Selasa, 29 September 2009

ISU ALAM SEKITAR

Hutan bakau aset penting lindungi pesisiran pantai

Oleh Shaarani Ismail
shaarani@bharian.com.my

Usaha pemuliharaan perlu berterusan jamin ekosistem kekal seimbang

MEMUPUK kesedaran menjaga dan memulihara khazanah alam terutama hutan paya bakau di kalangan masyarakat, termasuk menjelaskan kepentingan perlunya ia dipulihara bukan satu tugas mudah. Ia memerlukan komitmen tinggi dan padu daripada pertubuhan berkaitan serta masyarakat setempat.

Hutan bakau berperanan bukan saja sebagai penangkis hakisan di pinggir pantai tetapi turut bertindak sebagai penstabil kawasan pantai dan tebingan sekitarnya. Ia mampu berperanan secara efektif sebagai penahan ombak, ribut dan pasang surut air secara semula jadi.

Justeru, kesedaran menjaga khazanah semula jadi itu seperti yang dilakukan penduduk Kampung Mangkuk di Penarik, Setiu dan beberapa kawasan di Kerteh, Terengganu wajar dijadikan contoh. Ia wajar diikuti bagi memastikan kawasan pantai negara tidak terjejas dan terus kekal sebagai khazanah sumber marin negara. Sikap penduduk kawasan itu juga adalah cerminan kejayaan usaha penerangan dan kempen bersungguh-sungguh yang dijalankan beberapa pertubuhan termasuk Tabung Hidupan Liar (WWF), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan syarikat korporat yang prihatin.

Inisiatif warga Kampung Mangkuk yang melaksanakan tanaman semula bakau sebagai satu daripada usaha mereka mengatasi masalah hakisan pantai yang semakin membimbangkan, juga berperanan sebagai wadah mendidik generasi muda memahami kepentingan memulihara hutan paya bakau. Hutan paya bakau adalah sempadan di antara daratan dan lautan. Keadaan pesisir pantai sering terdedah kepada ancaman hakisan akibat tindakan ombak dan arus pasang surut. Maka, hutan paya bakau berperanan menstabilkan keadaan persisiran pantai, tebingan sungai dan persekitaran kawasan dengan memberi perlindungan daripada arus pasang surut, ombak dan ribut.

Peranannya juga tidak hanya sekadar melindungi hakisan tanah tetapi mengumpulkan semula tanah yang terhakis dari laut. Ia berlaku apabila ombak menolak tanah atau lumpur dari laut ke darat dan hutan paya bakau dengan sistem akarnya yang unik dapat mengumpul tanah berkenaan dan ini adalah fenomena unik yang dapat mengekang kecenderungan laut untuk menenggelami daratan.

Selain itu, hutan paya bakau menjadi habitat beberapa spesies seperti ikan, ketam, udang dan kerang yang mana hutan ini adalah tempat hidupan berkenaan menetas dan membesar sebelum kembali ke laut. Justeru, kawasan paya bakau secara tidak langsung memberikan kesan terhadap ekonomi penduduk kerana ia mampu mencetuskan kestabilan sumber perikanan, sekali gus kehilangan hutan paya bakau akan memberikan kesan yang sangat negatif terhadap industri perikanan.

Di kebanyakan negara di Asia Tenggara dan Pasifik, hutan paya bakau dikomersialkan menerusi pengeluaran kayu untuk pembinaan, kayu api dan arang. Pengalaman yang direkodkan beberapa pertubuhan yang memperjuangkan pemuliharaan alam termasuk WWF menunjukkan bahawa jika aktiviti pembalakan itu diurus dengan sempurna, ia dapat menghasilkan sumber pendapatan secara mapan apabila impak terhadap hutan bakau dapat dikawal.

Lantaran itu, WWF sentiasa merancang meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk setempat mengenai kepentingan hutan paya bakau dalam kehidupan mereka menerusi pelbagai program pendidikan dan penerangan. Seperti yang dikatakan Ahli Biologi WWF, Norulhuda Nasir yang terbabit dalam kegiatan pemuliharaan dan kempen kesedaran penduduk mengenai hutan bakau di Kampung Mangkuk, kesedaran penduduk adalah teras utama dalam memastikan kejayaan program pemuliharaan bakau.

Sebab itulah, Norulhuda menjelaskan inisiatif penduduk di Kampung Mangkuk dan Pengkalan Gelap, Setiu adalah sesuatu yang sangat positif dengan menanam semula bakau bagi memastikan kelestarian sumber itu.

