Jumaat, 30 Mac 2012

ISU KENEGARAAN : Mencari Ahli Parlimen kelas pertama


SYAHREDZAN JOHAN

Pernahkah anda mengunjungi bangunan Parlimen dan menyaksikan sesi perbincangan di Dewan Rakyat? Jika anda belum pernah, anda wajar mengambil peluang untuk melakukannya. Lebih-lebih lagi apabila dijangkakan sesi yang sedang berlangsung kini mungkin adalah yang terakhir sebelum pilihan raya umum. Jika berminat, anda boleh menghubungi Ahli Parlimen anda kerana mereka dibenarkan membawa tetamu ke Parlimen.

Jika pernah menyaksikan sesi Parlimen, kemungkinan besar anda akan kecewa dengan apa yang dilihat. Wakil rakyat yang anda pilih ke Parlimen, lebih cenderung untuk terpekik dan terlolong bagai tidak bertamadun daripada berdebat dengan berhemah. Ketika berdebat pula, kualitinya pula rata-rata di tahap yang rendah. Kebanyakan Ahli Parlimen sering membangkitkan perkara-perkara yang langsung tidak ada kena-mengena dengan apa yang dibincangkan.

Contohnya, pada minggu lalu Parlimen kecoh dengan Ahli Parlimen berlumba-lumba untuk menunjukkan kebencian mereka terhadap negara Israel. Ada seorang Ahli Parlimen sehinggakan membuat dakwaan kononnya Israel cemburu dengan keharmonian kita. Macamlah Israel itu pedulikan apa yang berlaku dalam Parlimen kita.

Hanya minggu lalu, ada Ahli Parlimen berbincang tentang ikan arowana, penjual tomyam dan hubungan di antara coklat dan penyakit kencing manis. Ya, perkara picisan seperti inilah yang dibawa ke Parlimen oleh Ahli Parlimen kita.

Keadaan ini sedikit sebanyak melunturkan kepercayaan rakyat kepada proses perundangan. Parlimen dilihat sebagai sarkas dan Ahli Parlimen sebagai badut-badut yang dibiayai oleh rakyat. Daripada 222 Ahli Parlimen yang ada, hanya segelintir sahaja benar-benar menjalankan tanggung jawab mereka sebagai Ahli Parlimen. Kita hanya boleh bangga dengan bangunan Parlimen dan kemudahan yang ada, tampak begitu gah dan canggih. Tidak lebih dari itu.

Adakah kita sepatutnya menerima Parlimen dengan seadanya, bahawa kualiti Ahli Parlimen kita tidak akan meningkat daripada takuk sedia ada? Ataupun kita percaya bahawa Malaysia yang lebih baik hanya akan wujud dengan adanya Ahli Parlimen yang lebih berkualiti.

Sebenarnya salah kita. Kita yang memilih, memberi mandat kepada mereka dan angkat mereka daripada rakyat biasa menjadi wakil kita. Kelakuan mereka mencerminkan perwatakan dan mentaliti kita sendiri.

Pilihan raya yang akan datang sewajarnya kita jadikan batu loncatan untuk mewujudkan Parlimen kelas pertama. Kita harus sedar, tanggungjawab utama seorang Ahli Parlimen adalah dalam proses perundangan negara. Bukannya untuk menjaga longkang kita, atau menjadi tempat aduan sekiranya ada pokok terhempas di jalan di belakang rumah kita. Tanggung jawab Ahli Parlimen bukanlah melawat kawasan mahupun memastikan kebahagiaan rakyat yang diwakilinya. Ketika Parlimen berjalan, tidak ada sebab mengapa seorang Ahli Parlimen itu tidak boleh hadir. Ingat, saraan mereka adalah dibiayai oleh rakyat. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya ‘ponteng’ dewan.

Parlimen kelas pertama hanya akan wujud sekiranya ia dipenuhi dengan Ahli Parlimen kelas pertama, yang mempunyai intelek, telus dan bersih serta mempunyai pengetahuan am luas supaya dapat berdebat, berbincang tentang pelbagai jenis bidang. Ahli Parlimen yang bersopan dan bersantun, walaupun bersemangat dalam mengetengahkan suara rakyat diwakilinya. Ini bermakna, kita tidak boleh lagi memilih Ahli Parlimen semata-mata kerana sering melihatnya ‘turun padang’. Apa yang penting adalah sama ada dia dapat menyumbang secara membina kepada kelangsungan perundangan negara.

Kita memerlukan pencerahan budaya dan minda dalam pemilihan wakil rakyat. Barulah kita dapat berbangga dengan Parlimen yang kita ada.

ISU SOSIAL : Kurang pendedahan punca jumlah penderma organ rendah



Oleh Nor Fariza Ramlan
norfariza@bharian.com.my


WALAUPUN fatwa mengharuskan pendermaan organ sudah lama wujud dalam negara kita seawal 1962 lagi, tahap kesediaan masyarakat khususnya orang Melayu untuk menjadi pengikrar masih lagi rendah.

Halangan seperti ahli keluarga tidak bersetuju serta beranggapan menderma organ akan mencederakan atau menyeksa mayat menjadi faktor kekurangan pengikrar sehingga tahun ini.

Kempen mengenai isu terbabit dan perbincangan dari perspektif umum atau agama sudah mula dijalankan secara giat oleh agensi terbabit dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

Apa yang mengecewakan sehingga Februari tahun ini, walaupun kesedaran dilihat meningkat secara perlahan, pengikrar derma organ dalam kalangan masyarakat Melayu masih pada tahap amat rendah dengan jumlah 18.78 peratus, manakala masyarakat Cina (54.23 peratus), India (24.14 peratus) dan bangsa lain (2.82 peratus).

Dari segi definisi, pendermaan organ ialah proses mendermakan sebahagian tubuh badan untuk tujuan pemindahan bagi organ dan tisu yang masih berfungsi daripada penderma masih hidup atau meninggal dunia kepada pesakit.

Ia kaedah rawatan terbukti dapat menyelamatkan nyawa mereka yang mengalami kegagalan organ dan buat masa ini, dianggarkan lebih 15,000 pesakit memerlukan buah pinggang sedang menanti organ bagi proses pemindahan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kesedaran masyarakat negara ini untuk menderma masih kurang iaitu tidak sampai satu peratus daripada 28.3 juta rakyat bersedia menjadi pengikrar.

“Sehingga Februari tahun ini, seramai 190,041 individu mendaftar sebagai pengikrar dengan wanita mewakili 54.3 peratus, mendahului lelaki pada kadar 45.16 peratus.

“Tidak dinafikan sepanjang proses kempen berjalan, pembabitan masyarakat Melayu menunjukkan peningkatan melalui kaedah penyampaian maklumat yang baik ketika menjawab pelbagai persoalan yang dilontarkan,” katanya.

Katanya, mereka yang beragama Islam perlu didedahkan mengenai proses ini yang mendapat sokongan Majlis Transplantasi Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan.

“Satu buku berkaitan pemindahan organ diterbitkan bertajuk Pemindahan Organ Dari Perspektif Islam bagi membincangkan isu yang sering menjadi pertanyaan.

“Buku ini boleh didapati di hospital kerajaan, jabatan kesihatan atau memuat turun salinan digital melalui laman web Kementerian Kesihatan,” katanya.

Melalui kempen Sejuta Rakyat Berikrar Sokong Pendermaan Organ, ia lebih fokus untuk menggalakkan pendaftaran sebagai penderma kardaverik (selepas meninggal dunia).

Organ serta tisu yang boleh didermakan ialah jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, mata (kornea), injap jantung, tulang dan kulit.

Pendermaan selepas meninggal dunia digalakkan kerana pelbagai organ dan tisu boleh digunakan dan memberi manfaat serta hidup baru kepada ramai pesakit.

Sehingga tahun ini, seramai 364 penderma kardaverik berjaya menunaikan hasrat mereka dengan 738 organ berjaya dimanfaatkan.

Jumlah organ dan tisu yang dimanfaatkan ialah buah pinggang (197), jantung (27), hati (44), paru-paru (9), injap jantung (143), kornea (246), kulit (15) dan tulang (65).

Kempen berkenaan menyasarkan sebanyak sejuta orang mendaftarkan diri sebagai pengikrar dan juga berharap lebih banyak NGO, persatuan penduduk, persatuan agama akan tampil memberikan sokongan kepada program ini.

Lee berkata, kesedaran bukan saja dilakukan dalam kalangan penduduk, malah Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ mengunjungi sekolah bagi mendekati generasi muda di institusi pengajian tinggi (IPT).

Selain memberi kesedaran, kempen ini dapat mengatasi aktiviti pemerdagangan organ dengan mengangkat pendermaan organ sebagai perbuatan mulia di sisi agama tanpa perlu membuat pembayaran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : 889 Rakyat Malaysia Ditahan Di Luar Negara Sejak 10 Tahun Lalu Kerana Dadah


KUALA LUMPUR: Seramai 889 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan dadah sejak 10 tahun lepas, sekaligus menjadikan jumlah paling tinggi rakyat negara ini ditahan atas kesalahan itu berbanding kes jenayah lain yang dilakukan di negara luar.

Ini diikuti dengan pemalsuan kad kredit iaitu 248 orang, lain-lain (158), mencuri (105), Imigresen (85), jenayah komersial (84), menipu (65), pemerdagangan manusia (50), pemalsuan dokumen (44) dan membunuh seramai 27 orang.

Statistik Kementerian Luar yang diambil dari tahun 1991 hingga tahun lepas itu juga mendedahkan jumlah keseluruhan rakyat negara ini ditahan di negara luar adalah seramai 1,941 orang, menurut Pegawai Khas Menteri Luar Neow Choo Seong.

"Seramai 1,755 yang ditahan telah disabitkan kesalahan, manakala 186 lagi telah dibebaskan," katanya dalam satu seminar Kesedaran Rakyat Mengenai Keldai Dadah (SEDARLAH) di Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskills di sini, Khamis.

Daripada statistik itu, katanya seramai 81 orang rakyat negara ini dipenjarakan seumur hidup, 33 dikenakan hukuman mati manakala selebihnya dipenjarakan antara lima hingga 30 tahun di luar negara, katanya.

"Daripada 33 orang yang dikenakan hukuman mati itu, 25 daripada mereka melakukan kesalahan berkaitan dadah, manakala lapan lagi kerana membunuh.

"Tahun paling tinggi rakyat negara ini ditahan atas kesalahan dadah pula adalah pada 2007 iaitu seramai 145 orang, 2008 seramai 138 ditahan, 2009 (135), 2010 (126) dan tahun lepas seramai 72 orang ditahan," katanya.

Beliau berkata ini membuktikan kesalahan paling serius dilakukan rakyat negara ini di negara luar adalah dadah dan perkara yang sering dikaitkan dengannya adalah 'keldai dadah'.

"Keldai dadah merujuk kepada seseorang yang secara sukarela atau terpedaya untuk menjadi kurier membawa dadah atau barang seludup ke negara lain. Antara taktik penyeludupan adalah menyembunyikan dadah tersebut di dalam kenderaan, dalam bagasi atau beg pakaian, mengikat atas badan atau menelannya," katanya.

Neow juga mendedahkan, kira-kira 80 peratus daripada kalangan rakyat negara ini yang dikesan terlibat menjadi keldai dadah adalah terdiri daripada golongan lelaki. Katanya laporan dari Bahagian Konsular Wisma Putra itu membuktikan bilangan lelaki adalah golongan tertinggi terlibat menjadi keldai dadah berbanding wanita iaitu hanya 20 peratus.

"Bila bercakap mengenai keldai dadah, tentu kita akan terbayangkan wanita selalunya yang akan jadi mangsa atas faktor terjerat dalam percintaan atau mengejar kemewahan. Tetapi sebenarnya lelaki juga tidak terkecuali dan golongan ini dikesan paling ramai terlibat," katanya kepada Bernama.

Neow berkata, kebanyakan golongan lelaki yang dikesan menjadi keldai dadah pula ditangkap secara berkumpulan kerana mereka sebelum itu mengagih-agihkan dadah tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan hukuman lebih berat dikenakan sekiranya ditangkap.

"Kalau wanita melakukannya (keldai dadah) secara seorang diri, lelaki pula melakukannya secara berkumpulan seperti apa yang berlaku di New Zealand tahun lepas. Enam lelaki kita ditahan di sana kerana membawa dadah. Ini adalah satu strategi bagi mengelakkan mereka dikenakan hukuman berat.

"Contohnya kalau seorang sahaja yang bawa tiga kilogram dadah, tentulah hukuman berat dikenakan ke atasnya. Tapi kalau seorang ditahan dengan membawa 500 gram dadah sahaja, (selepas dibahagikan dengan ahli kumpulan lain) hukuman yang dikenakan tentulah lebih rendah," katanya.

Beliau berkata apa yang boleh dilakukan kementerian itu untuk membantu mangsa yang ditahan di luar negara adalah dengan membuat lawatan konsular ke pusat-pusat tahanan atau penjara, mendapatkan bantuan guaman dengan memberi jaminan perbicaraan dilakukan secara adil dan saksama.

"Kementerian juga bertanggungjawab menjamin hak-hak asasi rakyat Malaysia terlindung di bawah undang-undang tempatan dan undang-undang antarabangsa," katanya.

Neow berkata antara kesan sosial dari gejala 'keldai dadah' ini adalah keruntuhan akhlak dan moral, modal insan kepada negara berkurangan dan pembangunan sosial terbantut.

"Dari segi ekonomi pula, ia akan mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi akibat ketidakstabilan sosial. Ia akan menjejaskan pelaburan asing sekaligus membantutkan ekonomi negara," katanya.

Neow berkata dari segi politik pula, imej negara di arena antarabangsa akan tercalar, menjejaskan hubungan baik dengan negara lain dan wawasan serta dasar negara sukar tercapai. - BERNAMA

ISU KESIHATAN : Makan sihat, badan selamat


Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada 2015 kira-kira 2.3 bilion penduduk dunia akan mempunyai berat badan berlebihan.

Daripada jumlah tersebut, 700 juta akan mengalami masalah kegemukan keterlaluan atau obesiti.

Apa yang membimbangkan, masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak semakin menular dan meningkat tahun demi tahun di negara-negara membangun.

Di Malaysia, sehingga tahun 2010, peningkatan kes obesiti yang direkodkan dalam kalangan keseluruhan kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun adalah 10 peratus.

Oleh yang demikian, pendidikan dalam pemilihan makanan yang betul harus diberikan kepada ibu bapa kerana mereka berperanan menyediakan keperluan makanan seimbang sejak anak dilahirkan sehingga dewasa.

Namun begitu, makanan tanpa aktiviti fizikal juga masih belum cukup dan inilah yang ditekankan kepada ibu bapa, guru dan juga kanak-kanak supaya mereka dapat menyeimbangkan keperluan harian bukan saja pada pengambilan makanan tetapi senaman.

Dalam hal ini, Chef Selebriti, Florence Tan, memberitahu, ibu bapa boleh menyediakan cara hidangan pelbagai bukan dengan cara menggoreng tetapi kukus, panggang, bakar dan rebus.

Selain itu ulasnya, ibu bapa juga harus memastikan adanya tiga jenis sajian sayur-sayuran dan dua jenis buah-buahan dalam setiap hidangan.

"Mungkin bagi kanak-kanak, menu sayur-sayuran tidak menjadi pilihan mereka dan ibu bapa perlu memainkan peranan penting serta bijak memilih sayur-sayuran pelbagai warna dengan cara masakan berbeza setiap hari.

"Apa yang penting pastikan dalam setiap hidangan seimbang, pelbagai serta mengikut piramid makanan," katanya ketika ditemui pada program Kanak-kanak Sihat Nestle di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Florence turut mengadakan demonstrasi masakan cara sihat selain menunjukkan cara mudah menyediakan tiga jenis makanan berkhasiat untuk anak-anak iaitu salad sayuran, jus tembikai susu dan lempeng pisang.

Katanya, untuk memastikan mendapat khasiat pemakanan yang secukupnya, ikuti lapan langkah asas berikut dalam memilih makanan yang sihat sebagaimana yang termaktub dalam Garis Panduan Pemakanan Malaysia iaitu:

Nikmati kepelbagaian makanan

i. Makanan yang berlainan membekalkan kombinasi tenaga dan nutrien yang berlainan.
ii.Cara terbaik untuk mendapatkan keperluan harian kita ialah dengan mengambil pelbagai makanan yang menggabungkan bijirin, buah-buahan dan sayuran, daging, ikan, ayam, legum dan produk tenusu.

Kekalkan berat badan sihat

i. Kekalkan berat badan yang sihat atau turunkan berat badan yang berlebihan.
ii. Berat badan yang sihat boleh membantu mencegah masalah kesihatan dan mencantikkan bentuk badan.

Utamakan produk bijirin, kekecang, buah-buahan dan sayuran

i. Makanan ini membekalkan karbohidrat kompleks, protein, vitamin, mineral, serat dan komponen lain yang penting untuk kesihatan.

Kurangkan lemak

i. Pengambilan lemak secara berlebihan boleh menaikkan berat badan dan menjejaskan kesihatan.

Kurangkan garam

i. Garam (sodium) berlebihan dikaitkan dengan tekanan darah tinggi.

ii.Garam terdapat secara semula jadi dalam banyak makanan mentah dan makanan terproses.

Gunakan gula secara berhemat

i. Selain membekalkan karbohidrat biasa, gula tidak mengandungi nutrien lain.

Air nadi kehidupan

i. Minum sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas air sehari.
ii. Air penting untuk banyak fungsi badan termasuk penghadaman, penyerapan, nutrien, kawalan suhu badan dan pembuangan kotoran daripada badan.

Susu ibu paling baik

i. Susu ibu membekalkan segala nutrien yang diperlukan oleh bayi untuk membesar dengan sihat dan sempurna.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Kawal tingkah laku anak elak bertindak liar


Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
bhnews@bharian.com.my


KITA dikejutkan dengan berita kehilangan ramai remaja perempuan sejak mutakhir ini sama ada disebabkan kes culik, sengaja lari dari rumah atas faktor marahkan keluarga atau mengikut teman lelaki.

Kejadian ini seperti menggambarkan kepada kita permasalahan akhlak dalam generasi muda hari ini agak membimbangkan. Ramai remaja hari ini terbabit dalam masalah moral dan akhlak yang rendah. Mereka begitu mudah melanggar peraturan dan undang-undang negara dengan terbabit dalam kegiatan jenayah seperti merogol, membunuh, menagih dadah, mencuri, peras ugut serta menjadi ahli kongsi gelap.

Di peringkat sekolah, menurut satu kajian yang pernah dibuat oleh Kementerian Pelajaran pada 2004, hampir separuh kes pelanggaran disiplin yang berlaku adalah berpunca daripada sikap pelajar itu sendiri seperti sentiasa bersifat menentang, bertindak mengikut perasaan, nakal, malas dan sebagainya.

