TIDAK kira orang Melayu atau
kaum-kaum lain, terutama yang berpendidikan lebih cenderung menggunakan
perkataan atau frasa dalam bahasa Inggeris bagi menuturkan perkara yang
dianggap kasar dan menyentuh perasaan.
Antara perkataan dan frasa
tersebut ialah stupid (bodoh), breast cancer (kanser buah dada), rape (rogol),
go to hell (pergi jahanam), pregnant (mengandung), bullshit (tahi lembu), dan
lain-lain lagi.
Kemungkinan mereka menganggap
bahawa penggunaan bahasa Inggeris ketika mengeluarkan kata-kata kasar dan
menyentuh perasaan ini dianggap lebih lembut berbanding menggunakan bahasa
Melayu.
Hal ini demikian kerana
masyarakat Malaysia terutama orang Melayu tidak begitu terasa jika dihamburkan
kata-kata kasar dalam bahasa asing memandangkan kata-kata itu tidak begitu
menyentuh perasaan lantaran sesuatu pertuturan yang menggunakan bahasa ibunda
sebenarnya lebih menyentuh perasaan.
Sebenarnya kita mampu menggunakan
bahasa Melayu sendiri dalam situasi berkenaan agar kelihatan lebih halus dan
sopan. Bahasa yang kita gunakan untuk menggantikan bahasa yang kasar
diistilahkan sebagai bahasa halus.
Bahasa halus ialah bahasa atau
perkataan yang lebih lembut digunakan untuk menggantikan perkataan yang
dirasakan kasar atau menyentuh perasaan orang lain.
Namun, beberapa frasa seperti
bodoh, pergi jahanam dan tahi lembu tidak dapat digantikan dengan bahasa halus
kerana frasa itu tidak menggambarkan budaya kita.
Bahasa halus digunakan untuk
menuturkan sesuatu maksud bagi menjaga perasaan dan emosi orang. Orang Melayu
khasnya dan orang Malaysia amnya amat prihatin akan perasaan orang lain. Oleh
itu, mereka akan menggunakan bahasa yang lebih halus supaya hati orang yang dilawan
bercakap tidak tergores. Antara bahasa halus yang digunakan ialah pulang ke
rahmatullah (mati), disimpan (dikuburkan), pegawai perhubungan pelanggan atau
GRO (pelayan), pengawal keselamatan (jaga), orang kelainan upaya (orang cacat),
operator pengeluaran (pekerja kilang), pembantu rumah (orang gaji), khinzir
(babi) dan lain-lain lagi.
Bahasa halus juga digunakan untuk
menggambarkan sesuatu yang berkaitan seks dan perkara yang tidak sopan serta
menjijikkan. Kita tahu bahawa masyarakat Melayu agak tertutup dalam
membicarakan hal-hal yang berkaitan seks. Oleh itu, penggunaan bahasa halus ini
mampu menyampaikan sesuatu yang berkaitan seks di samping perkara yang tidak
sopan serta menjijikkan. Contohnya, nafkah batin (hubungan seks suami dan
isteri), datang bulan (haid), bersalin (beranak), berbadan dua (mengandung),
payu dara (buah dada) melabur (berak), buang air seni (kencing), dan lain-lain
lagi.
Orang Melayu memang terkenal
dengan pantang larang yang banyak dalam kehidupan. Dalam lisan juga, orang
Melayu akan mengikut pantang larang ketika berada di tempat-tempat yang
berbahaya.
Oleh itu, kita akan menggunakan
bahasa halus untuk merujuk sesuatu yang menakutkan apabila berada di sesuatu
tempat. Contohnya, kita akan menggunakan bahasa halus seperti orang besar bagi
merujuk gajah apabila berada di dalam hutan, Pak Belang (harimau), Sang Rangkak
(buaya), tali pinggang (ular) dan lain-lain lagi.
Orang tua-tua juga tidak akan
menyebut nama haiwan yang merosakkan tanaman mereka secara langsung tetapi
menukarkan dengan nama yang lebih ‘mesra’ kerana percaya haiwan berkenaan akan
lebih marah. Kita akan menggunakan Cik Ti untuk merujuk tikus dan Cik Bi untuk
merujuk khinzir.
Bahasa halus juga merangkumi
penggunaan nama gelaran untuk menunjukkan penghormatan kepada orang yang kita
lawan bercakap serta untuk mewujudkan kemesraan dalam hubungan. Antara
perkataan tersebut ialah nenda, ayahanda, bonda, kakanda, anakanda, dan
lain-lain lagi.
Seseorang yang mempunyai
perwatakan yang baik biasanya mempunyai hati yang mulia kerana hati yang mulia
mengawal perwatakan seseorang. Begitu juga dengan pertuturan oleh sesuatu
bangsa itu menggambarkan peradaban bangsa itu sendiri kerana “Bahasa Jiwa
Bangsa” dan “Bahasa Menunjukkan Bangsa”.
Marilah sama-sama kita
mengekalkan kesopanan dan kesusilaan bangsa kita buat selama-lamanya walaupun
kita menghadapi cabaran daripada pengaruh dunia tanpa sempadan. Akhir kata
“Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/