Selasa, 24 Julai 2012

ISU KESIHATAN : Majikan anggap sakit mental masalah terpencil




TIDAK mustahil penyakit mental boleh merebak pantas sehingga pesakitnya berbahaya kepada masyarakat sekiranya tidak dimasukkan ke dalam komuniti pengurusan sempurna dan dipantau secara berterusan.

Ini terutamanya penyakit mental akibat kegagalan mengurus tekanan secara sistematik, sepatutnya diuruskan satu komuniti lebih kecil.

Merujuk kepada penyakit mental dalam kalangan pekerja di Malaysia kini, Ketua Pegawai Pemulihan Kesihatan Mental dan Kaunselor Berdaftar Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Nurhijjah Mat Zin berkata, hal sedemikian tidak mustahil berlaku kepada setiap individu pekerja kerana corak dan budaya pekerjaan kini berhadapan dengan kekangan dan tekanan mencabar.

“Memandangkan budaya kerja pada masa ini lebih mencabar, tekanan pengurusan masa dan bebanan tugas di samping tanggungjawab di luar waktu kerja menjadi faktor penyumbang kepada tekanan mental yang menyebabkan kemurungan di kalangan pekerja.

“Melihat keadaan ini, adalah tidak wajar sekiranya hal berkaitan kesihatan mental dalam kalangan pekerja dipandang remeh. Majikan perlu peka akan keperluan terhadap kesedaran penyakit ini yang berpotensi menyerang sesiapa pun tidak mengira pangkat, usia atau status,” katanya.

Menurutnya, ramai majikan kini ada kesedaran terhadap keadaan ini. “Ini dapat dilihat menerusi data MMHA, di mana ramai majikan telah mendaftar mendapatkan perkhidmatan persatuan ini dalam mengendalikan pelbagai program berkaitan kesihatan mental.  Namun, kesedaran dalam kalangan majikan masih tidak secara menyeluruh.

“Malah, ada sesetengah majikan masih beranggapan penyakit mental sebagai masalah terpencil dan rata-rata mereka mengambil jalan mudah dengan memberhentikan pekerja yang didapati menghidapi tekanan mental. Perkara begini tidak seharusnya terjadi, kerana bukan semua masalah mental tidak boleh diubati.

Pesakit mental ada harapan sembuh sekiranya dirujuk awal dan mendapatkan rawatan berterusan,” katanya.

Majikan prihatin sentiasa bersedia dan peka sekiranya terpaksa berhadapan dengan permasalahan ini.

“Memanglah kebanyakan syarikat kini menyediakan unit kaunseling sebagai rujukan pekerja-pekerja mereka mendapatkan khidmat nasihat sekiranya diperlukan. Namun, kejayaan menerusi pendekatan ini masih boleh saya andaikan tidak berjaya keseluruhannya kerana mentaliti pesakit itu sendiri selain masyarakat di sekelilingnya.

“Seorang pekerja yang menyedari dirinya mengalami simptom kemurungan di tempat kerja sudah pasti sukar atau lebih teruk menolak untuk bertemu kaunselor yang disediakan syarikat kerana berfikiran malu sekiranya diketahui rakan sepejabat atau diketahui majikan bahawa dirinya mengalami tekanan mental atau perasaan.

Oleh itu, majikan boleh membantu dengan cara lain seperti menyediakan saluran dari luar untuk pekerja itu pergi mendapatkan rawatan dengan perasaan bebas tanpa dibelenggu rasa bimbang ‘rahsianya’ bertemu psikiatri diketahui individu sekeliling di pejabat,” katanya.

Katanya, sokongan keluarga amat penting di mana ahli keluarga perlu pastikan pesakit ini mengambil ubat mereka di rumah dan memberi sokongan moral supaya pesakit terjamin dari segi emosi. Semua faktor ini membantu mengelak mereka mengalami relapse menyebabkan tindakan agresif.

“Tindakan segelintir ahli keluarga menyisihkan darah daging mereka sendiri sebaik saja disahkan menghidap penyakit mental sedangkan golongan ini memerlukan sokongan keluarga terdekat seperti menguruskan rawatan tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Menurutnya, selain pesakit, ahli keluarga pesakit juga perlu mengetahui mengenai penyakit ini.

“Mengikuti kursus kaunseling dan program-program berkaitan penyakit mental tidak seharusnya dipandang remeh kerana sekiranya terdapat seorang pesakit mental di dalam keluarga, aspek memberi perhatian sebenarnya adalah tanggungjawab setiap ahli keluarga,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan