Isnin, 7 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Tandas sekolah diberi penarafan


 Oleh : NORIZAN ABDUL MUHID

Mulai tahun ini, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah dalam usaha mengamalkan budaya tandas sekolah bersih terutama kepada golongan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, usaha itu bakal digerakkan melalui penyebaran poster berkaitan amalan dan budaya kebersihan tandas  termasuk buku Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah di semua sekolah bermula bulan ini.

"Usaha berkenaan bagi mempergiat amalan menjaga kebersihan dalam kalangan murid dan diharapkan melalui golongan ini, amalan itu dapat diperhebatkan kepada masyarakat secara menyeluruh," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, baru-baru ini.

Selain itu, beliau memberitahu, tahap kebersihan kantin dan dapur sekolah di seluruh negara semakin baik apabila 98.8 peratus daripada 8,321 kantin sekolah didapati bersih dengan markah 70 peratus ke atas melalui Penggredan Kantin Sekolah dan Dapur Asrama Sekolah yang dijalankan pada tahun 2012.

''Kementerian mempunyai senarai kantin dan dapur sekolah yang menerima markah bawah 70 peratus dan mereka ini diberi perhatian khusus seperti pemeriksaan akan dibuat pada bila-bila masa supaya mereka dapat meningkatkan tahap kebersihan," katanya.

Beliau turut menegaskan, mana-mana kantin yang tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan pihaknya akan mengenakan tindakan tegas seperti premis mereka disita serta merta.

Pada masa yang sama, katanya, pada tahun lalu, sebanyak 12 kantin sekolah dan lapan dapur asrama ditutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

Kata Ka Siong, antara aspek yang diambil kira dalam pemeriksaan itu termasuk tahap kebersihan pengendali, penyimpanan bahan mentah dan masakan, kebersihan premis serta kawalan serangga seperti lipas dan tikus.

Beliau berkata, selain menyediakan garis panduan mengenai jenis makanan yang tidak boleh atau tidak digalakkan dijual di sekolah, kementerian turut menjalankan kempen bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pemakanan golongan itu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tiba masanya pencapaian pelajar lelaki meningkat


Oleh : Ruhaiza Rusmin

JURANG dominasi pencapaian akademik yang ketara antara pelajar lelaki dan perempuan bukan isu yang boleh dipertikaikan.

Namun, kebimbangan pelbagai pihak mengenai jurang sedia ada perlu diberi perhatian demi memastikan proses kelangsungan pendidikan antara dua gender itu dapat diimbangi dengan baik.

Penguasaan pelajar perempuan dalam pencapaian akademik yang sentiasa cemerlang bagai memberi isyarat bahawa pencapaian pelajar lelaki mesti diperbaiki jika tidak mahu terus ketinggalan.

Biarpun sistem pendidikan yang diguna pakai tiada bezanya untuk mengukur kapasiti pencapaian dua gender, mengapa pencapaian pelajar lelaki tetap tidak setara?

Ini menimbulkan persepsi, pelajar lelaki memang mempunyai tahap kepandaian rendah berbanding pelajar perempuan hingga menjadikan mereka ‘populasi’ yang semakin mengecil dalam pencapaian akademik.

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar berkata, memang ada perbezaan tahap perkembangan di antara pelajar lelaki dan wanita.

Beliau berkata, biarpun dominasi pencapaian akademik lebih terarah kepada perempuan, akan tiba masanya lonjakan pencapaian pelajar lelaki mengatasi pelajar perempuan.

“Perkara ini tidak mustahil kerana proses pengembangan, cara berfikir dan pendedahan berbeza.

“Pada peringkat awal, kecemerlangan pelajar perempuan agak ketara kerana mereka terdidik dengan sistem pembelajaran berstruktur,” katanya.

Berdasarkan kajian beliau pada 2008, pelajar perempuan secara biologikal memang mempunyai potensi menyerlahkan kematangan pada usia tertentu biarpun di sekolah rendah.

Kematangan pelajar perempuan, katanya, boleh dilihat apabila mereka sangat teliti sewaktu membuat kerja sekolah, sering membawa buku dan khusyuk di dalam kelas.

“Sebaliknya pelajar lelaki lebih banyak bermain, bergurau senda dengan mengusik kawan dan hanya mampu memberi perhatian pada pelajaran pada 15 minit pertama.

“Perbezaan biologikal ini memang fitrah kerana secara normalnya, perempuan memang cepat matang.

“Tapi kematangan lelaki dalam berfikir boleh menjadi sangat pantas apabila berada pada tahap tertentu. Pada waktu itu, lelaki berfikir menggunakan akal tapi perempuan menggunakan emosi,” katanya.

Katanya, ibu bapa tidak perlu risau jika melihat anak lelaki mereka leka bermain serta liat membaca buku.

“Kemampuan mereka menyerap maklumat, memahami proses pembelajaran dan mengulang kaji tidak sama dengan pelajar perempuan. Tapi mereka tetap boleh fokus,” katanya.

Melalui hasil kajian itu, beliau mendapati masalah ketidakseimbangan pencapaian akademik antara dua gender itu sudah berlaku sejak 1960-an termasuk di negara maju.

“Ini berkait rapat dengan nilai etika dan budaya. Lelaki sering ditafsirkan sebagai golongan yang banyak memikul tanggungjawab dan melihat proses pembelajaran itu lebih bersifat fizikal.

“Perempuan pula melihat proses pembelajaran itu seperti satu seni dan perlu dilakukan atas dasar tanggungjawab.

“Kontra itu menjadikan pelajar lelaki menganggap belajar skopnya sangat meluas bukan sekadar akademik semata-mata sedangkan pelajar perempuan sebaliknya,” katanya.

Di negara maju, katanya mereka turut berdepan dilema ini. Pelajar lelaki banyak yang tercicir dalam akademik tapi akhirnya menjadi insan berjaya.

“Nama-nama seperti Bill Gates tidak cemerlang dalam akademik tapi menggunakan kepandaian lain untuk berjaya.

“Ini juga panduan yang baik supaya ibu bapa tidak terlalu gusar dan tertekan jika anak tidak terarah kepada akademik, sebaliknya subjek berbentuk teknikal,” katanya.

Beliau menyarankan agar ibu bapa memberi sokongan kepada anak lelaki jika mereka menunjukkan kecenderungan dalam subjek tertentu.

“Ada kalanya, ibu bapa mempunyai persepsi buruk jika melihat anak lelaki lebih teruja kepada Internet, sukan, Discovery Channel berbanding membaca buku.

“Biarkan kerana pada masa itu mereka sedang menggunakan kreativiti serta keterujaan untuk memperoleh sumber maklumat yang boleh membantu dalam proses pembelajaran.

“Jangan sekat atau membebel kerana ia akan membantutkan kegigihan mereka untuk belajar. Perlu diingat cara belajar pelajar lelaki dan perempuan berbeza,” katanya.

Malah, kajian itu membuktikan pelajar lelaki lebih berminat kepada aspek teknikal, sains dan matematik tetapi bermasalah dalam subjek Bahasa Melayu dan Inggeris.

Kecenderungan itu, katanya, boleh membawa kepada peningkatan pencapaian tahap berikutnya dan jika diberi dorongan berterusan, mereka boleh berjaya.

“Tapi kecemerlangan itu tidak hanya diukur melalui tahap pencapaian akademik semata-mata.
Mungkin pencapaian akademiknya sederhana tapi kerana ada pengetahuan teknikal, itu satu kelebihan.

“Dan selalunya pelajar lelaki ini, sekali diberi peluang menunjukkan kemahiran atau minat, mereka boleh terus memacu kecemerlangan sama di sekolah atau institusi pengajian tinggi,” katanya.

Ditanya adakah ini menunjukkan pencapaian pelajar wanita hanya pada tahap tertentu, beliau menafikan, sebaliknya menegaskan mereka mampu meneruskan kecemerlangan.

“Buktinya institusi pengajian tinggi negara banyak didominasi pelajar perempuan. Cuma persoalannya, apakah bidang diikuti itu mampu memberi pulangan setimpal sebaik tamat pengajian?

“Tolak tepi penguasaan dalam bidang kritikal seperti perubatan tapi melihat senario pekerjaan hari ini, dominasi tenaga kerja berprestij atau berkemahiran banyak didominasi pelajar lelaki.

“Ini membuktikan sampai tahap tertentu, pelajar lelaki mampu membina kecemerlangan sendiri yang menyamai atau melebihi pelajar wanita.

“Justeru, usah gusar jika pelajar lelaki sering ketinggalan. Percayalah bahawa kebolehan setiap pelajar berbeza dan mereka ada keistimewaan masing-masing,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/