Rabu, 30 Januari 2013

ISU KESIHATAN : Kajian terbesar kaitan pemakanan dan barah


Oleh : Johan Jaaffar
 
Bekas Perdana Menteri China, Chou En-Lai menghidap barah hati pada awal tahun-tahun 70-an. Beliau mencadangkan satu kajian menyeluruh mengenai kesan pemakanan dan barah di negara itu. Setelah pemergian beliau, kerajaan China (melalui Akademi Sains Perubatan) dengan kerjasama pakar-pakar dari Universiti Cornell (Amerika Syarikat) dan Universiti Oxford (United Kingdom) telah memulakan kajian itu pada tahun 1983.

Kajian ini membabitkan 600,000 orang penyelidik membuat katalog kadar kematian 12 jenis barah di 2,400 wilayah di China. Proses ini membabitkan 96 peratus daerah negara itu dan lebih 800 juta manusia atau 90 peratus penduduk China pada ketika itu.

Pada tahun-tahun kajian itu dibuat China masih ‘tertutup’. Rakyatnya pula masih rata-rata tinggal di desa, penghijrahan ke bandar belum berlaku dengan hebatnya dan 90 peratus orang dewasa masih tinggal di tempat mereka dilahirkan. Demikian juga kaedah pemakanan rakyat China masih belum banyak berubah, terasnya masih amat tradisional dan pengaruh moden belum bertapak. Pergerakan rakyat masih amat terbatas. Sebuah daerah yang jauhnya 80 kilometer mempunyai perbezaan jelas daripada segi cara pemakanan kerana faktor pemisahan ini. Para penyelidik pergi ke bandar dan desa membawa borang soal selidik mengenai pemakanan dan cara hidup serta mengambil contoh air kencing dan darah. Apa sahaja yang dimakan dalam masa tiga hari sebelumnya akan direkodkan, contoh makanan dari pasar berdekatan dianalisis.

Barah dan kemewahan

Tujuan utama kajian ini ialah untuk memastikan sama ada perbezaan tabiat pemakanan di pelbagai tempat di China ada kaitannya dengan kadar kematian dari barah atau penyakit lainnya. China yang masih ketinggalan dalam serba serbi ketika itu lebih banyak berdepan dengan penyakit kronik yang berakibat daripada kemiskinan – cirit birit, TB, demam campak dan lain-lain. Barah merupakan penyakit yang selalu dikaitkan dengan kemewahan – dan punca utamanya ialah pemakanan.

Salah satu hasil kajian itu memang telah dijangka. Peningkatan taraf hidup bagi mereka yang tinggal di bandar menyebabkan peningkatan penyakit ‘orang mewah’ yakni barah, darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis. Namun demikian pada ketika itu tahap kolestrol di kalangan rakyat China di bandar 17 peratus lebih rendah daripada mereka yang tinggal di Barat.

Satu hasil menarik kajian itu ialah, di sesetengah tempat di China, tidak ada langsung kes barah. Di wilayah Sichuan dan Guizhou di barat daya China tidak ada seorangpun penghidap barah sewaktu kajian itu dibuat. Keadaan itu berterusan tiga tahun selepas itu. Dalam kes yang lain kejadian barah payu dara adalah 2,000 kali lebih tinggi daripada daerah lain dan barah tekak 435 kali lebih tinggi daripada daerah yang lain.

Kajian ini telah dibukukan oleh salah seorang pakar yang terlibat, Dr. T. Colin Campbell. Buku itu, The China Study menjadi rekod yang sangat penting dalam kajian penyakit di mana-mana negara di dunia. Menurut beliau, hasil paling penting daripada kajian ini ialah hubungan di antara makanan yang berdasarkan haiwan dan barah. Makan berteraskan tumbuh-tumbuhan mengurangkan insiden barah.

China telah berubah

Hari ini China telah berubah. Pertumbuhan ekonomi dua digit telah mengubah negara itu. China menjadi model kapitalis baru. Negara itu akan menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia mengalahkan AS dalam waktu yang terdekat. Kemewahan baru telah mengubah cara hidup rakyatnya. Lebih 60 peratus rakyatnya kini tinggal di bandar.

China mempunyai lebih banyak kota yang dihuni oleh 10 juta manusia daripada negara lain di dunia. Kepesatan ekonominya digerakkan juga oleh pembangunan prasarana yang luar biasa. Bulan lalu (26 Disember), China melancarkan laluan kereta api laju yang terpanjang di dunia – di antara Beijing dan Guangzhou, salah satu daripada sekian banyak kejayaan teknologinya.

Tabiat pemakanan atau dietary habits rakyat China juga telah berubah. Pada tahun 1995, obesiti di kalangan rakyat China hampir-hampir tidak wujud. Hari ini 10 peratus kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun dilabelkan obes. Jumlah orang dewasa yang dianggap gemuk melebihi penduduk Asia Tenggara. The China Study mengingatkan kita pada perlunya kita mengamalkan cara hidup sihat dan pemakanan yang betul. Malaysia berdepan dengan masalah yang tidak ada bezanya dengan banyak negara membangun.

Rahsia usia panjang

Baru-baru ini diumumkan bahawa Luo Meizhen merupakan manusia paling tua di dunia. China masih lagi mempunyai paling banyak manusia yang berusia lebih 100 tahun (centenarians) – 47,773 orang. Di kawasan tempat wanita ini tinggal terdapat manusia paling ramai mencecah 100 tahun, 74 daripada 1,000 orang. Daerahnya ialah Bama di barat daya Quangxi Zhuang. Kawasan autonomi Quangxi Huang bersebelahan dengan Guizhou, wilayah yang sewaktu kajian tahun 1983 bebas daripada barah.

Apakah rahsia mereka yang bukan sahaja berusia panjang tetapi juga sihat di daerah-daerah terpencil China ini?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan