Oleh Mansor Mohd Noor
bhnews@bharian.com.my
Kepemimpinan politik perlu pertajam kompas moral agar tak tersasar
DASAR awam merubah landskap sosial negara. Dasar Ekonomi
Baru (DEB) digubal untuk mengurus ketidaksamarataan sosial. DEB dirancang untuk
membasmikan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat hingga terbentuk masyarakat
industri dan peniaga Bumiputera.
Matlamat akhir pelaksanaan dasar awam ini ialah untuk
membawa negara ke arah perpaduan negara. Perpaduan negara masih belum dapat
digenggam, tetapi nyata kerajaan berjaya membina kesepaduan sosial dalam
masyarakat pelbagai etnik kesan perubahan negara daripada pertanian kepada
industri, perdesaan berubah menjadi bandar dan kemiskinan melarat diganti
dengan kelas menengah.
Banyak perkara yang melanda negara ini terjadi sebagai
akibat yang tidak terancang. Masyarakat pelbagai etnik didapati rencam dari
segi sosial. Mereka didapati memiliki nilai dikongsi bersama dan membuat
pilihan hidup sama. Perbezaan etnik wujud tetapi tidak memisahkan mereka kerana
ruang sosial dalam negara sudah banyak mengikat mereka kepada nilai bersama
seperti keuntungan material, status, ikatan sosial dan nilai hidup mengenai
keadilan, prestasi kerja dan demokrasi. Mereka mengidam untuk mendapat pendidikan
terbaik, pekerjaan bergaji besar, membeli kereta, rumah, beli-belah di pasar
raya dan melancong.
Pembangunan negara melahirkan akibat tidak terancang apabila
kerencaman sosial dalam masyarakat pelbagai etnik sudah melentur batas etnik.
Masyarakat pelbagai etnik yang rencam ini memiliki budaya politik yang masih
dipengaruhi perkiraan etnik tetapi kepentingan peribadi mereka lebih diutamakan
hingga perkiraan etnik dalam tindakan hidup mereka menjadi kabur, termasuk
pilihan pengundian yang dibuat dalam pilihan raya.
Dalam suasana kerencaman sosial ini, orientasi politik dalam
kalangan pengundi bukan lagi berbentuk hitam putih dan dikotomi dengan orang
Melayu, penduduk desa dan pegawai kerajaan pasti akan pro-BN, manakala orang
Cina dan bandar akan propembangkang. Memori generasi muda bahawa UMNO
membebaskan negara daripada penjajah dan komunis serta meletakkan negara di
landasan kestabilan dan kemajuan, masih dikenang, tetapi hak UMNO ke atas undi
mereka sudah menjadi semakin luntur.
Orang Melayu, seperti halnya dengan etnik lain masih
menggemblengkan bahasa, budaya dan agama dalam perundingan politik dalam
mempertahankan identiti diri dan kumpulan mereka. Namun, banyak perkara
berkaitan dengan kehidupan mereka seperti kedudukan ekonomi tidak menentu, kelemahan
prestasi perkhidmatan diberikan oleh jentera kerajaan tempatan, negeri dan
persekutuan, gejala sosial yang terus meningkat daripada rasuah, jenayah, dadah
dan perceraian dan kepemimpinan politik yang rakus dan tamak dengan dunia
hingga rakyat dipinggirkan meresahkan kehidupan harian mereka bersama.
Perkongsian persepsi negatif terhadap ekonomi negara,
kerajaan, masalah sosial dan kepemimpinan politik sudah meminda selera politik
rakyat daripada mendokong kerajaan sedia ada kepada mengutamakan perubahan
rejim pemerintahan.
Kelompok sosial kelas menengah yang selesa dengan kekuatan
ekonomi, menilai parti pemerintah dan kerajaan berdasarkan prestasi, ketelusan
dan integriti. Mereka menilai kepemimpinan negara dan kerajaan dengan nada
kritis berdasarkan fakta. Mereka tidak senang apabila ada kepemimpinan negara
yang melakukan salah guna kuasa dan rasuah dalam mengendalikan urusan mereka
dengan rakyat.
Aset pendidikan, pekerjaan dan pendapatan yang dimiliki
mereka menjadi modal untuk meneroka dunia siber mendedahkan mereka kepada dunia
maklumat dan menyertai pergerakan sosial dalam masyarakat. Dalam suasana dunia
diledakkan dengan maklumat, kelompok manusia yang menggunakan teknologi
maklumat pasti dapat menyebar dalam masa nyata dan serta-merta ke seluruh
negara dan dunia hingga mempengaruhi ruang sosial di negara ini.
Jika hal ini berlaku, sudah pasti perancangan dan
pelaksanaan kerajaan memakmurkan dan mensejahterakan rakyat akan tergendala
oleh persepsi buruk yang bertebaran hingga meracuni minda rakyat. Ruang
persepsi negatif terhadap kerajaan dan parti pemerintah akan menjadi buruk lagi
apabila kepemimpinan negara, jentera kerajaan dan media arus perdana mengambil
sikap untuk berdiam, menafi dan menentang sesiapa yang mendedahkan keburukan
mereka.
Golongan pendapatan rendah mendapati mereka berdepan desakan
hidup akibat kos hidup yang meningkat dengan begitu ketara. Golongan usia 31
hingga 50 tahun juga mendapati diri mereka terperangkap dengan kos hidup yang
meningkat dan dirumitkan dengan jumlah isi rumah dan beban kos tanggungan yang
meningkat.
Walaupun jumlah isi rumah miskin berkurangan dengan drastik,
sebilangan kecil golongan miskin bandar, desa dan estet, terutama keluarga yang
mengalami masalah berasakan kemerdekaan negara tidak memberikan apa-apa makna
kepada kehidupan dan masa depan mereka. Kumpulan minoriti ini didapati
terperangkap dalam kemiskinan warisan daripada nenek ke cicit.
Kumpulan sosial pendapatan rendah berusia antara 31 hingga
50 tahun dan miskin warisan ini jarang menjadi artikulator yang mempengaruhi
orang lain untuk menentang pemerintahan sedia ada. Tetapi keberadaan mereka
dalam negara dengan pemerintahan sedia ada sudah terpisah, terasing dan putus
daripada rakyatnya sendiri, ketidakseimbangan sosial meluas dalam masyarakat
dan akan membuat rakyat untuk berasakan kehidupan mereka sudah tidak lagi
terjamin.
Demi rakyat, bangsa dan negara, kepemimpinan politik perlu
mempertajamkan kompas moral mereka supaya perjuangan diutamakan dan kerakusan
dunia serta kesombongan diri dihapuskan. Kepemimpinan berintegriti pasti
menjadi ‘pagar yang menjaga padi’. Hanya kepemimpinan berhati waja dapat
menjamin dirinya daripada digoda harta, wanita dan takhta. Apabila hal ini
berlaku setiap perancangan akan dilaksanakan menepati tujuan dirancang dan
sampai kepada kumpulan sasarnya.
Penulis ialah Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan
Hubungan Antarabangsa Majlis Profesor Negara
Sumber : http : //www.bharian.com.my/