Jumaat, 25 Mac 2011

Kementerian patut hebah kelebihan masuk Tingkatan Enam

Isu Tingkatan Enam sebenarnya berkaitan dengan komitmen semua pihak, hala tuju pelajar, dana, dan yang terpenting masa depan pendidikan negara.

Keprihatinan semua pihak dari peringkat akar umbi hingga atasan perlu agar matlamat kerajaan untuk menjadikan pelajar Tingkatan Enam sebagai modal insan kelas pertama, terlaksana dengan jaya.

Adakah wujud keseragaman tindakan dan dasar Kementerian Pelajaran dengan dasar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam soal Tingkatan Enam?

Kita mencari arah tuju yang betul. Kita pada peringkat bawahan, ibu bapa dan pelajar semakin keliru. Seperti orang buta kehilangan tongkat atau orang kehilangan kaki untuk berdiri dan menjadi mandiri, maka berlakulah krisis identiti, mental dan dilema.

Saranan saya selepas berbincang dengan banyak pihak dan membuat analisis, semua pihak duduk semeja untuk menangani isu berkaitan Tingkatan Enam.

Kebaikannya, peringkat ini sama tahap dengan 0 Level, kemasukan ke universiti melalui jalan Tingkatan Enam lebih mudah dan terbuka luas, pendidikan di Tingkatan Enam menjadikan modal insan lebih berketerampilan, Tingkatan Enam lebih murah belanjanya, pendidikan tidak menjadikan generasi muda penghutang dalam usia rebung, mereka kurang terjebak gejala sosial kerana masih di bawah perhatian ibu bapa berbanding rakan yang memasuki kolej swasta.

Pihak kementerian perlu memberikan pendedahan mengenai keistimewaan pendidikan Tingkatan Enam jika benar-benar mahu memartabatkan dan memperkasakannya.

Jangan berkata sekolah perlu berfikir untuk mempromosikan Tingkatan Enam jika mahu ia wujud atau hadapi kemungkinan sekolah terbabit turun gred.

INSAN PRIHATIN,
Ampang, Selangor.

Sumber : http : //www.bharian.com.my

ISU NOVEL INTERLOK : Frasa rasis gugur

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Shaarani Ismail

KUALA LUMPUR: Kontroversi mengenai novel Interlok selesai apabila frasa sensitif bagi kaum India dalam novel yang dijadikan teks komponen sastera (Komsas) Bahasa Malaysia Tingkatan 5 itu diganti dengan frasa ‘golongan yang sama.’

Kata sepakat itu dicapai oleh Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok dan cadangan menyunting frasa berkenaan dari novel itu dipersetujui oleh penulisnya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, selaku pemegang hak cipta.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan itu menyelesaikan isu pokok berhubung penggunaan perkataan yang merujuk kasta kaum India yang didakwa bersifat rasis dan menyinggung perasaan mereka sehingga menimbulkan bantahan beberapa kumpulan sejak itu dibangkitkan pada Disember tahun lalu.

Katanya, dalam mesyuaratnya kelmarin, panel berkenaan juga mengenal pasti hanya 19 perkara daripada 106 cadangan pindaan dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India di negara ini.

Beliau juga berkata, semua cadangan pindaan yang dikemukakan kepada kerajaan oleh wakil masyarakat India dalam panel berkenaan tiada kaitan dengan isu pokok tetapi meliputi perkara mengenai fakta, bahasa dan tatabahasa, termasuk koma, noktah dan tanda soal.

"Ini bermakna 87 perkara lagi tidak berkaitan dengan isu pokok. Ini termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel, ejaan `tali' dipinda kepada `taali', `papa' ditukarkan `appa', dan `cawat' diganti `dhoti'.

"Justeru, semua ahli panel, termasuk wakil masyarakat India, bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit membuat suntingan wajar kepada novel itu dalam cetakan akan datang," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Muhyiddin berkata, panel bebas yang dipengerusikan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, sudah bersidang empat kali dan mengadakan dua pertemuan dengan beliau.

Mengenai 19 perkara dalam Interlok yang boleh dianggap sensitif, beliau berkata, tiga daripadanya adalah berkaitan penggunaan perkataan kasta yang kini selesai selepas penulis bersetuju menggugurkannya.

Tiga perkara lagi berkaitan fakta lembu sebagai binatang suci Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga selesai selepas panel dengan persetujuan wakil masyarakat India, memutuskan ia tidak menyentuh sensitiviti kaum itu.

"Daripada 13 perkara berbaki, tujuh sudah dapat diselesaikan apabila panel bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan errata (senarai kesalahan dan pembetulan) dalam novel itu bagi membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan serta keagamaan masyarakat India.

"Enam perkara lain juga dapat diselesaikan kerana penulis bersetuju meminda perkataan `tuhan' kepada `dewa' dan menggugurkan frasa `orang berkulit hitam'," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran akan menyediakan satu glosari untuk memperjelas beberapa frasa serta konsep dalam Interlok bagi memudahkan pelajar memahami teks dan konteks novel berkenaan.

Katanya, penyelesaian secara baik isu Interlok, terutama kesediaan penulisnya membuat pindaan menunjukkan tiada isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja rundingan dengan semangat musyawarah, muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima.

Berikutan itu, beliau mengingatkan pihak yang ada kepentingan politik sempit jangan sesekali cuba menangguk di air yang keruh atau mengeksploitasi isu itu untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan mencetuskan porak-peranda di negara ini.

"Ini adalah perbuatan sia-sia yang pasti akan ditolak oleh rakyat. Saya yakin majoriti rakyat adalah rasional dan akan menerima keputusan yang adil dan munasabah," katanya sambil menyifatkan keputusan penulis membantu kerajaan menyelesaikan kontroversi Interlok adalah sumbangan amat besar kepada negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Cabaran pembinaan sahsiah remaja

DEWASA ini, pelbagai laporan berita sering menumpukan kepada perilaku remaja. Tumpuan ini khususnya kepada remaja yang berada di sekolah menengah, tidak kira sekolah asrama penuh ataupun sekolah harian. Kes yang sering dilaporkan adalah berkaitan dengan kes buli, pergaduhan, samseng, merokok dan penagihan dadah. Pelbagai kes ini kebanyakannya berpunca daripada masalah di rumah. Pendidikan di rumah dan di sekolah mesti selari dan seimbang dilakukan ibu bapa dan diteruskan guru.

Bagi melahirkan remaja berakhlak dan bermoral, pendidikan nilai murni dan keagamaan adalah menjadi asas di rumah. Isu remaja bermoral dan tidak bermoral atau remaja berakhlak mulia dan berakhlak rendah mempunyai faktor dalaman.

Faktor dalaman ini pula berkait rapat dengan didikan yang diterima seorang remaja daripada kecil hingga ke belasan tahun atau sampai baligh. Apa saja yang dialami kanak-kanak sejak lahir, semuanya akan memberikan kesan kepada minda dan emosi kanak-kanak berkenaan.

Sementara faktor luaran adalah persekitaran yang baik. Masyarakat di mana remaja tinggal menyumbang ke arah kebaikan iaitu masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni, bekerjasama, saling membantu dan mengelakkan sebarang gejala sosial yang tidak baik.

Daripada perspektif psikologi pakar dari Barat telah mengemukakan pendapat yang hampir sama iaitu punca keruntuhan moral atau akhlak adalah disebabkan kurang daya penyesuaian remaja dalam menangani cabaran dan dugaan yang melanda mereka. Kelemahan menyesuaikan diri ini dikaitkan dengan pengalaman remaja sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

Menurut Alfred Denning, kebanyakan remaja yang terbabit dengan pelbagai gejala sosial berasal daripada puing-puing keluarga yang berpecah-belah. Keluarga yang berpecah adalah keluarga yang berpunca daripada suami isteri yang bercerai.

Anak yang kecil itu seperti sehelai kain putih yang mencorakkannya adalah ibu bapanya. Alasan inilah yang menuntut ibu bapa memberikan didikan sempurna kepada anak-anaknya. Sewaktu anak itu masih kecil, didik dan ajar mereka tentang akidah, ibadah dan akhlak yang baik. Pendidikan ilmu dan amal yang baik akan dapat membentuk nilai kemanusiaan dalam jiwa anak.

Setiap anak mempunyai hak bagi mendapatkan dua perkara iaitu, makanan baik dan pendidikan yang baik. Makanan yang baik adalah makanan berkhasiat, sementara pendidikan baik ialah pendidikan seimbang iaitu ilmu dunia dan akhirat.

Apabila ibu bapa tidak mampu mendidik dan menjaga anaknya, negara akan menghadapi kesulitan menjaga anak itu di jalanan. Jelaslah pelbagai gejala sosial yang dilakukan remaja di luar rumah adalah berpunca daripada kegagalan ibu bapa mendidik di rumah.

Asas pendidikan di rumah mesti menekankan pendidikan akidah, ibadah dan akhlak. Pendidikan akidah ialah teras penting untuk menanamkan keyakinan kepada manusia terhadap keesaan Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah dan merealisasikan segala tujuan hidup manusia di dunia ini.

Sementara pendidikan ibadah melibatkan perkara berkaitan dengan fardu ain dan fardu kifayah bertujuan menjelmakan segala amalan agama dalam bentuk praktikal dan menjadikan segala anggota dan pancaindera manusia mengabdikan diri kepada Allah. Pendidikan ibadah juga merupakan satu tuntutan penting bagi manusia merealisasikan peranan sebagai khalifah Allah.

Pendidikan akhlak di rumah oleh ibu bapa merupakan perkara yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Menanam akhlak yang baik dalam hati dan jiwa anak dapat menangkis akhlak tercela dan buruk ke arah membentuk Muslim yang terbaik.

Menurut Imam al-Ghazali, manusia itu ibarat sepohon pokok dengan akarnya ialah akidah, batangnya ialah kefarduan, daun-daun ialah amalan sunat, maka buah atau bunganya itulah yang dikatakan akhlak. Sebab itulah manusia yang berakhlak dalam Islam dianggap orang yang menyempurnakan agama Islam kerana akhlak melambangkan keindahan Islam itu sendiri.

Justeru Nabi s.a.w. berpesan: Sesungguhnya, orang yang paling baik daripada kalangan kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Melahirkan dan mewujudkan remaja bermoral mesti dilakukan sejak anak itu masih kecil. Peribahasa ada mengatakan melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pendidikan yang bermula daripada kecil lebih mudah dan ia merupakan lambang kejayaan pendidikan akidah dan ibadah setelah dewasa.

Ibu bapa dan guru yang berjaya dalam menanamkan nilai akhlak ini kepada anak dan pelajarnya merupakan ibu bapa dan guru yang cemerlang. Pendidikan akhlak adalah menjurus kepada pendidikan pembangunan insan boleh mencapai kejayaan yang baik jika mempunyai model terhadap aspek yang dihuraikan. Model yang terbaik ialah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat adalah model ikutan yang utama.

Memang terlalu sukar untuk membentuk diri anak menjadi insan soleh dalam kehidupan hari ini. Tetapi dengan kesabaran, kegigihan dalam membentuk insan soleh, ibu bapa akan dapat membentuk anak-anak mengikut acuan yang baik.

Membina jati diri anak hingga remaja memerlukan usaha yang gigih dan berterusan. Akhlak dan kesopanan adalah perkara paling penting dididik dalam hati dan jiwa anak. Fenomena dan perkembangan ini adalah cabaran kepada ibu bapa dalam merealisasikan akhlak yang baik.

Zaman yang dilalui anak-anak pada hari ini jauh berbeza daripada zaman yang telah ibu bapa hadapi. Cabaran dan gaya hidup anak telah mengalami perubahan sehingga menjadi semakin sukar dan kompleks seiring kemajuan sains dan teknologi. Anak-anak zaman ini lebih matang dan lebih berani untuk bersuara.

Ironinya, dalam usaha mendidik anak sehingga dewasa memerlukan komitmen semua pihak. Ibu bapa, guru, keluarga dan masyarakat mesti memainkan peranan positif ke arah membentuk hati dan jiwa anak-anak menjadi remaja yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/