Isnin, 4 Jun 2012

ISU GLOBAL : Menyingkap kesan empat dekad perang Arab-Israel



Oleh Abu Bakar Abdul Jalal

Kita dapat nilai siapa 'kuasa ghaib' di sebalik konflik di negara Arab

HARI ini genaplah 45 tahun Israel menduduki Tebing Barat, Bukit Golan dan Semenanjung Gaza. Tanggal 5 Jun 1967, perang ketiga Arab-Israel tercetus sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua yang digelar 'Perang 6 Hari'.

Ia dinamakan Perang 6 Hari kerana dalam tempoh enam hari saja, tentera Yahudi menawan Semenanjung Sinai, Tebing Barat, Bukit Golan dan Semenanjung Gaza.

Mesir, Jordan dan Syria terbabit secara langsung dalam peperangan itu. Negara Arab lain yang turut membantu dengan menghantar tentera darat ialah Arab Saudi, Libya, Iraq serta beberapa negara Islam berdekatan. Di luar rantau, Pakistan turut menyumbang juruterbang tentera udaranya bagi memandu jet pejuang Jordan.

Setiap konflik membabitkan Arab-Israel sememangnya rumit untuk dibincang dan boleh diperdebat dari pelbagai sudut iaitu agama, ekonomi, sejarah, ketenteraan mahupun hubungan antarabangsa. Sejarah hubungan Arab-Israel sangat panjang dan boleh disingkap sebelum Nabi Muhammad SAW diutuskan.

Umat Islam di seluruh dunia khususnya di luar dunia Arab sukar mendapat gambaran sebenar mengenai perang Arab-Israel kerana kebanyakan buku ditulis penyelidik dan wartawan Barat berdasarkan ‘kaca mata’ bukan Islam dan pro-Yahudi. Justeru, Israel sentiasa dilihat kuat dan negara Arab nampak lemah, tidak hebat dan mudah dikalahkan.

Mungkin ada buku dihasilkan mereka yang menjadi pegawai kerajaan atau tentera berkhidmat ketika Perang 6 Hari berlaku. Namun jika bahasa Arab tidak diterjemahkan, mana mungkin dunia dapat mengetahuinya.

Perang 6 Hari bermula apabila juruterbang Tentera Udara Israel yang mempunyai semangat patriotik tinggi melancarkan serangan udara mengejut ke Mesir dan Jordan pada pagi 5 Jun 1967. Operasi itu dinamakan ‘Operation Moked’ kemudian disusuli serangan darat dilengkapi kereta kebal dan meriam artileri. Ia sekali gus melumpuhkan kekuatan tentera udara Mesir dan Jordan.

Media Barat melaporkan, daripada 416 pesawat pelbagai jenis dimiliki Mesir, Jordan, Syria dan Iraq, 393 pesawat berjaya dimusnahkan tentera Israel. Sebelum perang meletus, Jordan hanya memiliki 24 jet pejuang untuk melindungi keseluruhan jajahannya termasuk Baitulmaqdis di Tebing Barat.

Israel menuduh Mesir di bawah pimpinan Gamal Abdul Nasser menjadi penyebab utama kepada perang berkenaan apabila menutup Selat Tiran di antara Teluk Aqaba dan Laut Merah. Gamal Nasser dikatakan menyemarakkan api kebencian terhadap Yahudi melalui siaran radio Mesir, Voice of the Arabs.

Apabila perang bermula, Israel menipu dunia dengan menyatakan tentera darat Mesir menyerang mereka dulu, sedangkan ketika itu 70,000 atau satu pertiga kekuatan tentera Mesir terbabit perang saudara di Yaman Utara. Apabila pangkalan udara mereka diserang 5 Jun 1967, Mesir menggerakkan 950 kereta kebalnya ke Semenanjung Sinai.

Dalam buku bertajuk Six Days: How the 1967 War Shaped the Middle East karya Jeremy Bowen dengan jelas menyatakan, Amerika Syarikat tahu dan merestui tindakan Israel memulakan Perang 6 Hari. Buku itu turut memetik kata-kata Moshe Dayan, Menteri Pertahanan Israel ‘bermata satu’ mengesahkan 80 peratus pertembungan dan pertempuran sempadan dengan Syria sebelum Perang 6 Hari adalah hasil tindak-tanduk provokasi Israel sendiri.

Israel jugalah yang sedikit demi sedikit mula mengambil Tebing Barat ketika masih di bawah penguasaan Jordan apabila menyerang pekan Samua (berhampiran Hebron) yang terletak di selatan Baitulmaqdis, 13 November 1966.

Resipi utama kejayaan Israel mudah, mengambil kesempatan di sebalik ketidaktentuan dan kekacauan politik dalaman negara Arab. Dalam tempoh 17 tahun sebelum 1967, Syria mengalami sembilan rampasan kuasa tentera mengorbankan banyak nyawa.

Agensi Perisikan Israel, Mossad, menempatkan beberapa ejen mereka di Syria, antaranya Eli Cohen. Ejen seperti Cohen bertugas melagakan pemerintah dengan rakyat, selain mendapatkan maklumat sulit kerajaan dan tentera Syria. Cohen akhirnya dibunuh pihak berkuasa Syria.

Tentera Yahudi juga bijak melatih dan melahirkan pengkhianat serta tali barut untuk kepentingan mereka. Ini dijelaskan dalam buku The Six Day War 1967: Jordan and Syria tulisan Simon Dunstan mendedahkan mengenai seorang juruterbang Tentera Udara Iraq, Munir Redfa berpaling tadah ke Israel pada 16 Ogos 1966.

Bersama-sama beliau ialah sebuah jet pejuang buatan Russia MIG-21 milik Iraq. Tidak diketahui sama ada beliau diugut atau diberi rasuah, namun yang pasti Israel dapat mengkaji dan memandu uji jet itu untuk menilai kekuatan Tentera Udara Mesir dan Syria yang memiliki banyak pesawat MIG-21.

Pada 12 Mei 1967, Israel mengeluarkan kenyataan akan menggunakan kuasa tentera menukar rejim pemerintah Syria yang didakwa menyokong kegiatan pengganas di sempadan kedua-dua negara. Apakah hak Israel menentukan pemerintah negara berdaulat seperti Syria ketika itu?

Selepas 45 tahun, mutakhir ini kita dapat menilai sendiri siapa menjadi ‘kuasa ghaib’ di sebalik konflik yang bakal memusnahkan Syria khasnya dan dunia Arab amnya.

Israel memiliki ramai pegawai tentera yang pernah berkhidmat dengan Tentera Britain ketika Perang Dunia Kedua di Eropah. Mereka mengetahui kelemahan tentera Arab berdasarkan pengalaman sebelum 1967, iaitu peperangan pada 1948 dan 1956.

Selain menggunakan strategi Barat dalam perisikan dan semboyan, tentera Yahudi mengaplikasikan ‘Lima Strategi Utama Memenangi Perang’ dipelopori Sun Tzu. Tiga daripada strategi utama itu ialah mengetahui masa sesuai untuk bertempur, memperlengkap pasukan sendiri serta menyerang musuh yang tidak bersedia dan strategi terakhir, mempunyai matlamat perang yang jelas dalam semua lapisan pasukan tanpa mengira pangkat.

Tentera Yahudi maklum Mesir tidak bersedia kerana terbabit dengan perang saudara di Yaman, manakala Syria masih dibelenggu masalah politik dalaman. Perbalahan sesama Arab jelas sekali menguntungkan Yahudi. Jordan pula bukanlah tandingan mereka, apatah lagi hampir semua kelengkapan tentera negara beraja itu datang dari sumber sama dengan Israel iaitu Amerika Syarikat dan Britain.

Perkara pokok yang menyatukan matlamat semua anggota tentera Israel ialah untuk mengambil semula kota suci Baitulmaqdis keseluruhannya. Mereka sedar tidak akan dapat menawan kota itu dengan cara lembut atau melalui meja rundingan. Perang, huru-hara dan keganasan adalah pilihan utama. Sesungguhnya Perang 6 Hari mencorakkan politik Arab-Israel bertahun-tahun lamanya. Sejak itu bermulalah episod sedih penindasan dan pelarian di bumi sendiri oleh penduduk Palestin.

Satu ketika dulu, ancaman dizahirkan dalam bentuk jet pejuang, kereta kebal dan tentera infantri lengkap bersenjata. Kebelakangan ini, apa yang perlu untuk mencetuskan kacau bilau sesebuah negara hanyalah internet, pentas ceramah dan akhbar politik. Emosi pembaca dan pendengar menjadi bahan mainan pihak yang kemaruk untuk memerintah. Selepas Kerajaan Mesir tumbang oleh demonstrasi jalanan, giliran Syria bakal dihancurkan tangan-tangan ‘rakyat’ sendiri.

Istilah ‘rakyat’ sesuai dijaja di negara tertentu dan bukanlah seperti sepasang kasut yang boleh memuatkan semua saiz kaki. Republik ‘Rakyat’ China masih diperintah oleh hanya satu parti saja yang bertunjangkan fahaman komunis, manakala di seberang tambak, pemimpin Parti Tindakan ‘Rakyat’ akan mengheret ke mahkamah ‘rakyat’ yang mengkritik mereka.

Sehingga hari ini, negara kota singa yang ‘bersih’ daripada sampah dan sebarang perhimpunan haram itu belum memansuhkan undang-undang ‘tidak berperi kemanusiaan’, ISA.

Adakah ‘rakyat’ kedua-dua negara itu dijamin kebebasan bersuara serta berdemonstrasi sehingga boleh memekik di tempat awam dengan berkata ‘kerajaan negara itu tidak telus dan tidak adil’? Sesuaikah pelarian Syria yang berharta hidup selesa sebagai seorang Islam di kedua-dua negara ‘rakyat’ berkenaan?

Penulis ialah lulusan Sarjana Sains Sosial (Analisis Strategi & Keselamatan) UKM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Hikayat Tiga Negara


PENCERAMAH seminar karya agung sastera China Hikayat Tiga Negara dianggotai Dr Awang Sariyan (kiri) dan Boon Chan (kanan) dan dipengerusikan oleh Datuk Termuzi Abd Aziz.

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Novel klasik kesusasteraan China setara dengan karya agung Melayu

HIKAYAT Tiga Negara (HTN) atau San Guo Yan Yi karya Luo Guanzhong ditulis pada abad ke-14 adalah novel sejarah yang bukan calang-calang, mengangkat latar zaman pergolakan pada akhir zaman Dinasti Han, membabitkan tiga negara, Wei, Shu dan Wu, bermula pada 169 Sebelum Masihi (SM) dan berakhir dengan penyatuan tiga kuasa pada 280 SM.

Novel terbabit adalah satu daripada empat novel klasik kesusasteraan China yang dianggap mempunyai pengaruh tersendiri dalam dunia kesusasteraan Asia Timur sehingga dipilih untuk diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Terjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) dan Pusat Kebudayaan Han Malaysia.

Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, menyifatkan usaha penterjemahan itu mengukuhkan lagi persahabatan Malaysia - China berdasarkan hubungan tamadun Melayu dan China yang sangat signifikan dan berlangsung sejak sekian lama.

“Umat Melayu muncul lama dalam rekod empayar China sejak SM lagi. Malah, Dinasti Tang misalnya mengutus I Ching tinggal di Sriwijaya selama enam bulan. Zaman itu sudah wujud minat kerajaan China terhadap dunia Melayu yang didominasi ketika itu antaranya oleh Melaka dan Sumatera.

“Abad ke-15, mereka sudah mengkaji bahasa Melayu kerana kepentingannya sebagai bahasa ekonomi di Asia Tenggara, malahan muncul kamus pertama bahasa China ke bahasa Melayu dengan 480 patah perkataan merangkumi 17 ranah kehidupan disusun oleh I Ching pada abad ke-16.

“Hubungan moden Malaysia dan China bermula pada 1946 sementara pada 1949, Universiti Peking adalah universiti pertama di China menubuhkan Pusat Pengajian Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia,” katanya ketika membincangkan Tamadun Melayu dan Tamadun China Berwaca: Perkongsian Nilai dan Rasa Melayu Melalui Hikayat Tiga Negara pada Seminar Hikayat Tiga Negara, baru-baru ini.

Dr Awang berkata, China yang dianggap sebagai antara tamadun besar dunia turut merekodkan sejarahnya dalam konteks sastera dengan sastera sejarah sebenarnya mewakili sistem sosiobudaya, politik, ekonomi, sistem kepercayaan sistem nilai dan seluruh etos bangsa serta ketamadunan.

“Sastera sejarah selalu dikaitkan dengan ketamadunan dan kemajuan sesebuah bangsa. Khazanah kesusasteraan Alam Melayu umpamanya merakam jatuh bangun sesebuah empayar. Justeru, setiap naskhah sastera ada nilai positif dan karya agung tamadun bangsa itu perlu dihayati, dijadikan iktibar dan diambil episod sejarahnya,” katanya.

Dr Awang memberi contoh dalam kesusasteraan Melayu, Tuhfat al-Nafis, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Merong Mahawangsa adalah antara naskhah sastera sejarah, selain Sejarah Melayu serta Hikayat Hang Tuah turut diiktiraf sebagai warisan persuratan dunia oleh UNESCO.

Penterjemah HTN, Yuen Boon Chan, pula menyifatkan HTN bukan saja membicarakan persoalan sejarah tragedi bangsa China, tetapi juga peristiwa penyebab kepada terjadinya kekacauan di negara itu.

“Disisipkan juga bagaimana penyatuan bangsa Han, harapan petani untuk mencapai kehidupan aman, pemikiran aliran utama, konsep ketaatan dan keadilan, bakat intelek pada zaman feudal China, raja yang bijaksana dan perdana menteri yang pintar.

“Pemaparan plot yang pada satu sisi memerikan sengketa dan peperangan ditunjukkan pula nilai murni yang sewajarnya digunakan untuk mengatasi sifat jelek yang ada pada manusia di pelbagai peringkat,” katanya ketika merincikan Hikayat Tiga Negara dan Pengaruhnya.

Menurutnya, dalam kalangan orang China di Malaysia kisah dalam HTN tidak langsung asing kepada mereka kerana HTN bukan hanya sebuah teks agung, sebaliknya kehebatannya menyebabkan diadaptasi dalam komik, buku cerita bersiri, malahan drama mahupun filem.

“Kisah kejahatan dan kepintaran watak dalam HTN sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka dan dijadikan panduan bagaimana sebuah empayar yang besar lagi hebat boleh jatuh, selain kemudiannya bersatu atas tujuan yang sama.

“Kajian perbandingan dengan teks sastera sejarah Alam Melayu seperti Salatus al-Salatin, Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa dan Tuhfat al-Nafis, nescaya mendatangkan manfaat atas dasar perkongsian nilai sejagat seperti kebenaran, keadilan, perikemanusiaan dan setiakawan yang membentuk keutuhan sebuah bangsa,” tegasnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Kadar Bunuh Diri Semakin Meningkat Di Malaysia



Oleh : JOSEPH SIPALAN

PUTRAJAYA : Kadar kematian akibat bunuh diri semakin meningkat di Malaysia, dengan lebih daripada 1,000 orang mati dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata nisbah bunuh diri daripada 2007 hingga 2010 adalah 1.3 bagi setiap 100,000 orang.

"Ini adalah berdasarkan angka yang kami peroleh daripada bedah siasat. Kami fikir kes bunuh diri kurang dilaporkan. Kami rasa terdapat kes yang tidak dilaporkan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental di sini.

Daripada 1156 orang yang membunuh diri dalam tempoh tiga tahun, majoriti berusia antara 24 dan 44.

Liow berkata angka itu adalah membimbangkan kerana mangsa terdiri daripada kalangan kumpulan umur produktif.

"Statistik kebangsaan juga menunjukkan bahawa lelaki melebihi bilangan kaum wanita 3-1, manakala orang Cina pula mempunyai bilangan tertinggi bunuh diri pada 48%, diikuti oleh India (21%), Melayu (18%) dan kaum-kaum lain (13%)," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar bunuh diri di negara ini adalah jauh lebih rendah berbanding purata global iaitu 16 bagi setiap 100,000 orang.

Sumber : http : //mstar.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Aliran Sains Atau Sastera?



Kedua-dua aliran bersifat subjektif

Oleh Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my

ENTAH mengapa aliran sains dan sastera sering kali dijadikan perbandingan masyarakat hingga timbul ‘konfrantasi’ tidak munasabah.

Ada melabelkan sains sebagai aliran elegan dan berprestij sementara sastera lebih menyuntik nilai kemanusiaan serta estetika. Walaupun sering dilanda kritikan dan konflik, sesiapa pun tidak boleh menafikan kepentingan dua aliran berkenaan dalam menjana pembangunan proses pendidikan serta pembangunan negara menerusi cara masing masing.

Persoalannya, mengapa masih ada pihak yang tidak faham?

Pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Abdul Halim Ali berkata, sama ada sains atau sastera, kepentingan utama perlu didahulukan iaitu melahirkan pelajar yang boleh menjadi aset berguna negara.

Menurutnya, kedua-dua aliran itu bersifat subjektif dan hanya asas mengukur kemampuan pencapaian akademik pelajar.

“Justeru, tidak perlulah ia digembar-gemburkan secara keterlaluan hingga ‘melukakan’ hati sesetengah pihak.

Kedua-duanya hanya aliran yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa.

“Sama ada sains atau sastera, yang perlu ditekankan ialah bagaimana mahu melahirkan pelajar seperti dikehendaki Falsafah Pendidikan Negara.

“Pertikaian atau diskriminasi itu hanya menjadikan pelajar mahupun dunia pendidikan negara berkecamuk, sekali gus boleh menggagalkan usaha dilakukan,” katanya.

Isu berat sebelah aliran sains dan sastera yang disensasikan berupaya mewujudkan senario ‘diskriminasi’ kurang sihat antara satu sama lain.

Tanggapan bahawa aliran diikuti adalah yang terbaik secara dalamannya menjadikan proses pendidikan negara berlangsung dalam suasana tidak harmoni.

“Padahal pendidikan bertujuan melahirkan insan berhemah dan berkualiti dengan ilmu serta proses pendidikan diikuti.

“Bukannya melahirkan kelompok yang membuat perbandingan berdasarkan status aliran. Ini bercanggah dan lari daripada konsep penerapan ilmu disasarkan,” katanya.

Beliau tidak menolak kepentingan sains dalam dunia aliran moden, namun mengakui sastera juga mempunyai fungsi tersendiri serta penting dalam menjana kemajuan.

Menurutnya, jika semuanya berpaksikan sains dan teknikal semata-mata, nilai kemanusiaan pasti hilang, sekali gus melahirkan ‘manusia - mesin’.

“Biarpun konsep sains dan sastera berbeza, namun kedua-duanya penting untuk melahirkan insan dengan aplikasi ilmu yang mampu dimanfaatkan bersama.

“Sains dan sastera lahiriahnya tidak boleh dipisahkan biarpun globalisasi dunia menjadi agenda utama. Gabungan kedua-duanya berperanan melahirkan kemajuan.

“Tidak adil apabila salah satu pihak mendabik dada mengatakan dialah yang terbaik. Ditekankan, dalam proses menuntut ilmu, semuanya baik asalkan tidak melanggar batasan,” katanya mengakui gabungan sains dan sastera mampu melahirkan pelajar yang bukan saja sensitif juga praktikal.

“Sensitif dengan nilai kemanusiaan dan emosi sementara praktikal dalam menjana proses kehidupan yang berteraskan material.

“Dunia moden hari ini memerlukan gabungan semua aspek, justeru tidak perlu menjadikan sains atau sastera sebagai penanda aras tertentu.

“Pelajar berjaya adalah mereka yang bijak mengaplikasikan pelbagai nilai dalam kehidupan dan tahu mewujudkan peluang,” katanya.

Beliau juga menolak tanggapan pelajar aliran sastera kurang bijak.

Mengambil contoh ilmuwan terkenal seperti Albert Einstein, dia berkata, di samping menjadi ahli sains, mereka juga tidak mengetepikan kepentingan sastera.
“Mereka adalah golongan bijak sains, namun tetap mahu memartabatkan sastera.
Mengapa?

“Sebab tahu nilai ilmu diperoleh tinggi dan tidak terbatas. Malah gabungan kedua-duanya memudahkan mereka meletakkan diri dalam pelbagai situasi.

“Tidakkah ini membuktikan kedua-duanya sama penting? Ilmu biar apapun kondisinya, jika mampu memberi manfaat tetap berguna,” katanya yang meminta semua pihak memberi sokongan kepada pelajar biar apa pun alirannya.

“Paling penting, mereka berjaya merentas dunia pendidikan dengan baik dan menjadi insan berguna dan berilmu,” katanya.

Ketua Jabatan Biologi UPSI, Dr Hasimah Alimon berkata, perubahan pesat dunia dan teknologi moden hari ini menjadikan sains satu keperluan asas paling utama.

Beliau juga tidak menidakkan keperluan sastera, namun sangat berharap supaya kapasiti pelajar sains sentiasa dipertingkatkan.

“Keperluan zaman sentiasa berubah dengan sains dan teknikal mendominasi carta permintaan dunia hari ini.

“Disebabkan permintaan itu, semua pihak tiada pilihan selain menyahut cabaran disediakan supaya kita mampu berdiri sama tinggi dengan yang lain.

“Benar, sastera juga ada kepentingannya, namun kerana senario yang menguasai keadaan, pilihan utama perlu didahulukan,” katanya.

Walaupun dianggap berprestij dan penting, aliran itu bagaimanapun masih belum mampu menarik minat sebahagian besar pelajar memilihnya.

Subjek sukar, akuinya, adalah faktor mengapa ia kurang menjadi pilihan biarpun prospek ditawarkan cukup cerah.

“Jika sastera ada cabarannya, sains juga begitu kerana aliran ini ‘bergelut’ untuk menarik perhatian pelajar. Taraf prestij tidak menjanjikan ia menjadi pilihan.

“Justeru, saya bersetuju biar apa pun pilihan aliran, masing-masing ada kepentingannya kepada penjanaan proses pendidikan negara,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

FENOMENA KEAJAIBAN ALAM CIPTAAN YANG ESA




Gerhana bulan separa dapat dilihat bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam di Pulau Mabul di Semporna, Sabah, malam Isnin. Rakyat Malaysia dapat menyaksikan dua fenomena falak iaitu gerhana bulan separa pada Isnin (4 Jun 2012) bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam, sementara Transit planet Zuhrah melintasi matahari  berlaku pada pagi Rabu (6 Jun 2012) bermula 6.27 pagi dan berakhir pada jam 12.49 tengah hari. Fenomena itu boleh dilihat bermula dari terbit matahari hingga tengah hari, dan keseluruhan proses transit ini hanya boleh dilihat di pantai timur Sabah terutama di Sandakan.

ISU BAHASA : Menyelami bahasa mangsa tsunami

Oleh AHMAD ZAKKI JILAN
(Yang mengikuti Program Pertukaran Pelajar & Belia Jepun-Asia Timur (Jenesys) di Tokyo, Jepun)

Timbunan sampah-sarap yang dihanyutkan oleh ombak tsunami belum dibersihkan selepas lebih setahun bencana berlaku.

KESENGSARAAN ratusan ribu warga Jepun yang terjejas kerana bencana berganda sudah lebih setahun berlalu. Dalam tempoh itu, ada yang masih ingat bencana yang melanda. Tetapi tidak kurang, ingatan terhadap Jepun yang ranap digegar gempa dan musnah dilambung tsunami semakin pudar seiring dengan masa yang berlalu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa lupanya masyarakat antarabangsa terhadap mangsa tsunami dan gempa Jepun bermakna meminggirkan mereka. Keadaan itu menjadikan mereka lebih tertekan, apalagi memikirkan tiada bantuan susulan diterima mereka.

Bertitik-tolak daripada kesedaran bahawa mangsa tsunami dan gempa ini perlu sokongan yang berterusan, 40 ahli Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS) terbang ke Tokyo untuk mendengar dan memahami masalah mereka. Uniknya, mereka ada kekuatan dan kemahiran berbahasa Jepun, lalu komunikasi untuk menyelami masalah sebenar mangsa tsunami dan gempa ini menjadi lebih mudah.

Ternyata mereka ada masalah sendiri dan mahukan masyarakat luar memahami bahawa mereka sememangnya perlukan bantuan. Bantuan yang dimahukan itu, bukan wang ringgit, tetapi dengar dan faham gelora hati mereka. Antaranya, ada yang merintih tiada pekerjaan dan tiada tempat tinggal yang bersesuaian.

Semua masalah itu cuba diatasi oleh ahli ALEPS. Mereka melakukan kerja-kerja sukarela dengan membersihkan tanah yang ditumbuhi rumput serta lalang untuk membolehkan mangsa tsunami di daerah Iwate, Jepun menanam labu dan sayuran lain demi mendapatkan wang.

Daerah Tono hanya terjejas sedikit akibat gempa pada 11 Mac 2011. Tetapi daerah lain di Iwate termasuk Rikuzentakata, Ofunato, Otsuchi dan Kamaishi menjadi padang jarak padang tekukur dibadai ombak tsunami. Lebih 10,000 maut kerana tsunami di empat daerah itu manakala kediaman dan sekolah yang musnah pula puluhan ribu buah.

Presiden ALEPS, Syed Putera Syed Mokhtar berkata, hanya dengan cara membuat kerja-kerja sukarela, alumni yang pernah menimba ilmu di Jepun dapat membantu mangsa tsunami dan gempa di negara berkenaan.

"Kita mungkin tiada wang yang banyak untuk diberikan kepada mereka, tetapi kerja-kerja sukarela inilah yang membantu mereka mendapatkan wang meneruskan kehidupan sambil melupakan trauma yang menimpa mereka,'' kata beliau.

Bagi ahli ALEPS pula, mereka menyifatkan kerja sukarela hanya satu sumbangan kecil berbanding apa yang mereka dapat selama belajar di Jepun.

"Jepun memberi terlalu banyak semasa saya belajar di sini sebelum ini. Tetapi, saya rasakan saya sendiri memberi terlalu sedikit sebagai balasan. Dengan cara memahami masalah mereka saya membalas jasa itu,'' kata Fauziah Ahmad, 45.

Begitu juga seorang lagi sukarelawan ahli ALEPS, Shazali Ahmad, 35, yang berharap apa yang disumbangkannya dapat diterima baik mangsa tsunami dan gempa Jepun.

"Apa yang saya harapkan hanyalah mereka memahami bahasa pertolongan yang diberikan kami ahli ALEPS ini, semoga trauma mereka dapat dikurangkan,'' katanya lagi.

Ternyata bantuan yang diberikan ALEPS itu mendapat perhatian Jepun. Menurut Penyelaras Program Jenesys, Hiroko Araki: "Mereka ialah kumpulan yang sukar didekati, mungkin tidak mahu orang luar disusahkan. Tetapi jika faham masalah sebenar mereka, kumpulan ini lebih daripada mengalu-alukan bantuan."

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Cabaran universiti hebat


Coretan Marhaen

TAHNIAH diucapkan kepada Universiti Malaya (UM) kerana berjaya mengekalkan statusnya sebagai universiti utama di Malaysia, empat tahun berturut-turut!

Sebagai bekas penuntut universiti tertua di tanah air itu, penulis turut berbangga dengan pencapaian UM menduduki tangga ke-35 keseluruhan di Asia bagi 2012 mengikut ranking yang didedahkan hasil kaji selidik QS ke atas lebih 500 universiti.

Nampaknya UM terus mendominasi kedudukan sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) paling top di Malaysia.

Kalau di Amerika Syarikat atau United Kingdom, status UM ini boleh dikatakan setaraf dengan universiti Ivy League seperti Universiti Harvard, Princeton dan Yale, yang cukup terkenal dengan kehebatan akademik, syarat kemasukan yang cukup ketat dan sifat elitisnya.

Bukan lagi rahsia, ramai penuntut dan ahli akademik memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke universiti tersebut kerana mahukan reputasi yang dibawa dalam resume masing-masing sebagai alumninya.

Sekarang ini pun, UM cukup popular dalam kalangan pelajar asing apabila menduduki tempat keempat dalam program pertukaran pelajar universiti di Asia.

Dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi terutamanya mencapai kedudukan ke-35 terbaik di Asia, misi UM untuk menempatkan universiti itu antara 100 terbaik di dunia pada 2015, bukan sesuatu yang mustahil.

Namun sebagai universiti terbaik di Malaysia dan antara terbaik di Asia, UM yang terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (KL) - mungkin tidak seperti yang dibayangkan selayaknya sebuah kampus induk universiti bertaraf dunia.

Janganlah cuba-cuba hendak mencari Dataran UM atau UM Square seperti yang terdapat di Harvard.

Lokasinya yang cukup hampir dengan pusat bandar, mengehadkan saiz kampus ini.

Tambahan bangunan baru pentadbiran, fakulti dan kolej kediaman - kini hingga ke-12 - menyesakkan lagi kampus yang sudah cukup padat itu.

Walaupun ada dua pintu masuk dan keluar iaitu dari pintu KL dan Petaling Jaya (PJ) - laluannya tetap sama iaitu jalan dua lorong sehala mengelilingi tasik UM untuk ke destinasi dalam kawasan kampus - walaupun jalan keluar sudah ditambah melalui pintu Damansara.

Remeh

Isu ini mungkin remeh. Lebih-lebih lagi bagi pentadbir UM yang sedang menumpukan usaha mengejar ranking dunia. Apa sangatlah isu jalan dan saiz kampus hendak dibincangkan.

Namun bagi penulis, universiti terbaik sepatutnya hebat serba-serbi.

Pengalaman terperangkap dua jam dalam kesesakan dari pintu masuk PJ menghala ke pintu keluar Damansara yang tidak sampai pun berapa kilometer pada Ahad minggu lepas, sungguh mengecewakan.

Difahamkan pada hari itu seramai 2,000 pelajar baru Asasi Sains UM mendaftar masuk dan ditempatkan di Kolej Kediaman Ke-12, yang kebetulan terletak di laluan menghala ke Damansara.

Bayangkan jika setiap pelajar dihantar oleh ahli keluarga masing-masing dengan sebuah kereta, ini bermakna sebanyak 2,000 kenderaan masuk ke kampus pada hari itu.

Namun maklum sahajalah budaya rakyat Malaysia, kegembiraan menghantar anak masuk universiti selalunya dikongsi dengan saudara-mara, jadi mungkin ada yang pergi dua tiga kereta.

Bagi yang datang dari luar KL seperti Kelantan, Terengganu, negeri di Utara dan Johor misalnya, inilah masanya untuk berjalan-jalan di kota raya.

Jadi pihak pentadbir universiti sepatutnya sudah boleh mengagak kesesakan yang akan berlaku dengan kehadiran serentak mereka dalam sela masa terhad yang ditetapkan. Sayangnya perkara remeh ini nampaknya tidak termasuk dalam pertimbangan dan perhatian.

Difahamkan pada hari yang sama, terdapat tiga acara lain berlangsung di tempat yang berdekatan antaranya temasya sukan untuk anak yatim dan pertunjukan makyung.

Bayangkan sahaja jumlah kenderaan yang memasuki kawasan kampus UM yang tidak sebesar mana itu, belum dikira kereta pensyarah, penuntut dan staf sedia ada.

Tidak mustahil ada yang terpaksa mengikat perut kelaparan, terlepas solat atau pitam kerana tersangkut tidak dapat bergerak ke mana gara-gara kesesakan teruk itu.

Memandangkan UM sudah pun memperoleh kuasa autonomi mulai tahun ini, sudah tiba masanya ia merancang memperbesarkan keluasan kampusnya, mungkin dengan mencari tapak sesuai di tempat lain. Bukan berpindah tetapi menambah kampus cawangan.

Mengambil contoh Universiti Harvard sendiri mempunyai tiga kampus. Kampus induk seluas 85 hektar di Harvard Yard, Cambridge, Kampus Perubatan di Longwood Medical Area manakala Kampus Allston menempatkan Fakulti Perniagaan dan kemudahan sukan termasuk stadium.

Sementara menunggu UM mempunyai kampus baru, sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan sistem penyuraian trafik di dalam kampus dan penyusunan jadual acara universiti diurus sebaik-baiknya.

Jika tidak pun menaikkan ranking akademik, sistem trafik yang teratur dan lancar terutama ketika UM dikunjungi pelawat, sudah pasti meletakkan imej universiti itu di tempat yang tinggi di mata orang luar.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan di Malaysia lebih baik


Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

Minggu lalu, hampir 100,000 ribu penduduk Sepanyol terdiri daripada pendidik, pelajar pelbagai peringkat dan ibu bapa mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di kota Madrid, Barcelona dan beberapa bandar utama di negara itu bagi membantah tindakan kerajaan memotong dana pendidikan sebagai usaha menyelamatkan negara itu yang dilanda krisis hutang yang turut membelenggu negara-negara Eropah lain.

Kerajaan pusat didakwa mengarahkan sebanyak tiga bilion euro (RM12 bilion) dipotong daripada peruntukan pendidikan pada tahun ini, sebahagian program bagi mengurangkan defisit awam kepada paras yang dipersetujui Kesatuan Eropah (EU), iaitu sebanyak 5.3 peratus daripada produk domestik kasar berbanding 8.9 peratus pada tahun lalu.

Pemotongan itu turut melibatkan langkah menaikkan yuran pengajian di universiti awam sehingga 1,500 euro (RM6,000) daripada 1,000 euro (RM4,000) sebelum ini.

Ekonomi Sepanyol, sekali lagi berdepan ketidakstabilan dan tidak berkembang selama empat tahun sejak 2009, sehingga menyebabkan kadar pengangguran meningkat melebihi 24 peratus, angka tertinggi bagi negara-negara EU.

Tunjuk perasaan tersebut disertai mereka yang terlibat dalam pendidikan awam pelbagai peringkat, daripada prasekolah hingga ke universiti. Guru-guru juga tidak terkecuali.

Menurut kesatuan yang mewakili pendidik, sebanyak 80 peratus guru terlibat dalam perarakan tersebut, namun kementerian berkenaan menafikannya dengan mendakwa hanya 20 peratus yang terlibat.

Seorang guru, Pilar Molto dari Sekolah Tinggi La Paloma, Madrid yang sudah mengajar hampir 34 tahun berkata, tahun ini pihak sekolah kekurangan sebanyak 30 guru kerana kementerian bertindak menggugurkan beberapa kursus dan mengurangkan guru.

Orang ramai mendakwa kerajaan memperuntukkan berbilion euro untuk menyelamatkan syarikat perbankan yang berdepan masalah, sebaliknya memotong peruntukan untuk sektor pendidikan dan perubatan.

Negara tersebut yang memperuntukkan pelaburan besar dalam projek infrastruktur ketika lewat 1990-an hingga 2008, juga dijangka meningkatkan bayaran yuran bagi universiti awam untuk memenuhi sasaran bajet yang ditetapkan.

Guru-guru di negara itu telah mengadakan tunjuk perasaan beberapa kali sejak kebelakangan ini bagi membantah langkah seperti meningkatkan waktu pengajaran dalam seminggu dan memotong waktu persediaan kelas, yang mana dakwa mereka boleh memberi kesan kepada kualiti pendidikan menengah.

Menurut Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi, kelulusan sekolah tinggi di Sepanyol adalah sekitar 74 peratus, berbanding 85 peratus secara purata di kebanyakan negara EU.

Ramai melihat tindakan kerajaan Sepanyol itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana sanggup mengorbankan bidang yang sepatutnya diberi keutamaan, semata-mata bagi menyelamatkan perkara sampingan.

Jika di Sepanyol, kerajaan negara itu bertindak memotong peruntukan untuk bidang pendidikan, di negara kita Malaysia keadaan sebaliknya pula berlaku, apabila kerajaan bertindak terus memberi keutamaan kepada bidang pendidikan dengan menyediakan peruntukan yang besar.

Pada sesi baru persekolahan 2012, menyaksikan kerajaan bertindak memansuhkan yuran pengajian di peringkat sekolah rendah dan menengah yang membabitkan peruntukan bernilai RM150 juta.

Peruntukan sebanyak RM50.2 bilion dalam bajet tahun ini pula diagih-agihkan kepada sektor-sektor dalam pendidikan sebagai usaha memastikan rakyat terus mendapat asas pendidikan yang baik bagi menentukan kejayaan negara pada masa depan.

Sektor pengajian tinggi terus diberi keutamaan dengan menyediakan peruntukan yang besar bagi membina universiti-universiti awam tambahan dan pusat-pusat pengajian tinggi lain dan pusat-pusat latihan dengan menyediakan yuran yang munasabah, agar ia tidak membebankan pelajar.

Selain itu, kemudahan biasiswa yang ditawarkan kerajaan, agensi kerajaan mahu pun syarikat korporat merupakan satu peluang yang seharusnya digunakan sebaik-baik mungkin oleh pelajar dalam mengejar cita-cita mereka.

Bagi pelajar yang gagal memperoleh biasiswa bagi menampung yuran pengajian sama ada di universiti awam mahu pun swasta, kerajaan menyediakan pula kemudahan pinjaman di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membolehkan pelajar meneruskan impian mereka untuk melanjutkan pelajaran.

