ramai lupa tujuan sebenar hidup di dunia ini. Begitu juga ibu
bapa yang keliru dengan tanggungjawab disebabkan kehidupan tidak seimbang
antara kerjaya dan rumah tangga.
Walaupun sedar kepentingan memberikan tumpuan sewajarnya, aspek keibubapaan terpaksa diletakkan di belakang.
Natijahnya, ramai anak yang dilahirkan hebat, perlahan-lahan menjadi anak yang
bermasalah dalam masyarakat.
Akibatnya, dunia menjadi semakin
tenat dengan penyakit sosial berleluasa. Bolehkah kita berdiam diri dan
membiarkan keadaan ini menular atau bolehkah kita mencari jalan penyelesaian?
Insiden pukul ketua kelas
Apa yang berlaku baru-baru ini di
sekolah menengah di Pulau Pinang, ketua kelas dipukul oleh rakan rakan sekelas,
sepatutnya membuka mata dan hati kita. Perkara ini berlaku bukan untuk kita
bercakap dan menuding jari, tetapi sebagai cara Allah mentarbiah kita supaya
peka dengan mesej yang tersirat dalam peristiwa itu.
Apakah peranan yang hendak kita
mainkan? Menyalahkan ibu bapa anak-anak yang memukul rakannya itu atau kita
mahu membantu semua sedar bahawa keibubapaan sangat penting dan perlu dipandang
serius.
Sebagai ibu bapa kita tidak hanya
menjaga anak tetapi menjadi ‘seperti aur dengan tebing’ iaitu membantu ibu bapa
yang lain mendidik anak. Kita hidup dalam komuniti, seperti domino apabila
jatuh sekeping, maka akan terus menjatuhkan yang lain.
Sebagai warga komuniti, negara
dan dunia, kita perlu berusaha membina generasi berwibawa serta pengasih.
Tempat untuk bermula ialah mengambil perhatian penuh dan berusaha memperbaiki
skil keibubapaan kita.
Allah telah mengingatkan dalam
firman-Nya: “Wahai orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu
daripada neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah al-Tahrim,
ayat 6)
Seperti batu dilontar ke dalam
tasik yang tenang, akan menghasil gelombang mengembang ke gigi tasik. Begitulah
usaha yang bermula dari rumah akan mengembang ke seluruh komuniti, negara dan
dunia.
Menghasilkan generasi yang
berwibawa, pengasih dan berakhlak mulia memerlukan kita kembali kepada al-Quran
dan sunnah Rasulullah SAW sebagai petunjuk untuk menjaga keluarga serta membersihkan
hati.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya
berbahagialah sesiapa yang membersihkan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang
yang mengotorkannya.” (Surah Asy-Syams, ayat 9-10)
Keperluan membersihkan jiwa
adalah untuk berkhidmat dan beramal soleh kerana semua itu tidak dapat dicapai
tanpa niat yang ikhlas. Niat tidak boleh menjadi ikhlas apabila jiwa tidak
bersih. Jiwa pula tidak boleh bersih jika hati tidak penuh dengan kasih sayang
kepada pencipta dan ciptaan-Nya.
Kasih sayang bentuk anak
Melalui kasih sayang kita membina
dunia yang indah untuk anak-anak dan membina anak-anak yang cemerlang untuk
dunia.
Daripada Amirul Mu’minin, Abi
Hafs Umar bin Al-Khottab, katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang
(akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan.”
Imam Al-Ghazali telah mengatakan,
jika ada sesuatu niat bermula dengan pemikiran dan dikuatkan dengan kusyuk
(ghairah) di dalam hati, maka satu molekul akan wujud di alam fizikal. Niat
yang kuat akan menjadi realiti di sekeliling kita.
Begitulah Allah memberi manusia
kebolehan untuk mencipta sesuatu. Di situlah mengapa dituntut untuk kita
membersihkan jiwa. Supaya apa yang kita cipta adalah sesuatu yang menjadi amal
soleh yang membawa kebaikan kepada manusia dan segala ciptaan Allah.
Semoga jiwa bersih yang dimiliki
oleh ibu bapa akan melahirkan anak yang cemerlang seterusnya mewujudkan
masyarakat harmoni yang akan memastikan kemakmuran serta kestabilan negara dari
aspek pembangunan, pentadbiran dan sosial.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/