Banyak pihak menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai cara atau kaedah yang perlu diambil bagi membendung permasalahan ini. Namun begitu terdapat beberapa kaedah dan langkah yang diambil tidak langsung meninggalkan kesan.

Kini, masyarakat semakin gusar dengan meningkatnya kes culik, bunuh dan rogol dalam kalangan kanak-kanak bawah umur.

Senario yang agak genting ini jika dibiarkan berterusan, pastinya akan membawa impak besar kepada pembangunan bangsa Malaysia yang sedang bangkit menuju kemajuan.

Justeru, kita perlu menyuburkan budaya nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam. Tanggungjawab itu bergantung pula kepada keupayaan diri seseorang itu apabila berada dalam kelompok manusia yang tertentu dan mengikut tahap keilmuan yang dimiliki individu.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan salih dan nasihat menasihati agar mentaati kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Dalam hadis Rasulullah SAW ada dinyatakan tanggungjawab setiap mukmin yang perlu membuat teguran dan perubahan kepada sebarang bentuk kemungkaran yang berlaku di depan mata sama ada dengan lidahnya, tangannya dan jika tidak mampu juga dengan bisikan hatinya menyatakan kebencian terhadap maksiat yang berlaku itu.

Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak terutama yang dalam usia remaja, ibu bapa memainkan peranan cukup besar menentukan hala tuju serta arah hidup mereka seharian. Pengawasan yang ketat dengan kebebasan yang fleksibel perlulah dirangka dan dilaksanakan bagi mengelakkan mereka daripada mudah terjerumus ke dalam gejala sosial.

Ibu bapa juga perlulah mengisi kehidupan berkeluarga dengan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan sambil diiringi nilai kasih sayang berpanjangan. Anak memerlukan perhatian dan bimbingan daripada ibu bapa.

Justeru, jika ibu bapa mengabaikan tugasan ini lantaran terlalu sibuk bekerja tanpa mempedulikan anak, siapakah yang harus dipersalahkan?

Semua anggota masyarakat perlu bersama-sama berusaha untuk memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung serta membanterasnya. Allah SWT berpesan dalam kitab suci Al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa juga bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan.

Masyarakat setempat juga hendaklah sensitif dengan keadaan sekeliling seperti saling bantu-membantu di antara satu sama lain menjaga kebajikan serta keselamatan jiran. Amalan ini mungkin dianggap lapuk tetapi ia sepatutnya dihidupkan semula.

Sikap sombong dan tidak mahu saling kenal-mengenali dan berbaik-baik dengan jiran harus dihapuskan. Kita perlu menyemai dan menanam semangat kejiranan seperti yang dianjurkan sunnah.

Sementara itu, anak perlu ditanam dalam hati mereka membenci segala bentuk kemungkaran dan mencintai yang makruf.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang inginkan dunia, maka hendaklah dia menuntut ilmu, siapa yang inginkan akhirat, maka dia perlu menuntut ilmu, dan sesiapa yang ingin kedua-duanya maka hendaklah ia menuntut ilmu”.

Peranan mendidik anak tidak harus dilepaskan oleh ibu bapa kepada para guru dan pihak sekolah semata-mata. Dalam pendidikan akhlak umpamanya, ibu bapa berperanan besar dalam menentukan sahsiah diri anak-anak mereka.

Dalam hal ini, pendidikan rohani menerusi solat perlu diutamakan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Suruhlah anakmu mengerjakan solat apabila berumur tujuh tahun, dan pukul mereka jika tidak bersolat apabila berusia 10 tahun.”

Apabila meningkat usia remaja, ibu bapa seharusnya menjadi sahabat yang paling rapat dengan anak. Tetapi agak malang juga kerana ada segelintir ibu bapa yang mengabaikan tugas dan peranan mereka pada waktu ini dengan membiarkan anak membawa diri masing-masing, tidak mengendahkan arah hidup mereka, apatah lagi mengambil tahu sebarang permasalahan yang dihadapi oleh anak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/