Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my
Minggu lalu, hampir 100,000 ribu penduduk Sepanyol terdiri
daripada pendidik, pelajar pelbagai peringkat dan ibu bapa mengadakan tunjuk
perasaan besar-besaran di kota Madrid, Barcelona dan beberapa bandar utama di
negara itu bagi membantah tindakan kerajaan memotong dana pendidikan sebagai
usaha menyelamatkan negara itu yang dilanda krisis hutang yang turut
membelenggu negara-negara Eropah lain.
Kerajaan pusat didakwa mengarahkan sebanyak tiga bilion euro
(RM12 bilion) dipotong daripada peruntukan pendidikan pada tahun ini,
sebahagian program bagi mengurangkan defisit awam kepada paras yang
dipersetujui Kesatuan Eropah (EU), iaitu sebanyak 5.3 peratus daripada produk
domestik kasar berbanding 8.9 peratus pada tahun lalu.
Pemotongan itu turut melibatkan langkah menaikkan yuran
pengajian di universiti awam sehingga 1,500 euro (RM6,000) daripada 1,000 euro
(RM4,000) sebelum ini.
Ekonomi Sepanyol, sekali lagi berdepan ketidakstabilan dan
tidak berkembang selama empat tahun sejak 2009, sehingga menyebabkan kadar
pengangguran meningkat melebihi 24 peratus, angka tertinggi bagi negara-negara
EU.
Tunjuk perasaan tersebut disertai mereka yang terlibat dalam
pendidikan awam pelbagai peringkat, daripada prasekolah hingga ke universiti.
Guru-guru juga tidak terkecuali.
Menurut kesatuan yang mewakili pendidik, sebanyak 80 peratus
guru terlibat dalam perarakan tersebut, namun kementerian berkenaan
menafikannya dengan mendakwa hanya 20 peratus yang terlibat.
Seorang guru, Pilar Molto dari Sekolah Tinggi La Paloma,
Madrid yang sudah mengajar hampir 34 tahun berkata, tahun ini pihak sekolah
kekurangan sebanyak 30 guru kerana kementerian bertindak menggugurkan beberapa
kursus dan mengurangkan guru.
Orang ramai mendakwa kerajaan memperuntukkan berbilion euro
untuk menyelamatkan syarikat perbankan yang berdepan masalah, sebaliknya
memotong peruntukan untuk sektor pendidikan dan perubatan.
Negara tersebut yang memperuntukkan pelaburan besar dalam
projek infrastruktur ketika lewat 1990-an hingga 2008, juga dijangka
meningkatkan bayaran yuran bagi universiti awam untuk memenuhi sasaran bajet
yang ditetapkan.
Guru-guru di negara itu telah mengadakan tunjuk perasaan
beberapa kali sejak kebelakangan ini bagi membantah langkah seperti
meningkatkan waktu pengajaran dalam seminggu dan memotong waktu persediaan
kelas, yang mana dakwa mereka boleh memberi kesan kepada kualiti pendidikan
menengah.
Menurut Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi,
kelulusan sekolah tinggi di Sepanyol adalah sekitar 74 peratus, berbanding 85
peratus secara purata di kebanyakan negara EU.
Ramai melihat tindakan kerajaan Sepanyol itu sebagai sesuatu
yang tidak masuk akal kerana sanggup mengorbankan bidang yang sepatutnya diberi
keutamaan, semata-mata bagi menyelamatkan perkara sampingan.
Jika di Sepanyol, kerajaan negara itu bertindak memotong
peruntukan untuk bidang pendidikan, di negara kita Malaysia keadaan sebaliknya
pula berlaku, apabila kerajaan bertindak terus memberi keutamaan kepada bidang
pendidikan dengan menyediakan peruntukan yang besar.
Pada sesi baru persekolahan 2012, menyaksikan kerajaan
bertindak memansuhkan yuran pengajian di peringkat sekolah rendah dan menengah
yang membabitkan peruntukan bernilai RM150 juta.
Peruntukan sebanyak RM50.2 bilion dalam bajet tahun ini pula
diagih-agihkan kepada sektor-sektor dalam pendidikan sebagai usaha memastikan
rakyat terus mendapat asas pendidikan yang baik bagi menentukan kejayaan negara
pada masa depan.
Sektor pengajian tinggi terus diberi keutamaan dengan
menyediakan peruntukan yang besar bagi membina universiti-universiti awam
tambahan dan pusat-pusat pengajian tinggi lain dan pusat-pusat latihan dengan
menyediakan yuran yang munasabah, agar ia tidak membebankan pelajar.
Selain itu, kemudahan biasiswa yang ditawarkan kerajaan,
agensi kerajaan mahu pun syarikat korporat merupakan satu peluang yang
seharusnya digunakan sebaik-baik mungkin oleh pelajar dalam mengejar cita-cita
mereka.
Bagi pelajar yang gagal memperoleh biasiswa bagi menampung
yuran pengajian sama ada di universiti awam mahu pun swasta, kerajaan
menyediakan pula kemudahan pinjaman di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membolehkan pelajar meneruskan impian mereka untuk
melanjutkan pelajaran.
Walaupun mendapat kritikan banyak pihak terutama daripada
segi caj pentadbiran yang dikenakan, namun PTPTN dilihat telah banyak membantu
pelajar, terutama menyediakan wang pendahuluan, yang dikenali sebagai Wang
Pendahuluan Pembiayaan (WPP) untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Bagi mereka yang tercicir tidak dapat memasuki institusi
pengajian tinggi pula, sebanyak RM200 juta diperuntukkan kerajaan, khusus untuk
menyediakan latihan kemahiran.
Berdasarkan bajet dan kemudahan pendidikan yang disediakan
oleh kerajaan, tidak ada sebab bagi rakyat negara ini ketinggalan untuk
mendapatkan pendidikan terbaik dari peringkat prasekolah sehingga pengajian
tinggi.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan