Selasa, 24 Julai 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : IPT Perlu Pertingkat Ciri Keselamatan Dalam Pengeluaran Ijazah


KUALA LUMPUR : Ciri keselamatan sijil, diploma dan ijazah yang dikeluarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) adalah minimum dan mudah dipalsukan sehingga mewujudkan sindiket pemalsuan ijazah baru-baru ini.

Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Bhd (PNMB) Izham Yusoff berkata orang ramai seharusnya tidak mudah terpedaya dengan tawaran 'ijazah segera' menerusi laman web dan ia juga tidak logik kerana tidak memerlukan seseorang menghadiri kuliah di IPT untuk tempoh tertentu.

"Kes pemalsuan ijazah dengan menggunakan nama Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi laman web tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan menjejaskan kredibiliti dan nama baik IPTA, IPTS dan nama Malaysia secara keseluruhan, maka itu, semua pihak harus memberi perhatian serius mengenai kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media pada 1 Julai lepas bahawa wujudnya kegiatan sindiket yang menawarkan ijazah palsu menggunakan nama Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi laman web pada harga mencecah RM5,000.

Izham berkata PNMB setakat ini tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan pemalsuan sijil dan diploma kerana setiap produk PNMB mempunyai ciri-ciri keselamatan tambahan, antaranya, penggunaan kertas sekuriti dan teknologi moden.

"Lain-lain aspek keselamatan yang diguna pakai ialah reka bentuk keselamatan, kod rahsia, dakwat, nombor siri, tera air tersembunyi dan pelbagai lagi boleh menambah tahap sekuriti dokumen (sijil dan diploma) tersebut," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap ciri keselamatan untuk pembuatan sijil dan diploma tidak sama dengan ciri-ciri keselamatan yang terdapat dalam wang kertas yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ditanya adakah setiap sijil, diploma dan ijazah yang dikeluarkan PNMB mempunyai nombor siri atau nombor keselamatan sama seperti yang diguna pakai BNM, Izham berkata setiap IPTA, IPTS mempunyai nombor siri dan keselamatan sendiri tetapi itu hanya untuk kawalan dokumen dan pemantauan semata-mata dan bukan merupakan ciri keselamatan.

Setiap sijil dan diploma yang dihasilkan PNMB akan disimpan di dalam salinan digital berciri sekuriti untuk rekod simpanan dan semakan oleh pihak IPTA dan IPTS, katanya.

"Digital berciri sekuriti ini membolehkan pihak yang berkenaan seperti majikan, institusi kewangan dan badan kerajaan membuat semakan kesahihan dokumen itu dengan IPTA dan IPTS berkenaan kelak," katanya.

PNMB sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, memang bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak-pihak lain yang berkaitan dalam memerangi pemalsuan dokumen ini, kata Izham.

"PNMB mempunyai tenaga kerja pakar dan juga alatan khas untuk mengesan dokumen palsu," katanya.

Izham menegaskan bahawa sehingga kini tidak wujud sindiket yang melibatkan 'orang dalam' PNMB kerana ia mempunyai sistem sekuriti dan pemantauan yang terkini untuk memastikan kegiatan itu tidak berlaku.

PNMB adalah sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan DiPerbadankan yang memberi perkhidmatan dan penyelesaian percetakan untuk pelanggan dari sektor kerajaan dan swasta dan merupakan syarikat cetak terbesar di Malaysia dengan rangkaian 12 cawangan di seluruh negara. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Penglibatan ibu bapa tentukan kejayaan anak


Oleh : AZMY MOHAMED

PENGLIBATAN ibu bapa dengan pembelajaran anak khususnya ketika di rumah sangat penting dan kajian membuktikan ia membawa perubahan yang ketara dalam kejayaan seseorang anak.

Kajian peringkat antarabangsa Program Pentaksiran Murid Antarabangsa 2009 yang dilakukan oleh Pertubuhan untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan menunjukkan bahawa cara bagaimana penglibatan ibu bapa menggunakan masa bersama anak di rumah mempengaruhi kejayaannya.

Hal ini disokong oleh statistik bahawa 52 peratus masa murid dihabiskan di rumah dan di dalam komuniti berbanding hanya 15 peratus masanya berada di sekolah.

Data ini diperoleh daripada sampel jadual waktu murid 2011 Kementerian Pelajaran Malaysia untuk kegunaan masa murid berumur tujuh hingga 16 tahun berdasarkan 42 minggu di sekolah dengan purata 5.5 jam di sekolah setiap hari, dua jam masa kokurikulum wajib seminggu dan masa tidur lapan jam sehari.

Justeru, salah satu inisiatif dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) adalah penglibatan ibu bapa, komuniti serta sektor swasta dalam pendidikan dan ia akan dilaksanakan pada Hari Terbuka GTP pada 24 Julai 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Melalui penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak. Anak akan mencapai keputusan akademik yang lebih cemerlang serta mempunyai nilai kendiri dan motivasi yang lebih tinggi di samping rekod kehadiran ke sekolah yang lebih baik.

Ibu bapa pula mendapat manfaat dari segi mengakses sumber berkaitan keibubapaan dan memperoleh pengetahuan mengenai sistem serta prosedur sekolah untuk mendapatkan program bantu sekiranya diperlukan.

Apa yang lebih penting adalah mewujudkan suasana pembelajaran di rumah seperti menyediakan ruang atau sudut untuk anak belajar dan memastikan anak mempunyai serta mematuhi jadual ulang kaji.

Sediakan juga buku rujukan walaupun yang terpakai kerana ia akan membantu anak-anak membuat penyelidikan bagi memahami sesuatu perkara.

Jika boleh, ibu bapa perlu menemani anak semasa dia sedang belajar kerana kehadiran anda mengukuhkan perasaan dan mengekalkan tumpuannya. Pastikan bunyi televisyen atau radio direndahkan untuk mengurangkan gangguan.

Adalah lebih jika perkara ini dipupuk sejak anak kecil lagi iaitu dengan membacakan buku kepadanya kerana ia merupakan satu aktiviti yang dapat merangsang minat terhadap membaca, menyemai kecintaan terhadap buku dan ilmu.

Pada masa yang sama, ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak dan perbualan merupakan interaksi yang asas untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau isu secara sepakat.

Melalui perbincangan dengan anak mengenai pelajaran, ibu bapa dapat mengetahui perkembangan pencapaiannya, mengatasi keraguannya, membimbingnya merangka tindakan dan mententeramkan kerisauannya. Melalui perbincangan juga akan menghasilkan suatu pandangan bersama tentang sasaran anak dalam pelajaran di samping membantunya mencapai cita-cita.

Maka, bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak, mulai 2013, Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) akan diwujudkan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Objektif KSIB antaranya adalah untuk mewujudkan rangkaian dan jalinan antara ibu bapa untuk saling belajar dan berkongsi amalan terbaik bagi membantu pembelajaran anak, membantu apabila berlaku krisis, mengukuhkan tingkah laku positif dalam menghadapi masalah dan menyediakan latihan untuk ibu bapa bagi meningkatkan kemahiran.

KISB juga bermatlamat membantu dalam berurusan dengan agensi-agensi pendidikan, perubatan dan lain-lain di samping berkongsi maklumat, pandangan serta sumber.

Untuk memberi pandangan dan maklum balas mengenai cara meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak, sila e-mel kepada saranaibubapa@gmail.com


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Majikan anggap sakit mental masalah terpencil




TIDAK mustahil penyakit mental boleh merebak pantas sehingga pesakitnya berbahaya kepada masyarakat sekiranya tidak dimasukkan ke dalam komuniti pengurusan sempurna dan dipantau secara berterusan.

Ini terutamanya penyakit mental akibat kegagalan mengurus tekanan secara sistematik, sepatutnya diuruskan satu komuniti lebih kecil.

Merujuk kepada penyakit mental dalam kalangan pekerja di Malaysia kini, Ketua Pegawai Pemulihan Kesihatan Mental dan Kaunselor Berdaftar Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Nurhijjah Mat Zin berkata, hal sedemikian tidak mustahil berlaku kepada setiap individu pekerja kerana corak dan budaya pekerjaan kini berhadapan dengan kekangan dan tekanan mencabar.

“Memandangkan budaya kerja pada masa ini lebih mencabar, tekanan pengurusan masa dan bebanan tugas di samping tanggungjawab di luar waktu kerja menjadi faktor penyumbang kepada tekanan mental yang menyebabkan kemurungan di kalangan pekerja.

“Melihat keadaan ini, adalah tidak wajar sekiranya hal berkaitan kesihatan mental dalam kalangan pekerja dipandang remeh. Majikan perlu peka akan keperluan terhadap kesedaran penyakit ini yang berpotensi menyerang sesiapa pun tidak mengira pangkat, usia atau status,” katanya.

Menurutnya, ramai majikan kini ada kesedaran terhadap keadaan ini. “Ini dapat dilihat menerusi data MMHA, di mana ramai majikan telah mendaftar mendapatkan perkhidmatan persatuan ini dalam mengendalikan pelbagai program berkaitan kesihatan mental.  Namun, kesedaran dalam kalangan majikan masih tidak secara menyeluruh.

“Malah, ada sesetengah majikan masih beranggapan penyakit mental sebagai masalah terpencil dan rata-rata mereka mengambil jalan mudah dengan memberhentikan pekerja yang didapati menghidapi tekanan mental. Perkara begini tidak seharusnya terjadi, kerana bukan semua masalah mental tidak boleh diubati.

Pesakit mental ada harapan sembuh sekiranya dirujuk awal dan mendapatkan rawatan berterusan,” katanya.

Majikan prihatin sentiasa bersedia dan peka sekiranya terpaksa berhadapan dengan permasalahan ini.

“Memanglah kebanyakan syarikat kini menyediakan unit kaunseling sebagai rujukan pekerja-pekerja mereka mendapatkan khidmat nasihat sekiranya diperlukan. Namun, kejayaan menerusi pendekatan ini masih boleh saya andaikan tidak berjaya keseluruhannya kerana mentaliti pesakit itu sendiri selain masyarakat di sekelilingnya.

“Seorang pekerja yang menyedari dirinya mengalami simptom kemurungan di tempat kerja sudah pasti sukar atau lebih teruk menolak untuk bertemu kaunselor yang disediakan syarikat kerana berfikiran malu sekiranya diketahui rakan sepejabat atau diketahui majikan bahawa dirinya mengalami tekanan mental atau perasaan.

Oleh itu, majikan boleh membantu dengan cara lain seperti menyediakan saluran dari luar untuk pekerja itu pergi mendapatkan rawatan dengan perasaan bebas tanpa dibelenggu rasa bimbang ‘rahsianya’ bertemu psikiatri diketahui individu sekeliling di pejabat,” katanya.

Katanya, sokongan keluarga amat penting di mana ahli keluarga perlu pastikan pesakit ini mengambil ubat mereka di rumah dan memberi sokongan moral supaya pesakit terjamin dari segi emosi. Semua faktor ini membantu mengelak mereka mengalami relapse menyebabkan tindakan agresif.

“Tindakan segelintir ahli keluarga menyisihkan darah daging mereka sendiri sebaik saja disahkan menghidap penyakit mental sedangkan golongan ini memerlukan sokongan keluarga terdekat seperti menguruskan rawatan tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Menurutnya, selain pesakit, ahli keluarga pesakit juga perlu mengetahui mengenai penyakit ini.

“Mengikuti kursus kaunseling dan program-program berkaitan penyakit mental tidak seharusnya dipandang remeh kerana sekiranya terdapat seorang pesakit mental di dalam keluarga, aspek memberi perhatian sebenarnya adalah tanggungjawab setiap ahli keluarga,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Sakit mental dalam kalangan pekerja isyarat untuk majikan



RAMAI pekerja berhenti secara tiba-tiba; ramai pekerja kerap bercuti sakit; ramai pekerja ponteng; ramai pekerja yang menurun kualiti  dan produktiviti; budaya ampu-mengampu berleluasa; budaya tikam belakang  sesama kakitangan; dan budaya gosip tidak sihat sesama anggota syarikat adalah tanda sesebuah organisasi syarikat itu mempunyai persekitaran kerja tidak sihat dan memiliki pekerja yang mengalami masalah mental.

Pakar psikiatri, Profesor Mohamad Hussain Habil berkata, budaya suasana tempat kerja tidak sihat seperti ini berpotensi besar memberi tekanan kepada pekerja yang akhirnya menjadi penyumbang besar kepada masalah mental dan kemurungan.

“Ramai tidak sedar atau tidak ambil endah dengan tekanan yang dialami di tempat kerja. Kebanyakan masyarakat memikirkan hal ini sebagai perkara biasa dan hanya membiarkannya tanpa diambil sebarang langkah pemulihan atau rawatan.

Sedangkan, tanpa diketahui sebahagian sakit mental iaitu kemurungan berpunca daripada masalah di tempat kerja yang menjadi penyumbang kepada kecelaruan pemikiran akibat arahan ketua yang tidak jelas, masalah komunikasi, pembahagian tugasan kerja yang tidak seimbang, ketua pilih kasih termasuk gangguan seksual,” katanya.

Menurutnya, jika majikan atau organisasi syarikat gagal mengesan atau mengambil pendekatan dan membiarkannya, untuk jangka masa panjang memberi kesan negatif.

“Kesannya tidak kepada pekerja itu semata-mata, malah majikan turut berdepan kerugian dari segi produktiviti mutu pekerja,” katanya sambil memberitahu, menjadi tanggungjawab majikan menyediakan persekitaran tempat kerja baik dan selamat dengan mewujudkan saingan sihat sesama kakitangan.

“Penyediaan tempat kerja yang kondusif boleh menjadi motivasi kepada pekerja bagi menyumbang hasil kerja yang optimum, berproduktiviti tinggi serta meningkatkan keperibadian dan kepuasan diri,” katanya.

Sekiranya berlaku tanda-tanda negatif demikian di dalam organisasi, syarikat perlu segera.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU EKONOMI : Memajukan sektor penjagaan kesihatan



Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my


ESOK saham-saham Integrated Healthcare Holdings Bhd. (IHH), sayap penjagaan kesihatan Khazanah Nasional Berhad secara rasmi akan didagangkan di Bursa Malaysia.

Kejayaan penyenaraian IHH adalah satu lagi bukti kemantapan ekonomi dan kedudukan kewangan Malaysia walaupun dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu berikutan krisis euro.

Selepas tawaran awam permulaan (IPO) Felda Global Ventures Holding (FGV) disenaraikan pada Jun lalu, kini IPO IHH menjadi buruan para pelabur. IHH adalah sebuah syarikat pengendali rangkaian perubatan swasta ke dua terbesar di dunia yang dikuasai oleh Khazanah. Harga tawaran saham IHH pada RM2.80 di Malaysia dan S$1.113 di Singapura dengan jumlah tawaran sebanyak 2.23 bilion saham biasa merupakan tawaran ketiga terbesar di dunia selepas Facebook dan FGV.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis pelancaran prospektus IHH baru-baru ini berkata, penyenaraian IHH menjadi petanda perkembangan signifikan perancangan negara ke arah melupuskan syarikat-syarikat milik kerajaan.

Penyenaraian IHH juga, katanya, akan mengukuhkan lagi pembangunan dan kematangan sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia dan muncul sebagai penggiat utama di peringkat antarabangsa.

Najib berkata, penyenaraian IHH merupakan contoh mengenai komitmen strategi rasionalisasi Khazanah yang jelas dan teratur, yang menyatukan perniagaan terbaik dalam kelasnya menerusi penggabungan, pengambilalihan dan usaha sama.

"Menerusi penyenaraian itu, IHH akan memperkukuh peranannya sebagai kuasa utama dalam sektor penjagaan kesihatan global," katanya.

Pada zahirnya, penyenaraian serentak di bursa saham Malaysia dan Singapura akan menjadikan IHH sebagai tawaran awam permulaan keempat terbesar di Singapura dan kedua terbesar di Malaysia selepas FGV.

Kejayaan besar Khazanah menguasai perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dalam tempoh beberapa tahun sahaja sekali gus meletakkan IHH dan rangkaian hospital terbesar di Asia merangkumi negara seperti Malaysia, Singapura, India, China, Brunei dan Emiriyah Arab Bersatu sebagai pengendali pusat kesihatan kedua terbesar dunia di belakang Hospital Corporation, Amerika Syarikat.

Rangkaian hospital yang tersedia ini akan memantapkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pakar perubatan tempatan dan antarabangsa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini menegaskan bahawa bidang pelancongan kesihatan mencatatkan pendapatan RM511 juta tahun lalu, melebihi sasaran kementerian tersebut.

Pelancongan Kesihatan menunjukkan pencapaian dan pertumbuhannya meningkat 20 peratus setahun. Tahun ini kementerian itu menyasarkan pendapatan mencapai RM600 juta.

Pertumbuhan positif ekonomi negara-negara di Asia bermakna permintaan yang tinggi terhadap penjagaan kesihatan juga. Malaysia wajar berbangga kerana memiliki rangkaian penjagaan kesihatan kedua terbesar di dunia melalui Khazanah, pelaburan strategik yang membolehkan Malaysia bertukar menjadi negara bertaraf dunia.

Sejak Januari hingga Mei lalu kira-kira 236,836 pelancong tiba di negara ini untuk mendapat khidmat perubatan. Kehadiran mereka memberi perolehan RM200.4 juta kepada negara. Kebanyakan pesakit datang untuk rawatan jantung atau ortopedik, tetapi permintaan untuk khidmat kecantikan juga semakin meningkat.

Angka ini juga menunjukkan pesakit-pesakit dari negara luar datang untuk mendapat rawatan daripada pakar-pakar perubatan yang ada di negara ini.

Tiong Lai ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Ke-20 pada Rabu lalu juga menyatakan Malaysia mempunyai 5,000 doktor pakar dan daripada jumlah itu kira-kira 3,000 doktor pakar kini berkhidmat dalam sektor awam.

Beliau juga menggesa hospital swasta melatih lebih ramai pakar sendiri untuk membantu kerajaan menangani kekurangan doktor pakar di negara ini.

IHH yang mempunyai rangkaian antarabangsa menyediakan tenaga pakar 'tambahan' yang diperlukan. Melalui perkhidmatan globalnya, kesan yang dijangkakan ialah kepulangan doktor-doktor pakar ke Malaysia.

Berbanding dengan pertumbuhan biasa penjagaan kesihatan, rangkaian global IHH menyediakan platform kepada pakar atau pengamal perubatan untuk meningkat maju.

Rangkaian global IHH yang sedia ada juga membolehkan cross training yang bakal memberikan pendedahan serta memperluaskan pengetahuan doktor-doktor pakar dan bakal-bakal doktor.

Langkah ini bakal membangunkan dan memperkukuh industri perkhidmatan penjagaan kesihatan negara. IHH dijangka menaikkan taraf tenaga kerja dan perkhidmatan yang ditawarkannya sama ada di rantau ini mahupun di peringkat antarabangsa.

Perancangan yang diatur rapi oleh Khazanah selama beberapa tahun lalu telah meletakkan Malaysia sebagai salah satu hab pelancongan kesihatan dan sekali gus memperlihatkan langkah transformasi yang diambil Perdana Menteri dalam melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, kini mula memperlihatkan hasilnya iaitu mentransformasikan Malaysia antara penggiat utama dalam sektor penjagaan kesihatan dunia.

IHH menerusi syarikat yang dikuasainya mengendalikan 83 hospital dengan 12,316 katil.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/