Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
TAHUN 2012 unik sekali lagi bagi Malaysia yang meraikan Hari Raya
Aidilfitri bersama sambutan Hari Kemerdekaan serentak. Kedua-duanya amat
signifikan bagi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan,
kepercayaan dan amalan.
Faktor alam dan populasi yang diwarnai dengan kepelbagaian membolehkan
Malaysia terus subur dengan bermacam-macam perayaan dan sambutan kenegaraan. Ia
mencerminkan kemampuan Malaysia untuk terus utuh walaupun berhadapan dengan
pelbagai cabaran dalam dan luar negara.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri amat menarik di kawasan luar bandar yang
melihat kawasan bandar sunyi sepi kecuali mereka yang tidak dapat pulang beraya
di kampung akan memenuhinya, apatah lagi wujud fenomena kebanjiran warga asing
ketika musim perayaan.
Pada malam pengumuman tarikh Hari Raya
oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, akan ada kunjungan dari rumah ke rumah
dengan marhaban raya. Pada pagi raya, ramai berpusu-pusu ke masjid mengikuti
khutbah raya yang lazimnya menandakan kesyukuran penyempurnaan bulan Ramadan
dan permulaan bulan Syawal. Takbir kedengaran di merata tempat, laungan
puji-pujian kesyukuran kepada yang Esa.
Di kampung saya, Tanjong Malim, Perak, satu ketika dahulu sambutan sebarang
perayaan amat meriah. Ia dinanti bukan sekadar untuk turut sama dalam aktiviti
berkunjung dari rumah ke rumah tetapi lebih daripada itu, nilai persahabatan
dan silaturahim dalam kalangan anggota jiran amat tinggi. Nilai sosialisasi
yang tebal ketika itu adalah usaha bersama mengacau dodol yang dilakukan
berjam-jam oleh sesama jiran sebagaimana membuat kuih-muih lain. Yang kecil
mahupun dewasa sentiasa menanti waktu dan tikanya kerana keseronokan dapat
bersama.
Begitu juga dengan ketupat, lemang dan rendangnya. Semangat gotong-royong
memberi gambaran betapa eratnya hubungan antara jiran yang turut meningkatkan
tahap moraliti dalam kalangan masyarakat setempat. Ia bukan sekadar nilai
kejiranan tetapi lebih daripada itu, wujud 'keluarga besar' termasuk anak-anak
dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik yang bersama meraikannya; 'perkongsian'
sebagai teras keutamaan dalam hubungan kemanusiaan 'keluarga besar' ini.
Yang memasang lampu malam tujuh likur juga ialah anak-anak ini; yang
mencari buluh membuat lemang pun anak-anak ini. Yang bermain dalam hujan, di
padang bola, takraw dan badminton juga anak-anak ini. Bermain galah panjang,
guli, sorok-sorok, dan jongkang-jongket tidak terkecuali. Berlaga ikan dan
mencari ikan sepat tidak ketinggalan sementara menunggu waktu berbuka pun
anak-anak ini. Tiada istilah penat sewaktu bulan Ramadan kerana masing-masing
seronok dengan apa yang dilalui dan faham ia diberkati.
Kemeriahan beraya dalam kalangan remaja muda ketara apabila bernyanyi lagu
raya sehingga senja suram; malam hiba; berbasikal ke merata tempat bukan
mencari 'duit raya' tetapi kenikmatan bersama. Keseronokan dirasai semua
walaupun ada perbezaan tetapi ia pemangkin untuk penjelasan ada ketikanya boleh
menjadi 'satu'.
Jiwa yang jujur dan ikhlas memagari insan sebegini rupa kerana pedoman
datangnya daripada orang tua. Nilai hormat yang tinggi bukan sahaja pada Opah
dan Atuk tetapi kesemua warga emas adalah milik bersama. Jika mereka sakit,
keseluruhan jiran merasainya kerana ikatan 'ziarah' dan 'melawat' tanpa
pelawaan ataupun kunjungan berasaskan kepada jemputan atas nama 'keluarga
besar'. Pada waktu beraya, bersalam dengan mereka merupakan satu 'keberkatan'.
Hari ini, pengisian ke atas kemerdekaan membolehkan kita terus beraya
dengan aman dan muhibah. Kemerdekaan menandakan betapa kita bersyukur
berbanding dengan negara-negara lain, kita masih mampu gah di peta dunia pesat
membangun dengan kesinambungan kepimpinan yang mempertahankan kestabilan dan
perkembangan yang seiring dengan anjakan global.
Kita tidak terkebelakang tetapi maju ke hadapan. Modal insan ramai yang
dilihat berpotensi dan mempunyai ilmu, keupayaan dan kemahiran yang setanding
dengan bangsa lain di dunia ini. Kesemua ini berjaya kerana adanya keyakinan
dan kepercayaan kepada semangat 'Malaysia'.
Meskipun begitu, tidak dinafikan ada segelintir yang tidak memiliki
aspirasi warga 'Malaysia'; warga yang terlalu taksub dengan fahaman tertentu
sehingga membelakangkan nilai 'keluarga besar' Malaysia. Yang dikhuatiri adalah
tingkah laku yang boleh memudaratkan kedaulatan negara dengan perilaku tidak
menghormati simbol kebanggaan negara termasuk lagu Negaraku, bunga raya dan
jata negara. Tidak lupa kepada Rukunegara. Begitu juga dengan institusi
raja-raja Melayu.
Musibah kadang-kadang datangnya dari kita dan bukan orang lain sampaikan
isu sokongan ke atas pejuang wira di sukan Olimpik pun boleh dipolitikkan oleh
sesetengah orang yang jiwanya ketara sifar.
Budaya saling perlu memerlukan di antara satu sama lain, memahami dan
hormat merupakan nilai besar yang wujud sekian lamanya tetapi adakah nilai ini
bersedia dikorbankan kerana peningkatan celik huruf dalam kalangan masyarakat
Malaysia sehingga bersedia warisan bangsa lupus sebagaimana yang ketara dalam
ungkapan sesetengah pihak untuk meraikan Hari Raya mahupun kemerdekaan.
Kedua-duanya bukan sekadar perayaan dan sambutan; kedua-duanya juga lambang
besar nilai kemasyarakatan dan pengukuhan roh sosial yang penting untuk
menyuburkan rasa 'kepunyaan' dan 'kekitaan' dalam kalangan warga Malaysia.
Pertahanan negara datang dari rakyat yang bersyukur kepada nikmat dan
limpahan rezeki dalam menggapai kecemerlangan diri. Ia tidak boleh dikorbankan
hanya kerana sejarah mahu diubah ataupun tidak mahu mengambil inisiatif untuk
memahami pencapaian yang membawa Malaysia kepada kedudukannya.
Walaupun fenomena baru menunjukkan wujudnya sentimen bersifat 'cool' untuk
memberontak dan mahu didengar; nilai 'perkongsian' tidak boleh terjejas dan
dibiarkan pupus kerana kesannya cukup besar kepada ketamadunan bangsa dan
negara.
Konsep 'ziarah' perlu dirungkai semula di alam yang mempertontonkan
bagaimana ucapan dan pertemuan menjadi-jadi di alam maya dan bukan di alam
sebenar. Kampung adalah tanah tumpahnya darah dan bermulanya susur-galur yang
mesti diwarisi dan dikongsi generasi ke generasi.
Pengisian kemerdekaan membolehkan kita masih boleh beraya dengan penuh
kesyukuran dan menerapkan unsur 'kejujuran' dan 'rendah diri' serta 'budi';
memahami dan mahu memahami; memastikan dijauhkan dari dicabuli oleh golongan
yang cuma mementingkan keselesaan sendiri.
Ia boleh diraikan dalam pelbagai cara dengan penyertaan pelbagai kumpulan
anggota masyarakat. Keunikan adalah kepada 'kepelbagaian' dan ia bukan sebagai
'penghalang' malahan satu 'keistimewaan' yang mesti diwarisi turun-temurun
walaupun berubah zaman.
Sama ertinya untuk kemerdekaan; atas kemampuan meraikannya kerana wujud
kestabilan dan keselesaan untuk hidup rukun dan bersama. Ada kelemahan dan
penambahbaikan dilakukan sentiasa tetapi ia bukan satu indikator untuk menjadi
sempadan kepada pencapaian negara yang melihat Malaysia muncul di mercu dan
alam baru kerana rakyat dan pemimpinnya.
Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri di bulan kemerdekaan kepada semua
warga Malaysia. Nostalgia lama pasti menjelma apabila pulang beraya di kampung;
sama-sama kita sambut kedua-duanya dengan acuan tempatan kita sendiri dan
secara berterusan menyemarakkan nilai 'keluarga besar' Malaysia yang menjadi
simbol kesepaduan kita dalam komuniti rencam ini.
Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan