Oleh : Ruhaiza Rusmin
Pengumuman Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) mengenai penawaran tangga gaji lebih tinggi kepada guru yang
mempunyai ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) menunjukkan betapa
komitednya kerajaan menaikkan martabat guru.
Biarpun mungkin segelintir pihak
melihatnya tidak adil, secara positif ia bakal meningkat taraf profesion
pendidik.
Ia juga dianggap pencetus
semangat kepada guru lain mengejar taraf pendidikan serupa bagi menikmati
ganjaran ditawarkan.
Bagaimanapun, masih boleh
dipersoalkan taraf dan kualiti guru itu sama ada mampu mempunyai kelebihan
berbanding guru bertaraf ijazah sarjana muda, diploma atau sijil.
Adakah mereka yang lebih tinggi
kelayakan ini boleh memberi impak lebih besar kepada dunia pendidikan negara
dengan sumbangan idea lebih jitu serta menggalas tanggungjawab lebih komited.
Atau hanya sekadar tinggi
kelayakan, namun kredibiliti masih di takuk lama?
Dekan Pusat Ilmu Pendidikan
Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata
kelayakan dan ganjaran yang lebih tinggi perlu diiringi dengan pencapaian lebih
hebat dan berkualiti.
Beliau berkata, biarpun ada
segelintir menganggap kelulusan tidak dapat menggambarkan secara tepat
kemampuan sebenar, secara logik mereka yang mempunyai ijazah sarjana atau Phd
memiliki kelebihan ilmu.
“Justeru dengan kelebihan ini,
pastinya tahap intelektual mereka lebih ke hadapan dengan idea atau cara
pembelajaran lebih baik.
“Ini berpadanan dengan kelayakan
disandang serta ganjaran diperoleh selain memanfaatkan demi kesejahteraan
menyeluruh,” katanya.
Bagaimanapun, perkara itu adalah
subjektif kerana terpulang kepada mereka untuk mentafsirkan kelebihan atau
kebolehan masing-masing.
“Sebenarnya terpulang pada
individu (guru) untuk menunjukkan kebolehan atau kelebihan semasa proses
pembelajaran dan pengajaran.
“Namun, pastinya mereka yang
mempunyai kelayakan lebih tinggi mempunyai lebih banyak keistimewaan.
“Dalam konteks ini, dua aspek
perlu dilihat sama ada melalui kandungan atau pedagogi (kemahiran) guru sendiri
ketika melaksanakan tugasan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis
Dekan Fakulti Pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam berkata kelayakan atas
sekeping kertas bukan penentu kejayaan total kemampuan guru.
“Rasionalnya belajar untuk
memperoleh sijil, diploma dan ijazah sarjana muda prosesnya tidak akan sama
untuk memperoleh ijazah sarjana atau PhD.
“Di situ wujud kelebihan dan
perbezaan.
“Bagaimanapun, untuk menjadi guru
yang baik bukan saja memerlukan kelayakan, tapi elemen lain seperti pengalaman
dan kaedah pembelajaran mantap,” katanya mengakui ganjaran diberikan itu
sepatutnya menaikkan semangat guru untuk gigih berusaha.
“Guru adalah golongan istimewa
yang jasanya sukar dibalas.
“Dan, kerana keistimewaan itu
mereka perlu diletakkan pada satu tahap istimewa untuk lebih dihormati.
“Penghargaan penting bukan saja
untuk menghargai jasa mereka, malah mengembalikan kegemilangan golongan itu
yang semakin tercalar kebelakangan ini,” katanya.
Mengenai andaian kemungkinan
wujud konflik perbezaan darjat antara kedua-dua pihak di sekolah, beliau
berkata ia tidak mungkin berlaku.
“Sesiapa saja boleh belajar untuk
memperoleh kelayakan dan ganjaran itu. Tiada halangan berbuat demikian.
“Jika rasa kelayakan sedia ada
sudah memuaskan hati (tidak perlu menyambung pengajian). Begitu juga
sebaliknya.
“Namun, sebagai guru mereka perlu
profesional dan tahu meletakkan keperluan mana lebih penting,” katanya.
Guru masa kini juga katanya perlu
sentiasa ada keinginan tinggi untuk meningkatkan pencapaian diri.
“Kita bukan semakin bergerak ke
belakang tapi ke depan. Apa yang berlaku pada masa depan termasuk dalam sektor
pendidikan tidak dapat dijangka.
“Guru sepatutnya tidak boleh
selesa dengan keadaan diri. Peluang sudah ada kenapa tidak memanfaatkannya
untuk mempertingkatkan taraf diri.
“Jika halangan masa atau kekangan
tanggungjawab menjadi penyebab itu bukan alasan yang baik,” katanya.
Berkenaan pelbagai ganjaran
diberikan kepada guru, beliau berkata ia perlu dilihat dalam pelbagai konteks
berbeza.
“Ada yang melihatnya sebagai satu
penghargaan, tapi ada juga sebaliknya.
“Pandangan peribadi saya, untuk
menjadi guru perlu ada keinginan dan minat yang tinggi.
“Malangnya tidak semua sanggup
menjadi guru, mungkin tiada pekerjaan lain atau sebab peribadi, mereka memilih
guru,” katanya.
Malah, dengan nisbah 1:13 iaitu
satu guru untuk 13 pelajar, katanya, negara memiliki antara teramai guru di
dunia.
“Ini menunjukkan kita boleh
melahirkan ramai guru berkualiti, berkelayakan serta mampu menjadi tenaga
pengajar terbaik.
“Guru pula perlu melihat cabaran
dunia perguruan dengan cara berilmu sebab itu anda dipanggil guru.
“Jangan lagi dibuai tanggapan
kerjaya guru ini mudah sebab bergelar guru hari ini hanya untuk mereka yang
berminat dan tabah berdepan sepak terajang dunia perguruan,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan