Jumaat, 29 Januari 2010
KALAM TIMUR
bangsa di dada
tanah air di rasa
geletar dalam petaka
sakit teriak tangis di panggung tragis
pentas makin terbuka
di tangan onar petualang
wayang seancak berpesta
dalang bertukar pendusta
geger di bendul demokrasi
cendekia hilang peri.
Di manakah kalam timur?
unjuk muka keluar bertempur
buka mulut khabarkan warta
kebenaran luka duka bangsa
durjana kian berani memusnah
makmur nusa akan punah ranah
baca, baca, tulis hakikat sejarah
pegang kitab suci fahami sirah.
A AZIZ DERAMAN
Kuala Terengganu
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Jenayah perdagangan manusia cemar imej Malaysia
jamia@bharian.com.my
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Menutup Keaiban Orang Lain
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata:
"Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah ta'ala akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah ta'ala akan sentiasa menolong seorang hamba selama ia menolong saudaranya.
Tidak ada orang yang tidak berdosa, dan tidak ada orang yang tidak melakukan kesilapan. Cuma bezanya, banyak atau sedikit, besar atau kecil, teruk atau tidak, kelihatan atau tidak kelihatan. Bagi orang yang bijaksana, ia memandang ke dalam dirinya(bermuhasabah) dan bertaubat daripada dosa-dosanya dan membetulkan kesilapan-kesilapannya. Dia menutup keaiban orang lain, dia menjaga harga diri sendiri dan harga diri orang lain. Dengan cara itu dia telah mewujudkan suasana saling menghargai dan baik sangka terhadap orang lain.
Tetapi dalam keadaan tertentu, seperti menjadi saksi pada suatu pembicaraan, untuk membendung manusia supaya tidak terikut-ikut dengan kejahatan seseorang, atau mendedahkan keaiban orang yang memang dengan sengaja mendedahkan kesalahannya sendiri di hadapan orang ramai, maka hal yang sedemikian dibolehkan untuk keperluan yang disebutkan tadi sahaja, bukan untuk disiarkan di media-media untuk tontonan umum.
Sumber : Buku Akhlak Mulia, Empat Puluh Hadits, Khazanah Banjariah, Maahad Tarbiah Islamiah
Jaya, gagal PTK bergantung penuh sokongan penjawat awam
TAHNIAH kepada pasukan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri yang bertungkus lumus merangka dan menyiapkan buku Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.
Sekarang tiba masa menggerakkan pelan dan program yang dicatatkan pada buku itu . Rakyat ingin melihat hasil nyata dan bukan sekadar laporan yang dicantikkan dengan grafik dan gambar.
Kalau dibaca betul-betul ada pesanan Perdana Menteri di dalam Kata Alu -aluan buku tersebut.
Najib sendiri cukup sedar bahawa bukan mudah untuk mengubah budaya kerja 'orang kerajaan.' Sebab program transformasi yang sedang digerakkan oleh beliau akan melalui cara baru yang radikal.
Dalam melaksanakan usaha-usaha PTK ini, yang ditakuti seperti yang dirasai oleh Perdana Menteri ialah halangan dan kekangan, termasuk sasaran yang tidak dicapai, inisiatif-inisiatif yang mungkin tidak mendatangkan hasil, penolakan segolongan masyarakat terhadap perubahan dan cabaran-cabaran baru yang tidak dapat dijangkakan.
Saya yakin walaupun ada cabaran-cabaran yang tidak dapat dielakkan, kerajaan mampu mengatasinya dan akan mencapai matlamatnya. Tetapi ia memerlukan sokongan serta kerjasama daripada rakyat, sektor awam, sektor sosial dan semua segmen masyarakat.
Kita tidak mahu mendengar PTK dikatakan hanya slogan atau penjenamaan pada program-program kerajaan yang terdahulu. Soal kelemahan, kelembapan pada dasarnya melibatkan tahap pelaksanaan.
PTK tidak patut ada alasan jika prosesnya perlahan atau tidak berkesan.
Pada saya, maju, mundur, pantas atau lembab PTK bergantung kepada orang yang melaksanakannya. Sekarang sudah ada KPI dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang perlu dipenuhi oleh pemimpin kerajaan dan penjawat awam.
Apakah mereka prihatin kepada penilaian itu. Atau mereka buat-buat tidak ambil peduli kerana setiap bulan gaji pasti sudah ada di dalam bank.
Mungkin ada sebilangan penjawat awam yang membelakangkan soal prestasi mereka. Mereka tak peduli, tetapi kesannya boleh memberi imej buruk kepada kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional. Mereka tidak peduli kerajaan bertukar ganti atau tidak asalkan mereka menerima gaji hingga bersara.
Mereka tahu bila parti memerintah bertukar, kedudukan sebagai penjawat awam tidak terjejas. Sebab, sudah termaktub dalam perjanjian 'tanda tangan mati' itu, mereka adalah kakitangan awam yang tidak ada kena-mengena dengan parti politik yang memerintah kerajaan.
Sebab itu saya menyokong kerajaan membuat pendekatan baru pada sistem perkhidmatan awam.
Elok benar jika kerajaan memperkenalkan sistem ganjaran dan hukuman untuk 1.2 juta penjawat awam sebagai langkah meningkatkan produktiviti dan memupuk etika kerja lebih baik.
Hanya orang yang betul-betul mahu berbakti dan berkhidmat untuk rakyat yang layak menerima gaji dan ganjaran. Golongan penumpang, harus mengubah sikap.
Sekarang bukan zaman rakyat tidak dapat berbuat apa-apa dengan kerenah dan sikap penjawat awam. Kerajaan sedar akan kuasa rakyat.
Jadi sudah tiba masanya menyedarkan penjawat awam bahawa mereka yang benar-benar berkhidmat pada tahap tertinggi sahaja patut diberi ganjaran dan bukan diberi ganjaran secara menyeluruh seperti sekarang.
Pada masa kini, penjawat awam yang tidak melaksanakan tugas yang sepatutnya, hanya ditempatkan dalam "pool" atau "bilik sejuk", tetapi masih menerima gaji yang sama setiap bulan.
Dalam konteks PTK, kejayaan atau kegagalannya bergantung kepada kerjasama para penjawat awam. Mereka menjadi satu pra-syarat untuk PTK mencapai kejayaan. Ingat pada kata-kata Najib bahawa "Tiada apa pun akan berjaya dalam kerajaan tanpa sokongan daripada perkhidmatan awam."
Sokongan penuh mereka dalam PTK ini dan dalam gagasan 1Malaysia, Rakyat Diutamakan, Pencapaian Didahulukan amat dituntut.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Juruteknik sambilan didakwa hina kesultanan Johor
Khairulizam Abdul Ghani, 29, membuat pengakuan tersebut hari ini selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Zambri Abu Bakar.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di No. 297 Rumah Rakyat Panchor di sini antara pukul 7.25 malam dan 9.05 malam, 22 Januari lalu
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud yang mengendalikan pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport antarabangsanya.
Peguam Mohd. Radzlan Jalaludin yang mewakili Khairulizam pula memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan tertuduh bakal melangsungkan perkahwinannya esok.
Zambri kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Hakim turut menetapkan 31 Mac ini bagi sebutan semula kes itu.
Mengikut laporan akhbar, Khairulizam menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada pukul 4.40 petang, 26 Januari lalu.
Dia dikatakan menghina Almarhum Sultan Johor yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam satu artikel dan disiarkan dalam blog berkenaan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Nota hujung:
Bagi penulis tindakan ini memberi pengajaran kepada kita agar menjaga tatasusila agama dan budaya dalam mengeluarkan apa-apa jua pandangan yang menyentuh peribadi orang lain. Apatah lagi jika hal tersebut menyentuh peribadi insan yang telah meninggal dunia. Memperkatakan perilaku negatif orang lain tergolong dalam istilah 'mengumpat' yang dilarang dalam agama. Peribahasa Melayu ada menyatakan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Semoga alam perkahwinan yang bakal ditempuhi tertuduh menjadikan dirinya lebih matang dan bertanggungjawab. Selamat Pengantin Baru!