Walaupun mendapat kritikan banyak pihak terutama daripada segi caj pentadbiran yang dikenakan, namun PTPTN dilihat telah banyak membantu pelajar, terutama menyediakan wang pendahuluan, yang dikenali sebagai Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Bagi mereka yang tercicir tidak dapat memasuki institusi pengajian tinggi pula, sebanyak RM200 juta diperuntukkan kerajaan, khusus untuk menyediakan latihan kemahiran.

Berdasarkan bajet dan kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan, tidak ada sebab bagi rakyat negara ini ketinggalan untuk mendapatkan pendidikan terbaik dari peringkat prasekolah sehingga pengajian tinggi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS & TEKNOLOGI : Ambil perhatian pengguna Internet!



OLEH : SYAHREDZAN JOHAN

Baru-baru ini, warga Internet di Malaysia ‘memberontak’ akibat pindaan atas Akta Keterangan 1950. Pindaan ini diluluskan Dewan Rakyat pada April dan Dewan Negara pada awal Mei lalu, tetapi belum berkuatkuasakan lagi. Warga  Internet marah kerana pada mereka pindaan ini adalah suatu serangan atas kebebasan mereka di ruang siber.

Di sini terdapat sedikit kekeliruan mengenai apa sebenarnya yang diperkenalkan pindaan ini. Harus diingat, ia tidak mewujudkan apa-apa kesalahan baru. Pindaan itu adalah meminda peraturan keterangan dan pembuktian (rules of evidence).

Akta Keterangan memperuntukkan peraturan dalam memberi keterangan dan juga pembuktian ketika perbicaraan, tidak kira sivil ataupun jenayah. Secara umumnya, pihak yang mengatakan kewujudan sesuatu fakta itu harus  membuktikan fakta yang dikatakan wujud.

Namun, terdapat beberapa tanggapan atau dalam BI, presumptions yang boleh diguna pakai. Tanggapan dalam keterangan adalah peraturan undang-undang yang mana pembuktian sesuatu fakta (dikenali sebagai fakta asas), fakta  berkait dianggap telah dibuktikan. Contohnya, Mahkamah boleh menganggap keesahan sesuatu Warta Kerajaan. Ataupun menganggap sesuatu tindakan kehakiman (judicial act) adalah teratur dan tidak perlu dibuktikan bahawa  tindakan tersebut sememangnya mengikut prosedur.

Peruntukan tanggapan boleh disangkal dengan bukti sebaliknya. Pindaan yang dibuat mewujudkan tiga peruntukan tanggapan baru.

Pertama, dalam sebuah penyiaran, jika ada tertera nama atau gambar yang menggambarkan seseorang itu sebagai pemilik, hos, pentadbir atau penyunting penyiaran tersebut, maka orang itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran tersebut.

Kedua, jika  terdapat  penyiaran yang dibuat daripada sesuatu perkhidmatan  rangkaian Internet, orang yang melanggan perkhidmatan itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran.

Ketiga, jika terdapat penyiaran yang dibuat daripada sesuatu  komputer yang dimiliki atau dijaga oleh seseorang, orang itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran.

Contohnya, jika terdapat sesuatu posting di laman Facebook yang dikatakan menghasut dan ianya dibuat atas nama   seseorang itu, ataupun menggunakan rangkaian yang dilanggan olehnya ataupun menggunakan komputernya, maka orang itu dianggap sebagai pembuat posting tersebut.

Orang yang dituduh itu boleh menyangkal tanggapan itu, tetapi kini beban pembuktian bertukar  kepada yang dituduh untuk membuktikan sebaliknya. Walaupun pindaan ini akan berkuat kuasa ke atas perbicaraan sivil dan jenayah, mengikut hansard persidangan di Dewan Rakyat, tujuan utama ia diperkenalkan adalah untuk mempermudah pendakwaan di dalam kes jenayah. Menurut hansard, ia untuk meringankan beban pembuktian pihak pendakwaan oleh kerana ia kesukaran dalam pembuktian  untuk kes melibatkan  Internet.

Ini bukan sesuatu alasan yang boleh kita terima. Menggunakan metafora perlawanan bola sepak, pindaan ini menukar peraturan kerana satu pasukan sukar menjaringkan gol. Pindaan ini akan lebih membawa keburukan  daripada kebaikan. Ambil contoh mudah; katakan anda lupa logout akaun Twitter yang anda guna di komputer pejabat. Kemudiannya, orang lain menggunakan akaun anda untuk berkicau sesuatu  yang berunsur fitnah.

Bolehkah anda  kemukakan bukti bahawa pada ketika itu, anda tidak menggunakan internet dan tidak mungkin membuat kicauan tersebut? Bolehkah anda ingat dengan terperinci bila anda  menggunakan Internet untuk menyangkal tanggapan itu?  Sukar sekali. Pihak pendakwaan mempunyai kekuatan jentera  kerja untuk membantu mereka.

Siasatan boleh dijalankan sehinggakan butiran terperinci mana-mana pengguna Internet. Tertuduh pula hanya mempunyai  undang-undang  keterangan dan pembuktian, yang diperincikan melalui tradisi undang-undang  sekian lama bagi melindungi haknya untuk dibicarakan dengan adil. Malangnya, pindaan ini akan melucutkan perlindungan ini atas alasan  kesukaran mendakwa.

Penulis ialah seorang peguam muda mengamalkan undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/