Selasa, 14 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : Keputusan SPM ulangan Khamis ini


KUALA LUMPUR - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2012 akan dikeluarkan Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan.

Seramai 14,224 calon menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 7,389 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 3,909 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik.

Sebanyak 239 pusat peperiksaan dibuka pada 13 dan 14 Jun di seluruh negara. - Bernama

ISU SOSAL : Beraya bersama 'keluarga besar'


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

TAHUN 2012 unik sekali lagi bagi Malaysia yang meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama sambutan Hari Kemerdekaan serentak. Kedua-duanya amat signifikan bagi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan, kepercayaan dan amalan.

Faktor alam dan populasi yang diwarnai dengan kepelbagaian membolehkan Malaysia terus subur dengan bermacam-macam perayaan dan sambutan kenegaraan. Ia mencerminkan kemampuan Malaysia untuk terus utuh walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam dan luar negara.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri amat menarik di kawasan luar bandar yang melihat kawasan bandar sunyi sepi kecuali mereka yang tidak dapat pulang beraya di kampung akan memenuhinya, apatah lagi wujud fenomena kebanjiran warga asing ketika musim perayaan.

Pada malam pengumuman tarikh  Hari Raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, akan ada kunjungan dari rumah ke rumah dengan marhaban raya. Pada pagi raya, ramai berpusu-pusu ke masjid mengikuti khutbah raya yang lazimnya menandakan kesyukuran penyempurnaan bulan Ramadan dan permulaan bulan Syawal. Takbir kedengaran di merata tempat, laungan puji-pujian kesyukuran kepada yang Esa.

Di kampung saya, Tanjong Malim, Perak, satu ketika dahulu sambutan sebarang perayaan amat meriah. Ia dinanti bukan sekadar untuk turut sama dalam aktiviti berkunjung dari rumah ke rumah tetapi lebih daripada itu, nilai persahabatan dan silaturahim dalam kalangan anggota jiran amat tinggi. Nilai sosialisasi yang tebal ketika itu adalah usaha bersama mengacau dodol yang dilakukan berjam-jam oleh sesama jiran sebagaimana membuat kuih-muih lain. Yang kecil mahupun dewasa sentiasa menanti waktu dan tikanya kerana keseronokan dapat bersama.

Begitu juga dengan ketupat, lemang dan rendangnya. Semangat gotong-royong memberi gambaran betapa eratnya hubungan antara jiran yang turut meningkatkan tahap moraliti dalam kalangan masyarakat setempat. Ia bukan sekadar nilai kejiranan tetapi lebih daripada itu, wujud 'keluarga besar' termasuk anak-anak dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik yang bersama meraikannya; 'perkongsian' sebagai teras keutamaan dalam hubungan kemanusiaan 'keluarga besar' ini.

Yang memasang lampu malam tujuh likur juga ialah anak-anak ini; yang mencari buluh membuat lemang pun anak-anak ini. Yang bermain dalam hujan, di padang bola, takraw dan badminton juga anak-anak ini. Bermain galah panjang, guli, sorok-sorok, dan jongkang-jongket tidak terkecuali. Berlaga ikan dan mencari ikan sepat tidak ketinggalan sementara menunggu waktu berbuka pun anak-anak ini. Tiada istilah penat sewaktu bulan Ramadan kerana masing-masing seronok dengan apa yang dilalui dan faham ia diberkati.

Kemeriahan beraya dalam kalangan remaja muda ketara apabila bernyanyi lagu raya sehingga senja suram; malam hiba; berbasikal ke merata tempat bukan mencari 'duit raya' tetapi kenikmatan bersama. Keseronokan dirasai semua walaupun ada perbezaan tetapi ia pemangkin untuk penjelasan ada ketikanya boleh menjadi 'satu'.

Jiwa yang jujur dan ikhlas memagari insan sebegini rupa kerana pedoman datangnya daripada orang tua. Nilai hormat yang tinggi bukan sahaja pada Opah dan Atuk tetapi kesemua warga emas adalah milik bersama. Jika mereka sakit, keseluruhan jiran merasainya kerana ikatan 'ziarah' dan 'melawat' tanpa pelawaan ataupun kunjungan berasaskan kepada jemputan atas nama 'keluarga besar'. Pada waktu beraya, bersalam dengan mereka merupakan satu 'keberkatan'.

Hari ini, pengisian ke atas kemerdekaan membolehkan kita terus beraya dengan aman dan muhibah. Kemerdekaan menandakan betapa kita bersyukur berbanding dengan negara-negara lain, kita masih mampu gah di peta dunia pesat membangun dengan kesinambungan kepimpinan yang mempertahankan kestabilan dan perkembangan yang seiring dengan anjakan global.

Kita tidak terkebelakang tetapi maju ke hadapan. Modal insan ramai yang dilihat berpotensi dan mempunyai ilmu, keupayaan dan kemahiran yang setanding dengan bangsa lain di dunia ini. Kesemua ini berjaya kerana adanya keyakinan dan kepercayaan kepada semangat 'Malaysia'.

Meskipun begitu, tidak dinafikan ada segelintir yang tidak memiliki aspirasi warga 'Malaysia'; warga yang terlalu taksub dengan fahaman tertentu sehingga membelakangkan nilai 'keluarga besar' Malaysia. Yang dikhuatiri adalah tingkah laku yang boleh memudaratkan kedaulatan negara dengan perilaku tidak menghormati simbol kebanggaan negara termasuk lagu Negaraku, bunga raya dan jata negara. Tidak lupa kepada Rukunegara. Begitu juga dengan institusi raja-raja Melayu.

Musibah kadang-kadang datangnya dari kita dan bukan orang lain sampaikan isu sokongan ke atas pejuang wira di sukan Olimpik pun boleh dipolitikkan oleh sesetengah orang yang jiwanya ketara sifar.

Budaya saling perlu memerlukan di antara satu sama lain, memahami dan hormat merupakan nilai besar yang wujud sekian lamanya tetapi adakah nilai ini bersedia dikorbankan kerana peningkatan celik huruf dalam kalangan masyarakat Malaysia sehingga bersedia warisan bangsa lupus sebagaimana yang ketara dalam ungkapan sesetengah pihak untuk meraikan Hari Raya mahupun kemerdekaan.

Kedua-duanya bukan sekadar perayaan dan sambutan; kedua-duanya juga lambang besar nilai kemasyarakatan dan pengukuhan roh sosial yang penting untuk menyuburkan rasa 'kepunyaan' dan 'kekitaan' dalam kalangan warga Malaysia.

Pertahanan negara datang dari rakyat yang bersyukur kepada nikmat dan limpahan rezeki dalam menggapai kecemerlangan diri. Ia tidak boleh dikorbankan hanya kerana sejarah mahu diubah ataupun tidak mahu mengambil inisiatif untuk memahami pencapaian yang membawa Malaysia kepada kedudukannya.

Walaupun fenomena baru menunjukkan wujudnya sentimen bersifat 'cool' untuk memberontak dan mahu didengar; nilai 'perkongsian' tidak boleh terjejas dan dibiarkan pupus kerana kesannya cukup besar kepada ketamadunan bangsa dan negara.

Konsep 'ziarah' perlu dirungkai semula di alam yang mempertontonkan bagaimana ucapan dan pertemuan menjadi-jadi di alam maya dan bukan di alam sebenar. Kampung adalah tanah tumpahnya darah dan bermulanya susur-galur yang mesti diwarisi dan dikongsi generasi ke generasi.

Pengisian kemerdekaan membolehkan kita masih boleh beraya dengan penuh kesyukuran dan menerapkan unsur 'kejujuran' dan 'rendah diri' serta 'budi'; memahami dan mahu memahami; memastikan dijauhkan dari dicabuli oleh golongan yang cuma mementingkan keselesaan sendiri.

Ia boleh diraikan dalam pelbagai cara dengan penyertaan pelbagai kumpulan anggota masyarakat. Keunikan adalah kepada 'kepelbagaian' dan ia bukan sebagai 'penghalang' malahan satu 'keistimewaan' yang mesti diwarisi turun-temurun walaupun berubah zaman.

Sama ertinya untuk kemerdekaan; atas kemampuan meraikannya kerana wujud kestabilan dan keselesaan untuk hidup rukun dan bersama. Ada kelemahan dan penambahbaikan dilakukan sentiasa tetapi ia bukan satu indikator untuk menjadi sempadan kepada pencapaian negara yang melihat Malaysia muncul di mercu dan alam baru kerana rakyat dan pemimpinnya.

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri di bulan kemerdekaan kepada semua warga Malaysia. Nostalgia lama pasti menjelma apabila pulang beraya di kampung; sama-sama kita sambut kedua-duanya dengan acuan tempatan kita sendiri dan secara berterusan menyemarakkan nilai 'keluarga besar' Malaysia yang menjadi simbol kesepaduan kita dalam komuniti rencam ini.

Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/