PENCERAMAH seminar karya agung sastera China Hikayat Tiga
Negara dianggotai Dr Awang Sariyan (kiri) dan Boon Chan (kanan) dan
dipengerusikan oleh Datuk Termuzi Abd Aziz.
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Novel klasik
kesusasteraan China setara dengan karya agung Melayu
HIKAYAT Tiga
Negara (HTN) atau San Guo Yan Yi karya Luo Guanzhong ditulis pada abad ke-14
adalah novel sejarah yang bukan calang-calang, mengangkat latar zaman
pergolakan pada akhir zaman Dinasti Han, membabitkan tiga negara, Wei, Shu dan
Wu, bermula pada 169 Sebelum Masihi (SM) dan berakhir dengan penyatuan tiga
kuasa pada 280 SM.
Novel terbabit
adalah satu daripada empat novel klasik kesusasteraan China yang dianggap
mempunyai pengaruh tersendiri dalam dunia kesusasteraan Asia Timur sehingga
dipilih untuk diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan
Terjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) dan Pusat Kebudayaan Han
Malaysia.
Ketua Pengarah
DBP, Dr Awang Sariyan, menyifatkan usaha penterjemahan itu mengukuhkan lagi
persahabatan Malaysia - China berdasarkan hubungan tamadun Melayu dan China
yang sangat signifikan dan berlangsung sejak sekian lama.
“Umat Melayu
muncul lama dalam rekod empayar China sejak SM lagi. Malah, Dinasti Tang
misalnya mengutus I Ching tinggal di Sriwijaya selama enam bulan. Zaman itu
sudah wujud minat kerajaan China terhadap dunia Melayu yang didominasi ketika
itu antaranya oleh Melaka dan Sumatera.
“Abad ke-15,
mereka sudah mengkaji bahasa Melayu kerana kepentingannya sebagai bahasa
ekonomi di Asia Tenggara, malahan muncul kamus pertama bahasa China ke bahasa
Melayu dengan 480 patah perkataan merangkumi 17 ranah kehidupan disusun oleh I
Ching pada abad ke-16.
“Hubungan moden Malaysia
dan China bermula pada 1946 sementara pada 1949, Universiti Peking adalah
universiti pertama di China menubuhkan Pusat Pengajian Bahasa Melayu dan bahasa
Indonesia,” katanya ketika membincangkan Tamadun Melayu dan Tamadun China
Berwaca: Perkongsian Nilai dan Rasa Melayu Melalui Hikayat Tiga Negara pada
Seminar Hikayat Tiga Negara, baru-baru ini.
Dr Awang berkata,
China yang dianggap sebagai antara tamadun besar dunia turut merekodkan
sejarahnya dalam konteks sastera dengan sastera sejarah sebenarnya mewakili
sistem sosiobudaya, politik, ekonomi, sistem kepercayaan sistem nilai dan
seluruh etos bangsa serta ketamadunan.
“Sastera sejarah
selalu dikaitkan dengan ketamadunan dan kemajuan sesebuah bangsa. Khazanah
kesusasteraan Alam Melayu umpamanya merakam jatuh bangun sesebuah empayar.
Justeru, setiap naskhah sastera ada nilai positif dan karya agung tamadun
bangsa itu perlu dihayati, dijadikan iktibar dan diambil episod sejarahnya,”
katanya.
Dr Awang memberi
contoh dalam kesusasteraan Melayu, Tuhfat al-Nafis, Sejarah Melayu, Hikayat
Hang Tuah dan Hikayat Merong Mahawangsa adalah antara naskhah sastera sejarah,
selain Sejarah Melayu serta Hikayat Hang Tuah turut diiktiraf sebagai warisan
persuratan dunia oleh UNESCO.
Penterjemah HTN,
Yuen Boon Chan, pula menyifatkan HTN bukan saja membicarakan persoalan sejarah
tragedi bangsa China, tetapi juga peristiwa penyebab kepada terjadinya
kekacauan di negara itu.
“Disisipkan juga
bagaimana penyatuan bangsa Han, harapan petani untuk mencapai kehidupan aman, pemikiran
aliran utama, konsep ketaatan dan keadilan, bakat intelek pada zaman feudal
China, raja yang bijaksana dan perdana menteri yang pintar.
“Pemaparan plot
yang pada satu sisi memerikan sengketa dan peperangan ditunjukkan pula nilai
murni yang sewajarnya digunakan untuk mengatasi sifat jelek yang ada pada
manusia di pelbagai peringkat,” katanya ketika merincikan Hikayat Tiga Negara
dan Pengaruhnya.
Menurutnya, dalam
kalangan orang China di Malaysia kisah dalam HTN tidak langsung asing kepada
mereka kerana HTN bukan hanya sebuah teks agung, sebaliknya kehebatannya
menyebabkan diadaptasi dalam komik, buku cerita bersiri, malahan drama mahupun
filem.
“Kisah kejahatan
dan kepintaran watak dalam HTN sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan
mereka dan dijadikan panduan bagaimana sebuah empayar yang besar lagi hebat
boleh jatuh, selain kemudiannya bersatu atas tujuan yang sama.
“Kajian
perbandingan dengan teks sastera sejarah Alam Melayu seperti Salatus
al-Salatin, Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa dan Tuhfat
al-Nafis, nescaya mendatangkan manfaat atas dasar perkongsian nilai sejagat
seperti kebenaran, keadilan, perikemanusiaan dan setiakawan yang membentuk
keutuhan sebuah bangsa,” tegasnya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan