Oleh : Mohd Ayob Abd Razid
Kejiranan merupakan aspek sosial
yang penting dalam usaha membina masyarakat yang bersatu padu, harmoni, dan
sejahtera. Jiran atau juga disebut tetangga adalah mereka yang tinggal
berdekatan antara satu sama lain dalam satu-satu komuniti.
Pengertian ini menepati takrif
yang diberikan Kamus Dewan (Edisi Keempat) yang mentakrifkan jiran sebagai
orang yang tinggal berhampiran dengan rumah seseorang. Ia juga disebut sebagai
‘orang sebelah’. Jabatan Perpaduan Negara (JPN) mendefinisikan konsep kejiranan
ialah penduduk yang tinggal di suatu kawasan perumahan yang mempunyai identiti
sendiri. Umpamanya Kampung Kerinchi, maka seluruh kampung itu dikira sebagai
jiran.
Skim Rukun Tetangga, JPN (2000)
menggariskan beberapa unsur kejiranan seperti berkenal-kenalan, kerap bertemu
dan tolong-menolong antara jiran, rasa bertanggungjawab terhadap keharmonian
dan keamanan kawasan sejiran, bangga dan sayang dengan kawasan kediaman serta
mempunyai semangat patriotik merangkumi muhibah, persefahaman, toleransi,
harmoni dan menghormati undang-undang.
Persoalannya ialah sejauh manakah
konsep kejiranan yang membina itu diamalkan oleh masyarakat kita hari ini?
Masih meluaskah lagi sifat mengambil berat terhadap jiran, jalinan kemesraan,
gotong-royong dan mengambil berat terhadap kawasan perumahan atau penempatan
yang kita diami? Hakikatnya, mutakhir ini aspek kejiranan semakin pudar dan
tidak diberikan perhatian sewajarnya, khususnya dalam kalangan masyarakat
bandar.
Justeru, tidak hairanlah ramai
yang tidak mengenali jiran walaupun tinggal sebelah menyebelah. Jika pun
mengenali ramai yang tidak merasakan kemesraan berjiran, apatah lagi perasaan
untuk mengambil berat mengenai hal ehwal jiran. Kemesraan dan keseronokan
berjiran tidak terasa kerana aspek interaksi yang positif dan membina
diabaikan.
Alasan terlalu sibuk
Pelbagai alasan diberikan seperti
tidak mahu jaga tepi kain orang, terlalu sibuk dan sebagainya. Pada hemat
penulis, amalan kejiranan semakin terhakis disebabkan ‘pembudayaan kota’
berasaskan landasan Barat seperti individualisme, materialistik dan hedonisme
menjadikan kebanyakan penduduk bandar tidak lagi mementingkan nilai dan norma
kejiranan. Masyarakat seperti ini tidak lagi menganggap jiran sebagai kelompok
penting untuk dirujuk atau berkongsi masalah.
Sikap seperti ini bukan saja
bercanggah dengan budaya ketimuran tetapi juga bercanggah dengan tuntutan hidup
beragama. Dalam ajaran Islam, aspek kejiranan disebut dalam Surah An-Nisa ayat
36 yang bermaksud: “Dan sembahlah Allah, dan janganlah kamu mensyirikkan-Nya
dengan sesuatu pun, dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu-bapa, kaum
kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang mempunyai hubungan
kerabat dan jiran tetangga yang bukan kerabat.”
Kesyumulan Islam
Oleh sebab kejiranan merupakan
sebahagian daripada kesyumulan Islam yang boleh membawa kesejahteraan dan
keharmonian hidup bermasyarakat, maka Rasulullah melarang keras perlakuan
menyakiti dan menyusahkan jiran walaupun jiran itu adalah orang bukan Islam
seperti maksud hadis Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menyakiti jirannya, maka
sesungguhnya dia telah menyakiti aku, dan sesiapa yang menyakiti aku, maka
sesungguhnya dia telah menyakiti Allah SWT. Dan sesiapa yang memerangi
jirannya, maka sesungguhnya dia telah memerangi aku, dan sesiapa yang memerangi
aku maka dia telah memerangi Allah”.
Aspek kejiranan juga dikaitkan
dengan persoalan keimanan seseorang. Ini jelas dapat difahami daripada hadis
riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan
hari akhirat, maka berbuat baiklah kepada jirannya”. Untuk memelihara
keharmonian dan perpaduan hidup bermasyarakat, maka Islam mengambil berat
amalan kejiranan yang sihat. Hak jiran mesti ditunaikan sebaik mungkin.
Terlalu banyak peranan jiran yang
boleh kita sebutkan. Ketika kita tiada di rumah atau meninggalkan rumah untuk
tempoh yang agak lama seperti balik kampung atau pergi melancong, maka jiranlah
yang kita harapkan untuk memerhati dan memantau rumah kita daripada perkara
yang tidak diingini.
Demikian juga ketika kita dalam
kecemasan, maka jiranlah orang yang paling hampir untuk kita dapatkan bantuan.
Jiran yang baik akan bersedia untuk menjaga anak-anak kita sewaktu kita ada
keperluan mendesak atau hal-hal kecemasan di luar.
Selain itu, jiranlah tempat kita
berbual-bual dan berbincang mengenai sesuatu masalah, sama ada masalah peribadi
atau masalah yang dihadapi di kawasan tempat tinggal kita. Sering kali hasil
daripada perkongsian atau perbincangan masalah itu akan menemukan jalan
penyelesaiannya.
Penulis ialah Penganalisis Media
di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan
Sumber : http : //www.bharian.com.my/