Isnin, 9 November 2009

Nikmat Yang Wajib Disyukuri

Ketahuilah dan rasailah Nikmat Allah…yang ada pada kita..Sesungguhnya mengetahui dan mengenal nikmat, merupakan di antara rukun utama dalam bersyukur. Abu Darda’ mengatakan, “Barang siapa yang tidak mengetahui nikmat Allah selain makanan dan minumnya, maka bererti ilmunya adalah sedikit dan azab telah menimpanya”.

Nikmat-Nikmat yang Utama

Nikmat Allah tidak terhingga banyaknya dan di antara yang utama yang perlu untuk kita sedari dan syukuri ialah:

(1) Nikmat Islam dan Iman

Demi Allah, inilah nikmat yang terbesar, d imana Allah menjadikan kita sebagai Muslim. Sufyan Ibnu Uyainah berkata, “Tidak ada satu nikmat pun dari Allah untuk hambaNya yang lebih utama, daripada diajarkannya kalimat tahid .”

(2) Penangguhan Azab (balasan) Ke atas Dosa Dan DiTutupnya Dosa Kita.

Ini juga merupakan nikmat yang sangat besar, kerana jika setiap kali kita melakukan dosa lalu Allah Terus membalasnya, maka tentu seluruh alam ini akan binasa. Akan tetapi Allah memberikan kesempatan kepada kita untuk bertaubat dan memperbaiki diri. Firman Allah,

وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً

“Dan (Dia) menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin” (Luqman: 20).

Berkata Muqatil, “Adapun (nikmat) yang lahir (nampak) adalah Islam, sedangkan yang batin adalah ditutupnya kemaksiatan yang dilakukan kalian.”

(3) Peringatan

Peringatan adalah termasuk nikmat yang besar dan ini merupakan salah satu ketelitian Allah agar hamba-Nya tidak terlena. Tanpa kita duga terkadang ada seseorang yang datang meminta makanan atau sesuatu kepada kita, hikmahnya dengan perantaraan orang yang sedang kesusahan tersebut akan membuat kita ingat terhadap nikmat yang diberikan Allah.

(4) Terbukanya Pintu Taubat

Adalah nikmat yang sangat besar dari Allah sekiranya terbukanya pintu taubat kepada kita, walau sebanyak manapun dosa dan kemaksiatan kita. Selagi nafas belum sampai di halkum dan selagi matahari belum terbit dari barat, maka pintu taubat sentiasa terbuka.

(5) Kesihatan, Kesejahteraan Dan Keselamatan Anggota Badan

Salman al-Farisi mencerikan tentang seorang yang diberi harta melimpah lalu kenikmatan tersebut dicabut, sehingga dia jatuh miskin namun orang tersebut masih memuji Allah. Maka ada seorang bertanya, “aku tidak tahu, atas alasan apa engkau masih memuji Allah? Dia menjawab, “Aku memujiNya atas sesuatu yang andainya aku diberi seluruh yang diberikan kepada manusia, maka aku tidak mahu menukarnya”. Orang itu bertanya, “Apakah benda itu?” Dia menjawab, “Apakah engkau tidak memperhatikan kesejahteraan penglihatanmu, lisanmu, kedua tangan dan kakimu?”

(6) Nikmat Harta (Makan Minum dan Pakaian)

Aisyah r.a. berkata, “Tidaklah seorang hamba yang meminum air sejuk, lalu masuk ke dalam perut dengan lancar tanpa ada gangguan dan keluarnya juga dengan lancar, kecuali wajib baginya bersyukur”

Sumber :http://usrahrasahati.blogspot.com/

UNIT PEMBUDAYAAN BAHASA DIWUJUDKAN UNTUK BUDAYAKAN BAHASA MELAYU

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Unit Pembudayaan Bahasa akan diwujudkan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mulai Januari ini, dalam usaha kerajaan membudayakan serta mendaulatkan bahasa Melayu, yang merupakan bahasa kebangsaan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Aswara dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara akan diberi tanggungjawab membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Pelajaran, merangka program-program berkaitan supaya ia mencapai matlamat.

"Unit ini akan khusus mengendalikan perkara-perkara berkaitan bahasa kebangsaan atau Melayu dalam jurusan membina negara bangsa serta pembinaan gagasan 1Malaysia di samping membudayakan diri masing-masing.

"Kita mengakui di kementerian-kementerian lain sudah ada galakan bahasa tetapi pembudayaan bahasa (Melayu) belum ada lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Aswara dan Middlesex University (MU) London serta perasmian Galeri Aswara Fakulti Seni Halus di sini Isnin.

Aswara diwakili oleh rektornya, Datuk Omar Awang manakala Middlesex University oleh Timbalan Naib Canselornya (Antarabangsa), Dr Terry Butland.

Melalui penubuhan unit itu, Rais berkata bagi tempoh jangka panjang akan dapat menjadikan rakyat negara ini, antaranya berkomunikasi dan menggunakan intonasi bahasa kebangsaan dengan baik dan indah.

"Pada masa sekarang sudah tidak dibudayakan lagi (bahasa kebangsaan). (Malah) tiada (pihak) yang tegur dan betulkan. Saya berharap Aswara dapat mengambil peranan ini.

"Kita akan mengasuh pelajar kita secara perlahan dan konkrit supaya mereka dapat berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan atau Melayu dengan menyakinkan dan mengandungi struktur pembahasaan yang tinggi. Dengan ini, maka kita akan dapat mewujudkan tamadun bahasa kebangsaan dan Melayu yang tinggi," katanya.

Mengenai MoU tersebut, Rais berkata persefahaman itu istimewa kerana Aswara dan MU London sehaluan dalam perjuangan masing-masing ke arah melahirkan modal insan dalam bidang-bidang seni budaya dan warisan yang cemerlang.

Beliau berkata ia juga membolehkan pelajar-pelajar Aswara melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi di luar negara kerana sebelum ini, tiada tawaran sedemikian.

Antara persefahaman yang dicapai dalam MoU tersebut ialah Aswara dan MU London bercadang mengadakan persetujuan bagi membolehkan pelajar Aswara menjalani program ijazah di MU London.

Selain itu, Aswara dan MU London bercadang untuk mengesahkan program ijazah Aswara untuk diberi penganugerahan oleh universiti berkenaan di samping berkemungkinan mengadakan program ijazah daripada MU London di Aswara di bawah program francais.

Aswara dan MU London juga berhasrat membenarkan kakitangan Aswara untuk mengikuti pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam pengajian profesional di MU London serta kedua-dua institusi itu akan mengadakan program ijazah bersama di Kuala Lumpur dan London.


Sumber: http://www.bernama.com/