KUALA LUMPUR : Ciri keselamatan sijil, diploma dan ijazah yang
dikeluarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian
Tinggi Swasta (IPTS) adalah minimum dan mudah dipalsukan sehingga mewujudkan
sindiket pemalsuan ijazah baru-baru ini.
Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Bhd (PNMB) Izham Yusoff
berkata orang ramai seharusnya tidak mudah terpedaya dengan tawaran 'ijazah
segera' menerusi laman web dan ia juga tidak logik kerana tidak memerlukan
seseorang menghadiri kuliah di IPT untuk tempoh tertentu.
"Kes pemalsuan ijazah dengan menggunakan nama Universiti Sains
Malaysia (USM) menerusi laman web tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan
menjejaskan kredibiliti dan nama baik IPTA, IPTS dan nama Malaysia secara
keseluruhan, maka itu, semua pihak harus memberi perhatian serius mengenai kes
ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media pada 1 Julai lepas
bahawa wujudnya kegiatan sindiket yang menawarkan ijazah palsu menggunakan nama
Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi laman web pada harga mencecah RM5,000.
Izham berkata PNMB setakat ini tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan
pemalsuan sijil dan diploma kerana setiap produk PNMB mempunyai ciri-ciri
keselamatan tambahan, antaranya, penggunaan kertas sekuriti dan teknologi
moden.
"Lain-lain aspek keselamatan yang diguna pakai ialah reka bentuk
keselamatan, kod rahsia, dakwat, nombor siri, tera air tersembunyi dan pelbagai
lagi boleh menambah tahap sekuriti dokumen (sijil dan diploma) tersebut,"
katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata setiap ciri keselamatan untuk pembuatan sijil
dan diploma tidak sama dengan ciri-ciri keselamatan yang terdapat dalam wang
kertas yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM).
Ditanya adakah setiap sijil, diploma dan ijazah yang dikeluarkan PNMB
mempunyai nombor siri atau nombor keselamatan sama seperti yang diguna pakai
BNM, Izham berkata setiap IPTA, IPTS mempunyai nombor siri dan keselamatan
sendiri tetapi itu hanya untuk kawalan dokumen dan pemantauan semata-mata dan
bukan merupakan ciri keselamatan.
Setiap sijil dan diploma yang dihasilkan PNMB akan disimpan di dalam
salinan digital berciri sekuriti untuk rekod simpanan dan semakan oleh pihak
IPTA dan IPTS, katanya.
"Digital berciri sekuriti ini membolehkan pihak yang berkenaan seperti
majikan, institusi kewangan dan badan kerajaan membuat semakan kesahihan
dokumen itu dengan IPTA dan IPTS berkenaan kelak," katanya.
PNMB sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, memang
bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak-pihak
lain yang berkaitan dalam memerangi pemalsuan dokumen ini, kata Izham.
"PNMB mempunyai tenaga kerja pakar dan juga alatan khas untuk mengesan
dokumen palsu," katanya.
Izham menegaskan bahawa sehingga kini tidak wujud sindiket yang melibatkan
'orang dalam' PNMB kerana ia mempunyai sistem sekuriti dan pemantauan yang
terkini untuk memastikan kegiatan itu tidak berlaku.
PNMB adalah sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan DiPerbadankan yang
memberi perkhidmatan dan penyelesaian percetakan untuk pelanggan dari sektor
kerajaan dan swasta dan merupakan syarikat cetak terbesar di Malaysia dengan
rangkaian 12 cawangan di seluruh negara. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan