Oleh : Hibur Rahman
Amalan erat silaturahim patut diteruskan tanpa mengira
musim
Alhamdulillah, kita semua baru
saja merayakan Aidilfitri dalam suasana meriah dan menggembirakan,
mudah-mudahan segala amal ibadah di sepanjang Ramadan lalu diterima Allah SWT
dan kita mengharapkan untuk berterusan dalam ketaatan serta keredaan Allah SWT.
Hari ini genap sepuluh hari kita berada dalam bulan Syawal yang mana masih lagi
terasa kehangatan suasana hari raya dengan amalan ziarah menziarahi antara satu
sama lain. Oleh itu, rugi jika kita tidak mengamalkan budaya menziarahi yang
dekat mahupun jauh.
Amalan ziarah amat dituntut dalam
Islam dan seseorang Muslim itu tidak sempurna imannya jika ia tidak
menghubungkan silaturahim. Amalan ziarah memberi manfaat yang amat besar dan
faedah berguna dalam konteks perpaduan ummah.
Namun, yang mengecewakan serta
amat mendukacitakan, masih ada yang mengabaikan amalan ziarah terutama
menziarahi saudara terdekat, sahabat handai, jiran tetangga, di luar musim
perayaan atau sambutan tertentu.
Ini disebabkan fahaman dan amalan
ziarah hanya bersifat bermusim atau menjadi tradisi diamalkan sempena sambutan
perayaan seperti Hari Raya Puasa yang sedang kita raikan ataupun Hari Raya Haji
semata-mata.
Akibatnya amalan ziarah semakin
hari semakin terhakis dan diabaikan masyarakat dengan alasan kesibukan tugas
harian.
Islam telah menggariskan pelbagai
panduan untuk menghubungkan silaturahim sesama manusia, lebih-lebih lagi
saudara seagama, supaya umat Islam menjadi umat kuat, berjaya, tidak hidup
bersendirian atau dengan istilah “aku aku”, “engkau engkau”.
Pengertian silaturahim dalam
Islam amat luas serta mendalam. Contohnya, apabila seseorang telah mengucap dua
kalimah syahadah, maka terjalinlah ikatan persaudaraan Islam atau silaturahim,
tidak kira di mana mereka berada. Semua orang Islam adalah bersaudara dalam
akidah yang satu.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya
orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua
saudara kamu yang bertelingkah, bertakwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan
kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Bagi sesetengah manusia yang
hidup mereka tidak mematuhi syariat Islam, umpamanya suka mencari kesalahan
orang lain, mencaci, membuat fitnah, mencerca, bersifat hasad dengki, khianat,
dan melakukan kezaliman, mereka adalah golongan yang memutuskan silaturahim.
Hampir kesemua ibadah dalam Islam
dituntut dilakukan dalam bentuk berkumpulan atau berjemaah. Ia tidak lain bagi
memberi galakan umat Islam bertegur sapa atau bertukar-tukar pandangan. Begitu
juga ibadah haji yang mengajak menghubungkan silaturahim saudara Islam di
seluruh pelosok dunia.
Ibadah zakat menghubungkan nilai
persaudaraan dalam kalangan umat Islam dengan sifat tolong-menolong, bantu
membantu, akhirnya lahirlah nilai kasih sayang antara yang kaya dengan yang
miskin.
Justeru, marilah bersama
menghidupkan amalan ziarah menziarahi, mempereratkan hubungan silaturahim dan
kasih sayang sebagai umat Islam di dunia bahkan sampai ke akhirat,
mudah-mudahan Allah memberkati hidup kita.
Firman Allah SWT: “Maka sesiapa
yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepada-Nya nescaya ia
melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang
Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak
sempit sempit-sesempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan
susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak
beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/