Isnin, 9 November 2009

UNIT PEMBUDAYAAN BAHASA DIWUJUDKAN UNTUK BUDAYAKAN BAHASA MELAYU

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Unit Pembudayaan Bahasa akan diwujudkan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mulai Januari ini, dalam usaha kerajaan membudayakan serta mendaulatkan bahasa Melayu, yang merupakan bahasa kebangsaan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Aswara dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara akan diberi tanggungjawab membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Pelajaran, merangka program-program berkaitan supaya ia mencapai matlamat.

"Unit ini akan khusus mengendalikan perkara-perkara berkaitan bahasa kebangsaan atau Melayu dalam jurusan membina negara bangsa serta pembinaan gagasan 1Malaysia di samping membudayakan diri masing-masing.

"Kita mengakui di kementerian-kementerian lain sudah ada galakan bahasa tetapi pembudayaan bahasa (Melayu) belum ada lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Aswara dan Middlesex University (MU) London serta perasmian Galeri Aswara Fakulti Seni Halus di sini Isnin.

Aswara diwakili oleh rektornya, Datuk Omar Awang manakala Middlesex University oleh Timbalan Naib Canselornya (Antarabangsa), Dr Terry Butland.

Melalui penubuhan unit itu, Rais berkata bagi tempoh jangka panjang akan dapat menjadikan rakyat negara ini, antaranya berkomunikasi dan menggunakan intonasi bahasa kebangsaan dengan baik dan indah.

"Pada masa sekarang sudah tidak dibudayakan lagi (bahasa kebangsaan). (Malah) tiada (pihak) yang tegur dan betulkan. Saya berharap Aswara dapat mengambil peranan ini.

"Kita akan mengasuh pelajar kita secara perlahan dan konkrit supaya mereka dapat berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan atau Melayu dengan menyakinkan dan mengandungi struktur pembahasaan yang tinggi. Dengan ini, maka kita akan dapat mewujudkan tamadun bahasa kebangsaan dan Melayu yang tinggi," katanya.

Mengenai MoU tersebut, Rais berkata persefahaman itu istimewa kerana Aswara dan MU London sehaluan dalam perjuangan masing-masing ke arah melahirkan modal insan dalam bidang-bidang seni budaya dan warisan yang cemerlang.

Beliau berkata ia juga membolehkan pelajar-pelajar Aswara melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi di luar negara kerana sebelum ini, tiada tawaran sedemikian.

Antara persefahaman yang dicapai dalam MoU tersebut ialah Aswara dan MU London bercadang mengadakan persetujuan bagi membolehkan pelajar Aswara menjalani program ijazah di MU London.

Selain itu, Aswara dan MU London bercadang untuk mengesahkan program ijazah Aswara untuk diberi penganugerahan oleh universiti berkenaan di samping berkemungkinan mengadakan program ijazah daripada MU London di Aswara di bawah program francais.

Aswara dan MU London juga berhasrat membenarkan kakitangan Aswara untuk mengikuti pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam pengajian profesional di MU London serta kedua-dua institusi itu akan mengadakan program ijazah bersama di Kuala Lumpur dan London.


Sumber: http://www.bernama.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan