Selasa, 17 Julai 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Mengekang Ancaman Senjata Biologi Di Malaysia


 Kuala Lumpur : Serangan kuman anthrax di Amerika Syarikat pada 2001 membuktikan bahawa senjata biologi berkesan dalam membunuh dan menimbulkan suasana panik.

Laporan Senjata Biologi oleh Bio Weapons Prevention Project 2004, mencatatkan tujuh kematian dan 17 lagi mengalami jangkitan daripada agen biologi itu.

Ketakutan terhadapnya turut dirasai di negara lain termasuk Malaysia apabila spora bakteria anthrax itu disebarkan dalam bentuk serbuk dengan mengepos kepada individu tertentu di pelbagai pelosok dunia.

Ancaman itu telah dinilai sebagai satu bentuk serangan yang berpotensi menggugat kesejahteraan sosial dan ekonomi.

Selain itu ia juga membuktikan serangan menggunakan senjata biologi boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

BAHAYA SENJATA BIOLOGI

Percubaan menggunakan senjata biologi bukanlah sesuatu yang baru kerana pada tahun 300 Masehi karya silam Parsi, Greek dan Roman merekodkan perbuatan membuang bangkai haiwan ke dalam sumber air bagi memusnahkan musuh. Bagaimanapun, dengan peredaran zaman dan perubahan pesat teknologi, kini senjata biologi boleh dihasilkan dengan mudah dan disembunyikan serta sukar dikesan.

Dengan tempoh pengeraman yang singkat serta boleh dijangkakan, ia kini menjadi pilihan dalam membawa kemusnahan sejagat.

Keadaan ini dimudahkan dengan kewujudan mikro-organisme penyebar penyakit kepada manusia yang sukar dikenalpasti, menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Datuk Dr Abdul Ghaffar Ramli.

Ini kerana agen biologi bukan sekadar digunakan untuk menghapus manusia terpencil malah ia turut digunakan sebagai agen utama yang dapat membunuh dalam skala lebih besar dalam tempoh yang singkat, menyebabkan ia tergolong sebagai senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

"Agen penyebarnya adalah manusia sendiri, selain haiwan dan tumbuhan. Ia lain daripada senjata konvensional seperti bom, senjata nuklear dan kimia yang memerlukan peralatan tertentu untuk melepaskannya di lokasi yang disasarkan.

"Senjata biologi, tidak memerlukan semua itu. Hanya perlu masuk ke negara sasaran untuk melepaskan kuman itu," katanya kepada Bernama dalam satu temubual di pejabatnya baru-baru ini.

Senjata biologi menjadi kebimbangan seluruh dunia kini dan Malaysia juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan segala kemungkinan berkaitan dengan senjata biologi itu.

Ditambah dengan langit berbuka yang membolehkan seseorang sampai dengan mudah dari sebuah negara ke negara lain yang secara tidak langsung meningkatkan lagi risiko ancaman.

"Kita biasa lihat serangan kumpulan berani mati mengebom tempat awam, tidak mustahil satu hari nanti kumpulan seperti ini melepaskan agen biologi di tempat orang ramai, di dalam kapal terbang dan seumpama.

"Mereka tahu, serangan biasa mungkin tidak berkesan, jadi mereka bangunkan kuman itu di makmal dan bawa ke negara sasaran dan lepaskannya untuk melumpuhkan ekonomi dan populasi sesebuah negara itu," katanya.

SALAH GUNA AGEN BIOLOGI

Tidak seperti bahan kimia yang boleh dikesan dengan teknologi terkini. Tidak ada satu pun teknik yang boleh mengesan seseorang membawa agen biologi melainkan dengan bantuan kepakaran perisikan, katanya.

Dr Ghaffar berkata semenjak serangan anthrax, banyak negara di dunia terutama negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah telah meningkatkan tindakan kawalan terhadap agen biologi agar ia tidak disalahgunakan.

"Mengambil contoh serangan anthrax, ia dilakukan oleh seorang saintis bernama Bruce Edwars Ivis yang menghasilkan di makmalnya, malah banyak insiden yang berlaku di dunia yang menggunakan toksin dan kuman bagi mengancam musuh," katanya.

Cara yang sama pernah digunakan oleh pasukan perisik Rusia untuk membunuh ejennya yang berpaling tadah. Mereka bertindak meletakkan saxitoksin yang dihasilkan oleh percambahan organisme laut dalam bilangan besar khasnya algae.

Racun saxitoksin ini dikatakan pernah digunakan untuk menikam ejen Rusia yang berpaling tadah dengan toksin itu terus menyerang paru-paru hingga menyukarkan penafasan dan membuatkan seseorang itu kejang serta akhirnya membawa maut.

Kerana itu saxitoksin diletakkan dalam Jadual Pertama Akta Konvensyen Senjata Kimia, agar penyelidikan dan penggunaan serta penyimpanannya dikawal.

BANYAK SUMBER TOKSIN BIOLOGI

Sebenarnya sumber-sumber toksin ini wujud secara semulajadi dan dari masa ke masa mengancam orang ramai.

Contohnya, masyarakat nelayan di Sabah sering berhadapan dengan ancaman saxitoksin daripada percambahan alga sehinggakan masyarakat di Pulau Gaya di situ dikatakan menggunakan kucing untuk menentukan sama ada kerang  selamat untuk dimakan atau sebaliknya.

"Menjadi kebimbangan sekiranya tidak dikawal, ada pihak tertentu mengambil kesempatan dengan mengekstrak racun itu dan menyimpannya untuk disalahgunakan.  Ini yang perlu dikawal kerana pelbagai cara boleh digunakan musuh termasuk dengan cara melumpuhkan ekonomi," katanya.

Seperti yang berlaku pada serangan virus Nipah sebagai penyebab wabak penyakit pada khinzir dan manusia di Semenanjung Malaysia antara hujung tahun 1998 sehingga bulan Mei 1999. Ia memberi kesan kepada industri penternakan khinzir, malah kerugian yang ditanggung oleh penternak akibat serangan virus masih belum ditebus semula walaupun hampir 15 tahun telah berlalu.

"Bayangkan sekiranya ada pihak yang menyebarkan agen biologi untuk melumpuhkan industri penternakan seperti lembu, ayam, mahupun kambing yang mewakili hampir 70 peratus sumber makanan manusia. Pastinya ia akan memberi kesan kepada ekonomi dan kehidupan," katanya.

RANG UNDANG-UNDANG BAHARU

Untuk melaksanakan langkah pencegahan bagi memastikan kawalan agen biologi dan toksin, satu undang-undang khusus perlu diwujudkan di negara ini.

Sehingga ini tidak ada perundangan dan peraturan yang boleh mengawal dan memantau dengan berkesan penyelidikan dan aktiviti berkaitan agen biologi dan toksin berbahaya yang boleh digunakan bagi tujuan keganasan dan peperangan. Abdul Ghaffar berkata Rang Undang-Undang Konvensyen Senjata Biologi dan Toksin itu mampu mencegah usaha pihak-pihak tertentu menghasil, membangun dan menyimpan agen biologi dan toksin untuk tujuan tidak baik. "Ia perlu agar negara dapat melaksanakan pematuhan terhadap Konvensyen Senjata Biologi yang telah ditandatangani pada 10 April, 1972 dan meratifikasinya pada 6 September, 1991. "Selain itu aspek keselamatan pertahanan negara antara ciri penting yang akan dilihat dalam draf rang undang-undang itu termasuk mengambil kira perkembangan teknologi terkini," katanya.

Sejak 2008, Kementerian Pertahanan melalui STRIDE telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan melibatkan penggubal dasar dan pakar-pakar dari 23 agensi kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri bagi membincangkan kandungan rang undang-undang itu.

UNDANG-UNDANG  TENTUKAN  ATUR CARA KAWALAN

Melalui undang-undang baru ini juga Malaysia akan dapat mematuhi artikel III yang mana negara tidak boleh memindahkan atau dalam apa-apa cara membantu dan menggalakkan mana-mana pihak untuk memperoleh atau mengekalkan senjata biologi dan artikel IV memerlukan negara mengambil apa-apa langkah perlu dan berkesan bagi melaksanakan peruntukan konvensyen dalam negara.

Siri bengkel, forum dan perbincangan menghasilkan rang undang-undang juga telah mengenalpasti pelbagai masalah terutama kebimbangan saintis yang berasa kurang selesa terutama apabila penyelidikan mereka dipantau selain denda yang dianggap terlalu tinggi.

Melalui rang undang-undang itu, berdasarkan kepada jenis agen biologi dan toksin yang dikawal, saintis perlu memaklumkan aktiviti yang dilakukan.

"Saintis tidak boleh anggap ia menyusahkan, kerana tujuannya adalah untuk memastikan aktiviti penyelidikan yang dijalankan adalah secara sistematik dan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, usaha mengawalnya dapat dijalankan dengan lebih mudah dan berkesan," katanya negara turut bekerjasama baik dengan negara serantau dan Amerika Syarikat agar langkah yang diambil adalah selari.

Beliau berkata usaha kini adalah untuk memberi kesedaran terutama kepada saintis agar mereka bertanggungjawab atas kajian yang dilakukan, mengikut peraturan serta merekod dan melaporkan kajian itu. "Kita bimbang, saintis diperguna pihak tertentu tanpa mereka sedari ia boleh memberi kesan dan ancaman kepada masyarakat, ekonomi dan negara.

"Ini yang kita mahu elakkan," katanya yang turut berharap penguatkuasaan akta baru itu nanti akan dijalankan oleh pihak yang neutral sifatnya setelah diluluskan di Parlimen. - BERNAMA

ISU KENEGARAAN : Semarakkan sambutan kemerdekaan dengan bendera kebangsaan


Oleh : MOHD. AYOP ABD RAZID

BULAN Ogos dan September merupakan bulan-bulan bersejarah buat negara kita yang tercinta. Ogos adalah bulan kemerdekaan, manakala September merupakan Hari Malaysia. Negara kita merdeka pada 31 Ogos 1957, manakala penubuhan Malaysia pula ialah pada 16 September 1963. Ini bermakna pada tahun ini kita menyambut hari kemerdekaan negara ke-55 dan Hari Malaysia ke-49.

Antara aktiviti yang boleh dikatakan wajib bagi menyambut bulan kemerdekaan ialah mengibarkan 'Jalur Gemilang', bendera kebanggaan negara. Bagi mereka yang nipis sifat kenegaraannya mungkin akan bertanya, "apa faedahnya mengibarkan bendera" Sebaliknya, bagi mereka yang faham dan menebal semangat kenegaraannya akan berfikir secara positif erti sebuah bendera.

Walaupun bendera hanyalah selembar kain yang dicorakkan dengan warna dan lukisan tertentu, namun bagi rakyat yang tinggi sifat patriotisme melihat Jalur Gemilang mempunyai nilai dan darjat yang cukup istimewa.

Memang makna dan erti sebuah bendera sangat dalam dan berharga. Bagi sebuah negara berdaulat, bendera merupakan simbol dan juga identiti penting bagi negara itu. Bendera melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan sesebuah negara. Ia juga memiliki makna ideologi bagi negara itu.

Kajian ilmu tentang bendera (ilmu veksilologi ) yang diasaskan oleh Whitney Smith, 1957 adalah bukti begitu pentingnya nilai dan makna bendera bagi bangsa yang bertamadun. Kajian tentang bendera ini cukup luas cakupannya merangkumi sejarahnya, reka bentuknya, bahagian-bahagian dari bendera tersebut, gaya, warna, gambarnya, protokol-protokol bendera dan apa jua yang berkaitan dengan bendera.

Sepanjang sejarahnya, bendera yang digunakan oleh pelbagai bangsa dan negara itu mempunyai variasi (kepelbagaian) yang unik. Pada awalnya, bendera digunakan untuk membezakan pihak yang sedang berperang. Dalam sejarah Perang Salib antara Islam dan Kristian, kedua-kedua pasukan terbabit akan membawa dan mengibarkan bendera mereka bagi membakar semangat tentera dan rakyatnya.

Tugas memegang bendera biasanya akan diserahkan kepada seorang atau beberapa pahlawan yang kental semangat juangnya agar tidak jatuh ke tanah. Mereka akan mempertahankan bendera masing-masing sebagai lambang kedaulatan.

Penggunaan bendera kemudiannya berkembang sebagai simbol kelompok masyarakat, kelompok agama serta kelompok-kelompok lainnya. Akhirnya, bendera menjadi simbol negara-bangsa dan juga organisasi-organisasi seperti yang kita kenal sekarang.

Jelaslah bahawa kewujudan bendera itu mempunyai akar umbinya tersendiri. Seorang warganegara yang baik dan prihatin terhadap kedaulatan negaranya akan memberikan penghormatan sewajarnya terhadap bendera tanah airnya. Ia tidak akan memijak, menconteng dan mengoyakkan bendera tanah airnya.

Ia juga akan memastikan bendera yang ingin dikibarkan itu berada dalam keadaan yang baik dan sempurna. Bendera akan dilipat dan dibentangkannya dengan baik dan tertib serta diletakkan di tempat yang bersih dan layak.

Bendera bagi sesebuah negara turut dihargai oleh negara atau bangsa lain. Misalnya, apabila ketua tertinggi sesebuah negara itu mengadakan kunjungan hormat ke sebuah negara lain maka bendera negara tamu itu akan turut dikibarkan mengikut protokolnya. Dalam pertandingan sukan antarabangsa, bendera negara-negara yang mengambil bahagian akan dikibarkan dengan megahnya.

Namun, kerap juga berlaku bendera bagi sebuah negara dijadikan sasaran oleh negara lain terutamanya ketika saat krisis kedua-dua negara itu menjadi genting. Mungkin rakyat dari salah sebuah negara yang berkrisis itu menunjukkan kemarahan atau protes mereka dengan cara membakar, mengoyak, menginjak-injak bendera seterunya.

Justeru, sudah sewajarnya di seluruh pelosok tanah air, pada saat bulan kemerdekaan ini terutama menjelang 31 Ogos yang semakin hampir ini, maka sepatutnya kita dapat menyaksikan kibaran Jalur Gemilang di premis-premis bangunan, kediaman dan kenderaan.

Apatah lagi jika ia dilakukan dengan penuh penghayatan terhadap erti sebuah kemerdekaan. Oleh itu, aktiviti tradisi patriotisme mengibarkan bendera kemegahan negara pada setiap bulan Ogos tidak boleh dilunturkan dari sanubari rakyat negara ini.

Justeru, untuk merangsang, membangkit dan melonjakkan momentum kibaran Jalur Gemilang ini maka Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menganjurkan program "Kibaran Jalur Gemilang" sebagai aktiviti menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan negara ke-55.

Program yang dinaungi oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan ini akan diadakan  17 Julai 2012 (Selasa) di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur. Lokasi-lokasi tersebut ialah di Kampung Baru, Jalan Petaling dan Little India, Brickfield.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa orang menteri akan turut serta dalam program ini. Alangkah meriahnya seandainya orang ramai, khususnya yang berada di lokasi-lokasi di mana program ini berlangsung dapat turut serta di lokasi-lokasi yang terbabit.

PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : KPT Akan Terus Usaha Tingkat Jumlah Pelajar Lelaki Di IPT


Oleh IZRA ABD RAHMAN

PUTRAJAYA : Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan meneruskan usaha bagi menggalakkan dan memupuk minat pelajar-pelajar lelaki menyambung pengajian di peringkat universiti.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana, seperti tahun-tahun terdahulu, calon perempuan tetap mendominasi kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuklah pengambilan sesi baru ini.

"Tahun ini bilangan calon perempuan yang ditawarkan tempat melebihi calon lelaki dengan jumlah seramai 25,372 orang berbanding calon lelaki hanya 13,177 orang.

"Ini bermakna usaha berterusan untuk menimbulkan minat dan menggalakkan pelajar lelaki menyambung pengajian ke universiti khususnya perlu dilakukan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada bakal mahasiswa di Majlis Impianku Ke Menara Gading, dekat sini, Selasa.

Mohamed Khaled berkata kerajaan perlu meneruskan usaha ini agar proses pembangunan modal insan dalam negara dapat dilaksanakan secara seimbang.

"Usaha kita bukan dengan cara kurangkan kemasukan pelajar perempuan dan bawa masuk pelajar lelaki.

"Kita kekalkan kemasukan calon perempuan tetapi teruskan usaha untuk menjadikan jumlah pelajar lelaki seimbang dengan wanita," jelasnya.

Menurut Mohamed Khaled, kaedah terbaik mengatasi situasi ini ialah dengan mengkaji sistem pengajian di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Kaedah itu katanya mampu menangani masalah keciciran sekali gus dapat membuka ruang dan peluang kepada pelajar lelaki.

"Kita kena faham bagaimana lelaki (pelajar) berfikir...mungkin mereka tak sesuai dengan pendidikan berorientasikan peperiksaan.

"Mungkin mereka lebih cenderung kepada bidang penerokaan dan bidang kreatif," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata usaha-usaha yang dilakukan kerajaan ini menunjukan kerajaan amat serius dalam soal akses pendidikan tinggi kepada rakyat.

Beliau menjelaskan semua pihak tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, negeri mempunyai akses untuk pendidikan tinggi.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengakui penawaran tempat di universiti pada tahun ini sedikit berkurang berbanding tahun lalu.

"Tempat terhad dan persaingan sengit...itu kita tak nafikan," tegasnya.

Perkara ini berlaku atas beberapa faktor termasuklah autonomi yang diberikan kepada Universiti Penyelidikan (RU) mengenai pengurusan kemasukan pelajar secara independen dan penambahan jumlah pelajar peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Pada majlis itu, seramai 48 bakal mahasiswa daripada pelbagai latar belakang diraikan oleh KPT.

Mereka termasuklah pelajar cemerlang daripada golongan orang kelainan upaya (OKU), anak peneroka Felda, Orang Asli, atlet, bumiputera Sabah dan Sarawak serta pelajar kembar.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Peluang Lepasan STPM/Matrikulasi Dapat Tempat Di IPTA Masih Terbuka



Oleh IZRA ABD RAHMAN

PUTRAJAYA : Masih terdapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi lepasan pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)/Matrikulasi/Asasi yang layak melanjutkan pengajian mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tawaran tersebut dibuka untuk pelajar yang layak ke IPTA tetapi tidak mendapat tawaran kemasukan.

Bagaimanapun tawaran yang dibuat nanti bukan merupakan kursus pilihan yang dipohon pelajar.

"Ada pelajar yang dapat purata mata timbunan (CGPA) 3.0 untuk matrikulasi...dapat keputusan cemerlang dalam STPM tapi tidak mendapat tempat.

"Mereka yang berjumlah 683 orang ini kalau mereka boleh terima apa sahaja tawaran yang kita beri berasaskan proses rayuan, mereka boleh (dipertimbang) mendapat tempat," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Mohamed Khaled berkata, tempat yang ditawarkan di IPTA di seluruh negara untuk kemasukan sesi 2012/2013 bagi peringkat ijazah pertama berkurangan pada tahun ini.

Beliau turut menjelaskan pencapaian keputusan peperiksan pelajar yang semakin meningkat setiap tahun menjadikan persaingan untuk ke IPTA, khususnya menjadi sengit.

"Maka ada pelajar yang tak berjaya melanjutkan pengajian di universiti. Ada yang berjaya tetapi tak berjaya dapat kursus pilihan mereka," katanya.

Tahun ini, sebanyak 63,467 calon STPM/Matrikulasi/Asasi memohon menyambung pengajian di peringkat ijazah pertama.

Daripada jumlah itu seramai 52,430 calon layak dipertimbangkan tempat di IPTA.

"Setelah proses pemilihan,  sebanyak 38,549 daripada calon yang layak ditawarkan tempat di 20 IPTA," katanya lagi.

Terdahulu Mohamed Khaled menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada 48 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di IPTA dalam Majlis "Impianku Ke Menara Gading" anjuran Kementerian Pengajian Tinggi.

Pelajar tersebut terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU), Orang Asli, atlet, pasangan kembar dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU SOSIAL : Memerangi kumpulan ajaran sesat di Malaysia


Oleh : Datuk Othman Mustapha

PENYELEWENGAN akidah dan masalah ajaran sesat boleh merencatkan usaha kerajaan dalam membangun ummah dan menyebarkan fahaman Islam di Malaysia. Faktor ini boleh menyebabkan beberapa perubahan negatif terhadap kepercayaan, sikap dan amalan dalam masyarakat umat Islam di negara ini.

Di Malaysia, kajian mendapati bahawa ajaran dan amalan sesat bergerak secara senyap- senyap atau tanpa disedari semasa Islam mula bertapak di negara ini pada abad ke-15 lagi. Ia dipercayai turut dibawa secara imigrasi yang membawa fahaman asal yang ada antaranya ciri-ciri ajaran animisme dan adat yang tidak selaras dengan Islam.

Ajaran sesat yang bergerak cergas di seluruh Malaysia sebelum 1980-an bukan sahaja telah mengalami pengurangan bahkan kebanyakan dapat dibanteras oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak  yang berkaitan.

Berdasarkan kajian Jakim, ajaran sesat yang dikategorikan sebagai aktif sehingga Mac 2001 adalah sebanyak 26 kumpulan meliputi pelbagai bentuk amalan seleweng, penggabungan dengan amalan pembomohan, persilatan serta amalan khurafat seperti amalan sihir, penggunaan jin atau hantu. Beberapa daripada kumpulan berkenaan telah difatwa dan diwartakan oleh negeri-negeri sebagai sesat.

Ajaran sesat adalah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang didakwanya berdasarkan kepada ajaran Islam atau didakwa tidak berlawanan dengan ajaran Islam, tetapi sebenarnya ajaran atau amalan itu berlawanan dengan akidah dan syariah Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

Hasil daripada tindakan agresif yang dilakukan oleh agensi-agensi yang terlibat dalam usaha membanteras ajaran sesat ini maka jumlah ajaran sesat tegar di Malaysia akhir- akhir ini dikenal pasti sebanyak tujuh kumpulan. Kumpulan tersebut adalah kumpulan Al- Arqam/Rufaqa'/Global Ikhwan Sdn. Bhd, Pertubuhan Kerabat Raja Sakti-penjenamaan semula dari Ajaran Azhar Wahab (Al-Mansur), Ajaran Ilmu Hakikat, Ajaran Islam Jamaah, Ajaran Qadiani Ahmadiah, Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya dan Ajaran Aurad Ismailiah.

Golongan pengamal ajaran sesat kerap menggunakan beberapa taktik sebagai umpan untuk mendapatkan pengaruh daripada kalangan masyarakat. Di antaranya adalah janji dan jaminan yang boleh merangsang seseorang itu terpengaruh untuk mendapat manfaat duniawi dan ukhrawi.

Sementara itu, cara pergerakan ajaran sesat adalah dengan mendekati mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti jahil, mudah terpengaruh dengan kawan, ghairah dengan kerohanian, tertipu, ingin berubat penyakit, kesilapan memahami asas-asas akidah dan disebabkan faktor kekayaan dan mencari pengaruh.

Selain itu, antara faktor penyebab penyelewengan akidah umat Islam di negara ini adalah kerana tersebarnya buku berunsur ajaran sesat atau melalui koleksi khas para guru ajaran sesat berkenaan serta individu yang cuba menonjolkan diri sebagai orang yang arif dalam ilmu-ilmu pengubatan dan agama yang semata-mata bertujuan memperolehi kepentingan diri atau lain-lain kepentingan.

Ada pelbagai ciri amalan yang dilakukan oleh kumpulan ajaran sesat ini di Malaysia dan dikenalpasti oleh pihak berkuasa agama. Antaranya, mempercayai orang mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya, bersumpah tidak akan menceritakan ajaran yang diikutinya kepada orang lain, mengaku dirinya atau gurunya sebagai nabi, mengaku dirinya memiliki barang-barang peninggalan Rasulullah SAW seperti pedang dan sebagainya, mempercayai semua ajaran adalah sama, semua menuju ke syurga, mengakui diri sebagai wali atau mempunyai keramat, mempercayai gurunya boleh memberi syafaat di akhirat, mengakui dirinya atau gurunya sebagai Imam Mahdi, meninggalkan sembahyang Jumaat kerana bersuluk dan lain-lain.

Dalam usaha mengatasi masalah itu, pihak berkuasa agama Islam negeri dan Jakim bekerjasama erat melalui pelbagai program yang bertujuan mengembalikan mereka kepada akidah seperti proses pemulihan akidah, program-program penjelasan akidah dan penerbitan bahan penerbitan.

Selain itu, kerajaan mempunyai strategi dan platform khusus untuk mengenalpasti dan membanteras ajaran sesat ini antaranya melalui Jawatankuasa Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS), proses pewartaan fatwa yang bermula dari penerimaan aduan, kajian, pembentangan melalui Panel Kajian Akidah (PKA) seterusnya melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Jakim juga sentiasa memaklumkan perkembangan melalui Majlis Raja-raja dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Jakim turut mewujudkan strategi Rancangan 5 Tahun Membanteras Ajaran Sesat yang dibentuk pada setiap lima tahun bagi membendung perkara ini hingga ke akar umbi.

Secara keseluruhan, saya mendapati dengan wujudnya undang-undang yang disertakan penguatkuasaan diyakini dapat membendung gejala ini. Walaupun pelbagai perancangan dilakukan oleh pihak kerajaan, namun ia tidak akan memberi kesan tanpa kerjasama, bantuan dan kesedaran dari masyarakat bagi mengatasi gejala tersebut dari terus berleluasa.

Penulis ialah Ketua Pengarah Jakim.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Perlembagaan dan perpaduan etnik


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

NEGARA ini telah melalui proses pembentukan negara bangsa selama hampir 55 tahun walaupun prosesnya bermula berdekad lamanya. Asas pemikiran kesemua pemimpin adalah ke atas pendefinisian identiti nasional sebagai warga Malaysia. Yang mahu dicari adalah titik keseimbangan memberikan definisi kepada budaya bangsa dan kemunculan alam Melayu dengan pengaruh Hindu, Buddha, Cina, Aceh, Bugis serta kehadiran Islam.

Alam negara dan pemimpin juga diikat dengan intervensi penjajahan yang cuba menggugat kedaulatan bangsa, membentuk negara-bangsa acuan mereka serta unsur kapitalisme yang mempengaruhi dasar kolonialisme ketika itu termasuk dasar 'pecah dan perintah' yang mentadbir-urus Persekutuan Tanah Melayu dengan pembahagian kepada tiga termasuk Negeri Bersekutu, Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. British tidak pernah membuat usaha mentadbir sebagai unit yang sama, malahan lebih tertarik dengan limpahan sumber tanah air.

Ada juga yang menganggap Perlembagaan dirangka untuk melindungi kepentingan ekonomi dan pertahanan British. Ketika itu, ia turut mempengaruhi kedudukan Raja-Raja Melayu tetapi ramai yang tidak mengetahui bahawa persetujuan Raja-raja Melayu amat signifikan dalam membawa kemerdekaan kepada tanah air.

Penjajahan juga tidak membawa perubahan besar kepada masyarakatnya dan ia ketara ketika kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Jika diteliti; yang diperlukan oleh negara bangsa yang merdeka adalah pembentukan sebuah kerajaan yang ampuh, memahami persekitaran dan sejarah kedaulatannya.

Yang memudahkan kepimpinan waktu itu adalah perkongsian kuasa gabungan besar bercirikan kepelbagaian. Memandangkan kekuatannya adalah kepelbagaian, maka ia memberikan motivasi dan keazaman kepada kepimpinan tersebut untuk 'berkorban dan berkompromi' kerana asas kepada warisan kepimpinan adalah kepada 'demografi dan geografi' negara ini terutama faktor penghijrahan akibat pengaruh dagangan dan agama.

Yang ketara, asas pemikiran pembentukan Perlembagaan adalah untuk membina dan mengisi sebuah negara-bangsa, maka apakah bentuk yang perlu dibina dan apakah pengisian yang diperlukan?

Sudah pasti pembinaannya adalah berpaksikan kepada 'Kontrak Sosial': Agama, Bahasa, Institusi Raja-Raja Melayu, Kedudukan bumiputera dan kaum lain serta Kewarganegaraan. Ia selari dengan pendirian kepimpinan hari ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan Hari Kebangsaan Ke-53 pada 31 Ogos 2010 bahawa - 'teras perpaduan kita haruslah bersifat mapan. Untuk itu, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum sepertimana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni rukun negara dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial nasional'.

Teras utama keluhuran Perlembagaan adalah melahirkan identiti bangsa. Kesinambungan yang wujud hari ini adalah berasaskan kepada pendirian kepimpinan yang mahu mencari titik keseimbangan dalam pentadbiran sebuah negara yang rencam dengan alam persekitaran dan kehidupan yang unik ini.

Dalam mengukuhkan kedudukan tadbir- urus apatah lagi dengan pemerintahan sendiri, formulanya adalah tanggungjawab bersama daripada lensa 'perkongsian' dan 'kepunyaan' dalam lingkaran politik yang terasnya adalah etnik. Asas pemikiran kepimpinan adalah untuk 'mengurus hubungan antara etnik' sebagaimana yang terbukti dari formula 4+1 di bawah Kontrak Sosial.

Pemimpin mengetepikan beberapa kepentingan etnik masing-masing; semangat perkongsian hidup sebagai satu keluarga besar; toleransi, hormat-menghormati; saling faham memahami. Kepelbagaian memberi kekuatan.

Prinsip asas negara tidak boleh dikompromi dan generasi baru perlu sedar kepentingannya. Ini kerana tanggungjawab kewarganegaraan adalah tanggungjawab bersama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan. Ia bukan Perlembagaan bukan orang Melayu dan ia juga bukan Perlembagaan untuk orang bukan Melayu; Perlembagaan Malaysia adalah untuk keseluruhan warga Malaysia yang bertanggungjawab ke atas tanah airnya.

Sewaktu pembentukan Perlembagaan, kita berhadapan dengan desakan luaran terutama penjajah dan desakan dalaman dari orang Melayu dan bukan Melayu tetapi akhirnya sumbangan untuk ketika itu yang juga membawa kepada penubuhan Malaysia dan penentangan komunis adalah Perlembagaan.

Keunikan politik gabungan membolehkan lahirnya Perlembagaan. Tanpa Kontrak Sosial, tidak mungkin wujud Perlembagaan dan tanpa ada Perlembagaan, Malaysia tidak akan mengecapi 55 tahun merdeka tahun ini. Kontrak Sosial adalah gambaran hubungan etnik, kemerdekaan, Perlembagaan dan pemerintahan sendiri.

Kepelbagaian etnik harus dilihat memberikan kekuatan dan bukan sebagai liabiliti. Perlembagaan pernah diuji pasca-peristiwa 13 Mei 1969; diuji mengenai resolusi konflik termasuk dilema ke atas formula yang dipersetujui sebelumnya.

Cabaran besar adalah krisis identiti dan pembentukan negara bangsa akibat desakan dan bangkangan dan tentangan dari dalam dan luar. Ekspektasi menggunung tinggi dan pemimpin baru ketika itu yang mahu melanggar arus kerana kurang yakin dengan politik akomodasi; membawa kepada politik komunalisme yang ketara pada 1969.

Di manakah 'politik perkauman' dalam konteks persekitaran politik hari ini; apakah selepas Mac 2008, masing-masing yakin bahawa kita sudah bergerak melangkaui politik perkauman atau ia semakin menjadi tebal dalam kalangan segelintir warganya?

Dalam berhadapan dengan krisis pengisian ke atas negara bangsa, kepimpinan masih meletakkan kepercayaan ke atas 'mengurus hubungan etnik' bersaratkan kepada nilai 'perkongsian' walaupun boleh memilih untuk bersifat homogenus dari keutamaan kepada masyarakat yang heterogenus. Legitimasi ini lahir dari Perlembagaan sendiri dan bukan dokumen lain walaupun kita turut akan menghubungkaitkan dengan Rukunegara, Wawasan 2020 dan dasar kerajaan yang lain.

Partisipasi politik dan pendemokrasian juga menjejaki fasa baru dalam persekitaran yang kompleks. Budaya menyanggahi kepimpinan ketika itu wujud secara halus dan kritikal.

Dalam alam yang penuh emosi dan kemarahan, kerajaan membuktikan kewibawaan dalam mengurus demografi dan geografi negara ini untuk menunjukkan bahawa masing-masing perlu bertanggungjawab ke atas persekitaran yang mereka huni. Kaedah untuk berhadapan dengan isu sensitif terutama sebagaimana yang sudah dipersetujui di bawah Formula Kemerdekaan; memperluaskan konsensus politik dengan penjenamaan 'kerajaan perpaduan nasional' diperkenalkan.

Memahami Perlembagaan dan Kontrak Sosial akan menggambarkan kekuatan dirinya untuk menjadi warga Malaysia yang setia, bangga dan mahu bersama dalam pertahankan hubungan etnik dan hak sebagai warga.

Siapa Warganegara? Apa hak warganegara? Jika merasakan ada 'kebebasan'/hak hari ini, persoalan dari mana datangnya 'kebebasan'/hak ini mesti dijawab. Hak mempunyai beberapa elemen termasuk peri-pentingnya hak asasi; kepentingan nilai manusia; pentingnya akal; hak pemilikan dan kesejahteraan; nilai warisan keturunan dan sistem persanakan yang terurus dengan baik; dan hak jati diri manusiawi.

Jangan disalahkan Perlembagaan jika memilih untuk melihat ia hanya dari satu belah kacamata tanpa mahu melihat keseluruhannya. Perkara 3 (Agama bagi Persekutuan); Perkara 152 (Bahasa kebangsaan); Perkara 153 (Perezapan kuota mengenai perkhidmatan, permit dsb., untuk orang Melayu); Perkara 39 (Kuasa memerintah Persekutuan) dan Bahagian III (Kewarganegaraan) mesti diketahui secara menyeluruh dan bukan sekadar kiasan semata-mata.

Perlembagaan dan perpaduan juga bergantung kepada hubungan resiprokal penggubal, pelaksana dan kumpulan sasar jika mahu mantapkan kemuafakatan dalam kalangan ahli masyarakat.

Perkembangan kenegaraan telah menyebabkan ada yang terkehadapan dan ada masih terkebelakang. Namun, kepentingan 35 peratus di bawah garis kemiskinan perlu dijaga kebajikan akan tidak songsang dengan kehidupan berkualiti.

Indikator terbaik adalah tanggungjawab meringankan beban kelompok daripada mana-mana etnik sekalipun dengan kemudahan asas dan keperluan seharian agar jiwa merdeka Malaysia tidak dicabut daripada dirinya.

Titik peluh mereka juga menyumbang kepada kemerdekaan dan pengisian ke atas kemerdekaan serta pembinaan Perlembagaan. Perlembagaan turut memelihara hak mereka sebagaimana hak warga lain kerana Perlembagaan Malaysia adalah untuk keseluruhan rakyat Malaysia tanpa wujud Perlembagaan yang berbeza mengikut latar belakang etnik dan kelas masyarakat.

Ketika menyingsing 2020, nilai 'kepunyaan' dan 'perkongsian' akan mampu melahirkan bangsa Malaysia dengan pendefinisiannya merujuk kepada seorang yang bangga menjadi warga Malaysia, fasih berbahasa Melayu dan menjunjung ketertinggian Perlembagaan sebagaimana yang dikonseptualisasikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains KemasyarakatanUniversiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Anugerah yang sangat mencabar


Oleh : A KADIR JASIN

PETANG semalam, 16 Julai, saya menerima anugerah Tokoh Wartawan Negara daripada Institut Akhbar Malaysia (AIM). Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin (Tan Sri).

Dengan izin, saya ingin berkongsi dengan pembaca dan pembahas teks penuh ucap balas saya di majlis itu dengan harapan ia sedikit sebanyak memberi manfaat.

Adalah kebiasaan dalam upacara seperti ini bagi hadirIn mengharapkan penerima menyatakan sesuatu yang mendalam – profound – dan si penerima pula berasa perlu mempamerkan kehebatannya.

Kalau andaian saya itu tepat dan saudara-saudari mengharapkan sesuatu yang “profound”, saya mohon maaf. Saya tidak akan menyatakan apa-apa pun yang mendalam.

Saya sekadar hendak bercerita, mengucapkan syukur kepada Ilahi dan terima kasih kepada begitu banyak orang dan pihak yang menolong meletakkan saya di mana saya berada hari ini, bersama nama-nama besar dunia kewartawanan Malaysia – A Samad Ismail, Lee Siew Yee, Ishak Haji Muhammad, Mohd Fuad Stephans, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Zainuddin Maidin dan Liew Chen Chuan. Berada di kalangan mereka, yang sesetengahnya adalah guru, ketua dan mentor saya, adalah penghormatan yang sangat mencabar.



Mula-mula sekali saya ucapkan terima kasih kepada Siti Sarah, anak tok panglima yang cantik jelita. Kerana kerinduan kepadanyalah, berkesudahan dengan saya menjadi seorang pemberita. Kepada jiwa remaja saya, dialah gadis Melayu paling jelita. Kerana kejelitaan dan ketinggian pangkalan sosialnya, maka rindu saya kepadanya kelu, tidak terucapkan. Sah, sampai hari ini pun dia tidak tahu tentang rindu dan berahi saya kepadanya.

Pada suatu senja, pada bulan Mei tahun 1969, ketika mengayuh basikal lima kilometer pulang ke rumah setelah mencuri pandang Siti Sarah menyapu sampah di halaman rumahnya, sepupu merangkap teman akrab saya, Nawawi memberitahu mengenai iklan jawatan wartawan oleh Bernama dalam akhbar Utusan Malaysia. Mungkin itulah tuah Siti Sarah. Saya memohon dan memperoleh jawatan pemberita percubaan. Tepat sebulan lalu, pada 16 Jun, gelaplah 43 tahun saya menjadi wartawan.

Cinta lara saya terhadap Siti Sarah kekal bisu sebagai legasi jiwa remaja yang sarat dengan asmara. Terima kasih Siti Sarah, di mana pun anda berada.

Dan, kepada Allahyarham ayah saya, yang kalau tidak kerana kata dua dan aspirasinya, saya mungkin meneruskan cita-cita zaman kanak-kanak untuk menjadi penjerat burung yang terhebat di kampung saya, sehebat datuk saya. Kata ayah (dengan izin): “Hang mengaji pandai-pandai atau jadi macam aku ikut pungkur kerbau.”

Ayah lulus darjah empat sekolah rumi dan empat tahun sekolah pondok, menjadi pesawah, peniaga kecil, anggota Home Guard and politikus kampung. Tetapi dia seorang Melayu yang intelektual yang mendahului  zaman serta tempat mastautinnya.

Dia memperkenalkan saya kepada Gamal Abdel Nasir, Soekarno, Dr Muhamed Hatta, Kwame Nkrumah, Jomo Kenyatta, Fidel Castro, Ho Chi Minh dan Marshall Tito dan kepada hikayat erotik Seribu Satu Malam yang saya curi baca. Dia juga, dengan izin, seorang “buffalo whisperer” - pembisik kerbau - yang hebat. Dia boleh memerintah kerbau yang membantunya di bendang untuk berjalan, berhenti, pusing kanan dan kiri. Terima kasih ayah, moga-moga rohmu sentiasa dirahmati.

Kepada emak yang tidak kenal abc dan alif ba ta. Wanita kampung yang buta huruf inilah yang melahirkan dan membesarkan lapan orang anak dalam suasana yang serba kekurangan. Wanita yang masih mengusap rambut saya dan mencium saya seolah-olah saya tidak pernah dewasa. Terima kasih emak. Moga-moga ALLAH panjangkan usiamu.

Dalam suasana dunia baru tanpa sempadan di mana ramai ibu bapa lebih berupa “pembuat dan pengeluar” daripada pendidik, mempunyai ibu bapa yang peka dan peduli adalah rahmat yang sangat besar.

Kerana itu jugalah dalam penulisan saya, saya kerap menyentuh tentang peri perlunya amalan keibubapaan yang sempurna dan unggul.

Saya juga, seperti banyak saudara saudari di sini, tidak akan berada di  mana kita berada kalau tidak kerana guru-guru kita yang peduli, komited dan penuh pengorbanan seperti Allahyarham Cikgu Datuk Shaari Abu Bakar, guru besar saya di Sekolah Melayu Pendang pada tahun 50-an yang telah saya ceritakan berulang kali.

Dialah guru dan dialah bapa pengganti (surrogate father) pendidikan saya. Saya telah menceritakan bagaimana pada suatu hari dia menyatakan yang dia akan membawa saya menduduki satu peperiksaan di Alor Setar. Dengan kereta Morris Minornya, dia membawa 5 orang murid darjah 4 untuk menduduki peperiksaan Special Malay Class Entrance Examination.

Kerana tidak tahu hujung pangkal saya gagal. Pada tahun berikutnya, beliau membawa saya sekali lagi untuk menduduki peperiksaan yang sama. Kali ini saya berjaya. Maka bermulalah pendidikan aliran Inggeris saya.

Cikgu Shaari telah lama kembali ke rahmatullah. Tetapi bersama kita hari ini ada seorang lagi guru seperti itu yang mengajar saya bahasa dan sastera Melayu dan lebih daripada itu, mengenai kesederhanaan dan dedikasi. Terima kasih Cikgu Datuk Wan Shamsuddin Wan Mohd Yusof, Tokoh Guru Kedah, Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Maal Hijrah Kedah.

Banyak lagi orang seperti itu dalam hidup saya - daripada gadis-gadis jelita yang buat mereka saya tuliskan puisi dan seloka cinta kepada orang politik yang mengajar saya bahawa kebenaran (truth) tidak semestinya fakta tetapi apa yang umum percaya dan Dugalia Huso, mangsa pembersihan etnik orang Serbia di Bosnia Herzegovina Serbia yang diseksa semata-mata kerana dilahirkan tidak sempurna.

Kepada Allahyarham Tun Ghazali Shafie aka King Ghaz yang menengking saya di hadapan ratusan orang besar di Lapangan Antarabangsa Subang pada 1981. Akibat tengkingan itu saya mendalami hal-hal berkaitan perang saraf dan dasar luar Malaysia.

Saya bertuah kerana perjalanan kewartawanan saya telah mencakupi zaman semua Perdana Menteri Malaysia – bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera, anak raja yang jiwanya bersama rakyat jelata. Tunku yang tidak berpura-pura tentang dirinya dan tidak membezakan antara seorang wartawan veteran dengan pemberita muda seperti saya.

Membuat liputan kegiatan Tunku pada tahun-tahun akhir pentadbirannya dan tahun-tahun awal kerjaya saya adalah pengalaman yang menjadi akar tunjang dan tiang seri karier saya. Pernah suatu ketika dalam lawatan ke Langkawi, wartawan-wartawan kanan meminta ulasan Tunku mengenai kenyataan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew. Tunku cuma menjawab dengan dua patah perkataan yang tidak sedap pada pendengaran.

Saya tidak melaporkannya. Sebaliknya saya menulis mengenai rancangan Tunku memajukan Langkawi menjadi destinasi pelancongan. Keesokan harinya saya terperanjat besar dan bos-bos saya di Kuala Lumpur marah besar kerana saya, dengan izin telah “missed” satu berita yang besar di mana Tunku dilaporkan telah mengecam hebat Encik Lee.

Saya bergegas ke pejabat Utusan Melayu di Alor Setar dan bertanya wartawan “eccentricnya”, Pak Mansor Tobeng bilakah Tunku menyatakan hal seperti yang dilaporkan oleh Utusan Melayu, Straits Times dan Straits Echo itu?

Pak Mansor menjawab, dengan Tunku kita boleh membuat interpretasi kenyataannya asalkan telahan kita itu tepat dan positif. Peristiwa itu memperkenalkan saya kepada “interpretative reporting” secara literal dan kepada keistimewaan – privilege - yang dinikmati oleh wartawan.

Seperkara lagi yang saya pelajari mengenai Tunku adalah masa terbaik mendapatkan maklumat dan ulasan daripada beliau adalah selepas beliau menang golf atau selepas tidur sebentar selepas makan tengah hari.

Sekali pernah Tunku memberikan saya interview eksklusif mengenai perjanjian pertahanan lima negara yang membabitkan Malaysia, Singapura, Britain, Australia dan New Zealand. Interview ini berlangsung di bawah sayap kapal terbang di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Entahlah, mungkin saya nostalgia atau zaman sudah berubah dan yang berlalu itu tidak akan kembali lagi, tetapi pada awal-awal kemerdekaan tanah air kita sehingga beberapa dekad selepas itu, wartawan – tua dan muda – mudah berjumpa untuk bertanya dan mencari berita daripada pemimpin segenap lapisan sehinggalah Perdana Menteri.

Walaupun ancaman komunis bersenjata masih berlaku, Perdana Menteri awal seperti Tunku dan Tun Abdul Razak seolah-olah tidak mempedulikan keselamatan peribadi mereka.

Ke mana pun mereka pergi, mereka dikelilingi rakyat. Polis dan tentera berada jauh, sekadar melihat dan mengawasi. Tidak wujud pada waktu itu istilah turun padang kerana pemimpin yang dipilih rakyat sentiasa berada di padang, sawah dan bendang, kebun dan ladang bersama rakyat jelata yang memilih mereka.

Kata pujangga, masa berlalu suasana berubah. Hari ini, sama ada kerana kesilapan menggunakan bahasa atau kecetekan pemikiran, kita setiap hari membaca tentang pemimpin dan pembesar turun ke padang seolah-olah wujud kekangan dan pemisahan di antara yang dipilih dan yang memilih.

Hari ini, wartawan tidak lagi perlu berkejar ke hulu-hilir berebut-rebut mencari telefon awam, meminjam telefon balai polis dan kedai kopi cina untuk menghantar berita.

Mereka tidak perlu lagi mengetuk kuat mesin taip Royal, Underwood atau Olivetti. Mereka tidak perlu lagi belajar menggunakan teleprinter dan membaca pita berlubang (perforated tape). Mereka tidak perlu lagi mencari pejabat Western Union di Wall Street, memberi wang saku kepada pengendali mesin teleprinter di Kantor Pos, Jalan Jeneral Sudirman di Jakarta atau membawa kad kredit International Telecommunication Union (ITU). Segala-galanya ada di hujung jari.

Mungkin kerana itu jugalah kreativiti seperti yang saya ketahui pada zaman saya dan diajarkan di kelas-kelas kewartawanan, mula menjadi sesuatu yang asing bagi banyak pengamal media.

Pembacaan, penyelidikan dan artikulasi telah digantikan oleh jalan pintas Google dan Yahoo di mana potong dan tampal sudah menjadi amalan. Tidak hairanlah kalau plagiarisme dan ciplak telah menggantikan kreativiti dan ketulenan.

Menjadi pemberita mudah. Tulis berita jadilah kita pemberita. Tetapi untuk menjadi wartawan yang unggul dan berguna kepada masyarakat, lebih sukar daripada itu. Sedikit sebanyak ia memerlukan ketekunan, keberanian dan pengorbanan. Ia memerlukan kecintaan kepada ilmu dan keinginan untuk berkongsi idea dengan khalayak.

Wartawan, hatta betapa baik dan mesra wataknya tidak mempunyai kawan. Kerana kawan boleh menjadi lawan dengan sebaris tulisan atau seminit ucapan. Wartawan hanya mempunyai kenalan.

Tetapi sekiranya kenalan boleh menjadi sahabat yang abadi, maka terbuktilah bahawa masyarakat sudah boleh menerima kritikan dan mengiktiraf peranan media sebagai pelapor, pengajar dan penghibur. Itulah suasana unggul yang saya rasa yang perlu diwujudkan iaitu wartawan bebas membuat laporan dan ulasan tanpa khalayak berasa bahawa ada agenda di sebaliknya.

Untuk menyemarakkan suasana yang unggul itu, wartawan haruslah lebih gigih, lebih bersedia belajar, lebih berani menyatakan pandangan dan tidak terlalu akrab dengan kelompok-kelompok kuasa sehingga mereka menjadi terikat dan terhutang budi, dan kerana itu tidak dapat lagi berkarya dengan bebas dan terbuka.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pelantikan Guru Ikuti Program Pensiswazahan Akan Disegerakan


BUKIT MERTAJAM : Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata urusan pelantikan seramai 7,975 orang guru lulusan program pensiswazahan guru, akan dilakukan secepat mungkin.

Beliau berkata pada 23 Mei lepas Kementerian Pelajaran menerima waran untuk kenaikan pangkat ke DG41 bagi Pegawai Perkhidmatan Lepasan Diploma (PPLD) yang berjaya menamatkan pengajian di bawah program pensiswazahan guru.

"Penangguhan selama dua tahun untuk pelantikan itu telah menjadi satu daripada sebab ramai guru yang tidak mahu mengikuti program pensiswazahan. Pihak kementerian akan usahakan agar perkara ini diselesaikan secepat mungkin.

"Diharapkan ramai lagi guru akan mengikuti program pensiswazahan guru ini. Ia penting untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan guru di samping memartabatkan profesion perguruan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penganugerahan perkhidmatan cemerlang 2012 Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang di sini, Selasa.

Mohd Puad berkata kerajaan menjangkakan pada tahun 2020 semua guru di seluruh negara mempunyai ijazah. Sejak diperkenal pada 2006 hingga kini, seramai 70,062 guru mengikuti dan berjaya menamatkan program pensiswazahan guru.

Beliau berkata kementerian menyasarkan seramai 22,102 orang guru akan mengikuti program pensiswazahan bagi pengambilan kedua pada September.

"Bagaimanapun sehingga semalam (16 Julai), hanya 3,528 orang yang membuat permohonan. Diharap ramai lagi guru yang akan memohon," katanya.

Katanya kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion bagi menjayakan program pensiswazahan guru ini.

Guru-guru berkenaan akan mengikuti pengajian jarak jauh di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dari tiga tahun setengah sehingga empat tahun. -BERNAMA