Oleh : PROFESOR MADYA DR.
SIVAMURUGAN PANDIAN
RUKUN NEGARA ialah ideologi
kebangsaan yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Ia dirangka selepas negara
melalui rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969; tiga hari selepas Pilihan Raya Umum
ketiga.
Selepas 43 tahun; di manakah
kedudukan Rukun Negara? Jika dahulu, ia sering kelihatan di belakang buku
tulis, kini ada yang sudah tidak memberikannya ruang. Tidak boleh disalahkan
jika falsafah dan lagu sekolah menjadi keutamaan kini walaupun Rukun Negara boleh
ditemui di kotak tisu, kampit beras, plastik roti dan van agensi kerajaan hari
ini.
Dulupun kita tidak diminta
menghafal Rukun Negara tetapi kerap dipukul dan disergah jika tidak menghafal
sifir yang dipapar di bawah Rukun Negara di belakang buku tulis! Adakah kerana
perilaku seperti ini, maka natijahnya diperhati berlaku kebelakangan ini dengan
sifat membenam nilai kenegaraan dan menular sifat dendam, aib, hina, angkuh,
tidak hormat Perlembagaan, undang-undang
mahupun pemimpin yang menjadi-jadi.
Adakah kita memahami matlamat
mengapa Rukun Negara dirangka dan tujuan di sebalik kehadirannya ketika tanah
air bergelut untuk memulihkan perpaduan, keharmonian dan kemuafakatan dalam
kalangan masyarakat pelbagai etnik di negara ini.
Rukun Negara penting untuk
mengembalikan sifat kesetiaan dan penghormatan ke atas negara dalam kita bangga
menjadi warga Malaysia. Ia adalah dokumen yang padat dengan peristilahan ke
arah memartabatkan kedudukan masyarakat yang demokratik, saksama dan adil tanpa
mengganggu tatasusila yang sudah diwarisi sekian lama.
Rukun Negara berakarkan perpaduan. Dalam satu keluarga besar yang
berlainan sifatnya, ia perlu subur dengan nilai faham, hormat dan
bertolak-ansur. Kemelut etnisiti sentiasa mesti dijauhi terutama daripada anasir
bersifat provokatif dan emosional. Pengalaman peristiwa 13 Mei walaupun ada
tidak mahu mengingatinya; wajar dijadikan iltizam dan pedoman demi masa depan
yang memberi kecerahan ke atas sifat damai, muhibbah dan stabil.
Berdasarkan kepada persekitaran ketika
Rukun Negara digubal, yang menjadi dominan adalah untuk memberi keabsahan
kepada amalan tradisi yang diwarisi supaya masyarakat harmoni akan dapat
dipelihara ketika masing-masing meneruskan ciri-ciri kebudayaan nenek-moyang
mereka.
Ini tidak bermakna Rukun Negara
membelakangkan nilai progresif malahan ia dilancar agar negara tidak berhadapan
dengan konflik perkauman secara berpanjangan yang boleh menjejas usaha
membangun dengan pertumbuhan baik ketika itu beserta berdepan dengan persaingan
dunia global yang mencabar.
Pengisian berwajahkan Rukun
Negara dilihat kewajarannya. Rukun Negara penting dalam menyemarakkan sifat
patriotisme, nasionalisme dan mempertahankan nilai bersama agar tidak menjadi
sebagaimana negara lain yang tidak henti-henti memberi keutamaan ke atas
konflik antara etnik daripada meraikan kepelbagaiannya.
Kelima-lima prinsip Rukun Negara
menjadi seri kepada warna kehidupan warga Malaysia. Ia adalah untuk melahirkan
warga yang bangga menjadi anak negara ini, baik anak Semenanjung, Sabah mahupun
Sarawak; baik berlainan keturunan dan ritualnya; di paras kemanusiaan sifat
saling memerlukan diperkasakan.
Tun Abdul Razak, Perdana Menteri
ketika ia diwartakan menyatakan bahawa - ''Mustahak Rukun Negara bukan sahaja
difahami oleh setiap rakyat, tetapi juga diamalkan dengan sepenuhnya dan segala
hikmat-hikmat yang terkandung di sebalik tiap-tiap perkataan dan kalimat Rukun
Negara itu benar-benar menjadi darah daging''.
Kepercayaan kepada Tuhan menjadi
prinsip teratas kerana walau berlainan agama, setiap individu diajar nilai dan
norma yang dihubungkait dengan kehidupan manusia yang baik. Tiada agama
menyatakan bahawa 'rompak sebanyak mungkin dan akan dibalas dengan limpahan
pahala'. Sifat keji dan buruk perlu dihukum dan sifat mulia wajar dipuji.
Menghulur tangan, bergandingan walau berlainan warna tubuhnya demi perpaduan
adalah hakikat. Ini ikatan hukum karma.
Dalam konteks negara kita, agama
Islam adalah agama rasmi dan kebebasan beragama dikekalkan mengikut garis
panduan yang dipersetujui di bawah Perlembagaan. Tafsiran bersifat nada politik
perlu dihentikan kerana yang memburukkan agama adalah pengikut dan bukan agama
itu. Rujuk Perkara 3 dan 11 yang saling melengkapi di bawah Perlembagaan.
Prinsip kedua memberi keutamaan
rasa setia kepada Raja dan negara. Sistem demokrasi Raja Berperlembagaan adalah
amalan negara ini dan raja menjadi lambang penyatuan serta perpaduan. Junjung
kasih kepada institusi Raja-raja adalah panji-panji kenegaraan. Namun,
kebelakangan ini ramai yang sudah lupa asal-usul dan adab susila sehingga
tingkah-laku yang songsang diterima majoriti. Ada yang menyanggah; ada pula
bersifat megah di alam maya; ada pula yang hanyut dilambung keangkuhan jiwa.
Sebagai nota kaki,
pandang-pandang janji mantera antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun,
jika lupa sejarah negara-bangsa.
Prinsip ketiga adalah keluhuran
Perlembagaan. Dalam Artikel 4(1) dan 162 (6) Perlembagaan Persekutuan serta
Seksyen 73 Akta Malaysia, disebut Perlembagaan Persekutuan sebagai
undang-undang utama Persekutuan Malaysia. Artikel 4 (1) menyatakan bahawa
'Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa
undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan
Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu'.
Kedaulatan undang-undang menjadi
kekuatan prinsip keempat Rukun Negara. Ia memberikan keadilan dan perlu
dihormati dan dipatuhi. Undang-undang bertujuan mengawal dan mewujudkan
masyarakat yang aman dan mengiktiraf kedaulatannya. Jika masing-masing mencipta
undang-undang sendiri, pihak berkuasa tidak ada pilihan melainkan menguatkuasakan
tindakan sebagaimana dibenarkan.
Prinsip kelima amat signifikan
dalam konteks Rukun Negara. Ia menekankan sifat kesopanan dan kesusilaan.
Tingkah-laku dan perlakuan menjadi asas kepada keperibadian seseorang. Yang
melahirkan kebimbangan dalam konteks masyarakat pelbagai adalah karakter yang
membelakangkan adat dan tidak wujud sebagai panduan dalam kehidupan.
Prinsip ini melengkapkan kesemua
rukun di atas agar dapat melentur warga yang berpegang kepada ikrar menumpukan
segala cita-cita dan tenaga menzahirkan prinsip-prinsip yang termeterai supaya
dapat jaminan wujudnya perwatakan masyarakat yang harmoni, penyayang dan
sejahtera agar memelihara kepercayaan ibadah dan akhlak, hormat sistem hukum,
menjadi sihat untuk membawa kesejahteraan, sistem persanakan yang terurus tanpa
berkompromi ke atas jati diri manusiawi.
Rukun Negara menjadi garis
panduan kepada hubungan antara etnik merentasi perbezaan demografi mahupun
geografinya. Ia adalah falsafah kebangsaan, tradisi kesinambungan zaman-berzaman
agar kedaulatan, kestabilan, kemuafakatan tetap utuh walau apa cabarannya.
Dilemanya, adakah keluhuran Rukun Negara dijunjung atau sekadar hiasan bersifat
retorik dan kosmetik sahaja?
Ada ahli psikologi menyatakan
bahawa 'kita perlu kehilangan sesuatu yang dimiliki buat seketika untuk lebih
menghargainya'. Saya berharap tidak ada yang berfikiran sedemikian kerana mudah
untuk merobohkan apa yang sudah dibina tetapi bukan mudah untuk membinanya
semula. Pengorbanan dan kompromi telah membawa kita ke tahap ini; Rukun Negara
mendasarinya. Jadi hargai ia demi masa depan Malaysia!
Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti
Sains Malaysia (USM).
Sumber : http://www.utusan.com.my/