Khamis, 31 Januari 2013

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Sindiket godam e-mel, pintas akaun cecah RM7.3 juta tumpas


KUALA LUMPUR - Polis membongkar sindiket menggodam e-mel syarikat yang menjalankan transaksi perniagaan secara atas talian bagi memintas pembayaran secara penipuan hingga menyebabkan kerugian setakat ini mencecah RM7.3 juta.

Kegiatan itu dikesan sejak 2010 iaitu sindiket menukar nombor akaun bayaran sesebuah syarikat melalui pintasan e-mel supaya bayaran dimasukkan ke dalam akaun 'keldai' yang digunakan sindiket itu. 

Ketua Unit Siasatan Perisian Komputer Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, DSP Mohamad Lazim Ismail berkata, penipuan itu boleh menjejaskan imej syarikat yang beroperasi dalam negara yang berdagang secara telus dengan syarikat antarabangsa serta menyukarkan aktiviti perniagaan kedua-dua belah pihak.

"Urus niaga perniagaan kedua-dua syarikat melibatkan pembayaran dalam talian. Malangnya sindiket tersebut telah memesongkan nombor akaun bayaran sesebuah syarikat itu melalui pintasan e-mel yang dibuat oleh anggota sindiket atau keldai akaun," katanya kepada Bernama.

Ini mengakibatkan syarikat di Malaysia menuduh syarikat antarabangsa tidak melakukan pembayaran dan apabila semakan dibuat, kedua-dua syarikat ini sebenarnya telah ditipu apabila nombor akaun yang dihantar syarikat antarabangsa kepada syarikat di sini telah pun ditukar, katanya.

Mohamad Lazim berkata, syarikat antarabangsa yang berurusan dengan syarikat di Malaysia antaranya dari India, Arab Saudi, Korea Selatan, Itali, Mexico dan China.

Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan syarikat perlu sentiasa memastikan setiap e-mel yang dihantar kepada rakan urus niaga mesti menggunakan kaedah 'encryption' di mana penerima haruslah memasukkan kod keselamatan untuk membukanya.

"Urus niaga yang dilakukan juga tidak seharusnya dilakukan menerusi e-mel semata-mata tetapi menggunakan kemudahan lain seperti telefon dan faksimili," katanya.

"Jadi saya nasihatkan apa-apa pun ikut pendekatan cara tradisional, setiap perkara yang sudah selesai dibuat, kedua-dua pihak perlu menelefon kembali untuk bertanyakan kata laluan yang sama dibuat kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, bagi awal tahun ini sehingga 15 Januari lepas, tujuh kes dilaporkan melibatkan kerugian RM907,384.

Mohamad Lazim berkata, sepanjang 2012 sebanyak 32 kes dilaporkan melibatkan kerugian RM4.6 juta (RM4,636,487.83) berbanding RM960,150 untuk tempoh 2011 dengan lima kes dan RM800,000 (2010) enam kes dilaporkan.

"Jadi jumlah keseluruhan sejak kes ini mula memasuki Malaysia pada 2010 ia mencatatkan jumlah kerugian RM7,303,871.75 dengan 50 kes dilaporkan.

"Peningkatan angka ini agak membimbangkan dan kami tidak mahu Malaysia menjadi hab sindiket asing yang kami percaya didalangi warga Afrika, jadi syarikat tempatan perlu tahu dan mula mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak tertipu dalam urusan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata, modus operandi kes penipuan atas talian bermula apabila syarikat A (syarikat antarabangsa) membuat urusan perniagaan dengan syarikat B dan pembayaran wang dibuat antara kedua-dua buah syarikat melalui penghantaran arahan menerusi e-mel.

"E-mel yang dihantar syarikat B mengandungi arahan pembayaran dan juga nombor akaun bank di mana bayaran sepatutnya dimasukkan, dan dalam situasi ini sindiket akan menggodam dan mengubah nombor akaun yang terdapat dalam e-mel yang dihantar syarikat B.

"Sindiket akan memasukkan nombor akaun baharu milik mereka tanpa pengetahuan syarikat B. Apabila syarikat A menerima  e-mel  tersebut mereka terus  membuat pembayaran seperti  dalam arahan e-mel  tanpa menyedari nombor akaun tersebut telah diubah sindiket asing," katanya.

Beliau berkata, syarikat tempatan yang berurus niaga dengan syarikat antarabangsa kebanyakannya menjual barangan seperti tekstil, bahan kimia, bahan sejuk beku, bijiran, bawang dan cili kering.

Beliau turut meminta orang ramai atau syarikat yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan agar menghubungi urus setia JSJK di talian 03-26163972 pada waktu pejabat, atau bilik gerakan di talian 03-26163999 selepas waktu pejabat. - Bernama

ISU PENGAJIAN TINGGI : Borang matrikulasi boleh dikemas kini bermula Isnin


KUALA LUMPUR - Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia akan membuka talian untuk mengemas kini borang permohonan bagi sesi 2013/2014 bermula 4 hingga 18 Febuari ini.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini, hari ini, berkata pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah membuat permohonan melalui internet boleh berbuat demikian di http://apps.moe.gov.my/matrikulasi/kemaskini atau melalui laman web kementerian di www.moe.gov.my.

Pemohon diminta untuk memasukkan nombor kad pengenalan dan angka giliran SPM untuk tujuan mengemas kini manakala mereka yang menggunakan laman web kementerian perlu menggunakan ruangan e-PERKHIDMATAN berkala.

Keputusan ke program matrikulasi akan dikeluarkan lima minggu selepas keputusan SPM diumumkan secara rasmi di laman web kementerian.

Pelajar yang ditawarkan ke program matrikulasi juga perlu mencetak sendiri surat tawaran yang akan dikeluarkan secara online, namun tidak perlu menghantar salinan keputusan SPM kerana ia akan diambil terus dari Lembaga Peperiksaan.

Pelajar boleh menghubungi talian bantuan Bahagian Matrikulasi di 03-88844083/4036/4040 dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja, jika mempunyai sebarang pertanyaan. - Bernama

ISU GLOBAL : Peranan antarabangsa Malaysia kian mencabar


 Oleh : MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
afifi@uum.edu.my / afifirazak@gmail.com

KEJAYAAN peranan antarabangsa Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam konteks penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa semasa. Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat prihatin terhadap pelbagai isu dan konflik yang boleh menjejaskan keamanan negara, serantau dan antarabangsa. Malaysia telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa strategi pengurusan konflik secara aman telah berjaya membantunya menghapuskan ancaman komunis dalam negara.

Di peringkat serantau, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara yang berjiran dengannya serta menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan pelbagai konflik yang berlaku di sekitar sempadannya. Selepas beberapa tahun, usaha diplomasi Malaysia ini telah terbukti berjaya.

Sebagai contoh, peranan Malaysia dalam mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan Filipina telah mendapat pujian daripada banyak pihak, pemerhati antarabangsa serta PBB. Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina.

Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia sedang cuba 'menjual' peranan diplomasiya kepada beberapa buah negara lain yang sedang menghadapi masalah yang sedemikian rupa seperti Myanmar (isu Rohinya) dan Thailand (isu selatan Thai). Yang terkini, Malaysia sedang berusaha sedaya upaya untuk menjadi 'perunding damai' di antara Hamas dan Fatah di Palestin.

Tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, atas usaha dan keberanian beliau untuk berusaha menjejakkan kaki ke bumi Palestin yang sedang hebat bergolak. Sesungguhnya, kehadiran Najib pasti menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam sejagat untuk terus berjuang bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.

Pun begitu, apa yang telah dicapai oleh Malaysia sekarang sebenarnya hanya satu permulaan kepada satu episod baru dalam kancah dunia politik antarabangsa era globalisasi. Apatah lagi, bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai status sebagai sebuah 'negara kuasa pertengahan' (middle power state), cabaran yang bakal dihadapinya mulai daripada sekarang dan akan datang adalah semakin mencabar dan berliku.

'Negara kuasa pertengahan' ialah satu konsep yang merujuk kepada status sesebuah negara yang bukan 'besar' dan bukan 'kecil' tetapi boleh berdikari serta mampu memberikan impak penting dalam konteks politik antarabangsa. Malaysia, pada ketika ini sedang mempersiapkan dirinya menjadi sebuah 'negara kuasa pertengahan'.

Sememangnya, usaha dan peranan antarabangsa Malaysia khasnya dalam menyokong idea PBB bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat menerusi pendekatan penyelesaian konflik secara aman dan tindakan multilateralisme yang dijana menerusi platform PBB telah memperlihatkan tindakan dasar luar Malaysia sebagai bakal sebuah 'negara kuasa pertengahan'.

Dan sekiranya status ini berjaya dicapai oleh Malaysia, ia bakal meletakkan negara ini sebaris dengan 'negara-negara kuasa pertengahan' yang tersohor pada ketika ini seperti Kanada, Brazil, India, Korea Selatan, dan Jepun.

Pendekatan Wasatiyyah yang dianjurkan oleh Malaysia dalam konteks penyelesaian konflik antarabangsa sememangnya merupakan satu pendekatan yang baik dan bijaksana. Banyak negara dunia telah menyambut baik pendekatan ini kerana ia bersifat sangat universal. Jikalau melihat kepada logik akal, tiada siapa pun mahu melihat kemusnahan dan kematian.

Ramai yang pasti bersetuju sekiranya semua konflik dan krisis antarabangsa dapat di selesaikan secara aman tanpa melibatkan kemusnahan dan pertumpahan darah. Tetapi persoalannya, apakah semua pihak yang sedang berkonflik termasuk pihak-pihak tertentu yang berkepentingan serta negara-negara kuasa besar dunia benar-benar bersetuju dengan pendekatan ini?

Dalam hal yang sebegini, bersikap positif dan berbaik sangka adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Tetapi kalau disingkap sejarah silam politik antarabangsa, kita akan dapati keadaan sebaliknya sedang berlaku dan ia sangat mengecewakan.

Realitinya, dalam konteks pengurusan dan penyelesaian konflik antarabangsa, negara-negara kuasa besar dunia pada hari ini lebih menyukai pendekatan secara kekerasan daripada pendekatan secara aman. Mereka lebih cenderung kepada peperangan yang sudah pasti membawa kepada kemusnahan dunia dan kematian manusia yang tidak berdosa.

Andaian ini boleh disokong dengan beberapa fakta yang sangat menarik untuk difikirkan bersama, sebagai contoh:

(i) Perubahan peranan misi pengaman antarabangsa daripada hanya misi pengaman kepada 'misi campur tangan ketenteraan' (military intervention).

(ii) Peningkatan krisis dan konflik antarabangsa di negara-negara yang menolak demokrasi.

(iii) Peningkatan jumlah misi pengaman antarabangsa sama ada di bawah seliaan PBB dan agensi bukan PBB (seperti NATO, EU dan pertubuhan-pertubuhan serantau).

(iv) Peningkatan jumlah pengeluaran dan penjualan senjata oleh negara-negara kuasa besar dunia.

(v) Peningkatan jumlah pembelian senjata oleh negara-negara membangun dan miskin seperti di Afrika, Asia dan Amerika Selatan.

(vi) Sokongan kuat sama ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia terhadap usaha campur tangan asing dalam konflik di negara-negara membangun (seperti di Iraq, Afghanistan, Syria dan yang terkini di Mali).

PBB, sebagai badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan tadbir-urus dunia sejagat (global governance) pula semakin hari semakin hilang 'taring'nya. Hari ini, banyak usaha misi pengaman antarabangsa yang sebelum ini diterajui oleh PBB telah 'diswastakan' kepada agensi bukan PBB yang jelas sekali mempunyai pelbagai kepentingan yang terselindung.

Misi pengaman antarabangsa pada hari ini telah hilang sifat collective security dan 'multilateralismenya'. Ia tidak ubah seperti misi untuk mempertahankan kepentingan nasional negara-negara tertentu dan berkepentingan di PBB.

Lihatlah apa yang telah berlaku kepada misi-misi pengaman antarabangsa di beberapa buah negara seperti Bosnia, Somalia dan Rwanda. Ia adalah antara contoh misi-misi pengaman yang gagal sementara krisis di beberapa buah negara lain seperti di Palestin dibiarkan berlarutan.

Banyak yang telah ditulis oleh sarjana-sarjana Barat mengenai sikap negara-negara kuasa besar dunia ini. Sebagai contoh, Michael Pugh dalam artikelnya 'Peacekeeping and Critical Theory' (2004) terbitan Jurnal International Peacekeeping menulis mengenai bagaimana peranan 'New York Orthodoxy' di PBB mencatur perkembangan politik antarabangsa.

Robert Cox dalam artikelnya yang bertajuk 'Critical Political Economy' (1995) menulis mengenai bagaimana institusi kewangan antarabangsa mengatur dan memanipulasi sistem ekonomi antarabangsa supaya lebih menguntungkan negara-negara kuasa besar dunia dan menjadikan negara-negara lain yang bukan Barat untuk kekal menanggung hutang yang tinggi.

Mark Duffield pula dalam bukunya yang bertajuk 'Global Governance and the New Wars: The Merging of Development and Security' (2001) mengatakan bahawa sebenarnya isu global pada hari ini bukanlah sangat mengenai isu terrorisme tetapi sebalik isu bagaimana negara-negara kuasa besar dunia dapat menyuntik fahaman liberalisme dan demokrasi serta membentuk jaringan konflik yang tidak liberal ke seluruh pelosok dunia khasnya di negara-negara yang bukan Barat.

Demikianlah sikap 'talam dua muka' (double-standard) negara-negara kuasa besar dunia terhadap negara-negara lain dalam konteks politik antarabangsa semasa. Ini sebenarnya menjadi satu cabaran besar bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia untuk menempatkan dirinya sebagai bakal 'negara kuasa pertengahan' berbekalkan prinsip Wasatiyyah.

Semoga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara contoh yang gigih berusaha dengan segala kemampuan yang ada demi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara daripada 'ancaman' negara atau pihak yang berkepentingan ini.

PENULIS ialah pensyarah sains politik, Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Sembilan IPTS Bakal Jalani Semakan Kelestarian


CYBERJAYA : Kementerian Pengajian Tinggi mengenal  pasti sembilan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang bakal menjalani semakan kelestarian tahun ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

IPTS tersebut ialah Universiti Industri Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Malaysian University of Science and Technology, AIMST University, Twintech University College of Technology, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Linton University College, Kuala Lumpur Metropolitan University College dan Lincoln University College.

Beliau berkata semakan kelestarian itu merupakan satu 'pemeriksaan kesihatan' ke atas IPTS untuk memantau pentadbiran dan penawaran perkhidmatan serta program yang ditawarkan.

“Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil daripada  institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS akan melakukan semakan kelestarian ini yang dijangka bermula bulan Februari ini.

“Terpulang kepada jawatankuasa ini bila selesai kajian tersebut. Tindakan (semakan kelestarian) akan dibuat oleh Sektor IPTS kementerian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Universiti Malaysia of Computer Science and Engineering (UniMy) di sini Khamis.

Mohamed Khaled berkata IPTS tersebut dipilih berdasarkan kelemahan atau aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung perkhidmatan dan prestasi mereka, atau yang dibuat secara rambang.

Selasa lalu, dalam Amanat Tahun Baru 2013 kementerian itu, beliau mengumumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi akan memperkenalkan semakan kelestarian terhadap 10 IPTS setiap tahun untuk mengenal pasti IPTS yang mempunyai risiko dan seterusnya mengambil tindakan penambahbaikan.

Beliau berkata semakan kelestarian itu dilakukan untuk memastikan Malaysia berjaya menjadi hab pendidikan di rantau ini.

“Kini terdapat 70 buah universiti dan kolej universiti swasta di seluruh negara. Sehubungan itu, kementerian perlu mengambil berat perkhidmatan, kualiti program, infrastruktur yang sedia ada untuk memastikan mereka menjadi pemain penting untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan,” katanya. - BERNAMA

Rabu, 30 Januari 2013

ISU KESIHATAN : Kajian terbesar kaitan pemakanan dan barah


Oleh : Johan Jaaffar
 
Bekas Perdana Menteri China, Chou En-Lai menghidap barah hati pada awal tahun-tahun 70-an. Beliau mencadangkan satu kajian menyeluruh mengenai kesan pemakanan dan barah di negara itu. Setelah pemergian beliau, kerajaan China (melalui Akademi Sains Perubatan) dengan kerjasama pakar-pakar dari Universiti Cornell (Amerika Syarikat) dan Universiti Oxford (United Kingdom) telah memulakan kajian itu pada tahun 1983.

Kajian ini membabitkan 600,000 orang penyelidik membuat katalog kadar kematian 12 jenis barah di 2,400 wilayah di China. Proses ini membabitkan 96 peratus daerah negara itu dan lebih 800 juta manusia atau 90 peratus penduduk China pada ketika itu.

Pada tahun-tahun kajian itu dibuat China masih ‘tertutup’. Rakyatnya pula masih rata-rata tinggal di desa, penghijrahan ke bandar belum berlaku dengan hebatnya dan 90 peratus orang dewasa masih tinggal di tempat mereka dilahirkan. Demikian juga kaedah pemakanan rakyat China masih belum banyak berubah, terasnya masih amat tradisional dan pengaruh moden belum bertapak. Pergerakan rakyat masih amat terbatas. Sebuah daerah yang jauhnya 80 kilometer mempunyai perbezaan jelas daripada segi cara pemakanan kerana faktor pemisahan ini. Para penyelidik pergi ke bandar dan desa membawa borang soal selidik mengenai pemakanan dan cara hidup serta mengambil contoh air kencing dan darah. Apa sahaja yang dimakan dalam masa tiga hari sebelumnya akan direkodkan, contoh makanan dari pasar berdekatan dianalisis.

Barah dan kemewahan

Tujuan utama kajian ini ialah untuk memastikan sama ada perbezaan tabiat pemakanan di pelbagai tempat di China ada kaitannya dengan kadar kematian dari barah atau penyakit lainnya. China yang masih ketinggalan dalam serba serbi ketika itu lebih banyak berdepan dengan penyakit kronik yang berakibat daripada kemiskinan – cirit birit, TB, demam campak dan lain-lain. Barah merupakan penyakit yang selalu dikaitkan dengan kemewahan – dan punca utamanya ialah pemakanan.

Salah satu hasil kajian itu memang telah dijangka. Peningkatan taraf hidup bagi mereka yang tinggal di bandar menyebabkan peningkatan penyakit ‘orang mewah’ yakni barah, darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis. Namun demikian pada ketika itu tahap kolestrol di kalangan rakyat China di bandar 17 peratus lebih rendah daripada mereka yang tinggal di Barat.

Satu hasil menarik kajian itu ialah, di sesetengah tempat di China, tidak ada langsung kes barah. Di wilayah Sichuan dan Guizhou di barat daya China tidak ada seorangpun penghidap barah sewaktu kajian itu dibuat. Keadaan itu berterusan tiga tahun selepas itu. Dalam kes yang lain kejadian barah payu dara adalah 2,000 kali lebih tinggi daripada daerah lain dan barah tekak 435 kali lebih tinggi daripada daerah yang lain.

Kajian ini telah dibukukan oleh salah seorang pakar yang terlibat, Dr. T. Colin Campbell. Buku itu, The China Study menjadi rekod yang sangat penting dalam kajian penyakit di mana-mana negara di dunia. Menurut beliau, hasil paling penting daripada kajian ini ialah hubungan di antara makanan yang berdasarkan haiwan dan barah. Makan berteraskan tumbuh-tumbuhan mengurangkan insiden barah.

China telah berubah

Hari ini China telah berubah. Pertumbuhan ekonomi dua digit telah mengubah negara itu. China menjadi model kapitalis baru. Negara itu akan menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia mengalahkan AS dalam waktu yang terdekat. Kemewahan baru telah mengubah cara hidup rakyatnya. Lebih 60 peratus rakyatnya kini tinggal di bandar.

China mempunyai lebih banyak kota yang dihuni oleh 10 juta manusia daripada negara lain di dunia. Kepesatan ekonominya digerakkan juga oleh pembangunan prasarana yang luar biasa. Bulan lalu (26 Disember), China melancarkan laluan kereta api laju yang terpanjang di dunia – di antara Beijing dan Guangzhou, salah satu daripada sekian banyak kejayaan teknologinya.

Tabiat pemakanan atau dietary habits rakyat China juga telah berubah. Pada tahun 1995, obesiti di kalangan rakyat China hampir-hampir tidak wujud. Hari ini 10 peratus kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun dilabelkan obes. Jumlah orang dewasa yang dianggap gemuk melebihi penduduk Asia Tenggara. The China Study mengingatkan kita pada perlunya kita mengamalkan cara hidup sihat dan pemakanan yang betul. Malaysia berdepan dengan masalah yang tidak ada bezanya dengan banyak negara membangun.

Rahsia usia panjang

Baru-baru ini diumumkan bahawa Luo Meizhen merupakan manusia paling tua di dunia. China masih lagi mempunyai paling banyak manusia yang berusia lebih 100 tahun (centenarians) – 47,773 orang. Di kawasan tempat wanita ini tinggal terdapat manusia paling ramai mencecah 100 tahun, 74 daripada 1,000 orang. Daerahnya ialah Bama di barat daya Quangxi Zhuang. Kawasan autonomi Quangxi Huang bersebelahan dengan Guizhou, wilayah yang sewaktu kajian tahun 1983 bebas daripada barah.

Apakah rahsia mereka yang bukan sahaja berusia panjang tetapi juga sihat di daerah-daerah terpencil China ini?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Sikap pengguna buang sisa pepejal punca banjir kilat


Oleh : Dr Wan Mohd Faizal Wan Ishak
 
Langkah bersepadu perlu dilaksana elak kos pemulihan terus meningkat

Secara asasnya pertumbuhan ekonomi di kawasan Asia meningkatkan taraf sosio kehidupan penduduknya. Pada masa sama, keadaan ini membawa kepada peningkatan penggunaan sumber semula jadi dan eksplotasi persekitaran untuk keperluan sosial dan industri. Akibatnya, di kebanyakan bandar negara Dunia Ketiga, pembuangan sampah yang tidak diurus dengan baik akan mengakibatkan masalah besar seperti banjir.

Penghasilan sisa pepejal di kebanyakan negara Asia meningkat terutama di negara mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan sistem pengurusan sisa pepejal yang teruk serta pemahaman mengenai kepentingan penjagaan yang masih rendah. Sekiranya setiap individu terus mengamalkan sikap suka membuang sisa pepejal secara tidak berhemah, masalah banjir kilat akan menjadi lebih kritikal.

Banjir adalah bencana alam yang sering melanda di kebanyakan tempat di Malaysia. Ia berpunca daripada ketidakseimbangan kitaran air yang biasanya disebabkan peningkatan kawasan tepu bina, kelemahan sistem pengairan bandar di sesebuah lembangan dan beberapa faktor fizikal lain.

Sebagai contoh kawasan yang sering dilanda banjir ialah kawasan tanah rendah terutama di kawasan Pantai Timur Semenanjung seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan yang dilanda musim tengkujuh antara November hingga Mac. Masalah ini menyebabkan penduduk kehilangan harta benda dan paling menyedihkan ia juga meragut banyak nyawa.

Masalah banjir juga turut berlaku di Georgetown, Pulau Pinang khasnya di sekitar Jalan P Ramlee dan Jalan Perak pada September 1995. Banjir kilat berlaku sekiranya hujan lebat untuk tempoh masa agak lama disertai peningkatan paras air sungai yang mendadak.

Pembuangan sampah

Antara punca masalah banjir kilat ialah pembuangan sampah sarap oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) turut memperakui bahawa sisa pepejal adalah punca berlakunya masalah banjir di kawasan berkenaan.

Di Kuala Lumpur, banjir kilat sering berlaku di sekitar Jalan Klang Lama, Kampung Baru, Pantai Dalam dan Kampung Haji Abdullah Hukum. Kepadatan penduduk yang semakin bertambah dan kepesatan pembangunan di Kuala Lumpur memburukkan lagi keadaan.

Hal ini dibuktikan dengan terjadinya banjir kilat yang agak serius sejak kebelakangan ini, termasuk pada 10 Jun 2003 yang mana bandar raya Kuala Lumpur ditenggelami air diikuti pada 14 Julai 2004 di mana kawasan sekitar Sungai Buluh pula dilanda banjir. Kejadian terbaru banjir kilat di Kuantan pada 24 Disember 2012 lalu pula akibat limpahan air Sungai Galing dan menenggelamkan beberapa kawasan bandar Kuantan sehingga 1.5 meter.

Walaupun fenomena hujan lebat yang dikaitkan dengan masalah pemanasan global dikatakan sebagai punca utama, faktor asas lain seperti pembuangan sisa pepejal yang menghalang pengaliran air yang sempurna tidak boleh dipandang remeh dan perlu diselesaikan bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi pada masa hadapan.

Tiada kesedaran

Sikap penduduk membuang sampah ke dalam longkang atau perparitan menyebabkan sistem pengaliran air tersekat. Kebanyakan sampah yang dibuang ke dalam parit perbandaran akan mengalir ke dalam sungai dan menyebabkan pengaliran air sungai tidak lancar.

Selain itu, endapan terkumpul akibat kerja pembinaan yang pesat dan tidak terkawal serta hakisan tebing menyebabkan parit dan kawasan sungai menjadi cetek. Hal ini akan mengurangkan kapasiti pengaliran air dan menyebabkan limpahan sungai.

Beberapa siri banjir dan banjir kilat sejak 2001 sehingga 2012 di negeri-negeri Pantai Timur dan pada 2006 di Johor menelan kos pemulihan jutaan ringgit dan ia akan terus meningkat pada masa akan datang jika langkah bersepadu membendung banjir tidak dilaksanakan.

Secara asasnya bagi mengelakkan kejadian banjir kilat ini terus melanda sama ada di kawasan yang biasa terkena banjir atau tidak, setiap individu mesti mempunyai kesedaran yang maksimum untuk mengubah cara pemikiran mereka supaya masalah pembuangan sisa pepejal ke sistem perparitan dan sungai tidak berlaku sesuka hati.

Penulis ialah Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan Sumber Alam (CERRM) Universiti Malaysia Pahang

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Guru Perlu Bantu Hindar Penularan LGBT


BUKIT MERTAJAM : Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi berkata guru-guru perlu membantu memberi penjelasan dan pemahaman mengenai gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kepada pelajar agar mereka tidak mudah terjerumus dengan gejala negatif yang kian berleluasa itu.

Beliau berkata walaupun tiada mata pelajaran khusus disediakan, tetapiguru-guru boleh menggunakan mata pelajaran kesihatan dan reproduktif sosial secara kreatif, untuk memberi penjelasan mengenai kesan negatif gejala itu.

"Tugas dan tanggungjawab seorang guru hari ini bukan sekadar memahami cabaran dalam isu-isu pendidikan atau mendidik pelajar di dalam bilik darjah, tetapi perlu memahami dan menangani cabaran isu-isu sosial seperti penularan gejala LGBT.

"LGBT bukan masalah bagi satu kelompok bangsa atau agama sahaja tetapi ia telah menjadi masalah global. Pelbagai usaha mengekang gejala ini masih diteruskan bagi menghindar budaya songsang itu terus memusnahkan struktur sosial," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar keibubapaan (Menangani Isu LGBT) di Dewan Mutiara, Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh di sini hari ini.

Mohd Puad berkata seminar kali kedua diadakan di peringkat negeri Pulau Pinang itu merupakan yang ke-21 untuk seluruh negara. Ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan Kementerian Pelajaran Malaysia mengalu-alukan penganjuran seminar seperti itu.

"Saya yakin dengan adanya seminar seperti ini, pengetahuan mengenai gejala LGBT dapat diperluas, dan gejala ini dapat dicegah daripada terus menular hingga merosakkan struktur sosial sesebuah negara," katanya.

Seminar sehari anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) itu dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri daripada guru kaunseling, guru hal ehwal pelajar,guru pendidikan kesihatan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Sebanyak dua kertas kerja dibentangkan oleh tiga orang ahli panel iaitu Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri Datuk Raja Arif Raja Ali (Liberalisasi - Cabaran Masa Kini) dan Perunding Kaunseling dan Motivasi Hushim Salleh (Pengenalan LGBT- Overview dan Simptom LGBT).

Turut diadakan ialah sesi perkongsian pengalaman dengan individu yang pernah terlibat dengan gejala LGBT yang dikendalikan oleh Hushim. BERNAMA

Selasa, 29 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Jumlah Calon Lulus STAM 2012 Meningkat


PUTRAJAYA : Sebanyak 3,925 atau 67.4 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012 berjaya memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (lulus) dalam kesemua 10 mata pelajaran.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Dr Na'imah Ishak berkata ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya 3,420 calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus pada 2011.

Beliau berkata 385 calon mendapat Mumtaz (cemerlang), 1,263 mendapat Jayyid Jiddan (sangat baik), 1,868 calon mendapat Jayyid (baik) dan 409 lagi Maqbul (lulus).

Sebanyak 5,818 calon menduduki STAM tahun lepas di 116 pusat peperiksaan seluruh negara.

"Secara keseluruhan pencapaian calon STAM menunjukkan peningkatan sebanyak 0.08 mata, iaitu daripada indeks Gred Purata Nasional (GPN) 3.16 mata pada 2011 kepada 3.08 mata pada 2012," katanya semasa mengumumkan keputusan STAM 2012 di Kementerian Pelajaran di sini, Rabu.

STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000 dan mendapat pengiktirafan setaraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melayakkan calon yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Na'imah berkata enam mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi iaitu Tauhid dan Mantiq, Fiqh, Balaghah, Hifz al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf serta Hadith dan Mustolah.

Manakala berlaku penurunan prestasi untuk mata pelajaran Adab dan Nusus, Tafsir dan Ulumuhu, 'Arudh dan Qafiyah dan Insya' Mutala'ah, kata beliau.

"Tetapi untuk mata pelajaran Adab dan Nusus, kita mendapat makluman bahawa penurunan prestasi bukan sahaja melibatkan calon di Malaysia tetapi juga di Universiti Al-Azhar," katanya.

Beliau berkata pelbagai program intervensi akan dilaksana dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri serta sekolah untuk meningkatkan pencapaian keseluruhan mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.

Na'imah berkata calon-calon yang tidak berjaya berpeluang menduduki semula peperiksaan itu untuk memperbaiki pencapaian mana-mana mata pelajaran yang kurang memuaskan. BERNAMA

ISU BAHASA : Pemikiran tentang ilmu pengetahuan (epistemologi) dalam peribahasa Melayu


Bangsa Melayu yang beragama Islam menitikberatkan kepentingan ilmu pengetahuan untuk membentuk dan menyuburkan fikiran bangsanya. Ilmu adalah intipati yang terpenting dalam pembangunan insan, apatah lagi dalam mengesahkan ibadah kepada yang Maha Esa. Sementelah menuntut ilmu adalah sejajar dengan matlamat Islam yang membudayakan iqra' berdasarkan ayat yang pertama diturunkan di Gua Hira'. Hukum menuntut ilmu ini adalah fardhu 'Ain, iaitu kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh semua individu. Dengan itu, lahirlah peribahasa-peribahasa yang menyeru bangsa Melayu supaya menuntut ilmu pengetahuan. Antara peribahasa yang mengungkapkan kepentingan ilmu pengetahuan adalah seperti berikut;

BIL
PERIBAHASA
MAKNA
1
Bolehkah digabus sebelum diasah
Sesuatu  pelajaran  hendaklah dimulai dari permulaan.
2
Besar di bawah  pisang goyangan, besar di bawah tebu berlingkar
Besar dengan didikan yang sederhana saja, belum ada pengalaman
3
Masa lagi rebunglah hendaklah dilentur, jangan nantikan sampai menjadi aur, atau Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Masa kecillah anak perlu diajar dan dididik, janganlah tunggu sampai besar
4
Biduk kalau tidak berkemudi bagaimana ia akan laju

Suatu pekerjaan yang dikerjakan tanpa ilmu, tentu tidak akan tercapai maksudnya

5
Supaya tahu akan pedas lada,
supaya tahu akan masin garam
Ajaran supaya tahu akan susah payah hidup



Daripada makna peribahasa P1, P2, P3, P4,  dan P5  jelas menunjukkan pemikiran bangsa Melayu yang mengutamakan kepentingan menuntut ilmu pengetahuan dan menggunakan ilmu yang telah dipelajari dengan sebaik-baiknya di samping menyeru bangsa Melayu berperilaku dengan bijaksana dan berhemah. Pemikiran bangsa Melayu yang beragama Islam meletakkan ilmu sebagai satu nilai luhur yang diajarkan oleh ajaran agama Islam. Hakikat ilmulah yang menyebabkan manusia diberikan amanah oleh Allah sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Sejajar dengan itu, kandungan pemikiran ini diungkapkan dalam peribahasa Melayu sebagai pengajaran dan teladan untuk bangsa Melayu memperoleh keimanan dan memotivasikan amal. Dengan yang demikian, disarankan supaya setiap sesuatu pelajaran itu hendaklah dimulai daripada permulaan,(P1). Sekiranya seseorang itu diberikan pendidikan yang sederhana, pasti ia tidak memperoleh banyak pengalaman (P2). Oleh yang demikian, bangsa Melayu menyarankan pendidikan diberikan sejak kecil seperti yang diungkapkan dalam makna peribahasa (P3) supaya seseorang itu dapat melakukan sesuatu pekerjaan berpandukan ilmu yang telah dipelajari seperti yang tersurat dalam makna peribahasa (P4) dan mendedahkan masyarakat dengan pelbagai pengalaman hidup, (P5). Pemadanan kata 'biduk' dalam P4, iaitu sejenis pengangkutan air pada zaman dahulu dengan 'pekerjaan' menyerlahkan kearifan bangsa Melayu mencipta peribahasa dengan merujuk kepada sesuatu objek yang wujud dalam alam sekeliling mereka sekali gus menghargai nilai budaya masyarakat tempatan.

Rumusannya pemikiran Melayu yang menyentuh perihal menuntut ilmu dalam peribahasa adalah sejajar dengan ajaran Islam yang meletakkan usaha menuntut ilmu sebagai satu bentuk ibadah. Hal ini menjelaskan bahawa aspek bahasa dalam peribahasa jelas berhubungan erat dengan pemikiran dan budaya bangsa Melayu yang memandang tinggi terhadap usaha mempelajari sesuatu ilmu dengan sempurna dan bijaksana sebagai penyuluh hidup. Hal ini sekali gus membuktikan bahawa bahasa yang menjelaskan makna peribahasa P1, P2, P3, P4 dan P5 adalah bukti yang menunjukkan terdapatnya hubungan erat antara bahasa, budaya, dan pemikiran bangsa Melayu sebagaimana yang dinyatakan hipotesis Sapir-Whorf, iaitu bahasa ditentukan oleh cara penutur itu berfikir. Cara seseorang penutur berfikir dan melihat bahasa tergambar menerusi penggunaan perkataan-perkataan itu dengan lebih meluas. Hal ini membenarkan hipotesis Sapir-Whorf yang menyatakan pola-pola pemikiran manusia dipengaruhi juga oleh budaya setempat penutur bahasa itu. Dengan demikian bahasa dalam peribahasa Melayu turut memadukan sistem pengetahuan dan kepercayaan bangsa Melayu sebagai asas tingkah laku budaya berasaskan pemikiran yang bertunjangkan ajaran agama Islam dan budaya setempat.

Sumber : Jurnal Pengajian Melayu Volume 11(3) September 2011

ISU UMUM : 10 GAJAH MATI DIRACUN


Oleh : Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu : Menyayat hati apabila seekor anak gajah berusia tiga bulan yang masih menyusu dilihat mengusap kepala ibunya yang mati selepas dipercayai terminum racun bersama sembilan gajah lain yang bergelimpangan di Hutan Simpan Gunung Raya, kira-kira 130 kilometer dari Tawau.

Anak gajah yang diberi nama Kejora itu seperti kelaparan dan terselamat, tetapi masih dipantau berikutan turut terkena tempias racun berkenaan akibat meminum susu daripada ibunya.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Datuk Laurentius Ambu berkata, kejadian disedari pihaknya pada 29 Disember tahun lalu apabila menerima laporan kematian seekor gajah jantan di tempat kejadian.

“Namun, sehingga 25 Januari lalu,  bilangannya meningkat”.

“Sepanjang dua minggu ini, 10 gajah jenis Pygmy Borneo ditemui mati disyaki diracun menggunakan racun tikus oleh individu tidak bertanggungjawab. Tujuh daripadanya betina manakala selebihnya gajah jantan berusia empat hingga 20 tahun,” katanya pada sidang media di Wisma Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), di sini, semalam.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : UUM, UIAM dianugerahkan autonomi terbaru


PUTRAJAYA - Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi universiti awam terbaru dianugerahkan autonomi pada tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia diberikan selepas selesai proses audit menggunakan instrumen 'Code of University Good Governance' (CUGG) dan 'University Good Governance Index' (UCGI).

"Saya berharap dengan pemberian autonomi ini, Lembaga Pengarah Universiti (LPU) mempunyai kesediaan melaksanakan tanggungjawab baharu selaras penurunan kuasa kepada mereka demi kecemerlangan IPT," katanya ketika berucap sempena majlis Amanat Tahun Baharu 2013 kementerian itu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata mulai 15 Feb ini, Education Malaysia Global Services (EMGS) yang ditubuhkan tahun lalu akan mula beroperasi dan berperanan sebagai pusat sehenti bagi memantau, menyelia dan menyelaras urusan berkaitan promosi, pemasaran dan perkhidmatan sokongan pelajar antarabangsa di negara ini.

"Pengantarabangsaan tidak lagi terhad kepada faktor jumlah pelajar antarabangsa atau bilangan kampus cawangan luar negara tetapi penekanan terhadap strategi pengintegrasian pengantarabangsaan dalam pelbagai perkhidmatan pengajian tinggi.

"Perkembangan ini menuntut kita untuk melakukan pemetaan baharu dengan memberi penekanan kepada kesepaduan kecemerlangan dalam semua aspek perkhidmatan pengajian tinggi," katanya. - Bernama

INFO :

* IPTA yang dianugerahkan autonomi  diberi kuasa autonomi dalam empat bidang merangkumi urus tadbir, kewangan, sumber manusia dan pengurusan akademik serta pengambilan pelajar

Lima buah universiti iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia  telah diberi kuasa autonomi pada tahun lalu.

ISU AGAMA : Isu Kalimah Allah Perlu Ditangani Dengan Cermat & Tidak Dibahas Secara Terbuka


KUANTAN : Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah isu kalimah Allah, yang kini menjadi polemik semasa, perlu ditangani dengan cermat dan tidak sepatutnya menjadi perbahasan terbuka.

Titah baginda ia perlu dibincang secara tertutup dalam kalangan ilmuan, ahli agama dan pemimpin politik.

Baginda juga menyeru umat Islam di negara ini supaya berdiri teguh mempertahan kalimah Allah dan kalimah lain yang telah dinyatakan tidak boleh digunakan bukan Islam sama ada di media elektronik atau  media cetak.

"Pihak lain seharusnya mengambil perhatian serta menghormati sensitiviti agama masing-masing agar kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama tidak tergugat," titah baginda pada majlis pelancaran dan penyerahan dana Tabung Palestin-Gaza di sini, Selasa.

Baginda bertitah di negeri Pahang, larangan penggunaan, penyataan, penyebaran, percakapan, apa-apa bentuk penerbitan sama ada media cetak atau eletronik menggunakan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang boleh mengelirukan atau memesongkan akidah umat Islam telah termaktub dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam No. 5 tahun 1989.

"Majlis Fatwa Kebangsaan dalam Muzakarah ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 juga mengeluarkan fatwa bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dan adalah wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah itu, ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," titah baginda. -BERNAMA

Nota Hujung :

 Pandangan tokoh ilmuan Islam dalam isu ini:

"Nasihat saya, perkukuhkan ilmu dan penghayatan Islam diri dan keluarga masing-masing. Mantapkan perancangan dan pelaksanaan aktiviti institusi ulama dan jabatan-jabatan yang menguruskan hal ehwal pembangunan agama Islam. Media hendaklah membantu menjadikan mana-mana tokoh ilmuwan Islam sebagai role model dan bukan artis. Hiburan dan budaya hedonisme tanpa objektif kecuali duit dan seronok patut dikaji semula daripada diberi ruang terlalu banyak di media kerana bagi saya ia lebih banyak merosakkan umat Islam berbanding kalaupun Kristian menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible mereka. Kerana Bible-bible ini tidak masuk ke rumah majoriti umat Islam tetapi TV, radio dan media cetak masuk dan mempengaruhi setiap hari.  Jika itu dapat dilakukan, apapun dakyah, gerakan Kristianisasi termasuklah isu berkaitan nama Allah akan sentiasa terkawal dan tidak dapat menembusi daya tahan umat Islam. Jangka terdekat pula, saya harapkan para ulama dapat sepakat menghalang penggunaan nama Allah bagi terjemahan God di dalam bible versi Melayu, manakala orang Kristian pula perlu sedar mereka tidak memerlukan teknik ini untuk menyebarkan dakyah mereka." (Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman)

ISU SOSIAL : Iktibar insiden kehilangan kanak-kanak


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

TRAUMA dengan pelbagai berita dalam beberapa minggu ini melibatkan kehilangan kanak-kanak yang ditinggalkan dalam kereta untuk seketika menjadi satu fenomena yang dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia. Beberapa insiden yang berlaku pada hari ini sudah jadi fobia dan macam berangkai pula kanak-kanak hilang dan yang nyaris hilang.

Situasi ini memberi amaran kepada kita bahawa komuniti di Malaysia sekarang dalam zon kurang selamat kerana masyarakat kurang peka dan mula alpa. Di mana sahaja kita berada kini, kita perlu berwaspada dan berhati-hati sepanjang masa kerana sebenarnya ada banyak ekor mata yang mengekori pergerakan dan sentiasa memerhatikan kita.

Golongan ini hanya tunggu masa untuk bertindak. Bertindak bukan sahaja melarikan kanak-kanak malah merompak, meragut merangkumi segala jenayah yang kita tidak pernah terfikir mereka tergamak melakukan tanpa memikirkan soal kemanusiaan. Di mana hati nurani manusia dan di mana silapnya?

Pada pandangan saya, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu tegur-menegur jika kita ternampak insiden yang tidak kena seperti kanak-kanak yang ditinggalkan dalam keadaan yang bahaya kepada ibu bapanya. Namun, dalam situasi ini, ibu bapa juga harus sedia menerima teguran. Jangan pula yang salah faham dan kecil hati bila ditegur dan dikatakan menyibuk dan jaga tepi kain orang.

Itulah keluhan yang saya sering dengar dan akhirnya mereka yang berniat baik ini menjawab biarlah memang itu bukan urusan kita. Jika semua memberikan jawapan yang sama nanti, bagaimana kita dapat mencari penyelesaiannya.

Kita memahami perasaan ibu bapa yang kehilangan anak mereka walaupun beberapa minit, kita sudah tidak keruan dan jadi tidak tentu hala, apatah lagi kehilangan dah masuk berminggu-minggu.

Sebagai ibu bapa kadang-kadang kita tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan dan alpa seketika kerana memikirkan hanya sekejap sahaja ditinggalkan tidak akan berlaku apa-apa, akhirnya kerana beberapa minit itu kita menjadi sengsara. Jika boleh diputar waktunya, semestinya semua kejadian ini kita tidak mahu berlaku seperti kes yang pernah berlaku kepada Sharlinie dan Nurin Jazmin.

Kealpaan kita dikejutkan kembali dengan beberapa insiden tahun ini yang mula memberi amaran kepada kita dan tidak perlulah pada waktu begini kita salah-menyalahkan lagi atas kecuaian ibu bapa kerana mereka sudah cukup derita menanggung segala cubaan ini. Apa yang penting ialah kita perlu ingat-mengingati antara satu sama lain supaya jangan tinggalkan anak-anak walaupun seketika.

Kehilangan anak dalam sekelip mata menyentuh jiwa setiap ibu bapa tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Kesepakatan kita bersama turun padang membantu dan mencari seorang kanak-kanak yang hilang iaitu William Yau Zhen Zhong berusia 6 tahun dan akhirnya segalanya terjawab dengan penemuan mayat William di Jeti Sungai Sireh di Pelabuhan Klang.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan hati saya terdetik dan sayu apabila mendapat berita kematian William sedangkan pada waktu itu saya sedang menaip dalam ruangan ini supaya menyeru semua pihak turun padang mencari William.

Saya terbayang wajah William setelah melihat ramai kanak-kanak berbangsa Cina di kompleks beli-belah begitu sibuk bergembira menanti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan tiba tidak lama lagi. Bagaimana dengan perasaan ibu bapa William yang sepanjang masa menunggu panggilan telefon yang mengharap khabar gembira dengan penemuan William yang dapat menyambut Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga akhirnya punah.

Kes Tin Song Sheng yang berlaku 17 tahun lalu juga berlaku sebelum Tahun Baharu Cina juga dan Song Seng belum ditemui hingga kini. Penantian itu sememangnya satu penyiksaan yang menyakitkan, apatah lagi jika yang disampaikan berita buruk? Namun ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan kes William sebagai main-main.

Pengerusi Wanita MCA Selangor, Chew Lee Giok berharap pihak berkuasa memberi peluang dan tidak mencaci ibu bapa William yang menyesal dan menyedari kecuaian mereka. Semua pihak yang telah berganding bahu membantu mencari William tanpa mengira bangsa dan agama mencerminkan negara Malaysia sememangnya mempunyai semangat 1Malaysia.

Kita dikejutkan lagi dengan insiden di Kemaman kerana sangkaan kita pada waktu malam sahaja yang berbahaya namun pada waktu pagi dalam pukul 10:30 pagi, sepasang suami isteri yang berhenti di stesen minyak kerana anaknya yang masih tidur di dalam kereta untuk ke tandas dilarikan oleh suspek. Nasib baik ada insan bernama Saufi Sukardi yang mengejar suspek. Sikap Saufi perlu dipuji. Itulah peranan sebagai rakyat yang sama-sama membantu memerangi jenayah.

Insiden sebegini kita jadikan iktibar bersama dengan dijadikan garis panduan supaya kita lebih berhati-hati. Beberapa minggu ini, kita berkesempatan bercuti dengan beberapa perayaan penting terutama bersama-sama anak-anak kita. Tidak kira ke mana sahaja, kita perlu berwaspada dan jangan biarkan kanak-kanak keseorangan walaupun hanya sesaat.

Ayuh! selagi kita mampu, kita luangkan sedikit masa untuk sama-sama memikirkan cara-cara menangani masalah jenayah yang semakin menjadi-jadi. Kita sentiasa beringat "Pelanduk selalu melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk".

Saya simpulkan dengan satu ikatan kukuh. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Penguatkuasaan elemen utama halang rasuah


Oleh :  Akhbar Satar
 
Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan Transparency International baru-baru ini menunjukkan Singapura adalah negara paling bebas rasuah di dunia. Apakah rahsia atau formula yang menyebabkan negara berkenaan berada di kedudukan itu?

Mengapa di Singapura kita dapati masyarakatnya patuh dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan. Jarang sekali pegawai kerajaan menerima rasuah. Malah orang ramai tidak berani memberi rasuah kerana takut akan dicekup dan didenda serta dipenjara.
Namun, apabila rakyat Singapura melangkah keluar ke Johor Bahru, tingkah laku mereka berubah dan kebanyakan mereka melanggar peraturan termasuk memberi rasuah kepada penguatkuasa.

Penguatkuasaan penting

Dalam hal ini, ahli kriminologi mempunyai dua pendapat yang dikenali sebagai ‘individual vs systemic’ iaitu sama ada faktor penguatkuasaan yang ketat di Singapura menyebabkan rakyatnya dan rakyat Malaysia yang menetapkan di sana mematuhi undang undang atau memang rakyatnya sentiasa patuh kepada undang-undang.

Pada pandangan penulis, faktor ‘systemic’ iaitu kelemahan penguatkuasaan adalah penyebab utama rasuah. Justeru, satu daripada faktor penting untuk menentukan kejayaan dalam memerangi jenayah ialah tindakan penguatkuasaan yang sistematik dan berterusan.

Justeru, penjawat awam perlu mempertingkatkan sifat integriti dalam diri masing-masing. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras rasuah.

Sudah menjadi lumrah seseorang yang mempunyai kuasa akan menyalahgunakannya jika tidak diawasi. Oleh itu, jika tersilap langkah dan tidak diawasi setiap masa, berkemungkinan ia boleh memberikan kesan tidak baik kepada organisasi. Negara akan bebas rasuah jika semua peringkat pegawai kerajaan menolak dan melaporkan pemberian rasuah. Jarang sekali pegawai di sini menolak rasuah kecuali mereka yang mempunyai tahap integriti yang tinggi, tidak tamak dan takutkan Allah SWT.

Rasuah yang berleluasa adalah cerminan mutu pentadbiran negara. Untuk berjaya mengurangkan rasuah, kerajaan perlu memastikan SPRM mempunyai bajet yang munasabah. Kajian menunjukkan jika sesebuah negara itu bersungguh-sungguh memerangi rasuah, ia memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya 0.5 peratus daripada belanjawan.

Selain itu, SPRM perlu mempunyai pegawai penyiasat yang mencukupi, terlatih dan berintegriti. Bagi memantapkan semangat juang pegawai SPRM, kerajaan perlu menitikberatkan kebajikan, esprit de corps dan integriti pegawainya.

Selain tanggungjawab penjawat awam, masyarakat juga perlu memberi sokongan padu kepada sebarang tindakan yang diambil SPRM bagi menurunkan tahap rasuah. Ajukan kritikan yang membina dan rasional jika badan itu dilihat membuat kesilapan. Jangan sampai kritikan yang dilemparkan menjejaskan prestasi dan mematahkan semangat pegawai SPRM untuk bekerja keras.

Kesedaran rakyat

Indonesia adalah negara yang terkenal dengan kadar rasuah yang tinggi tetapi berjaya memperbetulkan situasi yang memalukan itu. Komitmen kerajaan pimpinan Susilo Bambang Yudhoyono, kebangkitan rakyat dan kebebasan media massa di negara itu banyak membantu kejayaan kerajaan membanteras rasuah.

Lebih menarik ialah rakyat Indonesia sendiri melalui NGO mengutip derma bagi membina ibu pejabat baru Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK). Ini menunjukkan kesungguhan rakyat bersama-sama KPK berusaha memerangi rasuah. Hasilnya Indeks Persepsi Rasuah Indonesia bertambah baik dengan drastik dan naik dari tangga ke-160 ke tangga ke-110.

Kesan paling besar gejala rasuah ialah pentadbiran sesebuah negara boleh menjadi lemah, kucar-kacir dan huru-hara. Kemerosotan ekonomi pula akan menghalang penyertaan pelabur tempatan dan menyekat kemasukan pelabur asing selain kehilangan pendapatan daripada cukai pelaburan.

Di negara kita, komitmen SPRM untuk memerangi rasuah harus dipuji. Bagaimanapun, usaha penambahbaikan perlu diteruskan dari masa ke masa bagi memastikan usaha memerangi rasuah berjaya.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Novel Terapi Jiwa Remaja


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Tempoh remaja adalah proses perkembangan yang bukan sahaja mencabar remaja sendiri, tetapi juga ibu bapa mereka. Inilah tempoh yang memperlihatkan perkembangan dan perubahan aspek fizikal dan aspek mental seperti emosi dan sikap, mula menentukan matlamat dan menggariskan tanggungjawab, serta membentuk pola pemahaman dan pemikiran yang lebih matang.

Tidak sedikit remaja yang berusaha mengatasi cabaran itu dengan cara cuba-cuba. Cara sebegini meninggalkan beberapa kesan, baik yang positif mahupun yang negatif, bergantung pada skala mana kesan itu membina atau merosakkannya. Justeru, bimbingan kedua-dua ibu bapa, guru, rakan sebaya yang positif, agama dan nilai murni budaya, sangat membantu remaja mengatasi kendala cabaran ini dengan baik dan berkesan.

Cabaran remaja masa ini

Ibu bapa tidak mungkin menggunakan pengalaman masa remaja mereka semata-mata untuk mengatasi cabaran remaja masa ini. Zaman sudah berubah dan turut mengubah cara berfikir dan gaya hidup kita semua. Oleh itu ibu bapa harus memanfaatkan peranan guru, rakan sebaya yang positif, agama dan nilai budaya murni bagi membentuk sikap remaja yang bertanggungjawab dan berwawasan.

Satu lagi kaedah yang penting ialah memberi remaja bahan bacaan kreatif yang sesuai. Bahan bacaan ini adalah tambahan kepada buku teks sekolah dan buku latihan yang berkecenderungan akademik.

Sekarang industri perbukuan negara yang membabitkan penerbitan karya kreatif untuk remaja, sedang berkembang pesat. Buku kreatif untuk remaja ini meliputi genre novel dan cerpen terutamanya, juga puisi. Jika kita meneliti buku ini, kita mendapati bahawa teknik penerbitan serta visualnya sudah jauh berbeza dengan buku remaja yang diterbitkan dekad lalu. Visual kulitnya lebih menarik, ada yang disertai dengan tag line di bawah judulnya, dan ilustrasi dalam buku berkenaan juga boleh memikat minat pembaca remaja.

Yang kita perlukan ialah menerbitkan bahan bacaan yang memenuhi kehendak remaja. Jika kita dapat menerbitkan buku seperti ini, remaja yang pada mulanya malas membaca pun akan mula gemar membaca, sebab ada buku yang boleh memenuhi keperluan psikologi mereka.

Eksperimentasi, eksplorasi psikologi

Selain itu ada juga pendapat yang menyebut bahawa lebih baik jika bahasa dan plot dalam karya kreatif untuk remaja bersesuaian dengan kebiasaan yang mereka temui dalam alam realiti, TV, filem dan budaya popular. Pendapat ini percaya bahawa zaman remaja adalah zaman eksperimentasi dan eksplorasi psikologi yang akan menghubungkan mereka ke dunia dewasa yang lebih menyaring dan matang.

Penerbit dan ibu bapa harus melihat empat elemen berikut ketika hendak menerbitkan atau membeli buku kreatif remaja. Pertama, temanya harus sesuai dengan umur remaja serta perkembangan psikologinya, yang secara langsung mendorong minat, membaca dan daya berfikir mereka. Kedua, kandungannya harus berkaitan dengan pengalaman serta isu-isu semasa, yang boleh disampaikan oleh seorang penulis yang lebih matang kepada remaja.

Persoalan sekitar remaja

Ketiga, persoalan dalam karya itu harus bersangkut paut dengan manusia atau isu sekitar remaja seperti kerenah ahli keluarga, orang dewasa, tekanan daripada rakan sebaya termasuk yang berkaitan dengan dadah, seks, mengandung dan penagihan dadah. Selama ini segala isu tersebut mungkin dianggap tabu bagi remaja, hingga menutup akal budi golongan ini. Novel seperti ini sangat berkurangan di negara kita. Jika novel seperti ini ditulis dengan baik dan judul penerbitannya banyak, besar kemungkinan ia boleh memandu remaja untuk tidak membabitkan diri dalam perkara yang tidak bermoral, seterusnya mengurangkan pembabitan remaja Melayu dalam pelbagai masalah sosial di negara kita ini.

Keempat, dalam konteks mempersiapkan minda remaja kita sebagai warga dunia yang lebih besar dan mencabar, kandungan karya kreatif remaja juga harus mendedahkan remaja kepada isu global. Ini termasuklah isu budaya – dengan memahami budaya universal tetapi tidak sampai mengorbankan budaya sendiri yang murni dan positif; isu sosial, isu alam sekitar dan isu politik. Di samping itu harus ditambah dua isu lagi iaitu kepelbagaian gender, serta isu Islam sekular dan ajaran-ajaran yang menyimpang daripadanya.

Kepelbagaian gender

Dua isu terakhir iaitu kepelbagaian gender dan Islam sekular serta segala pengajaran yang menyeleweng daripada Islam murni, harus didedahkan kepada remaja. Dua isu ini tidak boleh diselindungi. Lambat laun mereka akan mengetahuinya. Kupasan isu-isu ini berdasarkan ajaran Islam yang murni dan benar akan mengelakkan mereka daripada gejala LGBT, Islam sekular atau ajaran yang menyeleweng seperti Syiah, ajaran Qadiani, golongan antihadis dan sebagainya.

Ada tema lain dalam novel remaja, seperti pengembaraan, cereka sains dan sebagainya. Semua tema berkenaan adalah wajar, selagi ia dapat memenuhi keinginan seni, intelek, emosi, serta psikologi pembaca remaja. Dengan menggalakkan mereka membaca karya kreatif yang bermutu, kita sebenarnya membuka jendela pembacaan secara bebas dan santai kepada golongan ini – dengan karya yang baik, bernas dan berkesan. Proses itu boleh membantu mereka memperluaskan pengalaman seni, pengetahuan, membentuk manusia yang berfikir dan berjaya dalam kehidupan.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Guru luar banyak masalah


Oleh : Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali

Hari ini, sektor pendidikan negara ter­nyata bergerak cukup pantas merentasi transformasi bagi menyaingi keperluan global termasuk pengiktirafan antarabangsa.

Usaha itu bukan sekadar meninggikan lagi taraf pendidikan nasional malah bukti bahawa sektor pendidikan sudah bersedia melangkau frasa globalisasi ilmu tanpa sempadan.

Pelbagai usaha dipergiat­kan dari semasa ke semasa dengan pendekatan menyeluruh termasuk membawa guru dari luar negara mengajar bahasa Inggeris dan bidang teknikal.

Mungkin usaha itu bagi melonjakkan lagi pencapaian sektor pendidikan nasional namun ia menimbulkan rasa kurang senang rakyat tempatan.

Ia seperti menidakkan kemampuan tenaga guru tempatan dan kemungkinan mewujudkan masalah lain.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sohaimi Lazim berkata, pe­ngambilan guru dari luar bagi membantu melonjakkan sektor pendidikan negara tidak salah namun bimbang menimbulkan masalah lain.

Beliau berkata, biarpun tujuan pengambilan itu positif, tetapi sensitiviti guru tempatan perlu diambil kira.

“Usaha menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak adalah baik namun perlu mempunyai perancangan rapi bagi mengelak pihak lain tersinggung.

“Bukan tujuan mengkritik atau membangkang, namun perlu ada perbincangan mendalam sebelum mengambil apa-apa tindakan,” katanya.

Pelbagai frasa diperkenal dan diperbaharui untuk menjadikan sektor pendidikan negara setanding di peringkat antarabangsa.

Antara yang giat dilakukan ialah memperkasakan modul tertentu seperti bahasa Inggeris dengan usaha proaktif membawa tenaga pengajar dari luar termasuk dari India.

Bagaimanapun, ada pihak berpendapat pendekatan itu boleh mendatangkan implikasi sampingan yang boleh menjejaskan kepentingan dan masa depan guru tempatan.

Lumrahnya, tenaga pengajar dari luar kurang memahami aspek budaya pembelajaran pelajar tempatan selain perbezaan sosial yang boleh mendatangkan konflik sampingan.

“Dalam proses pembelajaran ini, bukan hanya modul perlu diambil kira malah kesediaan guru luar untuk menerima budaya dan sosial tempatan perlu diberi perhatian.

“Mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat tempatan supaya boleh memahami, mendekati dan mengenali pelajar dengan lebih baik.

“Meskipun matlamat pe­ngambilan guru luar adalah baik, bukan semua mampu berbuat demikian,” katanya mengakui tanpa pendekatan teliti, ia boleh menjarakkan jurang.

“Kemungkinan guru tempatan akan merasakan khidmat mereka seperti tidak berkualiti atau mendapat pengiktirafan walaupun mempunyai kelayakan.

“Ini bukan saja seperti memperlekehkan keupayaan mereka malah boleh menerbitkan kecenderu­ngan guru tempatan berasa terpinggir.

“Setiap pelaksanaan perlu ada struktur menyeluruh sebelum sebarang keputusan diambil bagi menjaga kepentingan bersama,” katanya.

Ditanya adakah perlu kemasukan guru luar negara, beliau berkata ia boleh dilakukan atas faktor tertentu, tapi perlu memastikan isu berbangkit di kalangan guru dan bakal guru diselesaikan terlebih dulu.

Lambakan  graduan yang mengambil jurusan pendidikan, katanya, perlu diambil perhatian serius.

“Setiap tahun, ramai graduan jurusan ini menanti penempatan. Bayangkan bagaimana nasib bakal guru baru jika lambakan mereka tidak ditangani dengan baik.

“Ada yang sudah lama menamatkan pengajian tapi masih belum ada tempat mengajar. Dari segi teori pendidikan, keadaan ini seharusnya tidak berlaku.

“Kita ada barisan bakal guru muda yang sangat berdedikasi dan lebih arif dengan sistem pembelajaran. Jangan kera di hutan disusukan tetapi anak sendiri mati kelaparan,” katanya.

Pengambilan guru luar negara juga biarpun bertujuan memperkukuhkan beberapa aspek pembelajaran, namun masih boleh diatasi dengan kemampuan guru tempatan.

“Contohnya, pengambilan itu bertujuan memperkasakan bahasa Inggeris. Graduan kita pun boleh berbahasa Ing­geris dengan baik terutama jika mengambil pengkhususan dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL).

“Jadi, tiada isu besar bahasa itu tidak boleh diajar guru tempatan. Yang perlu dilakukan ialah memberi latihan berterusan supaya kemahiran mereka lebih tinggi.
“Saya tidak menafikan guru luar ada pengalaman, pertuturan mereka mungkin lebih sedap, tetapi sudut lain juga perlu diambil perhatian.

“ Isu gaji, penempatan dan keistimewaan dalam aspek tertentu harus diambil kira supaya guru luar ini tidak merungut atau berasa tidak puas hati.

“Kita berurusan dengan aspek pendidikan yang seharusnya dimartabatkan dengan rasa hormat, tiada kompromi dalam apa jua hal berbangkit.

“Jika wujud masalah, dikhuatiri akan memberi kesan kepada pelajar, yang akhirnya berbalik kepada guru, sekolah, kementerian, ibu bapa dan masyarakat,” katanya menambah acuan utama dalam proses penerusan usaha itu ialah memastikan matlamat disasarkan tidak menjadi sia - sia.

“Kita tahu proses membawa guru luar negara ini bukan mudah kerana perlu melalui pelbagai rangkaian perjanjian, tolak ansur dan kerjasama.

“Justeru kita mengharap­kan hasilnya juga setimpal dengan apa yang dilaburkan.

“Pada masa sama, hargai jasa dan jangan ketepikan peranan guru tempatan,” katanya.

Tidak pula menganggap apa dilakukan itu satu pembaziran, akuinya, pendekatan itu perlu dilihat sebagai usaha padu untuk menaikkan lagi sektor pendidikan negara.

“Apa dilakukan ini sebahagian transformasi berani kerajaan untuk membangun dan memberi pendidikan terbaik kepada rakyat.

“Usaha ini tidak salah cuma sebelum mengimplikasikannya, kita sudah bersedia dengan pelan tertentu selain jangan ketepikan keperluan guru tempatan.

“Kita tidak boleh berterusan bergantung kepada sumber tenaga luar, jadi guru tempatan inilah yang akan meneruskan kesinambungan proses pendidikan itu, jadi berikanlah mereka juga peranan dan keutamaan,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/