Selasa, 1 Februari 2011

ISU BAHASA : Bahasa negara sendiri berkesan guna mendidik

Oleh : Teo Kok Seong
teokok@ukm.my.

Pihak mahu kekal PPSMI tak yakin keupayaan bahasa Melayu


SERUAN sekumpulan ibu bapa kepada kerajaan bagi kali ketiga setelah pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau PPSMI diumumkan pada Julai 2008, untuk diberi pilihan agar bahasa Inggeris terus digunakan dalam mengajar dua mata pelajaran itu di sekolah kebangsaan, boleh diinterpretasikan sebagai tindakan yang tidak meyakini kemampuan bahasa Melayu untuk menyampaikan ilmu sains dan teknologi. Ia juga boleh dilihat sebagai tindakan yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Kumpulan ibu bapa ini juga menyerahkan kepada kerajaan petisyen berserta dengan 10,000 tandatangan, yang menyokong PPSMI dibenarkan terus wujud di sekolah kebangsaan tertentu, sekiranya ia dimohon oleh sebahagian besar ibu bapa. Mereka juga menyeru agar sekolah menengah tertentu dikhaskan untuk terus mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, setelah dua mata pelajaran itu dipelajari dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah.
Sekolah yang dicadangkan ini turut diberikan nama, iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan 1Malaysia. Dengan menggunakan nama 1Malaysia, mengambil panggilannya daripada Gagasan 1Malaysia, kumpulan ini mahu kerajaan menyedari bahawa ia perlu mendahulukan rakyat, seperti janji pada slogan yang selalu dilaung-laungkan oleh kerajaan – ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’

Selain petisyen, kumpulan ini menyerahkan memorandum yang mengandungi hujah penting, ekoran daripada perbincangan dalam tiga forum yang bertajuk A Discourse on Malaysia Education Policies – Science and Math in English as an Option, yang sudah tentu dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Forum ini yang diadakan di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur dilaporkan mendapat sambutan baik daripada rakyat, sehingga mereka perlu didahulukan mengikut semangat Gagasan 1Malaysia.

Hasrat dan seruan untuk mengembalikan PPSMI di sekolah tertentu, seperti yang dinyatakan oleh kumpulan ini, adalah untuk memberi murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah pendidikan yang terbaik mungkin dan dalam bahasa yang paling sesuai pula. Dengan ini, ibu bapa berkenaan berkata bahawa mereka tidak sekali-kali menentang Dasar Memartabatkan Bahasa Inggeris, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBM-MBI), yang digubal untuk menggantikan PPSMI, khususnya dalam meneruskan kepentingan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara.

Apa yang mereka mahu ialah diberi pilihan, seperti yang berlaku pada sekolah vernakular yang dibenarkan mengajar dua mata pelajaran itu dalam bahasa etnik tertentu. Sehubungan ini, kebenaran menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil, adalah selari dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Inggeris yang tidak pun bahasa etnik mana-mana kaum di Malaysia, boleh dilihat sebagai tidak ada sebarang kaitan dengan peruntukan ini. Justeru perbandingan bahasa Inggeris dengan bahasa etnik sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular, didapati tidak berasas dalam tuntutan kumpulan ini.

Persoalan utama yang timbul daripada hasrat dan seruan kumpulan ini, yang dikatakan disokong oleh ramai ibu bapa di seluruh Malaysia, adalah mereka tidak yakin kepada kemampuan bahasa Melayu untuk memajukan bangsa dan negara Malaysia, setelah negara melaksanakan PPSMI selama tujuh tahun, iaitu dari 2003 sehingga 2010. Sehubungan ini, PPSMI didapati memudaratkan banyak murid dan pelajar di seluruh Malaysia.

Dasar MBM-MBI yang menggantikan PPSMI dan mula berkuat kuasa pada 2011, ikut tidak diyakini mereka, walaupun mereka menafikan hakikat ini. Pengakuan ibu bapa ini bahawa mereka mahu yang terbaik untuk pendidikan anak mereka, dan yang disampaikan dan diterima pula dalam bahasa yang paling sesuai dengan anak mereka, adalah satu penghinaan terhadap pendidikan di sekolah kebangsaan, yang diajar dan dipelajari dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa negara kita!

Model penggunaan bahasa negara sendiri untuk memajukan rakyat dan negara, bukan sesuatu yang baru, dan dipilih oleh hanya Malaysia. Model ini telah terbukti kejayaannya di merata tempat. Dalam hal ini, Rusia yang menggunakan bahasa negara sendiri, didapati mampu menandingi banyak negara besar yang lain, sehingga menjadi peneraju yang tiada tolok bandingnya dalam bidang sains angkasa.

Jerman juga menggunakan bahasa negara sendiri dan amat dikenali sebagai berjaya dalam bidang automobil. Beberapa jenama besar kereta di dunia adalah hasil keluaran Jerman. Finland yang juga menggunakan bahasa negara sendiri, berjaya memajukan rakyatnya sehingga berhasil mengeluarkan telefon bimbit yang paling popular di dunia di bawah jenama Nokia.

Di rantau ini, Jepun dan Korea yang bangga sekali dengan penggunaan bahasa negara sendiri untuk mendidik anak bangsa, didapati amat berjaya dalam bidang teknologi. Thailand yang menggunakan bahasa negara sendiri, iaitu bahasa Thai, disegani oleh jirannya di rantau ini dalam bidang teknologi pertanian.

Perbandingan dengan semua negara ini, dikatakan oleh sesetengah pihak yang menyokong PPSMI diteruskan, adalah tidak adil. Ini adalah kerana semua negara ini memiliki sejarah yang jauh lebih lama daripada Malaysia, yang hanya berusia 54 tahun pada 2011. Hujah tempoh lama, yakni dalam pengertian sejarah negara yang ratusan tahun itu, dan pengembangan bahasa negara yang begitu lama, perlu ikut diguna pakai dalam kes Malaysia dan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa negara, lebih-lebih lagi sebagai bahasa ilmu, dalam tempoh ratusan tahun, mulai 1957 sehingga 3030 misalnya, sudah tentu berjaya bukan saja mengembangkannya, tetapi lebih penting berhasil memantapkannya dalam apa jua domain pemakaian, khususnya yang berkaitan dengan budaya tinggi.

Dasar MBM-MBI perlu disambut dengan baik oleh rakyat dalam bentuk sistem persekolahan yang sedia ada, dan bukannya dengan pertambahan bentuk baru, misalnya Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan 1Malaysia. Sistem pendidikan yang wujud kini dengan pelbagai jenis/aliran, tidak perlu dikusutkan lagi. Secara unggulnya, Malaysia hanya memerlukan satu jenis sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan yang menggunakan bahasa negara sendiri, iaitu bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa pengantar.

Dengan pelaksanaan yang berkesan, Dasar MBM-MBI mampu menghasilkan anak bangsa yang bukan saja menguasai bahasa Melayu selaku bahasa negara, pada tahap yang baik, tetapi lebih penting lagi adalah anak bangsa yang bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara ini. Pada masa yang sama, mereka ikut berjaya menguasai bahasa Inggeris, iaitu bahasa antarabangsa yang penting, dengan baik sekali.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/