Jumaat, 29 Julai 2011

ISU DEMOGRAFI : Penduduk Malaysia kini 28.3 juta


PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia kini berjumlah 28.3 juta, pertumbuhan dua peratus untuk tempoh 10 tahun lalu dengan bilangan lelaki mencecah 14.56 juta orang, iaitu lebih tinggi berbanding 13.77 juta wanita.
Data muktamad Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, pada sidang media Pemakluman Laporan Taburan Penduduk dan Ciri-Ciri Asas Demografi Banci 2010 di sini, semalam.
Berdasarkan data itu, bilangan lelaki melebihi perempuan dengan nisbah 106:100. Mengikut negeri pula, Pahang mempunyai paling ramai lelaki (113), diikuti Johor (112), Negeri Sembilan (107), Sabah (107), Selangor (107), Labuan (107) dan Sarawak (106), manakala bilangan lelaki kurang daripada perempuan untuk Putrajaya (89) dan Perlis (97).

Sumber : http : //www.bharian.com.my

ISU BAHASA : Kemelut Bahasa Melayu

LEBIH separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut. Sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar? Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Jika diambil kira senario ratusan tahun lampau, malah hampir dua alaf lalu, nasib bahasa Melayu tidaklah seburuk itu. Bahasa Melayu diiktiraf bahasa lingua franca atau bahasa perantaraan umum dan bahasa antarabangsa.

Begitu tingginya martabat bahasa ibunda tetapi mungkin ramai yang sudah lupa dan alpa.

Di samping menjadi bahasa ilmu, falsafah, pemikiran, undang-undang, ketatanegaraan, seni sastera dan pensejarahan, bahasa Melayu dalam zaman Kesultanan Melayu lebih 700 tahun dahulu juga unggul sebagai bahasa penting perhubungan diplomatik.

Justeru apabila kemampuan tinggi Bahasa Melayu kembali dipersoal selepas lebih setengah abad negara merdeka dan dasar penggunaannya seperti air laut yang pasang surut, sudah tentu isu itu meruntun hati, terutamanya pejuang bahasa seperti Prof. Dr. Awang Sariyan, Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing.

Terdapat andaian bahawa pada akhir abad ini, antara 50 peratus hingga 90 peratus daripada kira-kira 6,000 bahasa yang ada di dunia akan pupus kerana tidak lagi dipelajari.

Dr. Awang bagaimanapun optimis Bahasa Melayu tidak termasuk dalam andaian tersebut kerana terdapat hampir 300 juta pengguna bahasa Melayu di mayapada ini.

"Namun yang paling merisaukan, kalau pun tidak pupus, Bahasa Melayu tidak berfungsi sebaik atau sewajarnya sebagai bahasa tamaddun, terutama sebagai bahasa ilmu.

"Bahasa Melayu wujud lebih sebagai bahasa pasar untuk keperluan perhubungan yang asas atau sehari-hari. Kalau jadi bahasa pasar, sedangkan Bahasa Melayu ialah bahasa negara," keluhnya.

Sejak abad ketujuh pada zaman Sriwijaya (di Sumatera), Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang bukan kecil peranannya.

Bahasa Melayu telah diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa pentadbiran bagi Sriwijaya dan seluruh jajahan takluknya, wilayah kerajaan kuasa kelautan yang sangat besar pada waktu itu.

Begitu tinggi kedudukan Bahasa Melayu ketika itu boleh disimpulkan melalui pelbagai dokumen dan penulisan jika mahu digarap dari sudut sejarah.

Antaranya catatan pengembara Cina, I-Ching yang juga seorang pendita Buddha mengenai pusat pengajian agama Buddha di Sumatera yang menggunakan bahasa Melayu.

I-Ching dalam misi penjelajahannya telah bermastautin selama enam bulan di Sriwijaya pada sekitar abad ketujuh.

Dr. Awang turut berkongsi pengamatan yang dibuat oleh Van Linschotten, seorang pegawai Belanda yang bertugas di Indonesia antara 1586 hingga 1592 tentang kebesaran Bahasa Melayu sebagai teras bahasa tamaddun tinggi.

"Van Linschottenmenyatakan mereka yang tidak tahu akan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu boleh dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu," jelasnya.

Menurut Dr. Awang, seorang ahli sejarah Belanda Francois Valentijn menulis pada awal abad ke-18 bahawa Bahasa Melayu difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau bahasa Latin di Eropah.

"Kesimpulan menarik yang ditulis Valentijn ialah orang yang datang ke alam Melayu mahu tidak mahu perlu mempelajari Bahasa Melayu.

"Sesiapa yang tidak dapat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dianggap sebagai golongan tidak terpelajar.

"Jadi ertinya nilai orang asing, termasuk orang Barat kepada Bahasa Melayu cukup tinggi, sedang ada dalam kalangan orang Melayu sendiri yang memandang rendah," kata Dr. Awang.

Zaman kesultanan Melayu (meliputi antaranya Melaka, Acheh, Sumatera, Pasai) sekitar abad ke-13 hingga ke-19 sesudah kedatangan agama Islam menyaksikan bahasa Melayu menjangkau puncak kegemilangan sebagai bahasa tamaddun Melayu.

Seperti kata Dr. Awang, peranan Bahasa Melayu meliputi pelbagai ranah atau bidang tamadun, baik dari segi ilmu, pentadbiran, perdagangan, undang-undang dan juga sebagai bahasa hubungan diplomatik.

"Jadi Bahasa Melayu sudah merentas semua bidang tamaddun ketika itu, apa sahaja termasuk undang-undang, sudah ada hukum kanun dari kurun ke-15 ke atas, seperti Hukum Kanun Melaka yang amat terkenal itu, di samping Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Johor, Undang-undang Siak dan sebagainya," kata Dr. Awang.

Beliau merujuk kepada seorang ulama besar dari Gujerat, Nuruddin al-Raniri yang datang ke alam Melayu sekitar abad ke-16 dan dilantik sebagai mufti oleh Sultan Acheh.

"Yang menariknya Nuruddin al-Ranini ini menulis kitab-kitab agama dalam Bahasa Melayu walaupun dia bukan orang Melayu.

"Ini menunjukkan kekuatan Bahasa Melayu. Sesiapa sahaja yang datang ke alam Melayu perlu belajar dan menguasai Bahasa Melayu, hendak mentadbir pun dalam Bahasa Melayu, hendak berhubung dalam perdagangan pun dalam Bahasa Melayu dan hendak menjadi ulama pun dalam Bahasa Melayu," kata Dr. Awang yang pernah menyandang Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (1999-2004).

Kegemilangan Bahasa Melayu beransur pudar dengan penjajahan kuasa-kuasa Barat ke atas Tanah Melayu dan wilayah lain di alam Melayu.

Soal peminggiran Bahasa Melayu ini semakin ketara ketika penjajahan Inggeris dan nilainya diturunkan ke darjat yang rendah.

"Kalau dulu Bahasa Melayu merentas semua bidang tetapi dalam kes pendidikan, misalnya, Bahasa Melayu disamatarafkan dengan bahasa vernakular Cina dan India.

"Kurikulum untuk sekolah Melayu pun sangat terbatas dan matlamat pendidikan Inggeris untuk sekolah Melayu tidak lebih daripada menjadikan anak-anak Melayu itu lebih pandai sedikit daripada ibu bapanya sebagai petani dan nelayan. Hal ini disuratkan dalam dokumen penjajah Inggeris.

"Ada juga catatan lain yang mengatakan paling tinggi anak-anak Melayu ini cukup jika dapat menjadi kerani atau peon, itu sahaja. Tidak ada satu rancangan penjajah Inggeris hendak menjadikan sekolah Melayu sebagai batu loncatan untuk peningkatan masyarakat atau mobiliti sosial orang Melayu," kata Dr. Awang.

Jadi katanya, fasa pertama peminggiran Bahasa Melayu ialah kerana penjajahan.

Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Bahasa Melayu melalui Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 (Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua) menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960 kemudian memperkukuh dasar itu.

Itulah dasar negara terawal yang memartabatkan Bahasa Melayu.

Dasar itu sebenarnya menjadi satu daripada asas penggubalan Akta Pendidikan 1961 dan kemudian akta itu dipinda dan diperkukuh pada tahun 1996.

Menurut Dr. Awang, Bahasa Melayu juga dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Bahasa Kebangsaan bermakna bahasa untuk semua rakyat. Ini cukup jelas dalam perlembagaan, iaitu bahasa yang digunakan bagi semua maksud rasmi, maksudnya segala urusan seperti mesyuarat, perhimpunan, surat rasmi, pekeliling, penggunaan bahasa di tempat awam dan juga dalam sistem pendidikan.

"Urusan negara meliputi pentadbiran persekutuan (kementerian, jabatan dan semua agensi kerajaan), kerajaan negeri serta pihak penguasa awam seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga badan-badan berkanun," katanya.

Jika sudah jelas kedudukan tinggi Bahasa Melayu dalam perlembagaan, lalu mengapa masih ada yang memperlekehnya?

Bagi Dr. Awang, ibu kepada masalah ini ialah apabila perlembagaan tidak dihormati atau mungkin tidak difahami, tidak dihayati dan natijahnya tidak dilaksanakan seperti sewajarnya.

"Ia tinggal sebagai dokumen bertulis sahaja sedangkan salah satu prinsip Rukun Negara ialah Keluhuran Perlembagaan.

"Jadi apa ertinya Keluhuran Perlembagaan apabila pelaksanaan itu tidak menepati peruntukan perlembagaan," katanya sinis.

Jika Bahasa Melayu masih menjadi isu debat dan bahas, senario di negara-negara seperti Jerman, Jepun, China, Rusia mahu pun negara jiran terdekat Indonesia dan Thailand ternyata jauh berbeza.

Pengamatan yang dibuat pejuang bahasa ini menunjukkan mana-mana bahasa ternyata mempunya potensi untuk maju dengan syarat ada usaha untuk memajukannya.

Cuma seperti kata Dr. Awang, untuk membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perlu dipastikan tidak ada gangguan dan dasar yang sering berubah.

"Kadang-kadang ada aspek Bahasa Melayu tinggi yang sudah mula terbudaya melalui sistem pendidikan dan penyiaran, tetapi dicantas. Contohnya sebutan bahasa baku yang dimansuhkan pada 2000, sedangkan semua bahasa yang maju memiliki satu bentuk sistem sebutan rasmi yang merentas pelbagai dialek dan ragam bahasa. Salah satu tugas DBP sendiri, seperti dalam Akta DBP ialah membakukan ejaan, istilah dan sebutannya.

"Jadi Bahasa Melayu yang digunakan, malangnya dalam sebahagian sektor rasmi seperti dalam mesyuarat dan beberapa program penyiaran (seperti wawancara) adalah Bahasa Melayu pasar untuk hubungan komunikasi biasa sahaja.

"Usaha membudayakan Bahasa Melayu tinggi atau Bahasa Melayu yang rasmi masih memerlukan lonjakan yang bersungguh-sungguh oleh semua sektor, baik pentadbiran, penyiaran, media cetak, pendidikan dan yang lain," katanya.

Dr. Awang melihat bidang pendidikan sebagai teras untuk pemajuan bahasa dan Bahasa Melayu perlu dikembalikan peranannya sebagai bahasa penghantar utama bukan sahaja di sekolah tetapi juga di institusi pengajian tinggi.

Sehingga ini, hanya Universiti Kebangsaan Malaysia yang cukup jelas dasar bahasanya, sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun kebanyakannya ditulis dalam Bahasa Melayu.

Bahkan, katanya, menurut Akta Pendidikan 1996, institusi pengajian tinggi swasta juga masih tetap tertakluk kepada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Beliau turut menekankan supaya pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu kembali dilaksanakan seperti yang diuar-uarkan tanpa sebarang penangguhan.

Adakah Bahasa Melayu akan hanya layak dikenal sebagai bahasa pasar? Adakah kegemilangan bahasa tamadun Melayu dan negara ini akan tinggal sekadar kenang-kenangan? Setakat gah di atas lembaran dokumen dasar atau gemilang dalam lipatan sejarah? - BERNAMA

ISU ANTARABANGSA : Legasi pembunuhan rambang

PEMBUNUHAN rambang atas agenda peribadi, agama mahupun politik bukannya sesuatu yang baru atau begitu mengejutkan lagi bagi masyarakat dunia.

Suatu ketika dahulu mungkin ramai tertanya-tanya kenapa sesuatu yang begitu dahsyat boleh berlaku tetapi kini, soalan itu telah berubah kepada 'mengapa ia masih berlaku'.

Setiap tempoh tenang selepas satu kejadian tembakan rambang atau pengeboman oleh 'pengganas' tidak akan bertahan lama sebelum satu lagi kejadian serupa berulang.

Ini terbukti apabila bandar Oslo dan pulau Utoeya, Norway menjadi tapak tumpahan darah 76 mangsa di tangan seorang pelampau Kristian yang mahu menghapuskan masyarakat imigran dan Islam di Eropah.

Anders Behring Breivik, 32, seorang anti-Islam, berhaluan kanan yang tiada hubungan dengan kumpulan pelampau atau jenayah berat sebelum ini, bertindak mengebom pejabat kerajaan di Oslo sebelum melepaskan tembakan rambang di kem belia pulau Utoeya.

Kebanyakan mangsa yang maut atau cedera adalah golongan imigran muda atau remaja, anak imigran yang ingin mencari kehidupan lebih baik di negara itu. Turut terbunuh, abang tiri Puteri Norway, seorang anggota polis tidak bertugas yang cuba melindungi orang ramai dan menahan suspek ketika dia melepaskan tembakan rambang di pulau tersebut.

Suspek yang mengakui bertindak demi menghalang Eropah diambil alih orang Islam, dilaporkan mahu membunuh bekas perdana menteri Norway, Gro Harlem Brundtland tetapi terlewat beberapa minit selepas beliau beredar dari pulau tersebut.

Breivik dilaporkan sering melahirkan pandangan haluan kanan dan anti-Islam di Internet dan memiliki beberapa senjata api berdaftar serta menyertai sebuah kelab senjata api.

Fahaman pelampau suspek dapat dikaitkan dengan kejutan akibat kebanjiran pendatang asing ke Eropah dari benua Afrika, Pakistan dan Bangladesh yang ramai beragama Islam.

Sebilangan rakyat Eropah, sama ada individu atau kumpulan, melihat kebanjiran ini satu gerakan mengislamkan Eropah dan menghalangnya.

Sikap sebahagian pendatang membawa cara hidup yang tidak boleh diterima warga Eropah turut meluaskan jurang dan menghakis penerimaan penduduk tempatan.

Ditambah masalah Islamofobia yang melanda dunia dan media Barat yang prejudis, tidak mengejutkan media baru termasuk akhbar di United Kingdom dari awal lagi menuduh serangan itu dilakukan 'pengganas Islam'.

Hakikatnya, pembunuhan rambang melalui tembakan, bom atau senjata lain yang dilakukan mana-mana individu atau kumpulan merupakan tragedi yang tiada kaitan dengan mana-mana agama, bangsa atau ideologi.

Pembunuhan sedemikian banyak melibatkan fahaman peribadi dan situasi minda individu atau sekumpulan kecil manusia yang mengambil pendekatan ekstremis pelampau yang taksub kepada sesuatu agenda atau perjuangan.

Lebih malang jika mereka yang menyerang itu sebenarnya mangsa keadaan seperti mangsa buli di sekolah atau golongan tertindas di tempat kerja yang membalas dendam menggunakan senjata api.

Menurut maklumat dikumpulkan Reuters, 10 kes pembunuhan rambang paling teruk selepas serangan pengganas ke atas menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001 direkodkan berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk serangan di Norway itu.

Beberapa bulan sebelum kejadian di Oslo, Tristan van der Vlis melepaskan tembakan rambang di pusat beli-belah Ridderhof, Alphen aan den Rijn, Belanda pada 9 April lalu, membunuh enam orang sebelum suspek membunuh diri.

Pada 30 Ogos tahun lalu, seorang lelaki bersenjata menembak mati enam sekeluarga bersama seorang lagi wanita di Bratislava, Slovakia, mencederakan 14 yang lain sebelum dia membunuh diri.

Dua bulan sebelum itu, Derrick Bird melepaskan tembakan rambang di beberapa pekan sekitar wilayah luar bandar Cumbria, Britain pada 2 Jun 2010 menyebabkan 12 terbunuh dan 11 cedera sebelum membunuh diri.

Senarai kejadian pembunuhan rambang itu sangat panjang jika dilihat daripada rekod paling awal selepas senjata api mudah diperoleh orang awam.

Barat, Eropah dan dunia perlu mengakui hakikat kejadian begini bukan pelik dan dijangka terus berlaku jika gerakan pembunuh gagal dipintas lebih awal.

Kejadian di Norway mungkin dapat dihalang jika gerakan ekstremis dan fahaman pelampau dibendung dari awal, bukannya dibiar merebak atas dasar 'hak asasi individu'.

Seperti juga serangan di sekolah, universiti mahupun tempat kerja, sasaran perlu diberi kepada mencari punca kejadian, bukannya menuding jari kepada 'pengganas Islam' semata-mata.

Jika titik kesederhanaan dan toleransi gagal dicapai, bukan sahaja Barat malahan seluruh dunia akan digegarkan dengan lebih banyak tembakan oleh mereka yang hilang akal dan hilang sabar kelak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/(30/7)