Rabu, 12 Mac 2014

ISU PENDIDIKAN : Tingkatan Enam macam kolej


Oleh : Nor Azma Laila dan Arina Azlan

Kuala Lumpur : Penubuhan dua Pusat Tingkatan Enam pertama di negara ini iaitu masing-masing di Kota Kinabalu, Sabah dan di Petaling Jaya, Selangor memberi peluang kepada pelajar Tingkatan Enam merasai pengalaman belajar seperti di kolej atau pusat matrikulasi.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya 2, Kota Kinabalu, Sabah sebagai Pusat Tingkatan Enam mula beroperasi pada 5 Februari lalu, manakala SMK Petaling Jaya, Selangor pula memulakan sesi persekolahan pada 17 Februari lalu.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Datuk Mazlan Mohamad, berkata berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan pada November tahun lalu, kementerian meluluskan dua fokus utama iaitu berkaitan pengoperasian premis dan pakaian.

Beliau berkata, premis merujuk kepada penggunaan bangunan sekolah baharu sebagai Pusat Tingkat Enam yang dikategorikan sebagai Mod 1, manakala 14 sekolah lagi dikategorikan dalam Mod 2 yang juga akan bermula tahun ini.

Dikategori Mod berbeza

Mod 1 merujuk kepada sekolah yang hanya menempatkan pelajar dan guru Tingkatan Enam saja, manakala Mod 2 pula ialah pelajar Tingkatan Enam tempatkan di blok berasingan tetapi di dalam sekolah aliran perdana, sementara Mod 3 pula pelajar bercampur dan berkongsi bangunan dengan pelajar sekolah harian biasa.

Mazlan berkata, tiga lagi Pusat Tingkatan Enam Mod 1 dijangka dibuka pada Mac hingga April ini iaitu SMK Sri Bandar Pontian, Johor; SMK Desa Mahkota, Kuala Lumpur dan SMK Taman Mahsuri, Kulim, Kedah.

Katanya, satu sekolah Pusat Tingkatan Enam Mod 2 sudah beroperasi pada 2 Januari lalu iaitu di SMK Tunku Muhamad Kuala Pilah, Negeri Sembilan manakala 13 sekolah lagi dijangka dibuka di Kedah, Perak, Sabah dan Selangor.

Selain premis dan pakaian, kementerian juga akan memberi perincian kepada tiga lagi fokus utama iaitu pengurusan dan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran serta kurikulum.

Bincang subjek bersesuaian

Semua aspek ini masih memerlukan perbincangan terperinci dengan banyak pihak termasuk universiti, bagi membincangkan mengenai mata pelajaran yang ditawarkan bersesuaian dengan kehendak universiti sekali gus memastikan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dapat menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), katanya ketika dihubungi BH semalam.

Beliau berkata, melalui penubuhan Pusat Tingkatan Enam itu, diharapkan sekolah dapat menawarkan lebih banyak pilihan mata pelajaran kepada pelajar sekali gus menjadikan ia sebagai pilihan utama pelajar sebelum melanjutkan pelajaran ke IPT.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/