KUALA LUMPUR : Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
meminta pekerja yang mengikuti perlawanan bola sepak Eropah UEFA 2012 (EURO
2012) menguruskan masa rehat secukupnya bagi mengelak produktiviti kerja mereka
menurun.
Ini berikutan, kejohanan edisi ke-14 yang akan membuka
tirainya pada 8 Jun hingga 3 Julai depan dilihat mempunyai pengikut ramai
termasuk di kalangan pekerja terutama generasi muda.
Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan, berkata walaupun semua
jadual perlawanan EURO 2012 tahun ini berlangsung awal pagi, namun ia bukan
alasan pekerja gagal menunjukkan prestasi kerja cemerlang sepanjang acara itu
berjalan.
Katanya,
pengurusan waktu secara bijak serta sesuai perlu dirancang dan diatur bagi
membolehkan mereka tidak dibelenggu keletihan berpanjangan sehingga mengganggu
kerjaya diamanahkan.
“Apabila tiba musim bola (EURO 2012), kita akan dengar
pelbagai kerenah pekerja seperti keletihan, kurangnya produktiviti kerja dan
kekerapan mengambil cuti.
“Sebab itu, pengurusan masa (rehat) amat penting bagi
mengelak minat (menonton bola sepak) menjejaskan mutu kerja. Mungkin
apabila bola (perlawanan) mula awal pagi, mereka (pekerja) boleh ambil masa
rehat atau tidur lebih awal,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif
Persatuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan dalam sebuah portal semalam
yang menjangka produktiviti pekerja secara keseluruhan akan menurun dan memberi
kesan kepada mereka yang tidak mengikuti kejohanan itu.
Kejohanan EURO 2012 yang berlangsung di Poland–Ukraine
dengan membariskan pemain bola sepak terkemuka dunia dari 16 negara gergasi
Eropah akan disiarkan awal pagi iaitu sekitar jam 12 tengah malam dan 2.45 pagi.
Sehubungan itu, Khalid berharap pekerja dapat mengutamakan
kerjaya mereka, berbanding minat terhadap bola sepak.
Sementara itu, Shamsuddin berkata, berdasarkan pengalaman
sebelum ini, majikan perlu bersedia berdepan dengan kadar ketidakhadiran tinggi
ketika berlangsungnya acara seperti EURO 2012 dan sukan Olimpik sama ada
pekerja mengambil cuti sakit atau tidak hadir.
“Jika ramai pekerja mengambil cuti (disebabkan EURO 2012),
maka beban kerja tambahan mereka terpaksa diserahkan kepada pekerja lain,”
katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/