"Begitu juga di Kertih, pembabitan pihak swasta yang mengambil inisiatif bersama Persatuan Alam Sekitar menyemai kesedaran menanam semula bakau di sekitar perairan Kertih dengan kerjasama Optimal Group juga dilihat sebagai satu langkah proaktif mengembalikan semula khazanah marin yang sebelum ini terancam kerana banyak hutan bakau sudah ditebus guna bagi tujuan pembangunan," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua kawasan berkenaan mempunyai perbezaan tersendiri daripada segi tarikan atau pendorong untuk menanam semula. Di Pengkalan Gelap, dorongan untuk menanam semula bakau tercetus setelah mereka sedar bahawa hasil tangkapan ikan meningkat selepas usaha pelbagai pertubuhan menanam semula di kawasan tertentu, selain hasil yang penduduk peroleh daripada penjualan benih bakau ke seluruh negara.

Sementara di Kampung Mangkuk, penduduk turut terbabit sama dalam penanaman semula bakau setelah mereka sedar hakisan pantai akan menjejaskan ikhtiar hidup mereka pada masa depan terutama jika muara Sungai Setiu menjadi semakin tohor.

Program meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat di sini sudah mula menunjukkan kesan yang semakin positif dan mereka kini yakin dan percaya khazanah hutan paya bakau perlu dipulihara dan dikekalkan bagi memastikan alam sekitar terus seimbang dan mampu menjana pendapatan nelayan setempat yang kebanyakannya bergantung kepada sumber marin.

Hasil daripada program pemuliharaan komuniti yang dijalankan WWF di kawasan Setiu umpamanya yang telah dijalankan sejak tahun lalu, menunjukkan hasil yang sangat positif apabila lebih 1,700 anak bakau jenis kurup sudah ditanam di kawasan pesisir pantai berhampiran muara Sungai Setiu oleh penduduk setempat, kata Pegawai Komuniti WWF Setiu, River Foo.

Penanaman semula pokok bakau adalah penting bagi menjamin keseimbangan ekologi kerana penebangan pokok bakau menyebabkan kehidupan marin terjejas selain berlakunya perubahan keadaan geofizikal pantai dan pesisiran sungai sekali gus memberi kesan ekonomi dan sosial kepada masyarakat, tambahnya.

Sebagai contoh, penduduk di Kampung Gong Batu dan Pengkalan Gelap yang menjadi perintis penanaman semula bakau melalui kerjasama dan inisiatif badan bukan kerajaan, sudah mula melihat hasil daripada usaha yang mereka laksanakan.

Pengusaha akuakultur di kawasan lagun Kampung Gong Batu sebelum ini sangat merasai kesan daripada kegondolan kawasan bakau yang menjejaskan kualiti air sehingga menyebabkan kematian ternakan ikan. Justeru, penduduk mengambil langkah bagi memastikan ekosistem dan kepelbagaian bio di kawasan itu sentiasa terkawal dan terpulihara kerana hutan paya bakau turut menjadi habitat semula jadi bagi beberapa spesies ikan dan ketam.

Lantaran kejayaan proses pemuliharaan yang membabitkan penduduk seperti di Setiu dan Kertih, maka Terengganu boleh menjadi negeri contoh dalam melaksanakan usaha ini kerana sesuatu kejayaan itu pasti lebih manis jika usaha ke arah perubahan itu dicetuskan sendiri masyarakat setempat. Kejayaan ini seharusnya bukan hanya boleh dilakukan dalam pemuliharaan paya bakau tetapi juga wajar dikembangkan dalam pelbagai aspek lain.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

ISU KEMALANGAN DI JALAN RAYA

Ubah strategi Ops Sikap?

OPS Sikap datang dan pergi bersama-sama dengan sejumlah nyawa yang terkorban dengan statistik nahas kemalangan yang terus meningkat dan menyayat hati semua pihak. Agensi kerajaan seperti PDRM, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya, MIROS dan sebagainya telah pun memainkan peranan mereka ditahap paling optimum yang mampu mereka lakukan untuk mengatasi ataupun mengurangkan kecelakaan ini.

Semua pihak secara terus-terang dan hampir sebulat suara membuat kesimpulan bahawa sikap pemandulah antara punca utama kemalangan yang berlaku. Memang benar sikaplah menjadi dalang utama di sebalik semua kejadian yang tidak diingini ini berlaku, namun sebagai manusia yang waras kita perlu juga mengkaji dan menyiasat kesemua kemalangan yang berlaku ini dari segenap aspek dan sudut supaya mendapat gambaran yang lebih menyeluruh.

Saban tahun program Ops Sikap dilancar mengikut keperluan semasa, program dan kempen kesedaran juga semakin rancak dilaksanakan, kajian demi kajian juga dilipatgandakan untuk mengatasi masalah ini namun apa hasilnya dan di mana silapnya? Apa yang pasti jutaan wang ringgit terpaksa dibelanjakan ataupun dibazirkan untuk tujuan tersebut kerana hampir semuanya seolah-olah berakhir dengan kegagalan.

Telah terbukti sehingga ke saat ini strategi mengadakan pelbagai kempen dan hukuman berat ternyata tidak dapat mengubah sikap pemandu kita. Ini kerana buktinya makin kita menghukum semakin bertambah jumlah kemalangan yang berlaku.

Maka kita perlu menukar strategi dengan mengolah pelan jangka panjang dan jangka pendek dengan menggunakan kaedah yang lebih sistematik dan berhemah agar gejala ini dapat dicantas dari peringkat akar umbi lagi.

Antara pelan jangka panjang yang boleh dipertimbangkan ialah:

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membantu memperkenalkan mata pelajaran Etika Pemanduan dan Undang-Undang Jalan raya di peringkat sekolah menengah ataupun seawal sekolah rendah lagi jika difikirkan sesuai.

Mata pelajaran ini diajar dalam bentuk teori dan amali supaya anak-anak muda ini diberi pendedahan yang secukupnya terutamanya dari aspek praktikal dalam dunia yang sebenar tentang etika pemanduan dan sikap yang betul semasa berada di atas jalan raya serta bahaya yang wujud semasa memandu jika berlaku kecuaian.

Pengaruh para guru terhadap anak murid juga dilihat cukup signifikan justeru ia boleh banyak membantu dalam hal ini untuk memupuk nilai-nilai murni dan etika pemanduan yang betul sejak di bangku sekolah lagi.

Mungkin tidak keterlaluan untuk dicadangkan agar subjek-subjek sebegini dijadikan subjek wajib lulus untuk memperoleh sijil PMR mahupun SPM.

Ibu bapa tidak boleh lari dari tanggungjawab hakiki mereka mendidik dan membentuk anak-anak mereka.

Lumrahnya manusia perlu dididik seawal zaman kanak-kanak lagi supaya minda dan tingkah laku mereka dapat dibentuk seperti yang kita hajatkan. Perubahan sikap pula tidak boleh berlaku dalam sekelip mata. Justeru sekolah dan rumah adalah tempat yang paling sesuai untuk tujuan tersebut. Pendidikan awal di sekolah dan rumah tentang aspek keselamatan ini pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam sanubari setiap remaja kita.

Pelan jangka pendek yang boleh dilaksanakan dengan serta merta:

Cadangan menaikkan lagi had umur bagi mendapatkan lesen memandu motosikal dan kereta misalnya kepada 21 tahun untuk motosikal dan 25 tahun untuk kereta. Memang perlu diakui ini merupakan satu cadangan yang agak 'kejam' dan mungkin juga 'zalim' bagi sesetengah pihak namun apa lagi pilihan yang kita ada dalam erti kata untuk mengawal kecelakaan ini dari peringkat akar umbi lagi.

Statistik menunjukkan golongan penunggang motosikal dan belia merupakan mangsa utama kemalangan jalan raya di negara ini. Umur 21 tahun ke atas dilihat lebih rasional dalam membentuk seorang pemandu yang lebih matang dan berdisiplin di atas jalan raya.

Tambahan pula, tindakan penguatkuasaan dan hukuman seperti mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar belakang serta menaikkan jumlah denda dan kompaun dilihat masih tidak mampu menyekat golongan ini dari terus menjadi mangsa di atas jalan raya. Sehinggakan Ketua Polis Negara merumuskan bahawa hukuman mati sekalipun tidak akan mengubah tabiat buruk pengguna jalan raya yang degil dan rakus.

Keadaan jalan raya perlu dibaiki dan dinaik taraf sewajarnya mengikut keperluan semasa. Walaupun secara keseluruhannya keadaan jalan raya di negara kita boleh dibanggakan malah ada yang menyamakan dengan beberapa buah negara maju namun masih terdapat beberapa buah jalan baik jalan persekutuan, jalan kampung mahupun lebuh raya yang dilihat mampu membahayakan pengguna.

Kemalangan jalan raya sudahpun menjadi satu masalah yang besar kepada kita, malah tidak hairan suatu hari nanti diisytihar darurat jalan raya ataupun penggunaan kenderaan terpaksa dicatu demi mengurangkan bilangan nyawa dari terus menjadi korban jalan raya.

Keadaan itu tidak mustahil untuk menjadi realiti kerana trend semasa menunjukkan bilangan rakyat Malaysia yang membeli kenderaan semakin bertambah dan ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi peluang berlakunya lebih banyak lagi kemalangan jalan raya pada masa-masa akan datang.

Justeru semua pihak yang berkenaan terutamanya KPM, sekolah serta ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing bagi membendung masalah ini dari terus berleluasa.

Hanya pendidikan awal di sekolah dan rumah sahaja yang dilihat mampu menyelamatkan nyawa anak-anak kita.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

DILEMA TUGAS GURU

Tugas tambahan jejas keupayaan guru

Oleh Azrul Affandi Sobry

Penambahan jawatan staf sokongan amat penting untuk beri fokus tugas mengajar

AWAL tahun, hari sukan, hari kokurikulum, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari terbuka, musim peperiksaan, pertandingan peringkat daerah dan negeri, minggu suai kenal serta banyak lagi beban kerja yang selama ini terpaksa ditanggung guru sehingga sering kali memberi tekanan kepada mereka.

Guru kini bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah. Apa tidaknya, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru pun, pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan.

Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada satu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.

Banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh' serta pelbagai kritikan lagi seperti 'sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut'.

Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.

Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.

Justeru, tak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan, bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik komputer.

Sebagai contoh, setiap tahun guru perlu mengemaskini maklumat murid serta data peribadinya. Tak cukup dengan itu, kutipan yuran perlu dibuat sendiri dan direkodkan dengan kemas. Maklumat lain termasuk rekod pinjaman buku teks dan keputusan peperiksaan perlu dikemas kini segera.

Bagi guru yang ditugaskan mengepalai panitia pula, beban itu ditambah dengan keperluan menyediakan kertas soalan peperiksaan hampir setiap dua atau tiga bulan. Ada pula guru yang mahir sedikit dalam reka bentuk grafik ditugaskan pula menyediakan grafik untuk majalah sekolah.

Tidak perlulah diperincikan semua beban tugas lain yang perlu lakukan kerana realitinya itu bukan tugas utama guru di sekolah, malah tak pernah diajar ketika mereka mengambil kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG). Guru kelas pula pastinya sering merungut setiap kali musim kemas kini data tiba dan mereka ini juga yang kebiasaannya ditugaskan sebagai guru panitia, guru pembimbing rumah sukan serta kelab.

Persoalannya, bukankah semua beban tugas itu sewajarnya dilakukan oleh mereka yang lebih pakar dalam tugas merekod data atau maklumat. Bukankah kerja membabitkan kewangan perlu dilaksanakan kerani kewangan dan perihal data pula diuruskan oleh pegawai data? Memang ada guru data di sekolah, tetapi mereka sebenarnya bukan fokus dalam hal data semata-mata kerana perlu juga mengajar di kelas, malah ada yang perlu mengajar subjek kritikal.

Guru IT pula hanya layak mengajar asas komputer seperti menggunakan perisian Microsoft Word, Powerpoint atau Excel tanpa ada skil membuat sistem data yang lebih memudahkan guru memasukkan maklumat secara pantas dan pengiraan markah peperiksaan dibuat secara berkomputer, malah guru IT juga guru biasa yang perlu mengajar.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman, berkata kementerian wajar mewujudkan satu jawatan baru di sekolah iaitu staf sokongan yang ditugaskan merekodkan data.

"Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Ketika itu, guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain.

"Mereka perlu mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan, malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat kesihatan.

"Justeru, penambahan jawatan staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar mereka iaitu mengajar. Mereka perlu fokus untuk pengajaran, bukan dalam kerja pekeranian. Jangan biarkan mereka terus buat banyak kerja lain setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan," katanya.

Jemali turut bersetuju bahawa guru kini bukan sekadar layak digelar kerani tetapi mungkin tukang kebun, pengasuh, pereka grafik, tukang cat dan semua beban kerja yang dilonggokkan ke bahu mereka. Katanya, masa yang lapang hanya dua atau tiga waktu tetapi mengikut pekeliling, ia perlu diisi dengan persiapan mengajar.

"Cuti tahunan atau cuti rehat khas hanya ada tujuh hari. Mana cukup untuk digunakan apabila perlu. Berbeza dengan sektor lain, mereka ada tempoh cuti tahunan lebih panjang dan dapat fokus pada skop kerja mereka.

"Contohnya, mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga tergalas di bahu mereka," katanya.

Justeru, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara ini. Jangan satu hari nanti, kerjaya guru tidak lagi dipandang tinggi lantaran tidak lagi bertindak sebagai penyampai ilmu berkaliber kerana terlalu fokus pada tugas lain.

Sumber : http://www.bharian.com.my/