Jumaat, 28 Februari 2014

ISU GLOBAL : Kewibawaan Malaysia jadi kuasa tengah di Asia terbukti


Oleh : Mior Kamarul Shahid

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap mengenai peranan Malaysia sebagai sebuah negara kuasa tengah di Asia. Ia adalah satu kenyataan dasar untuk menjelaskan pendirian Malaysia dalam hal ehwal luar khususnya pada peringkat global.

Malaysia, sejak merdeka, tidak pernah terasing daripada sebarang isu dunia. Dalam apa juga isu khususnya membabitkan keamanan sejagat, ekonomi, penindasan, kemiskinan, persengketaan dan peperangan, negara ini adalah peserta aktif yang sentiasa memberi sumbangan, sama ada pandangan atau bantuan secara fizikal.

Ada kalanya, idea Malaysia yang praktikal mendapat perhatian dunia dan dijadikan contoh menangani masalah baharu. Di negara yang memerlukan bantuan untuk mewujudkan keamanan khususnya bagi menyokong inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia tidak pernah ketinggalan.

Setakat ini tentera Malaysia sudah dihantar berkhidmat di banyak negara termasuk di zon perang demi membuktikan komitmen negara mewujudkan keamanan sejagat. Malaysia tidak nampak alasan dunia dipenuhi segala macam ancaman atas apa alasan sekali pun.

Rakyat dunia tidak seharusnya diheret oleh mana-mana kuasa atas apa saja alasan, sama ada meluaskan kuasa politik, wilayah, jajahan, meningkatkan kuasa ekonomi dan perdagangan, perbezaan agama dan warna kulit.

Paling awal hulur bantuan

Di negara yang memerlukan bantuan termasuk akibat kemiskinan, bencana alam dan penganiayaan kesan daripada pertikaian, Malaysia adalah antara negara paling awal menghulurkan bantuan. Walaupun dasar ini sudah lama diamalkan oleh Malaysia, ia tidak dihebohkan.

Sejak Malaysia diterajui Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, diikuti Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Najib, dasar negara ini untuk mewujudkan keamanan dunia tidak pernah berganjak.

Najib juga memperkenalkan pergerakan kesederhanaan global berikutan kedudukan dunia yang diancam gerakan keganasan dan pelampau. Sebelum ini Malaysia melalui ASEAN memperjuangkan kewujudan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Z0PFAN) dan lantang menyuarakan fikiran dan bantahan jika berlaku tindakan yang cuba ‘menceroboh’ dasar itu.

Malaysia kemudian muncul jurucakap kepada negara dunia ketiga. Ini menyebabkan Malaysia sering menjadi tempat mengadu dan menjadi negara rujukan dalam apa juga isu membabitkan negara dunia ketiga.

Pembabitan cergas Malaysia dalam pelbagai pertubuhan antaranya Pertubuhan Negara-Negara Komanwel (CHOGM), Kumpulan 16 (G16), Kumpulan 8, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Pertubuhan 8 Negara Membangun (D8) dan sebagainya menyebabkan suara negara ini sering didengar.

Jika ada isu yang bertentangan dengan semangat dan cita rasa organisasi atau negara anggota pertubuhan berkenaan, Malaysia akan ke depan menyuarakan pandangan atau bantahan. Peranan yang dimainkan Malaysia itu diiktiraf dan jelas membuktikan dapat menyelesaikan banyak masalah.

Tidak gentar suarakan pandangan

Jika berlaku penindasan daripada kuasa besar terhadap sesebuah negara lain, Malaysia tidak gentar menyuarakan pandangan dan meminta isu itu diselesaikan segera. Jika terpaksa berkeras, menyindir atau mengherdik, Malaysia melakukannya menerusi platform sesuai termasuk di PBB atau melalui meja rundingan.

Jika membabitkan isu negara miskin, Malaysia akan meminta agar usaha berkesan diambil untuk mengatasinya dengan memberi idea menyelesaikannya secara bersama.

Jika bantuan diperlukan, Malaysia akan menghulurkannya terlebih dahulu sebagai rangsangan kepada negara lain untuk turut berbuat demikian. Hari ini, sudah banyak masalah yang menghantui negara tertentu satu ketika dulu sudah dapat diselesaikan.

Hari ini, Malaysia mengalihkan pula peranannya sebagai sebuah negara kuasa tengah berpandukan warisan pelbagai fungsi mewujudkan keamanan sejagat yang diperjuangkan sekian lama. Perjuangan sejagat Malaysia membabitkan soal politik antarabangsa dan kemajuan ekonomi negara dunia selain keadilan sosial masyarakat dunia.

Dengan peranan berkesan dimainkan, sewajarnya kedudukan Malaysia sebagai kuasa tengah lebih mudah diterima oleh negara dunia. Yang pasti, tidak semua negara boleh memainkan peranan kuasa tengah kerana ia memerlukan ciri-ciri tertentu.

Negara yang bersengketa, negara yang kedudukan ekonominya tidak kukuh, tidak mempunyai pemimpin yang boleh diterima umum dan sebagainya tidak boleh menjadi negara kuasa tengah. Kedudukan ekonomi negara kuasa tengah mesti kukuh dan mempunyai ciri-ciri negara maju.

Pemimpin negara kuasa tengah perlu mempunyai daya pemujukan yang tinggi dan berwibawa. Pemimpin negara kuasa tengah sering dipanggil berunding dan diminta memberi nasihat mengenai masalah yang dihadapi mana-mana negara.

Jika mereka sendiri mempunyai masalah dalaman sama ada politik atau ekonomi yang sering menggugat keselamatan negara, sudah tentu tidak layak menjadi negara kuasa tengah.

Model kuasa tengah bukanlah konsep baharu kerana fungsi kuasa tengah ini sudah wujud sejak sekian lama. Konsep negara kuasa tengah ini diperkenalkan di Eropah pada kurun ke-16 oleh pemikir politik Itali, Giovanni Botero dengan membahagikan dunia kepada tiga kategori, iaitu granddissme atau empayar, mezano (kuasa tengah) dan piccioli (kuasa kecil).

Granddissme adalah negara yang mempunyai kuasa ekonomi, ketenteraan dan menjajah negara lemah, manakala negara mezano lebih kepada menjadi perantara antara negara kuasa besar dengan negara lain, manakala negara piccioli adalah negara miskin dan bergantung kepada negara lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Malaysia sebagai negara kuasa perantara


Oleh : Azmi Hassan

KEMAMPUAN Malaysia untuk menjadi negara kuasa perantara serantau sudah mula menimbulkan kemusykilan dalam kalangan rakyat kerana hakikatnya kita hanyalah sebuah negara kecil dan mempunyai kekuatan tentera atau ekonomi yang sederhana.

Secara mudahnya negara kuasa perantara mampu menjadi pengimbang terhadap negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), Rusia dan juga China. Statusnya agak unik kerana negara kuasa perantara berada di tengah-tengah kuasa besar dan negara lemah.

Sebelum ini tidak pernah kedengaran Malaysia mempunyai perancangan untuk menjadi negara kuasa perantara sebab pelaksanaannya agak rumit kerana melibatkan perkongsian strategik dengan negara serantau yang lain.

Mungkin isyarat paling hampir adalah inisiatif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 2010.

Hasrat menjadi kuasa perantara serantau diumumkan oleh Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Kelapan beberapa hari lepas di hadapan diplomat Malaysia yang sedang berkhidmat di luar negara. Begitu jelas sekali hasrat Perdana Menteri itu merupakan dasar rasmi negara. Lebih mencabar lagi kerana hasrat ini perlu dimuktamadkan sebelum negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Malaysia tidak akan mampu menjadi kuasa perantara jika bertindak bersendirian tanpa ada gabungan sekutu dengan negara lain. Walaupun Perdana Menteri tidak memperincikan hasrat tersebut tetapi beliau ada menyatakan gabungan antara negara maju dan sedang membangun adalah kaedah terbaik dan paling efisien.

Cuma yang menjadi persoalan adalah walaupun secara spesifik negara sekutu tersebut masih belum lagi ditentukan tetapi apa yang penting adalah setiap negara sekutu mesti mempunyai sasaran dan objektif yang serupa.

Gabungan sekutu kuasa perantara ini tidak akan meminggirkan peranan ASEAN malah akan pasti memperkuatkan lagi pengaruh pertubuhan 10 negara itu di rantau Asia.

Hal ini kerana dalam beberapa isu geopolitik Asia seperti masalah tuntutan bertindih sempadan maritim Laut China Selatan, ASEAN didapati sukar bertindak sebagai satu suara kerana ahlinya mempunyai agenda berlainan.

Malaysia yang mempunyai pengaruh besar dalam ASEAN sebenarnya boleh menggunakan landasan pertubuhan ini untuk membentuk gabungan sekutu negara kuasa perantara Asia yang baharu.

Adalah tidak adil jika keseimbangan geopolitik rantau Asia hanya ditentukan oleh dua kuasa besar utama iaitu AS dan China sahaja dan contoh paling jelas adalah senario Laut China Selatan.

Sebab itu adalah kritikal saranan Perdana Menteri perlu dilaksanakan secepat mungkin supaya dasar luar Malaysia dapat digubal demi mempertahankan kedaulatan negara, bukan sahaja isu yang membabitkan Laut China Selatan bahkan isu geostrategik yang lain.

Pada ketika ini ketiadaan gabungan kuasa perantara yang melibatkan isu Laut China Selatan umpamanya telah mewujudkan dua kumpulan berbeza. Satu kumpulan diterajui oleh AS terdiri daripada Filipina, Singapura dan Vietnam sementara kumpulan bertentangan pula diketuai oleh China yang mendapat sokongan Kemboja.

Kewujudan kedua-dua kelompok yang berbeza ini langsung tidak memberi manfaat kepada Malaysia.

Percaturan pengaruh di antara dua kuasa besar AS dan China tidak kira sama ada di Laut China Selatan, Laut China Timur atau Laut Kuning sekali pun telah menyisihkan negara kecil lain seperti Malaysia dalam membuat keputusan, jika tidak berada dalam salah satu kelompok kumpulan tersebut.

Sebab itu penting bagi Malaysia mewujudkan gabungan sekutu negara kuasa perantara supaya matlamat dan kepentingan negara Asia lain dapat disatukan dalam kumpulan yang sama.

Berbeza dengan kumpulan yang diketuai oleh AS dan China, gabungan sekutu negara kuasa perantara tidak diresapi oleh pengaruh kuasa besar. Senario sebegini memudahkan lagi kerjasama dibuat di atas landasan kepercayaan dan amanah di antara satu sama lain.

Modus operandi gabungan sekutu negara perantara adalah jauh berbeza dengan kumpulan yang diterajui oleh kuasa besar kerana kewujudan kuasa besar di rantau Asia seperti AS dan China diiktiraf kerana gabungan kuasa perantara ini hanya menjadi pengimbang kuasa.

Kerjasama di antara India dan Korea Selatan dalam membentuk gabungan sekutu negara perantara adalah strategi yang begitu jelas untuk mengimbangi pengaruh China. India umpamanya mempunyai masalah sempadan di wilayah Jammu, Kashmir dan juga Ladakh dengan China.

Begitu juga Korea Selatan menerusi masalah sempadan maritim Laut China Timur dengan China. Kerjasama yang diasaskan oleh India dan Korea Selatan ini dianggap kerjasama negara kuasa perantara kerana secara bersendirian kedua-duanya tidak mampu menandingi kekuatan China.

Besar kemungkinan Jepun juga akan menyertai India dan Korea Selatan dan jika ini berlaku, gabungan ini adalah sekutu negara kuasa perantara yang berpengaruh menghadapi kuasa besar seperti AS dan China.

Memang benar Jepun dan AS dan juga Korea Selatan dan AS sudah mempunyai persefahaman dalam menghadapi ancaman China dan Korea Utara. Tetapi persefahaman yang diterajui oleh AS ini tidak membenarkan sama ada Jepun atau Korea Selatan berada pada landasan yang sama dengan Washington. Setiap strategi lazimnya ditentukan oleh AS.

Hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara kuasa perantara bagi rantau Asia perlu disokong oleh semua lapisan rakyat dan strateginya pula perlu diperhalusi terutama sekali oleh Wisma Putra kerana ia banyak berkaitan dengan dasar luar negara. Walau apa sekali pun, sudah begitu nyata status negara kuasa perantara adalah prasyarat penting yang perlu dipenuhi sebelum Malaysia menjadi negara maju tahun 2020.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 27 Februari 2014

ISU BAHASA : Lemah BI antara punca graduan gagal dapat pekerjaan


PUTRAJAYA : Kelemahan berkomunikasi, gagal menguasai Bahasa Inggeris dan kurang keyakinan diri adalah antara faktor graduan di negera ini gagal mendapatkan pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abd Wahid Omar, berkata permasalahan itu harus diselesaikan dalam memastikan jumlah graduan menganggur berkurangan pada masa depan.

"Sehubungan itu, Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) merancang untuk mengadakan 'program immersion' iaitu menambahkan latihan membabitkan komunikasi dan persembahan khususnya dalam Bahasa Inggeris kerana ia mampu mengubah graduan dari sikap rendah diri kepada seseorang individu yang berkeyakinan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Eksklusif bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 40 syarikat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang menyertai program SL1M di sini, hari ini.

SL1M ialah program ditawarkan kepada graduan yang gagal memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian dengan mereka diberi peluang mengikuti latihan di syarikat yang menyertai program itu selama setahun serta diberi elaun bulanan minimum RM1,000.

Sehubungan itu, Abd Wahid berkata program SL1M yang diselia Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan dalam merancang untuk melaksanakan satu inisiatif baharu yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai inisiatif itu.

"Diharapkan lebih banyak syarikat GLC dan swasta tampil membantu para graduan miskin meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan mereka menerusi pelaksanaan inisiatif baharu ini," katanya.

Dalam pada itu, Abd Wahid berkata sejak SL1M dilaksana Jun 2011 sehingga Disember tahun lalu, SL1M membantu 14,232 graduan meningkatkan kualiti mereka untuk pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, mereka yang berminat untuk menyertai program SL1M boleh menghubungi EPU di talian 03-88723387 atau 03-88723390 atau melayari laman web di www.epu.gov.my/slim atau di laman Facebook 'Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)'.

Sumber : BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Jangan malukan profesion guru


"Jika kita bekerja seperti biasa, janganlah kita mengharapkan hasil yang luar biasa."

Demikian kata cerdik pandai untuk menggambarkan betapa perlunya manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat.

Sebagai seorang pendidik yang hampir 30 tahun mengajar di salah sebuah sekolah di pantai timur, saya berasa kata-kata cerdik pandai yang dinyatakan tadi, cukup sesuai menggambarkan senario pendidikan negara mutakhir ini.

Saya beranggapan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) cukup sedar bahawa sudah tiba masanya sistem pendidikan negara ini beralih kepada satu era yang mampu meletakkan standard pendidikan negara mencapai kelas dunia.

Usaha ini sejajar dengan sejarah perkembangan sistem pendidikan itu sendiri. Jika pada era awal kemerdekaan melalui Laporan Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960), sistem pendidikan menggalas misi menyatupadukan rakyat, maka dalam konteks langit terbuka sekarang, negara ini perlu memiliki suatu sistem pendidikan yang mampu melahirkan pelajar bertaraf antarabangsa dan boleh bersaing dengan rakan-rakan mereka di belahan benua sebelah sana.

Oleh sebab itu saya secara peribadi amat berbesar hati apabila KPM pada tahun lalu melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 dengan tiga objektif khusus iaitu memahami prestasi dan cabaran semasa; mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas; menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam pendidikan.

Bagi mencapai objektif PPPM, maka KPM menjalankan suatu sistem penilaian yang begitu hangat diperkatakan sekarang iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Perlu diingatkan bahawa sejak awal kemerdekaan sehinggalah era milenium, sistem penilaian pelajar dalam sistem pendidikan negara teruk dihentam oleh pelbagai pihak yang mendakwa sistem penilaian ini terlalu berorientasikan peperiksaan. Kesannya kebanyakan pelajar, waima ibu bapa sekalipun 'gila' menyusun deretan pangkat 'A' dalam buku rekod pencapaian pelajar setiap tahun.

Maka PPPM yang digubal melalui penyertaan 55,000 orang cerdik pandai dari dalam dan luar negara mendukung pelaksanaan PBS sebagai pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pentaksiran melalui PBS meliputi bidang akademik dan bukan akademik.

Bagaimanapun, pelaksanaan sistem ini nampaknya dikenal pasti mempunyai beberapa kelemahan dan perlu diteliti semula untuk memastikan sistem ini berjalan lancar pada masa depan.

Jadi, saya menyambut baik pengumuman Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof, baru-baru ini yang menangguhkan secara rasmi pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat KPM dalam masa terdekat.

Seperti yang terkandung dalam gelombang pelaksanaan PPPM, sistem pendidikan negara sekarang berada pada Gelombang 1 (2013-2015) yang menumpukan pengubahan sistem dengan menyokong guru dan memberikan keutamaan kepada kemahiran utama. Dalam Gelombang 1 ini dinyatakan bahawa penambahbaikan PPPM akan dijalankan dari semasa ke semasa.

Jadi, tindakan menangguhkan PBS dan mengkajinya semula untuk proses penambahbaikan selari dengan tuntutan Gelombang 1 pelaksanaan PPPM.

Keterbukaan KPM untuk mendengar keluhan guru berkenaan PBS sehingga bersedia menangguhkannya menunjukkan bahawa pelaksanaan PBS ini tidak mempunyai agenda peribadi mahupun politik.

Saya cukup kecewa apabila ada kumpulan pendidik di bawah nama badan pertubuhan bukan kerajaan belum berdaftar yang menggelar diri mereka sebagai Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) dengan penuh angkuh mendakwa mereka mewakili suara guru-guru mengecam KPM untuk memansuhkan PBS. Bahkan mereka sampai ke tahap mengadakan perhimpunan di Bangi baru-baru ini bagi menunjukkan kehebatan mereka mendesak KPM memansuhkan PBS. Lebih memalukan mereka bakal menyerahkan memorandum bantahan pelaksanaan PBS kepada Perdana Menteri.

Apa masalah mereka ini? Adakah mereka tidak memahami betapa getirnya cabaran pendidikan negara ini jika masih berada pada takuk lama ketika negara lain berlumba-lumba melonjakkan sistem pendidikan negara masing-masing ke peringkat dunia?

Bukan budaya guru di Malaysia ini bertindak berhimpun dan menyalak membantah KPM sedemikian rupa.

Lebih mengaibkan perhimpunan yang mereka anjurkan baru-baru ini turut disertai oleh beberapa buah NGO lain yang berbau politik. Agak melucukan apabila Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang tumpang sekaki menyertai perhimpunan tersebut, tiba-tiba mengeluarkan usul agar kuasa Menteri Pendidikan dihadkan supaya tidak sewenang-sewenangnya mengubah sistem pendidikan negara dan sebarang perubahan harus diberikan kepada pakar.

Pastinya kenyataan ini merujuk PPPM yang dilancarkan pada tahun lalu yang mendukung PBS. Adakah ABIM tahu berapa ramai pakar yang sudah terlibat menggubal PPPM dan merencanakan PBS?

Fahamilah roh pelaksanaan PPPM dan PBS terlebih dahulu sebelum bersilat di gelanggang.

Saya cukup setuju dengan pandangan Datuk Seri Idris Jusoh Menteri Pendidikan II pada 24 Februari lalu bahawa PBS tidak akan dimansuhkan kerana rakyat mahukannya.

Dahulu kita sibuk marahkan sistem penilaian pelajar yang berorientasikan peperiksaan, sekarang tidak semena-mena sekumpulan guru yang baru setahun jagung mengajar, terhegeh-hegeh pula mahu sistem penilaian holistik yang tidak berorientasikan peperiksaan, segera dimansuhkan. Jadi sebenarnya, apakah yang mereka mahukan?

SUARA HATI GURU
Hulu Terengganu

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Membangun pendidikan sepadu


Oleh : PROF DR.  SIDEK BABA

ILMU yang sepadu dan sifatnya bertatahkan nilai akan memberi arah terhadap pedoman yang baik dan bermanfaat dan ia bakal melahirkan generasi terdidik yang sentiasa istiqamah dengan perjuangan, tidak gopoh dengan strategi dan sentiasa bijaksana dalam memahami waqi’ atau realiti.

Peradaban masa silam umat Islam ditandai dengan kekuatan ilmu dan pendidikan. Ia menjadi tunjang kepada tradisi kecendekiawanan dan pemikiran. Ilmu yang sepadu atas asas integrasi ilmu urus diri dan ilmu urus sistem menjadi landasan terbaik kepada hala tuju pendidikan umat dan negara. 

Wasatiyyah dalam pendidikan yang mencari titik-keseimbangan tidak sekadar suatu proses menyampaikan maklumat, ilmu, kemahiran dan keterampilan semata-mata. Ia sekali gus melakukan proses transformasi diri dan sistem.

Ilmu yang benar dan bermanfaat sekiranya diolah secara wasatiyyah bakal menghasilkan jenis manusia yang baik binaan diniahnya dan bagus dalam binaan ilmu-ilmu ketamadunan. Ia menjadi sangat relevan dengan perubahan zaman kerana memiliki kualiti berimbang yang baik.

Kualiti berimbang yang ada pada umat Islam menyebabkan anugerah ALLAH terhadap limpahan rahmah dan nikmat di atas dan di perut bumi negaranya dapat diuruskan dengan amanah dan bijaksana. Fokusnya ialah membangun sistem pendidikan yang mampu membangun kualiti seimbang.

Bayangkan banyak negara Islam tidak mempunyai sistem pendidikan yang sepadu menyebabkan ilmu-ilmu berhubung dengan daya urus sistem tidak dibangunkan dan kemampuan menguruskan sumber dalam sistem tidak terjadi.

Ia menyebabkan kualiti rohaniah di kalangan warga umat tinggi tetapi upaya amaliah tidak produktif dan menyebabkan umat Islam terus menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Justeru, pendidikan wasatiyyah melalui proses integrasi yang harmoni antara faktor kognitif, afektif dan psikomotor perlu diperkukuhkan. Gandingan kekuatan akliah yang diimbangkan dengan kekuatan rohaniah terserap dengan baik dan menjadi sumber terbaik diterjemahkan dalam amal.

Oleh itu pendidikan berkualiti ialah yang mampu membentuk watak dan peribadi mithali. Sumber contoh teladan adalah sesuatu yang amat utama kerana darinya tergambar sari pati akhlak karimah.

Inilah asas perjuangan Rasulullah SAW membawa risalah islah dan tarbiah untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Ini juga menjadi tonggak menyatukan ummah kerana Rasulullah SAW diutuskan oleh ALLAH untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Pendidikan umpamanya amat penting dalam membangun pekerti manusia. Daripada pekerti manusia yang amanah, adil, telus dan tulus umpamanya pihak lain mendapat manfaat daripadanya. Apabila diberi amanah untuk mengurus sistem, ketertiban terjadi dan kesejahteraan berlaku.

Pendidikan juga terkandung faktor adab yang sangat dititikberatkan. Rasulullah SAW dalam hadisnya – “Addabani rabbi faahsana ta’dibi”.  Ya ALLAH, didiklah aku dengan didikan yang terbaik. Yang terbaik itu merujuk kepada konsep addaba yang membawa maksud disiplin akliah, rohaniah dan amal.

Pendidikan yang membawa asas tajdid (transformatif) berlandaskan disiplin membentuk akal supaya memiliki daya fikir tinggi, berupaya menjana ilmu dan hikmah. Ini adalah landasan wasatiyyah.

Ia juga membentuk hati dan diri yang mencari titik- keseimbangan dan kebenaran terhadap ilmu dan hikmah sehingga proses penyerapan terjadi (internalisasi) mendukung amal yang baik.

Fokus kepada hati bermaksud bagaimana kesuburan hati dan niat terjadi menyebabkan olahan rohaniah menyebabkan tazqiah-an nafs (pembersihan jiwa) terjadi dan ia penting sebagai pancaran niat ikhlas dan murni untuk amal soleh.

Justeru pendekatan wasatiyyah yang komprehensif tidak saja memancarkan kebenaran dan keadilan tetapi juga menghasilkan suasana berimbang dan harmoni- menjadi teladan terbaik untuk melihat kebijaksanaan berlaku.

Atas kapasiti ilmu dan pendidikan umat Islam menjadi umat contoh kerana istiqamahnya yang tinggi, ikhlas dan amanah dalam melaksanakan taqlif atau tanggungjawab, terbuka untuk berbeza pandangan, sangka baik yang tinggi terhadap orang lain, tidak gopoh menghukum dan tidak berdendam serta  tidak menaruh sifat benci yang menyebabkan perseteruan terus terjadi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Rabu, 26 Februari 2014

ISU GLOBAL : Kesejagatan hak asasi penjajahan baru Barat


Oleh : Shamrahayu A. Aziz

Percanggahan dengan nilai Timur bukti budaya, agama masyarakat tidak dihormati

Kita masih belum sepi daripada membincangkan hal berkaitan hak asasi. Perkara yang sering menjadi persoalan ialah adakah wujud kesejagatan hak asasi? Mereka yang menyokong kesejagatan hak asasi berhujah bahawa oleh kerana hak asasi wujud bersama-sama dengan kewujudan manusia, maka semua hak asasi mempunyai nilai dan skop yang sama di seluruh dunia. Bagi mereka, skop hak dan nilai hak asasi itu tidak boleh berbeza antara satu tempat dan keadaan. Mereka menjadikan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR) sebagai rujukan dan penanda aras. Namun, pendapat ini tidak tepat.

Teori kesejagatan hak asasi ini sebenarnya berdasarkan acuan Barat. Oleh kerana hak asasi sentiasa dijulang sebagai sumbangan Barat kepada dunia, maka UDHR dikatakan mewakili kesejagatan dunia. UDHR dikatakan mewujudkan standard hak asasi manusia dan menyediakan penanda aras kepada skop dan nilai hak asasi yang hendaklah dipatuhi seluruh dunia. Oleh itu, kesejagatan hak asasi adalah agenda Barat untuk meletakkan nilai mereka dan juga memaksa serta memastikan mereka yang tidak bersetuju dengan UDHR dipantau badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka akan memantau negara yang merujuk kepada nilai Islam.

UDHR bersifat Eurosentrik

Bukan tiada kritikan terhadap UDHR oleh negara Islam atau ahli akademik, Islam dan bukan Islam. Kritikan itu senada menyatakan bahawa UDHR bersifat Eurosentrik iaitu memberi keutamaan kepada Barat. UDHR bukan menggalakkan kesejagatan hak asasi manusia, tetapi benar-benar memaksa penguasaan falsafah Barat/Eropah ke atas orang dan tradisi bukan Barat/Eropah. Ini terbukti benar apabila Dunia Islam berterusan mempersoalkan sebahagian UDHR sejak ia diperkenalkan. Tindakan negara Islam ini melahirkan Deklarasi Islam Hak Asasi Manusia Sejagat Kaherah (Deklarasi Kaherah). Deklarasi ini diiktiraf PBB.

Percanggahan dan perbezaan antara Barat dan Timur mengenai hak asasi akan berterusan. Ia bukan saja pertembungan budaya, ia juga pertembungan agama. Pertembungan ini perlu diambil perhatian serius pendukung hak asasi bermodel UDHR di negara ini. Kesannya nanti bukan kecil.

Mereka hendaklah memahami kesan pertembungan ini. Jika di peringkat dunia satu deklarasi lain telah diisytihar oleh Dunia Islam, ini menunjukkan pertembungan itu tidak mudah untuk menjumpai titik pertemuan dan seterusnya menjadikan semua hak asasi atau nilainya sejagat. Kesejagatan ini tidak benar. Ia sekadar ilusi dalam amalan dan juga teori hak asasi.

Penerimaan hak asasi berbeza

Semua negara mempunyai pengalaman dan kepelbagaian dalam peristiwa sejarah, jenis dan penentuan agama dan budaya, tahap pembangunan berbeza dan kepelbagaian keadaan ekonomi, sosial dan politik. Semua faktor ini menyumbang kepada sifat berbeza, nilai dan skop hak asasi manusia. Pengalaman mereka menjadikan persepsi dan penerimaan mereka terhadap hak asasi berbeza.

Dalam konteks ini, persekitaran budaya dan agama majoriti masyarakat hendaklah dihormati dalam menegakkan kepercayaan hak asasi. Hujah kesejagatan UDHR saja tidak boleh diterima oleh masyarakat Islam di dunia dan sudah tentu masyarakat Islam di negara ini juga tidak boleh menerima nilai hak asasi UDHR itu.

Sebagai masyarakat yang mempunyai nilai Asia. Tamadun Asia menyumbang kepada sifat hak di rantau ini. Negara Asia melihat kesejagatan hak adalah cabaran kepada nilai dan hak Asia. Antara hujah negara Asia terhadap kesejagatan hak asasi manusia termasuk, hak asasi adalah moral Barat. Oleh kerana itu, Barat tidak boleh mengenakan kesejagatan itu ke atas masyarakat bukan Barat kerana itu bentuk penjajahan baru, tidak adil dan jelas adalah imperialis.

Budaya dan agama masih menjadi keperluan utama hak asasi masyarakat Malaysia. Penanda aras hak asasi di Malaysia masih lagi budaya tempatan dan agama negara. Ini disokong dengan jelas oleh kerangka perundangan negara terutama Perlembagaan Persekutuan. Budaya dan agama menjadi falsafah dan rukun negara kita. Oleh kerana gejolak nafsu kebebasan sanggupkah kita gadai inspirasi, falsafah dan rukun negara?

Penulis ialah Profesor Madya di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 25 Februari 2014

ISU PENDIDIKAN : Permudah PBS agar fokus guru tidak terganggu


KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dipermudah agar fokus guru dalam mendidik pelajar tidak terganggu.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata sistem PBS merugikan pelajar kerana guru boleh hilang fokus semasa proses pengajaran dan pembelajaran kerana  perlu memeriksa kertas ujian serta mengisi data berkenaan setiap hari.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan NUTP menyambut baik penangguhan pelaksanaan PBS seperti yang diumum Kementerian Pendidikan semalam.

"Sepatutnya guru menggunakan masa mereka di sekolah untuk mendidik pelajar bukan mengisi data di dalam sistem," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kementerian Pendidikan berkata penangguhan itu adalah bagi meneliti semula pelaksanaan PBS dalam usaha mengurangkan beban tugas guru selain memfokus kepada rombakan perkara yang melibatkan kekerapan memasukkan data, termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid. - Bernama

ISU KEIBUBAPAAN : Pukul anak: Mendisiplin atau mendera?


Oleh : Salleh Buang

KES dua warga Malaysia, Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal (suami isteri, ibu dan bapa kepada 4 kanak-kanak) yang kini sedang berlangsung di Mahkamah Daerah Solna, Sweden telah menimbulkan kembali persoalan lama iaitu apakah perbuatan seorang bapa atau ibu memukul anaknya yang masih kecil itu satu tindakan mendisplin atau satu penderaan kanak-kanak yang menyalahi undang-undang?

Mengikut kes pasukan pendakwaan Sweden, kedua ibu bapa itu telah mendera anak mereka (memukul mereka dengan menggunakan tali pinggang dan rotan) sejak tahun 2010 sehingga Disember 2013. Mereka ditahan sehingga sekarang, sementara perbicaraan berjalan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun.

Memukul anak di rumah dan di sekolah

Mengikut portal Wikipedia, perbuatan memukul anak (disebut "parental or domestic corporal punishment") masih dibenarkan (tidak dilarang atau diharamkan) di 49 negeri di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, ia diharamkan di Delaware sejak 2012.

Perbuatan menghukum (memukul) anak di rumah oleh ibu bapa telah dilarang (diharamkan) di 34 negara, manakala perbuatan memukul anak-anak di sekolah (misalnya oleh guru disiplin) telah diharamkan (dilarang) di Kanada, Kenya, Korea, Afrika Selatan, New Zealand dan hampir kesemua negeri di Eropah.

Di Amerika, perbuatan menghukum (memukul) murid sekolah masih dibenarkan di 19 negeri, tetapi diharamkan di New Jersey dan Iowa. Di Malaysia belum ada undang-undang khas yang melarang ibu bapa memukul anak di rumah (dengan tujuan mendisplin mereka).

Andainya perbuatan memukul anak itu melampaui tahap yang munasabah, serius sehingga mendera dan mencederakan mereka, dan nyata bukan lagi boleh dianggap sebagai langkah mendisplin anak, perbuatan sedemikian itu menyalahi undang-undang negara, misalnya Akta Kanak-Kanak 2001 dan Kanun Keseksaan.

Sweden negara terawal

Sweden merupakan negara terawal membuat undang-undangnya pada 1979 mengharamkan segala bentuk corporal punishment melibatkan kanak-kanak. Peruntukan berkaitan, yang terkandung dalam Swedish Parental Code yang baru diluluskan pada tahun itu berbunyi - "Children are entitled to care, security and a good upbringing. Children are to be treated with respect for their person and individuality and may not be subjected to corporal punishment or any other humiliating treatment."

Selain Sweden, ada 33 negara lain yang mengharamkan tindakan memukul anak (corporal punishment) di rumah, manakala tindakan serupa di sekolah diharamkan atau dilarang di 117 negara. Ini bermakna ia masih lagi diamalkan (tidak dilarang atau diharamkan) di 164 negara (memukul anak di rumah) dan 81 negara (hukuman serupa di sekolah).

Di Kanada, ibu atau bapa boleh memukul anak mereka (berumur antara 2 tahun hingga 12 tahun), tetapi hanya dengan menggunakan tapak tangan. Penggunaan benda lain seperti tali pinggang, rotan dan sebagainya tidak dibenarkan sama sekali. Di United Kingdom, ibu atau bapa boleh mendisplin anak dengan memukul anak kecil mereka tapi dengan syarat perbuatan itu tidak meninggalkan kesan atau bekas pada badan atau anggota kanak-kanak itu.

Undang-undang antarabangsa

Di peringkat undang-undang antarabangsa, usaha mula dijalankan sejak awal kurun ke-20 untuk memelihara hak asasi kanak-kanak. Pada 1923, Proklamasi Hak Kanak-Kanak dibuat, yang kemudian dipanggil Piagam Kebajikan Kanak-Kanak Sedunia oleh League of Nations pada 1924.

Pada 1959, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Perisytiharan Hak Kanak-Kanak PBB, mengandungi 10 perkara, tetapi perisytiharan ini tidak ada kuasa mengikat mana-mana negara. Apabila PBB akhirnya meluluskan Konvensyen Hak Kanak PBB 1989, barulah wujud satu undang-undang antarabangsa yang menghendaki semua negara yang menjadi ahli konvensyen itu mematuhinya.

Mengandungi 54 Perkara, konvensyen itu ada menyebutkan secara jelas sekali dalam Perkara 19.1 bahawa semua negara yang menjadi ahli (telah meratifikasi) konvensyen ini hendaklah mengambil segala langkah untuk melindungi kanak-kanak dari segala bentuk keganasan. Dalam teks asalnya dalam bahasa Inggeris ia berbunyi seperti berikut -

"States Parties shall take all appropriate legislative, administrative, social and educational measures to protect the child from all forms of physical or mental violence, injury or abuse, neglect or negligent treatment, maltreatment or exploitation . . . ."

Jika kita perhatikan peruntukan di atas, ternyata ia begitu umum sekali. Perbuatan seorang ayah atau ibu memukul anak mereka dengan tangan atau rotan boleh ditafsirkan sebagai salah satu bentuk keganasan fizikal.

Laporan akhbar Sweden

Mengikut laporan sebuah akhbar tempatan Sweden, "The Local" (berbahasa Inggeris), kedua ibu bapa warga Malaysia itu dituduh melakukan "gross violation of their childrens integrity (grov fridskränkning) and for assault" (pelanggaran teruk integriti anak-anak dan serang-sentuh).

Apabila si bapa disoal siasat, dia menjawab dia memukul anaknya sebanyak dua kali, dan itupun kerana mereka melakukan kesalahan dan perlu disiplin.

Walau bagaimanapun, kenyataan anak-anak mereka ketika disoal siasat menunjukkan bahawa si ibu memukul mereka beberapa kali. Kata seorang anak mereka, "Saya dah lali kena pukul oleh emak" dan disebabkan sudah selalu sangat, sudah tak rasa sakit lagi .

Mengikut anak-anak mereka lagi, ibu mereka telah memukul mereka selama beberapa tahun, dengan menggunakan tali pinggang, penyangkut baju, dan sebatang kayu. Si ibu menafikan semua itu, sambil menyatakan dia hanya ada memukul seorang anak sekali sahaja.

Si ibu menghadapi pertuduhan melanggar integriti kesemua empat anaknya. Si bapa dituduh melakukan kesalahan yang sama terhadap tiga orang anak, dan melakukan kesalahan serang sentuh (assault) terhadap anak yang keempat.

Mengikut Kementerian Luar Sweden, kedua-dua tertuduh tidak didaftarkan sebagai diplomat, dan yang demikian mereka tidak menikmati kekebalan diplomatik.

Mengikut Kristofer Stahre, peguambela si ibu, kes ini merupakan natijah satu "pertembungan budaya". Dalam masa sama ada pihak lain yang menganggap kes ini sebagai kes biasa penderaan anak yang dilarang undang-undang. Sama-samalah kita tunggu kesudahannya, kerana ia sudah menjadi sub judice, kita tidak boleh membuat sebarang ramalan.

PENULIS ialah Penganalisis Undang-undang

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 24 Februari 2014

ISU PENDIDIKAN : Sistem PBS Tidak Akan Dimansuhkan

Datuk Seri Idris Jusoh

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan tidak akan memansuhkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh hari ini.

Beliau berkata kementerian akan mengumumkan bentuk dan pelaksanaan sistem baharu PBS pada 1 April ini.

"Kementerian tidak akan memansuhkan sistem ini, namun akan memperbaharui semula sistem PBS dan melihat cara berkesan untuk penambahbaikan," katanya ketika diminta mengulas mengenai keluhan pelbagai pihak mengenai sistem itu.

Terdahulu beliau menghadiri pameran kejayaan penyelidikan universiti-universiti Siri 1: Penerbitan di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Bangunan IPPP, Universiti Malaya, di sini.

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dilaporkan berkata guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.   

Menurut Khair, pihaknya akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan PBS setelah Menteri Pendidikan berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.

Mengenai acara hari ini, Idris berkata lima universiti penyelidikan di negara ini telah mencapai kejayaan memberangsangkan dari segi aktiviti dan output penyelidikan.

Beliau berkata dari 2008 sehingga 2012, Malaysia berjaya mengatasi negara jiran, termasuk Thailand dan Singapura dari segi penerbitan dan kertas ilmiah.

"Kita yakin melalui produk bermutu dihasilkan (melalui penyelidikan), ia mampu menjadi produk komersial," katanya.

Lima universiti berstatus universiti penyelidikan adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Idris berkata pameran yang diadakan bertujuan membuktikan pencapaian diraih lima universiti penyelidikan ini dalam menghasilkan ciptaan dan inovasi membanggakan.

Acara ini akan dianjur secara bergilir oleh setiap universiti penyelidikan dengan penekanan berbeza untuk setiap acara, dan acara pertama ini memberi penekanan kepada penerbitan dan kertas ilmiah. - Bernama

Ahad, 23 Februari 2014

ISU PENDIDIKAN : Guru tidak perlu teruskan pelaksanaan PBS sehingga diberitahu

Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan PBS setelah Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.

Katanya, penambahbaikan itu mengambil kira dapatan kajian terbaharu KPM, rungutan guru dan mengambil kira pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

"KPM telah mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang melibatkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru," katanya.

Selain itu, antara tindakan yang diambil KPM ialah menubuhkan Jawatankuasa Task force PBS di peringkat kementerian yang akan mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.

"War Rooms PBS di peringkat KPM juga diwujudkan untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklum balas segera mengenainya dari semasa ke semasa," katanya.

KPM juga sedang melaksanakan usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memastikan guru boleh mengakses sistem itu dengan lebih mudah dan berkesan.

Beliau juga memaklumkan bahawa KPM turut menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula 17 Feb lalu untuk mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

KPM juga, katanya, telah mengadakan perbengkelan melibatkan guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula pelaksanaan PBS pada Februari lalu dan hasilnya akan dibentangkan dalam tempoh terdekat.

"Kesemua tindakan itu diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa sama mengurangkan beban guru yang melaksanakannya," katanya.

Sumber :  BERNAMA

Sabtu, 22 Februari 2014

ISU BAHASA : Bahasa ‘perpaduan’ tidak dipedulikan lagi


Oleh :  Azman Anuar

TULISAN saya tentang nama Melayu, orang Melayu bandar dan penghinaan terhadap Melayu dan Islam mendapat reaksi pembaca termasuk bukan Melayu. Terima kasih yang menyokong dan yang menghentam.

Tujuan utama topik itu dibangkitkan bukan untuk mengkritik sesiapa tetapi untuk mengingatkan. Perpaduan antara kaum hari ini semakin terhakis dan tergugat akibat permainan sentimen yang mempertikaikan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dulu tidak ada siapa yang terang-terang berani mempersoal dan menghina kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-raja yang sepatutnya bukan Melayu pun mesti menghormatinya. Sekarang semua sudah berubah dan berbeza.

Tulisan saya tidak bertujuan mahu kaum-kaum di Malaysia berpecah-belah. Saya hanya ingin mengingatkan bahawa perpaduan kaum di negara ini semakin longgar. Punca utamanya kerana sudah kurang atau hilang rasa tolak ansur. Kadangkala terfikir, sampai bila kita hendak bertolak ansur kalau sebelah pihak sahaja yang bersikap demikian.

Percaya atau tidak kalau dikatakan generasi muda kaum bukan Melayu banyak yang tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul. Jawapannya tidak pelik - sebab generasi tua kaum itu pun ada yang masih tidak tahu berbahasa kebangsaan.

Tapi penguasaan bahasa Melayu oleh kaum itu di kawasan kampung lebih baik. Malah kita rasa bangga kerana mereka berusaha bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul. Hal ini jauh berbeza kalau kita mendengar pelat kaum itu bila berbahasa Melayu di kawasan pekan dan bandar.

Salah satu faktor keadaan ini berlaku hingga sekarang sebab mereka kurang bergaul dengan orang Melayu dan ia tidak jadi keutamaan. Bagi mereka, guna bahasa pasar pun orang Melayu boleh faham.

Kalau begini situasinya bermakna pekerja Bangladesh dan Pakistan lebih baik tutur kata bahasa Melayunya daripada kaum itu.

Tidak adil jika kaum itu sahaja dikatakan tidak tahu berbahasa Melayu, kaum satu lagi pun hampir sama.

Jika dibandingkan dengan keturunan kaum bukan bumiputera, kaum satu lagi lebih ramai bermastautin dan menetap di Asia Tenggara ini. Tetapi kaum itu di Malaysia, tidak sama sikap dan semangat kenegaraannya seperti bangsa mereka yang bermastautin di Vietnam, Kemboja, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Melalui asimilasi, kaum itu di negara jiran kita boleh berbahasa tempatan dengan fasih. Kadang kala kita jadi tidak percaya mendengar dan melihat bahawa mereka bertutur bahasa tempatan tanpa rasa kekok.

Contoh terdekat ialah kaum itu di Indonesia yang tanpa segan silu bertutur bahasa Indonesia sesama kaum mereka, apatah lagi berbual dengan rakyat Indonesia lain. Bukan sahaja di negara mereka sendiri tetapi kalau datang ke Malaysia pun, bahasa itu juga yang mereka tuturkan.

Begitu juga rakyat keturunan kaum itu di negara jiran lain yang benar-benar menghayati semangat kenegaraan - ‘di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung.’ Mereka patuh kepada ‘kedaulatan’ bahasa negara masing-masing.

Cemburu kian bertambah apabila melihat keadaan ini dengan mata sendiri. Kaum bukan peribumi di sana begitu akur dan setia mendaulatkan bahasa kebangsaan masing-masing.

Di Malaysia keadaan sebaliknya yang berlaku. Sekarang seolah-olah begitu kuat sikap tidak peduli kepada bahasa kebangsaan. Hal ini mungkin disedari dan mungkin kita pun tidak sedar. Lihat fenomena ini dalam sektor awam mahupun swasta.

Bila difikir dan direnung dengan mendalam, fenomena itu terjadi kerana di negara jiran hanya mempunyai satu sistem sekolah. Di sana tiada sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantara.

Anak-anak berbilang kaum diajar menggunakan satu bahasa, belajar di bawah satu bumbung, bermain dalam satu kawasan sekolah. Apabila masuk universiti, tidak rasa kekok bergaul. Jadi tidak timbul masalah penggunaan bahasa pertuturan berlainan, tiada masalah perbezaan budaya yang ketara. Oleh itu perpaduan antara peribumi dengan bukan peribumi bertambah erat dan kuat ikatan kenegaraannya.

Kepura-puraan

Inilah formula yang tiada di negara kita. Daripada peringkat sekolah, anak-anak kita dipisahkan oleh sistem sekolah mengikut kaum. Budak Melayu dan bumiputera ke sekolah kebangsaan, budak Cina ke SJKC dan India ke SJKT.

Sejak kecil mereka sudah dipisahkan mengikut aliran bahasa ibunda masing-masing. Kita ada sekolah kebangsaan yang diharap menjadi tempat untuk semua anak tanpa mengira kaum dapat bergaul dan belajar bersama-sama. Anak Cina dan India bukan banyak pun, tetapi atas fahaman perkauman yang kuat maka penyatuan dan perpaduan antara kaum tidak dapat kita jayakan walaupun melalui sekolah.

Kalau hanya ada satu sistem sekolah kebangsaan yang digunakan, mungkin masalah perkauman sekarang tidak terjadi. Melalui satu bahasa, semua orang boleh saling memahami. Kesan sistem pelbagai jenis sekolah ini sudah menampakkan kesannya. Kira-kira enam dekad kita sudah mengguna pakai sistem sekolah pelbagai aliran bahasa ini, saya tidak nampak sistem ini membantu pembinaan satu masyarakat yang bersatu padu dalam erti kata sebenar.

Selama ini kita hanya berpura-pura kerana ingin menjaga hati dan perasaan antara kaum. Sikap berpura-pura ini akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang. Hakikatnya kita perlu teruskan hidup dalam kepura-puraan’dan percaya perpaduan antara kaum kita masih utuh seperti dahulu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 21 Februari 2014

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Jalan Raya Di Malaysia Tempat Ke-17 Paling Bahaya Di Dunia - Kajian


Oleh : DINA MURAD

PETALING JAYA : Malaysia adalah antara 25 negara yang paling berbahaya bagi pengguna jalan raya, dengan mencatatkan 30 kematian bagi setiap 100,000 individu, menurut kajian oleh Universiti Michigan.

Dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Pengangkutan universiti itu menggunakan data 193 negara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), senarai kajian pada Februari 2014 menunjukkan Malaysia sebagai negara ke-17 yang paling berbahaya untuk pemandu.

Satu-satunya negara Asia Tenggara lain yang berada dalam ranking 25 yang paling berbahaya ialah Thailand yang menduduki tempat kedua paling berbahaya untuk pemandu, dengan 44 kematian bagi setiap 100,000 orang.

Dalam perbandingan yang dilakukan, Amerika Syarikat hanya 14 mencatatkan kematian, Perancis tujuh, Jerman dan Singapura enam, dan United Kingdom hanya lima kematian bagi setiap 100,000 orang.

Purata kematian dunia adalah 18 kematian bagi setiap 100,000 orang.

Namibia mendahului senarai yang paling berbahaya dengan 45 kematian dan tempat paling selamat adalah negara dengan pulau kecil, Maldives yang mencatatkan dua kematian.

Semua 25 negara yang tersenarai sebagai paling berbahaya, sama ada negara membangun atau negara kurang membangun.

Sebagai tindak balas mengapa Malaysia berada di kedudukan antara yang paling berbahaya, penyelidik Brandon Schoettle mencadangkan bahawa pembangunan mungkin mempunyai peranan yang besar dalam perkara ini.

"Walaupun saya tidak boleh bercakap secara khusus mengenai Malaysia, kita tahu bahawa dengan peningkatan pembangunan bagi sebuah negara, kemalangan maut juga sering meningkat, " katanya sambil merujuk China dan India sebagai contoh.

Negara-negara pulau seperti Malta (tiga kematian bagi setiap 100,000), Fiji (empat), Kepulauan Marshall (empat) dan Tonga (empat) adalah negara-negara di mana kurang kemungkinan kematian akibat kemalangan jalan raya, mungkin kerana tahap kenderaan bermotor yang rendah.

Di seluruh dunia, didapati bahawa kematian akibat kemalangan jalan raya membentuk hanya 2.1 peratus daripada kematian lain-lain.

Emiriah Arab Bersatu telah menduduki peratusan tertinggi dalam kemalangan maut jalan raya dengan 15.9 peratus.

Kajian ini dijalankan untuk membandingkan nisbah kematian kemalangan jalan raya dengan sebab-sebab utama kematian lain.

Kematian bagi setiap penduduk akibat kemalangan jalan raya dibandingkan dengan kematian daripada sebab-sebab utama kematian yang lain seperti 'neoplasma malignan' (kanser) dan penyakit jantung iskemia serta penyakit serebrovaskular.

Mengikut purata dunia, didapati bahawa manusia enam kali lebih berkemungkinan untuk mati akibat penyakit jantung daripada mati dalam kemalangan kereta.

Rakyat Malaysia mempunyai 2.5 kali lebih berkemungkinan untuk mati akibat kanser dan 2.8 kali lebih berkemungkinan untuk mati akibat penyakit jantung berbanding dengan kemalangan maut.

Walau bagaimanapun, menurut satu kenyataan di laman web WHO, data kajian yang dijalankan mungkin tidak sama dengan angka rasmi di Malaysia kerana perbezaan metodologi yang digunakan oleh WHO dan bancian Malaysia.

"Banyak set data mewakili anggaran terbaik WHO menggunakan metodologi untuk petunjuk tertentu yang bertujuan untuk perbandingan antara negara dan masa.

"Oleh itu, ia tidak sentiasa yang sama dengan anggaran rasmi kebangsaan, walaupun WHO, bila-bila sahaja yang mungkin, akan menyediakan peluang kepada negara anggota meneliti kajian dan mengulas mengenai data dan anggaran sebagai sebahagian daripada perundingan negara."

Oleh itu, pengelasan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbahaya untuk pemandu mungkin berbeza berbanding rekod rasmi tempatan.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Krisis air semakin meruncing


Oleh : AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Krisis air di seluruh negara  semakin  meruncing apabila bilangan empangan yang  mencatatkan bacaan  paras  air di bawah paras normal meningkat  kepada 18  empangan  hari  ini  berbanding 15  empangan  semalam.

Namun  sehingga pukul 7 malam  ini, kesemua 20 stesen  empangan  termasuk 18 empangan tersebut yang  dipantau  menerusi sistem  Info Kemarau  masih   mencatatkan  bacaan  air di atas  paras  minimum.

Menurut laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), empangan yang mencatatkan bacaan air di bawah paras normal adalah Machap, Sembrong, Labong dan Bekok di Johor, Padang Saga, Ahning, Muda dan Beris (Kedah), Bukit Kwong (Kelantan), Timah Tasoh (Perlis), Bukit  Merah (Perak), Langat, Sungai Selangor, Tasik  Subang  dan  Sungai Tinggi (Selangor), Batu dan  Genting  Klang (Wilayah  Persekutuan  Kuala Lumpur)  dan  Anak  Endau (Pahang).

Daripada 18 empangan tersebut, Padang Saga yang mencatatkan bacaan paras air 18.94 meter sudah hampir dengan paras minimum  iaitu 18.50  meter.

Berdasarkan  laman  web itu juga, jelas menunjukkan bahawa sebanyak lima empangan termasuk di Johor dilaporkan mempunyai  simpanan  air  aktif  kurang  daripada  45  peratus.

Tiga  empangan di Johor  itu  adalah  Machap yang mempunyai simpanan  air sebanyak 20.43 peratus, Sembrong (28.30 peratus),  Bekok (20.18 peratus)  manakala  dua  lagi empangan   ialah  Padang Saga (26.96 peratus)  dan  Timah Tasoh (36.23 peratus).

Sebanyak  lapan  lagi  empangan  dilaporkan  mempunyai simpan  air  aktif  kurang  daripada 50 peratus iaitu  Empangan  Muda (46.67 peratus), Bukit Merah (48.73 peratus) manakala Genting Klang, Labong, Beris, Anak Endau, Semenyih (Selangor)  dan  Ulu Kinta (Perak)  masing-masing  sebanyak 48.29 peratus.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Fungsi simbolik bahasa Melayu


Oleh : DR. AMINUDIN MANSOR

BAHASA Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam bidang pendidikan. Melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan, pada 1981 bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua peringkat persekolahan, iaitu darjah satu sekolah rendah hingga tingkatan enam. Kekuatan bahasa Melayu jelas dalam pembinaan `Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara’ yang dilaksanakan sejak dahulu hingga kini.

Mengimbau tahun 1983, semua kursus tahun pertama di universiti tempatan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Seterusnya, Bahasa Melayu telah dijadikan sebagai satu mata pelajaran di semua sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Melalui penggunaan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu, perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Di peringkat sekolah dan universiti, bahasa Melayu telah berfungsi sebagai bahasa penyalur ilmu pengetahuan dan bahasa perpaduan. Kejayaannya tidak hanya terletak pada kempen tetapi lebih kepada penggunaan dan kecintaan terhadap bahasa Melayu itu sendiri.

Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu mampu mengungkap ilmu-ilmu yang tinggi seperti memperkatakan bidang yang berkaitan dengan sains, ekonomi, perundangan, teknologi maklumat dan bidang-bidang lain yang terdapat dalam dunia moden kini.

Ini jelas dilihat menerusi pelbagai laras yang ditulis dalam bahasa Melayu yang berkaitan dengan bidang-bidang tertentu. Setiap laras mempunyai kosa kata tersendiri yang khusus tentang bidang berkenaan.

Kini terdapat banyak buku akademik yang ditulis dalam bahasa Melayu untuk kegunaan pelajar di institusi pengajian tinggi. Justeru, bahasa Melayu terbukti mampu berfungsi sebagai bahasa ilmu.

Komunikasi merupakan proses pertukaran maklumat antara individu yang terlibat dengan menggunakan sistem simbol, tanda atau tingkah laku yang umum. Oleh itu, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi bererti bahasa ini digunakan sebagai alat untuk membolehkan individu bertukar-tukar maklumat.

Dalam sesebuah komunikasi, bahasa Melayu menjadi bahasa perantara yang penting. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Nusantara ini telah berlangsung dalam tempoh yang lama. Hal ini kerana pada masa itu, bahasa Melayu telah menjadi lingua franca, iaitu bahasa perhubungan antara masyarakat yang berlainan bahasa.

Penduduk Tanah Melayu sejak awal lagi terdiri daripada pelbagai kaum dan setiap kaum ini mempunyai bahasa ibunda. Begitu juga dengan masyarakat Melayu sendiri, terdapat pelbagai dialek dan dialek ini hanya boleh difahami dalam lingkungan mereka sendiri.

Bagaimanapun, sebagai lingua franca, bahasa Melayu telah membolehkan masyarakat tanpa mengira dialek atau bahasa ibunda berhubung antara satu sama lain. Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa perhubungan berbanding bahasa lain kerana ia bahasa pertuturan harian sebahagian besar penduduk di Nusantara.

Pada masa sama, sebilangan besar daripada kaum yang terlibat mampu menuturkan bahasa Melayu ini. Hal ini disebabkan bahasa Melayu agak mudah difahami dan dipelajari, khususnya dalam kalangan penutur asing.

Dalam menjalankan fungsi komunikasi ini, penggunaan bahasa Melayu tidak terhad kepada komunikasi lisan dalam situasi tidak formal, tetapi bahasa Melayu juga digunakan dalam bidang pentadbiran dan pemerintahan. Oleh itu, dalam situasi pentadbiran, bahasa Melayu turut digunakan misalnya sebagai bahasa perhubungan di pejabat, surat-menyurat, perbualan telefon dan mesyuarat.

Bahasa Melayu juga mampu menyampaikan perasaan dan fikiran seseorang.

Kajian dan pandangan, Garvin dan Mathiot (1968) memberikan tiga fungsi simbolik bahasa baku iaitu penyatuan, pengasingan dan prestij.

Lantaran itu, fungsi penyatuan ialah bahasa Melayu baku bertindak sebagai alat yang menghubungkan penutur-penutur yang menuturkan berbagai-bagai dialek bahasa yang sama. Ini dapat menyatukan mereka ke dalam satu masyarakat penuturan.

Seterusnya, fungsi pengasingan ialah bahasa Melayu baku bertindak sebagai variasi bahasa yang terasing daripada dialek lain daripada bahasa sama yang dapat melambangkan identiti kebangsaan. Fungsi prestij dapat mewujudkan satu bahasa baku yang menimbulkan perasaan atau semangat megah terhadap negara.

Perancangan bahasa Melayu mestilah diteruskan dengan perancangan menaikkan taraf bahasa sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar. Begitu juga dengan perancangan korpus bahasa yang meliputi pengekodan atau kodifikasi serta pemupukan. Di Malaysia, kodifikasi melibatkan aspek ejaan, peristilahan, sebutan, perkamusan dan tatabahasa.

Jelaslah, di Malaysia, ketiga-tiga fungsi yang tersebut iaitu fungsi penyatuan, pengasingan dan prestij dapat menyatukan penduduk dan memberikan satu identiti bagi masyarakat Malaysia. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan disalurkan menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan dan kini diperkuatkan melalui Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Oleh itu, semua pihak mestilah berusaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam percakapan harian, penulisan dan komunikasi yang betul, berkesan dan tepat.

Penulis ialah pengamal media / PhD persuratan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/