Selasa, 8 Disember 2009

PENGURUSAN TAK EFISIEN PUNCA KEMUSNAHAN ALAM SEKITAR

Oleh Mohd Nazifi Nawawi

Kepesatan pembangunan tanpa perancangan strategik penyebab pencemaran, jejas kualiti hidup

DALAM usaha mengejar kemajuan dan meningkatkan taraf hidup penduduk, kegiatan ekonomi dan projek pembangunan sesebuah negara, tidak dapat dielakkan. Namun, timbul pula kesan negatif kepada alam sekitar daripada proses pembangunan dan pemodenan disebabkan manusia sering mengabaikan masalah alam sekitar yang timbul daripada proses pembangunan itu.

Semua kesan negatif ini semakin menggugat kesihatan manusia, sumber ekonomi dan kemandirian bumi. Untuk mengurangkan kesan negatif pembangunan ke atas alam sekitar, setiap aktiviti ekonomi dan pembangunan mesti diseimbangkan dengan usaha pengurusan dan pemeliharaan alam.

Pencemaran boleh ditakrifkan sebagai 'pembuangan benda atau bahan hasil daripada aktiviti manusia ke alam persekitaran yang akan menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan'.

Takrifan pencemaran berdasar Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 ialah 'pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat fizik, kimia, biologi atau aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepas, mengeluar atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan berfaedah, yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma lain, tumbuhan dan haiwan."

Konsep pencemaran amat bergantung atau bersandar kepada sesuatu nilai atau pengukuran ditetapkan ke atas sesuatu faktor yang menimbulkan pencemaran itu sendiri. Tanpa nilai ini, konsep pencemaran menjadi kabur.

Misalnya, sungai menjadi tercemar hanya apabila didapati daripada pengukuran bahawa kandungan sesuatu bahan kimia di dalam sungai terbabit melepasi paras bahaya. Pencemaran dapat dikategorikan kepada pencemaran air, udara, bunyi dan tanah.

Pencemaran air bermaksud perubahan yang berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan akan memberikan kesan terhadap manusia apabila digunakan. Pencemaran ini berlaku sama ada dari segi biologi dan kimia. Bahan pencemar pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk iaitu gas, cecair dan pepejal.

Pencemaran air boleh berlaku di mana-mana saja tempat berair seperti sungai, laut, tasik dan kolam. Oleh itu, pencemaran air adalah pencemaran yang begitu meluas kerana sebahagian besar bumi diliputi air.

Pembuangan bahan buangan seperti sampah, minyak dan najis oleh sesetengah pihak atau individu adalah penyumbang kepada pencemaran air. Selain itu, penerokaan kawasan untuk tujuan pembangunan dan pembinaan juga menjadi punca pencemaran air.

Penerokaan dijalankan akan menyebabkan hakisan tanah berlaku dan seterusnya hakisan tanah ini akan memasuki sungai.

Mendapan akan terbentuk di mana mendakan ini akan menyebabkan paras sungai semakin cetek dan ia boleh meningkatkan risiko berlakunya pula banjir. Punca pencemaran air yang lain ialah daripada sisa bahan buangan industri seperti sisa toksik yang dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pemilik industri membuang sisa industri mereka ke dalam sungai kerana ini adalah jalan mudah dan cepat kerana tidak memerlukan kos pelupusan untuk sisa terbabit. Sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata, membutakan hati dan perasaan manusia terhadap alam sekitar.

Pengusaha industri umpamanya berusaha menjimatkan kos dengan mengambil jalan mudah membuang sisa industri ke dalam sungai walaupun menyedari kesannya terhadap sungai. Selain itu, kekurangan pengetahuan menyebabkan pemilik industri tidak mengambil berat serta cuba mengelak piawaian keselamatan ditetapkan sama ada berhubung dengan keselamatan manusia atau kestabilan alam sekitar.

Pembangunan tidak boleh dipersalahkan sebagai punca kemusnahan alam sekitar kerana pembangunan diperlukan untuk sesebuah ketamadunan yang maju. Sebaliknya, masalah dan kesan negatif yang timbul daripada pengurusan alam sekitar yang tidak efisien dan tidak berkesan perlu dipandang berat kerana sungai adalah sumber air paling utama.

Kepesatan pembangunan industri, perumahan dan pembukaan tanah baru menyebabkan banyak sungai yang hilang keupayaan untuk memainkan peranan semula jadinya. Sekiranya fenomena ini berterusan, tidak mustahil rangkaian sungai di seluruh negara akan tercemar.

Pencemaran udara pula berlaku apabila wujud bendasing dalam kepekatan udara yang mengganggu atau membahayakan manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan harta benda. Bendasing ini dalam bentuk habuk, asap, kabus, wap dan pelbagai jenis gas (antaranya karbon monoksida, nitrogen oksida, hidrokarbon dan sulfur oksida) atau sebarang campuran bahan ini.

Antara punca pencemaran udara adalah asap kenderaan diikuti stesen jana kuasa, pembakaran bahan api industri, pemprosesan industri dan pembakaran terbuka. Perokok yang menghembuskan asap rokok dan pembakaran sisa buangan di kawasan perumahan secara tidak terkawal juga memberi kesan kepada pencemaran udara.

Pembangunan tanpa perancangan yang strategik boleh membawa kesan buruk yang akan mengancam kualiti alam sekitar. Jumlah kenderaan di seluruh negara didapati meningkat hampir dua kali ganda sejak 1980. Keadaan ini berbahaya kepada alam sekitar kerana gas karbon monoksida daripada asap kenderaan boleh menjejaskan kesihatan manusia dan juga menipiskan lapisan ozon. Pencemaran alam sekitar melalui pencemaran udara ini ditimbulkan oleh sikap manusia itu sendiri.

Pencemaran bunyi ialah bunyi bising yang keterlaluan sehingga menyakitkan telinga. Antara puncanya ialah bunyi kenderaan bermotor. Pada kebiasaannya, setiap model kenderaan bermotor dicipta mengikut piawaian di bawah paras bahaya pencemaran bunyi. Namun, ada segelintir masyarakat yang gemar mengubah tahap bunyi kenderaan mereka sehingga menimbulkan ketidakselesaan orang awam.

Selain itu, industri juga adalah penyumbang ke arah pencemaran bunyi di mana bunyi ini datangnya daripada penggunaan jentera dan kenderaan. Industri yang berdekatan dengan kawasan perumahan dan tidak memenuhi syarat ditetapkan, akan menyebabkan pencemaran bunyi kepada penduduk terbabit. Aktiviti kuari juga menyumbang kepada pencemaran bunyi menerusi bunyi pemecahan batu, penggerudian dan pemunggahan batu ke lori.

Pencemaran tanah bermaksud perbuatan yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga terjadinya perubahan warna, kesuburan dan hakisan. Pencemaran ini disebabkan bahan buangan sama ada dalam bentuk cecair atau pepejal. Bahan pencemar pula terdiri daripada pencemar organik dan kimia.

Antara punca pencemaran tanah ialah pembuangan bahan buangan daripada industri seperti minyak, sisa toksik dan sisa industri, pembuangan sampah merata-rata serta penggunaan racun serangga secara berlebihan.

Tidak dinafikan, ada manusia yang jarang menghargai nilai semula jadi flora dan fauna yang sangat menarik dan indah. Penebangan pokok dan industri pembalakan di kawasan terbabit, kononnya untuk menggerakkan industri hiliran bagi membangunkan ekonomi negara, memberi kesan negatif terhadap alam sekitar. Kesan penebangan mengubah sama sekali rupa bentuk di kawasan berkenaan.

Pencemaran tanah juga memberi kesan ke atas aktiviti manusia. Jika hampir kesemua tempat dicemari, manusia sudah tidak berpeluang lagi untuk melihat keindahan alam ini. Tanah yang dicemari tidak sesuai lagi untuk dijalankan aktiviti pertanian kerana bahan pencemar kimia akan membunuh dan mengganggu tumbesaran tumbuhan yang ditanam.

Penukaran tanah daripada hutan kepada pertanian menyebabkan berlakunya penebangan hutan secara meluas. Selain mengurangkan jumlah hutan asal dan biodiversiti hutan dan hidupan liar, penebangan hutan ini juga turut menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh di Malaysia.

Penebangan hutan yang berterusan dan kemusnahan hutan di kawasan tadahan air akan menjejaskan bekalan air dan kualiti sumber air, menjejaskan kemampuan pengambilan air bawah tanah dan akan menyebabkan lebih banyak berlakunya banjir di kawasan tanah rendah.

Pembangunan yang tidak dirancang dengan berkesan seperti pembalakan dan pembukaan tanah secara berleluasa, akan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar contohnya berlaku hakisan tanah, perubahan iklim, kesan kepada rumah hijau dan banjir.

Kesimpulannya, Malaysia sememangnya sebuah negara yang berkembang pesat serta maju dalam pelbagai bidang. Namun, dalam kepesatan pertumbuhannya itu, ramai yang tidak menyedari ia juga membawa kesan sampingan terhadap alam sekitar.

Sebenarnya, punca utama kemusnahan alam sekitar adalah hasil perbuatan manusia sendiri yang tidak mempunyai nilai peka terhadap isu alam sekitar. Sayang pada alam sekitar, patuh kepada undang-undang dan bertanggungjawab boleh membantu meminimumkan pencemaran alam sekitar. Manusialah yang perlu rasional menangani keadaan ini.

Penulis ialah Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor

Sumber : http://www.bharian.com.my/