Oleh : DR. AMINUDIN MANSOR
MEMBENTUK jiwa merdeka dengan
semangat Malaysia adalah tugas semua pihak. Jika di sekolah ia menjadi tugas
guru, manakala apabila seseorang itu keluar daripada bangku sekolah, dia seharusnya membentuk
dirinya berjiwa merdeka dengan semangat Malaysia.
Usaha untuk mewujudkan rakyat
berjiwa merdeka dengan semangat Malaysia adalah menjadi tugas pemimpin
masyarakat, badan-badan bukan kerajaan dan juga pemimpin politik. Isu politik
tidak seharusnya memecahbelahkan masyarakat dengan pandangan dan pendapat yang
boleh membawa pelbagai kontroversi.
Tugas pemimpin adalah
menyampaikan amanat ke arah kebenaran. Islam mahukan sebagai pemimpin mukmin
bukanlah pengumpat dan yang suka mengutuk, yang keji dan ucapannya kotor.
Sebagai pengikut, seseorang itu tidak seharusnya mengangkat orang yang
bercita-cita akan kedudukan.
Merujuk kepada jiwa merdeka
semangat Malaysia semua kita seharusnya sedar insaf dan bersyukur hidup di
negara ini yang aman dan makmur. Hari Kemerdekaan dan hari pengisytiharan
pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 adalah sangat penting dalam sejarah
pembentukan negara kita.
Pada tahun ini ulang tahun
kemerdekaan disambut kali ke-55 menandakan kedewasaan Malaysia dan seharusnya
melambangkan kematangan pemikiran rakyatnya.
Mengikut catatan sejarah,
perjanjian Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Ratu
Elizabeth II telah memperkenankan Akta Malaysia yang diluluskan oleh Parlimen
Britain. Ini disusuli dengan kelulusan Perjanjian Malaysia oleh Parlimen Tanah
Melayu, Dewan Perhimpunan Singapura (sebelum keluar dari Malaysia), Majlis
Undangan Sarawak dan Majlis Undangan Sabah. Seterusnya pada 26 Ogos 1963, Yang
di-Pertuan Agong telah memperkenankan Akta Malaysia.
Seterusnya, pada 16 September
1963, negara Malaysia ditubuhkan secara rasminya yang merangkumi Persekutuan
Tanah Melayu, Singapura (sebelum keluar dari Malaysia), Sarawak dan Sabah.
Mengimbau semula pada catatan
sejarah, pada mulanya pembentukan Malaysia merupakan sesuatu yang agak mustahil
terutama apabila melihat reaksi penentangnya yang datang dari dalam negeri dan
negara luar. Namun, menerusi diplomasi masalah tersebut dapat diatasi.
Sejarah membuktikan pembentukan
Malaysia telah berjaya menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu dengan
negeri-negeri jirannya bagi kepentingan bersama. Kejayaan ini memaparkan
ciri-ciri kepimpinan tokoh tempatan di Persekutuan Tanah Melayu, Singapura,
Sarawak dan Sabah. Kerajaan British juga sanggup bekerjasama dan bertolak ansur
demi mencapai kesejahteraan bersama.
Di samping itu, kerjasama yang
diberikan oleh rakyat negeri-negeri anggota adalah untuk memastikan kedaulatan
negeri terjamin. Perjanjian Malaysia 1963 mengambil kira kepentingan semua
negeri anggota untuk mengekalkan kesejahteraan dan perpaduan antara negeri.
Bagaimanapun, pada tahun 1965 Singapura telah berpisah dengan Malaysia.
Kini, rakyat Malaysia sedang
menuju fasa transformasi ke arah kemajuan dan kemodenan dalam pelbagai bidang
antaranya pendidikan, ekonomi, sosial, politik dan juga budaya.
Namun, semuanya diasaskan
daripada hasil kemerdekaan negara yang dicapai sejak 55 tahun lalu. Justeru,
tema hari ulang tahun kemerdekaan ke-55 tahun ini, "Janji Ditepati"
seharusnya menjadi pegangan kepada rakyat dan kerajaan.
Membentuk jiwa merdeka dengan
semangat Malaysia mestilah dengan rasa cinta dan kefahaman yang mendalam
terhadap negara bangsa. Perpaduan dan semangat kecintaan kepada negara mestilah
diasaskan sejak di bangku sekolah lagi dan diteruskan ke alam remaja dan
dewasa. Semua ini mestilah dilakukan secara berterusan dan bukan hanya pada
tanggal 31 Ogos setiap tahun.
Pembinaan modal insan yang
sanggup menghadapi pelbagai isu dan cabaran mestilah bermula di bangku sekolah.
Dalam konteks Malaysia, modal insan dan usaha pembangunannya telah digariskan
dalam pelan tindakan pembangunan modal insan yang dibentangkan dalam Rancangan
Malaysia Kesembilan. Inti pati pembangunannya adalah bertujuan membentuk
individu berkualiti dan berketerampilan dalam melahirkan masyarakat yang
cemerlang.
Ini disebabkan cabaran
globalisasi dewasa ini dipacu oleh kuasa pasaran daripada pelbagai sudut yang
arusnya mendadak dan drastik. Oleh itu, keperluan kepada pembinaan keupayaan
dan pembangunan agenda 'minda kelas pertama' perlu diberi perhatian yang serius
dan mendalam.
Keperluan ini perlu memfokuskan
kepada pembangunan modal insan kerana kita tidak boleh hanya semata-masa
bergantung pada prasarana yang bertaraf dunia, malah perlu juga kepada
pembangunan model insan bermotifkan kelas pertama yang bertaraf dunia.
Melalui pembangunan modal insan,
pembentukan jiwa merdeka dengan semangat Malaysia juga dapat dilakukan melalui
pendidikan sama ada di rumah dan di sekolah.
Mengangkasakan modal insan
mestilah melalui impian dan cita-cita yang tinggi dengan daya usaha dan
kesungguhan yang gigih, tahap cemerlang, motivasi, berpandangan jauh,
bercita-cita, mengambil peluang, keberanian mengambil risiko dan mengendalikan
kegagalan sebagai tanda aras kejayaan dan sebagainya.
Hal ini bertepatan dengan firman
Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan insan dalam
bentuk yang sebaik-baiknya" (At-Tin:4).
Di peringkat universiti, pelajar
universiti merupakan agen sosial dan modal insan yang utuh dan mampu
menyumbangkan pengetahuan, kemahiran dengan nilai-nilai murni kepada agama,
bangsa dan negara. Mereka ini juga mesti difahamkan dengan semangat cintakan
negara, patriotik dan perpaduan.
Hakikatnya, semua rakyat hidup
aman dan sejahtera dengan mengekalkan perpaduan yang sedia terjalin. Oleh sebab
itu, setiap pemimpin seharusnya berusaha mengekalkan semangat perpaduan tanpa
mengira fahaman politik demi kesejahteraan hidup rakyat.
PENULIS ialah bekas pendidik
berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan