Jumaat, 6 April 2012

ISU AGAMA : Petanda mimpi menurut Islam


WARTAWAN SINAR HARIAN

Mimpi ialah pengalaman minda separa sedar yang melibatkan penglihatan, pendengaran, pemikiran, perasaan atau pergerakan lain-lain panca indera manusia sewaktu tidur. Mimpi berlaku tanpa kawalan dan kesedaran oleh orang yang mengalaminya.

Penceramah bebas, Emran Ahmad berkata, dalam al-Quran, ALLAH SWT menyebut mengenai mimpi dalam tiga keadaan. Pertama dengan menggunakan kalimah ar-Rukyah iaitu mimpi yang benar. Kedua dengan menggunakan kalimah al-hadis yang bermaksud mimpi tentang kejadian yang akan berlaku. Ketiga ialah kalimah al-hulum, iaitu mimpi khayalan dan mainan tidur.

Menurutnya, berdasarkan penjelasan di atas maka tidak semua mimpi itu boleh dipercayai dan tidak pula boleh didustakan sebaliknya ia amat bergantung kepada peribadi orang yang bermimpi dan keadaan mimpi yang berlaku kepada dirinya.

“Ini disebabkan golongan ulama menyebut bahawa mimpi itu dinilai berdasarkan keperibadian seseorang itu. Maksudnya jika orang yang bermimpi itu ialah orang yang soleh dan dipercayai, maka mimpinya itu juga boleh dipercayai.

“Tetapi jika orang yang bermimpi itu ialah seorang yang fasik dan ahli maksiat maka mimpinya adalah dusta dan tidak boleh dipercayai,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menjelaskan, hukumnya adalah tetap sama dengan prinsip Islam dalam bab penerimaan maklumat atau berita sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman, jika datang kepada mu orang yang fasik membawa sesuatu berita, maka hendaklah kamu periksa dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan mu itu.” (Surah al-Hujurat : 6)

Perspektif Islam

Emran berkata, mimpi mempunyai kedudukan dalam Islam kerana ia pernah dijadikan ALLAH SWT sebagai alat atau kaedah dalam penyampaian wahyu kepada nabi dan rasul.

Bagaimanapun keadaan ini hanya berlaku apabila wahyu masih berjalan dan Rasulullah SAW masih hidup. Apabila Baginda wafat maka wahyu pun terputus dan tidak ada lagi nabi selepas Baginda serta syariat Islam pun telah sempurna.

Oleh yang demikian, mimpi telah disebutkan ulama ahli sunnah secara ijmak bahawa ia tidak boleh dijadikan sebagai hujah agama atau pegangan dalam akidah. Sebaliknya mimpi yang baik atau rukyah solehah itu adalah lebih kepada nasihat atau tazkirah dan rezeki daripada ALLAH secara peribadi dan khusus untuk orang yang bermimpi sahaja tanpa menokok tambah atau mengubah apa-apa daripada ajaran Islam yang telah sedia ada dalam al-Quran dan Sunnah.

Muslim haruslah berhati-hati dalam masalah mimpi dan jangan terpedaya dengan dakwaan sesetengah pihak yang membawa ajaran atau fahaman kononnya bertemu nabi atau wali tertentu dalam mimpi yang mengajarkan kepadanya ilmu atau memberitahu sesuatu rahsia.

Sesungguhnya Islam itu telah pun sempurna dan Rasulullah menunaikan amanah sebagai utusan ALLAH dengan menyampaikan semua kebaikan dan perkara agama tanpa tertinggal. Maka tidak perlu lagi ditokok tambah oleh golongan tukang karut atau penipu,” katanya.

Selain itu katanya, dalam hadis mimpi itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mimpi yang benar daripada ALLAH, seperti wahyu kepada golongan nabi dalam tidur mereka atau pun ilham dan pertolongan kepada orang yang soleh; mimpi buruk yang datang daripada syaitan; mimpi biasa yang sering berlaku kepada kita dalam kehidupan seharian apabila terbawa-bawa perkara pada waktu siang atau apa yang dilalui individu itu ke dalam mimpi akibat kelesuan otak dan permainan minda separa sedar.

Ini berdasarkan hadis dari Abu Hurairah RA yang berkata bahawa bersabda Rasulullah yang bermaksud: “Mimpi itu ada tiga bahagian iaitu berita atau khabar gembira dari ALLAH, apa yang berlaku dalam hidup seharian dan mimpi buruk yang menakutkan dari syaitan.” (Riwayat Ahmad)

“Setiap mimpi yang dialami seseorang perlu dibahagikan atau diperhatikan mengikut kategorinya apakah mimpi tersebut merupakan mimpi yang benar atau merupakan gangguan syaitan atau pun permainan tidur akibat keletihan otak.

“Sekiranya mimpi tersebut jatuh dalam kategori mimpi yang benar maka ia boleh dipercayai dan perlu dirujuk kepada orang yang soleh dan alim untuk ditanyakan pengertian dan maksudnya,” jelasnya.

Tafsir mimpi

Tidak ramai orang tahu mentafsirkan mimpi kecuali sedikit. Ilmu mentafsirkan mimpi adalah anugerah ALLAH kepada mereka yang mendalami ayat-ayat al-Quran serta berpengetahuan tinggi terhadap kitab ALLAH dan sunnah. Kata Emran, adalah menjadi kebiasaan bahawa orang yang mahir mentafsirkan mimpi ialah mereka yang tahu mentafsirkan al-Quran dan ayat ALLAH serta mempunyai pengalaman luas dalam hidup.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang dikehendaki ALLAH akan kebaikan baginya maka ALLAH pun akan memberikan kepadanya kefahaman dalam urusan agama.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Mimpi tidak boleh diceritakan dalam ceramah atau menjadi modal untuk tazkirah kepada orang ramai akan apa yang ditemui atau dilihat individu itu dalam tidurnya kerana hal tersebut menyalahi adab mimpi serta berlawanan dengan sunnah Rasulullah. Dalam Islam, tidur dianggap sebagai mati kecil dan proses keluarnya roh daripada jasad buat sementara waktu,” ujarnya.

Emran berkata, digalakkan sebelum tidur umat Islam membersihkan diri dan mengambil wuduk serta membaca doa di samping zikir yang diajarkan Rasulullah SAW seterusnya membaca surah daripada al-Quran. Antara yang baik dan mudah diamalkan ialah membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas sebanyak tiga kali sebelum tidur bagi memohon perlindungan ALLAH daripada gangguan syaitan dan kemudian meniup tapak tangan lalu menyapu ke seluruh badan seperti yang diajarkan oleh Baginda.

“Kesimpulannya, Muslim wajib bersangka baik kepada ALLAH dan selalu meyakini bahawa tiada mudarat dan manfaat yang boleh diberikan makhluk kepada kita tanpa izin ALLAH SWT. Ini kerana hanya ALLAH yang boleh menimpakan mudarat atau memberikan manfaat kepada manusia bukan selainnya termasuklah mimpi atau gangguan tidur serta jin dan syaitan,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Sensitiviti agama jamin keharmonian kaum


Oleh Muhamad Razak Idris
bhnews@bharian.com.my


Amalan penganut lain harus dihormati demi kerukunan hidup bermasyarakat

SIKAP sensitif ialah antara etika bagi menjamin kerukunan dan keharmonian hidup beragama. Kita sedih dengan beberapa kes yang terjadi di negara kita sejak akhir-akhir ini apabila ada sebahagian daripada penganut agama tidak menunjukkan sikap dan rasa sensitif terhadap perasaan penganut agama lain dengan mengeluarkan pernyataan umum atau menganjurkan kegiatan tertentu, bersifat keagamaan atau kependidikan.

Pernah beberapa waktu sebelum ini, perasaan penganut agama Islam terganggu apabila satu kumpulan agama lain memberi komentar terbuka ketidakpuasan hati mereka terhadap penganjuran ibadah korban pada musim perayaan Aidiladha. Komentar itu ialah antara contoh dan gambaran tahap kerendahan sensitiviti agama oleh sesetengah pihak terhadap amalan keagamaan penganut agama yang lain yang wujud dalam negara kita.

Sikap tidak sensitif yang sama juga wujud dalam kalangan penganut agama Islam sendiri. Ini boleh diperhatikan dalam kes penganjuran seminar pendidikan keagamaan oleh sebuah agensi kerajaan baru-baru ini. Dari segi kandungan, seminar itu penting kerana ia cuba untuk menjelaskan cabaran pemikiran dan kepercayaan yang sedang dialami oleh penganut agama Islam dalam usaha mereka menjaga keutuhan kepercayaan atau akidah mereka.

Namun, dari segi pemilihan tajuk seminar, ia menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap penganut agama lain apabila menyatakan secara terbuka dalam bentuk tulisan dan hebahannya nama agama tertentu sebagai ancaman kepada kepercayaan agama Islam. Seminar ini mengundang perdebatan yang luas sehingga membawa kepada campur tangan jawatankuasa keharmonian agama di bawah Kabinet yang memohon pengubahsuaian tajuk seminar. Begitulah beberapa contoh semasa bagi menggambarkan tahap kerendahan sensitiviti keagamaan dalam masyarakat kita.

Dalam hubungan ini, kita ingin mengambil perhatian kepada semua penganut agama di negara ini untuk menjaga sensitiviti keagamaan dalam sebarang bentuk kegiatan yang bersifat pengucapan dan kependidikan. Malah, dari beberapa kes yang sudah terjadi ini, ia memberi iktibar betapa keutamaan harus diberikan pada masa kini oleh semua pihak bagi memupuk etika perhubungan keagamaan yang kukuh antaranya dari segi menjaga sensitiviti antara sesama penganut agama. Hal ini harus diberi perhatian yang tinggi kerana kita semua sedia ketahui kesan dan akibat sekiranya permusuhan agama berlaku dalam sesebuah masyarakat. Kita tidak boleh menggadaikan kerukunan hidup masyarakat seluruhnya hanya disebabkan oleh perbuatan leka dan tidak sensitif sesetengah pihak terhadap agama orang lain.

Sekiranya diteliti, banyak faktor yang membawa kepada timbulnya sikap kurang sensitiviti keagamaan ini. Antaranya ialah kerana ‘kejahilan’ atau tiada pendedahan yang berterusan mengenai amalan dan budaya beragama oleh penganut yang berlainan.

Kesannya, beberapa perkara yang dianggap mulia dan suci oleh pandangan penganut agama tidak dirasai demikian oleh penganut yang lain. Ini membawa kepada perbuatan sikap tidak menghormati dan menghargai amalan dan budaya keagamaan oleh penganut agama.

Kes yang terjadi di Afghanistan baru-baru ini boleh dijadikan contoh bagaimana sikap jahil atau kurangnya pendedahan mengenai kesucian al-Quran membawa kepada perbuatan membakar kitab itu oleh tentera Amerika Syarikat. Kesannya, berlaku protes besaran oleh masyarakat Muslim atas kekecewaan sikap tidak sensitif itu dan ini telah menambahkan lagi rasa kebencian terhadap AS secara berterusan di dunia Islam.

Persoalan kurangnya pendedahan mengenai amalan dan budaya keagamaan ini perlu diatasi dengan kadar segera. Di negara kita, pengajian mengenai agama lain belum berkembang secara terbuka. Ia cuma terhad pada peringkat pengajian tinggi menerusi subjek Tamadun Islam dan Asia. Sudah wajar untuk pemikiran khusus mengenai persoalan ini dibincangkan seperti kefahaman amalan dan budaya beragama pelbagai masyarakat di negara ini diperkenalkan pada peringkat pendidikan menengah dan rendah. Ia bertujuan bagi memupuk sikap hormat menghormati terhadap amalan dan kebudayaan agama lain bermula seawal mungkin.

Pengenalan mengenai pengajian berkenaan amalan dan budaya agama yang pelbagai ini harus disertakan dengan perbincangan soal etika perhubungan antara agama. Dalam kata lain, subjek dialog antara agama harus dibangunkan secara lebih sistematik. Masyarakat dan generasi muda harus didedahkan dari awal lagi mengenai realiti kemajmukan agama yang wujud dan bagaimanakah pendekatan dialog ialah terbaik bagi mendepani kepelbagaian ini.

Dari perspektif dialog, agama difahami sebagai sumber kekuatan kepada kehidupan dan peradaban. Untuk itu, kekuatan yang positif yang dimiliki oleh setiap agama harus digembleng secara objektif demi kerukunan dan keharmonian bersama. Dalam kata lain, masyarakat harus dididik supaya melihat kemajmukan agama bukan sebagai satu bentuk ancaman sehingga membawa mereka berpandangan negatif atau melarikan diri daripada kemajmukannya yang sudah tidak boleh dielakkan lagi dalam kehidupan pada hari ini.

Ini tidak bermaksud pula kita menganjurkan konsep kesatuan kebenaran dalam beragama. Kefahaman yang ingin kita hebahkan ialah setiap agama memiliki sistem kepercayaan, amalan dan kebudayaan yang tersendiri dan semua penganut agama harus saling hormat menghormati keunikan dan kepelbagaian ini serta saling memanfaatkan kekuatan yang tidak menyalahi atau bertentangan dengan ajaran dan kepercayaan agama masing-masing.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Masalah obesiti tingkat kos kehidupan, bebankan alam sekitar


Oleh Peter Singer

MANUSIA hari ini semakin hari semakin gemuk. Di Australia, Amerika Syarikat (AS) dan banyak negara lain, menjadi kebiasaan melihat begitu ramai manusia gemuk di mana-mana. Angka mereka yang obesiti semakin serius, bukan saja membabitkan negara maju, bahkan menjalar ke seluruh pelosok dunia termasuk negara miskin.

Persoalannya adakah isu berat badan sekadar masalah individu? Wajarkah jika kita menerimanya sekadar kepelbagaian dalam bentuk tubuh manusia? Saya tidak fikir begitu. Obesiti ialah isu etika kerana sebarang kenaikan berat badan turut membuat orang lain menanggung bebannya.

Saya menulis artikel ini ketika berada di sebuah lapangan terbang. Seorang wanita Asia sederhana tubuh badannya, membuat daftar masuk dengan bagasi kira-kira 40 kilogram (kg). Dia membayar kos untuk lebihan kilogram bagasi.

Seorang lelaki yang beratnya kira-kira 40kg, lebih berat daripada wanita tadi, membawa bagasi kurang had dibenar, tidak pula perlu membayar kos tambahan.

Namun, dalam isu penggunaan minyak untuk kapal terbang, ia adalah sama – tidak kira sama ada ia untuk lebihan kilogram bagasi, atau lebihan lemak seseorang.

Bekas ketua ekonomi syarikat Qantas Australia, Tony Webber menyuarakan perkara ini sejak 2000 – purata berat penumpang dewasa bagi kapal terbangnya meningkat kira-kira dua kilogram.

Bagi kapal terbang besar dan moden seperti Airbus A380, ia bermakna tambahan minyak AS$472 untuk penerbangan dari Sydney ke London. Jika Qantas menggunakan laluan itu pergi dan balik, tiga kali sehari, setahun ia berbelanja AS$1 juta untuk minyak atau mengikut margin hari ini 13 peratus daripada keuntungan syarikat daripada operasi laluan terbabit.

Oleh itu, Webber mencadangkan syarikat penerbangan menetapkan berat badan standard untuk penumpang. Contohnya, 75 kilogram. Jika, ada penumpang mempunyai berat 100kg, surcaj perlu dikenakan ke atas lebihan berat badannya untuk kos tambahan minyak.

Bagi penumpang yang lebihan berat badan hanya 25kg, surcaj bagi tiket pergi balik Sydney – London ialah AS$29, manakala yang mempunyai berat badan hanya 50kg, wajar mendapat diskaun yang sama!

Satu lagi cara mencapai tujuan sama ialah menetapkan berat standard untuk penumpang dan bagasinya iaitu dengan meminta penumpang naik ke atas penimbang bersama bagasi. Ini antara cara untuk mengelak rasa aib bagi yang tidak mahu mendedahkan berat mereka. Beberapa rakan yang dibawa berbincang mengenai cadangan ini, berkata golongan obesiti tidak dapat mengawal berat badan, mereka mempunyai metabolisme berbeza daripada kita.

Namun, cadangan mengenakan surcaj untuk tambahan berat badan bukan untuk menghukum, ia cuma bertindak adil kerana berat badan dan bagasi seseorang penumpang perlu dilevi dengan saksama.

Ini cara terbaik untuk memastikan setiap penumpang membayar kos sebenar penerbangan, bukannya membebankan penumpang lain. Penerbangan adalah isu yang berbeza dan langsung tidak ada kena mengena dengan hak asasi manusia.

Peningkatan dalam penggunaan minyak jet bukan sekadar kos kewangan. Ia juga membabitkan kos kepada alam sekitar kerana lebih tinggi pengeluaran gas akan memburukkan isu pemanasan global. Ia juga contoh kecil bagaimana saiz badan rakyat memberi kesan kepada seluruh penduduk bagi sesebuah negara.

Apabila seseorang menjadi semakin besar dan berat, mereka tidak akan selesa apabila menaiki bas atau kereta api, ini boleh membawa kepada kenaikan dalam kos pengangkutan awam.

Begitu juga dengan isu lain – tubuh badan semakin membesar hanya memberi kesan kepada perkara lain. Hospital perlu membeli katil dan meja pembedahan lebih teguh, membina ruang tandas lebih besar, malah mungkin terpaksa membina ruang mengisi mayat lebih besar. Ini semua hanya akan menambah kos.

Obesiti memberi kesan lebih jelas terutama dalam aspek penjagaan kesihatan. Tahun lalu Society of Actuaries menganggarkan di AS dan Kanada saja, golongan obesiti ini menelan perbelanjaan tambahan lebih AS$127 juta.

Ia mengakibatkan peningkatan dalam kos dalam penjagaan kesihatan, akhirnya membebankan pembayar cukai kerana perlu membayar insurans kesihatan tambahan.

Kajian yang golongan obesiti sama ada masih bekerja atau tidak bekerja, akan menyumbang kepada kos kehilangan produktiviti bernilai AS$115 bilion.

Fakta ini cukup untuk mengukuhkan dasar awam yang menggalakkan pengurangan berat badan. Antaranya menaikkan cukai atas makanan yang boleh mengakibatkan obesiti, terutama makanan tanpa nilai nutrisi, seperti minuman bergula boleh membantu usaha ini.

Hasil daripada cukai ini boleh digunakan untuk kos tambahan yang perlu dibelanja untuk golongan obesiti kepada orang lain, manakala kenaikan harga makanan tidak sihat pula memberi faedah kepada mereka yang mudah terdedah kepada masalah obesiti iaitu penyakit kedua paling berbahaya selepas tembakau.

Ramai antara kita tidak dapat lari daripada rasa bimbang, sama ada bumi ini mampu menampung jumlah manusia yang sudah melebihi tujuh bilion. Sebenarnya, perkara lebih penting ialah apabila melihat kepada saiz penduduk dunia ini bukan hanya sekadar angka, tetapi juga saiz tubuh mereka.

Jika kita menghargai kehidupan sebagai manusia yang mapan dan jika kita sayangkan alam sekitar supaya lebih sihat untuk bumi – berat badan saya dan anda – adalah tanggungjawab semua manusia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : MABBIM iktiraf tokoh bahasa


Oleh Normazlina MD dan Haji Minor Absah

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April - Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) hari ini mengiktiraf tokoh-tokoh bahasa dalam tiga anugerah utamanya.

Tiga penerima Anugerah Tokoh MABBIM ialah Pengiran Dato Paduka Haji Badaruddin Pengiran Haji Ghani, Dr Mataim Bakar dan Dato' Haji A. Aziz bin Deraman.

Anugerah Ilmuwan MABBIM pula diterima oleh Pengiran Hajah Zabaidah Pengiran Haji Kamaludin, Prof Madya Dr Haji Jaludin Haji Chuchu, Prof Dr Menaldi Rasmin, Dr Jan Hoesda, Profesor Emeritus Dr Abdullah Hassan dan Prof Dr Shaharir bin Mohamad Zain. Manakala, Dayang Hajah Saddiah Ramli telah menerima Anugerah Khas MABBIM.

Anugerah disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayan, Belia dan Sukan, Haji Mohd Rozan pada Perasmian Seminar Kebahasaan dan Sambutan 40 Tahun MABBIM yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun hari ini.

Awang Haji Mohd Rozan turut melancarkan empat buah buku dan menyaksikan pameran mini sempena sambutan ulang tahun ke-40 MABBIM.

Pameran itu telah menggabungkan latar belakang, sejarah, inisiatif awal yang dibentuk dalam pemantapan bahasa Melayu atau Indonesia melalui pedoman dan daftar sehingga rentetan daripada perkembangan yang berlaku dan keazaman yang tinggi untuk memodenkan dan memperkaya leksikon bahasa Melayu atau Indonesia.

Manakala Seminar Kebahasaaan bertemakan Mentransformasikan Budaya Ilmu untuk Menyerlahkan Jati Diri Bangsa membincangkan kerjasama penerbitan Bahasa Baku yang sempurna, merangka pedoman, daftar glosari, kamus istilah dan kamus bahasa.

Ketua Perwakilan Brunei Darussalam, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin semasa berucap pada seminar itu mengatakan kerjasama meluas ini perlu untuk mengembangkan leksikon Bahasa Melayu atau Indonesia. "Bahasa Melayu atau Indonesia kini berkembang kepada konsep-konsep baru yang mencerminkan nilai-nilai modenisme dan intelektual sesuai dengan dinamika ekonomi dan sosial," ujar Dayang Hajah Aminah.

Seminar turut membentangkan 11 kertas kerja daripada ketua perwakilan negara Malaysia, Indonesia dan ketua pemerhati Singapura.

Sumber : http://www.mediapermata.com.bn/

ISU PATI : Tiada cadangan lanjut tempoh 6P


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang melanjutkan tempoh proses pemutihan menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) yang berakhir Selasa depan, selepas ia ditangguhkan dua kali sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata tempoh dan maklumat mencukupi sudah diberi kepada semua pihak berkepentingan untuk melaksanakan proses kedua program itu.

“Kita sudah ikut permintaan majikan dan kedutaan supaya tambah masa selepas ia ditangguhkan dua kali. Saya harap tak ada tambahan masa lagi,” katanya selepas mengadakan lawatan proses pemutihan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Jalan Duta di sini, semalam.

Proses pemutihan bermula 10 Oktober tahun lalu sebelum ini berakhir 10 Januari lalu sebelum ia ditangguhkan pada 15 Februari.

Atas permintaan majikan dan kedutaan yang memberi alasan masa untuk mengeluarkan dokumen sah kepada warga negara masing-masing dan sebagainya, tempoh itu sekali lagi ditangguhkan sehingga 10 April ini.

Hishammuddin berkata, melalui proses Pendaftaran, seramai 2.3 juta warga asing membabitkan 1.3 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) dan Pekerja Asing Sah sudah direkodkan maklumat serta data biometrik mereka.

“Sehingga semalam (kelmarin), seramai 70,847 majikan mendapat manfaat kelulusan untuk menggaji 372,335 pekerja asing yang pada asalnya PATI.

“Mereka kini bekerja secara sah dalam pelbagai sektor seperti perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, perladangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, menerusi proses ketiga iaitu pengampunan, seramai 123,346 PATI sudah diampun dan pulang ke negara asal mereka secara sukarela dengan warga Indonesia paling tinggi direkodkan iaitu 77,396 orang, diikuti India (9,532), Nepal (8,235), Myanmar (7,132) dan 4,754 warga Kemboja.

“Menerusi proses Pemantauan pula, kita dapat mengesan dan mengumpul maklumat sindiket yang cuba menggagalkan Program 6P dan operasi sindiket selama ini mengaut keuntungan secara tidak wajar dengan aktiviti boleh dikaitkan dengan pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia,” katanya.

Hishammuddin berkata, sebagai contoh, KDN menahan tiga warga Bangladesh baru-baru ini yang mengaut keuntungan berhubung program itu dan pihaknya bekerjasama rapat dengan Kerajaan Bangladesh dan agensi antarabangsa. – BERNAMA

ISU SOSIAL : Memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap polis


TAN SRI LEE LAM THYE

KETIKA membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa usaha untuk memerangi jenayah di negara ini telah mencatatkan penurunan jenayah jalanan sebanyak 39.7 peratus (%) dan jenayah indeks sebanyak 11.1 % manakala tahap kepuasan masyarakat terhadap pihak polis telah meningkat sebanyak 70.5 %.

MCPF ingin mengiktiraf kejayaan yang telah dicapai oleh pasukan polis untuk mengurangkan jenayah jalanan dan jenayah indeks dalam pelaksanaan pendekatan transformasi untuk menangani jenayah dan keselamatan.

Di sebalik kejayaan ini pihak polis perlu meneruskan agenda memerangi jenayah dan berusaha lebih gigih untuk setanding dengan agensi penguatkuasaan undang-undang lain yang terbaik selari dengan kepolisan bertaraf dunia.

Lebih banyak yang perlu dilakukan untuk mengatasi tahap ketakutan orang ramai menjadi mangsa jenayah dan tinjauan baru-baru ini mendapati sebanyak 52.9% respondan masih mempunyai rasa takut terhadap jenayah.

Pihak polis perlu peka kepada persepsi masyarakat dan tidak teragak-agak untuk melakukan yang terbaik serta berusaha untuk memperbaikinya dan memperkukuhkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan.

Pada masa-masa hadapan, kepolisan berorientasikan masyarakat mesti diberi penekanan dan dijadikan agenda utama oleh PDRM.

Usaha yang telah diambil oleh Ketua Polis Negara, Ketua-ketua Polis Negeri dan juga Ketua-ketua Polis Daerah untuk "turun padang" untuk mendekati masyarakat harus dipertingkatkan mulai sekarang.

Tugas-tugas rondaan anggota polis termasuklah sesi "berhenti dan bercakap" yang merupakan pendekatan yang sangat efektif untuk mendampingi masyarakat.

Tidak dinafikan bahawa orang ramai menaruh harapan tinggi terhadap pasukan polis bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Pihak polis perlu menyahut cabaran ini dan bersedia untuk berkhidmat kepada orang ramai secara profesional dan berintegriti tinggi.

Kejadian perlakuan jenayah merupakan satu peringatan bahawa kita perlu menjaga keselamatan masing-masing serta tidak memandang ringan berkaitan keselamatan.

Jenayah masih menjadi kebimbangan utama di kalangan rakyat Malaysia dan pendedahan ini tidaklah menghairankan memandangkan hakikatnya mereka yang terlibat di dalam kaji selidik tersebut pernah menjadi mangsa jenayah ataupun saudara-mara atau kenalan rapat mereka menjadi sasaran penjenayah. Dengan membaca berita jenayah setiap hari di media juga boleh menyebabkan wujudnya persepsi.

Kita tidak harus melihat perkembangan ini sebagai negatif dari sudut pencegahan jenayah. Sebaliknya ia harus dilihat secara positif.

Hakikat bahawa jenayah merupakan kebimbangan utama rakyat Malaysia adalah mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat untuk memerangi jenayah serta mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap jenayah.

Ia juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mahu melihat lebih banyak usaha untuk menangani jenayah serta tidak memandang remeh isu berkaitan jenayah.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengalu-alukan perkembangan ini dan ingin melihat kebimbangan ini dapat diterjemahkan dengan lebih banyak penyertaan orang ramai di dalam program dan aktiviti pencegahan jenayah.

Rakyat Malaysia harus tampil ke hadapan untuk turut serta di dalam program dan aktiviti pencegahan jenayah samada atas inisiatif persatuan penduduk mereka sendiri, pertubuhan perniagaan mahupun mana-mana NGO lain bagi meningkatkan kesedaran tentang apa yang boleh dan patut dilakukan untuk mencegah jenayah.

Matlamat utama adalah untuk menanam atau menyemai budaya pencegahan jenayah di kalangan masyarakat supaya tiada siapa pun akan mengambil mudah tentang keselamatan.

Penulis ialah Naib Pengerusi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Dialog transformasi pendidikan mencari nilai utama


Oleh Prof Dr Sidek Baba

CADANGAN Kementerian Pelajaran untuk mengadakan dialog terbuka terhadap perjalanan sistem pelajaran negara adalah sesuatu yang positif. Ia adalah demokratik supaya input dan pemikiran yang berguna mengenai arah tuju pendidikan negara dapat dibincangkan secara baik dan saksama.

Ia pernah terjadi apabila isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berbangkit. Siri-siri perbincangan meja bulat terjadi dan disertai oleh banyak pihak yang berkepentingan untuk mencari suatu titik persefahaman mengenai hala tuju PPSMI. Ternyata secara majoritinya bersetuju dengan pendekatan asal sebelum PPSMI dan tampil dengan pendekatan Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Transformasi Pendidikan yang seharusnya berlaku di Malaysia tidak saja dilihat secara struktural (prasarana) tetapi mesti dilihat aspek substantialnya (isi atau ilmu atau kurikulum) di samping aspek metodologi pengajaran dan pembelajaran supaya kesan penghayatannya terjadi. Aspek latihan keguruan adalah sesuatu yang amat utama kerana kesan penyampaian guru amat mustahak kepada murid.

Begitu juga aspek pengukuran terhadap maksud kecemerlangan pelajar tidak harus secara mutlak terhubung dengan aspek peperiksaan semata-mata tetapi harus diambil kira aspek pengukuran kokurikulum dan ekstra kurikulum yang perlu disusun semula di samping pendekatan psikometrik terhadap watak dan peribadi. Yang diperlukan dalam sistem kebangsaan ialah menghasilkan peribadi seimbang dan harmonis.

KEPENTINGAN ASAS FUNDAMENTAL

Dalam pendidikan ada asas-asas fundamental yang perlu mengalami proses pengukuhan sama ada dari sudut dasar, binaan kurikulum mahupun metodologi pengajaran dan pembelajaran yang memberi kesan kepada latihan keguruan supaya pendidikan kelihatan semasa tanpa merombak aspek-aspek fundamental yang menyentuh perkara-perkara asasi.

Asas-asas yang fundamental adalah menyentuh mengenai jenis ilmu yang ingin diajarkan, fokus terhadap ilmu yang sifatnya integratif, aspek potensi insani yang harus dibangunkan dan jenis manusia yang diperlukan oleh zaman dan perubahan.

Perubahan dalam sistem pendidikan adalah sesuatu yang lazim kerana sifat zaman juga dinamik berubah. Tetapi apakah perubahan itu sifatnya respons terhadap keperluan dan kecenderungan baru sehingga melupakan asas yang fundamental dalam proses pembangunan yang lebih manusiawi. Kalaulah kemajuan teknologi tinggi dijadikan sandaran perubahan apakah sentuhan keinsanan tidak diambil kira.

Sekiranya kecenderungan ke arah pengkomersialan dilihat sangat penting apakah wujud kualiti keinsanan dalam perdagangan bukannya ilmu yang mendukung terus fahaman eksploitasi dan diskriminasi dalam sistem muamalah dan tijarah (urus niaga).

Ini sebenarnya yang menjadi isu pokok dalam perubahan sistem pendidikan terutama bagi masyarakat berbilang di Malaysia. Tidak salah kita menjadikan faktor penarafan dari sumber luar sebagai kayu pengukur tetapi ukuran itu juga harus disandarkan kepada keperluan sistem pendidikan Malaysia dalam acuan kemalaysiaan yang tidak menolak faktor luar sebagai bandingan. Melihat kaedah penarafan luar sebagai faktor mutlak seolah-olah menafikan faktor setempat yang sudah tentu ada perbezaan dengan pihak luar.

Merit dalam matematik dan sains umpamanya tidak ada masalah untuk dijadikan bahan pengukuran tetapi Falsafah Pelajaran Kebangsaan kita umpamanya menekankan kepentingan membangun insan seimbang dan harmoni. Ia adalah sesuatu yang amat unik bagi Malaysia kerana kita tidak saja ingin cemerlang dalam merit subjek yang dipelajari tetapi cemerlang dalam sahsiah dan kualiti diri.

MAKSUD PELAKSANAAN PELAN INDUK

Pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pelajaran/PIPP (2006-2010) menuntut pendidik menyediakan diri untuk memenuhi enam teras pelan tersebut iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkukuhkan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.

Proses membina negara bangsa adalah suatu yang payah. Ia memerlukan tekad pendidikan yang tinggi menginsafi asas perpaduan umpamanya merupakan agenda yang amat utama dalam pendekatan pendidikan kita. Merit akademik memang dituntut.

Tetapi ia memerlukan asas persefahaman mengenai kemajmukan budaya dan cara hidup supaya ada nilai dan etika bersama yang mempertautkan kelainan dan perbezaan secara interaktif. Kalau tidak perubahan dan kemajuan di Malaysia tidak memberi maksud yang relevan terhadap asas kepercayaan dan persefahaman di kalangan warganya.

Aspek teras lain adalah membangunkan modal insan berkualiti. Membangun modal insan tidak sewajarnya hanya memiliki merit akademik yang sifatnya mekanistik tetapi harus memiliki merit amanah, telus dan tulus, adil dan bijaksana supaya corak pengurusan sistem nantinya berada ditangan orang yang mempunyai integriti.

Memperkukuh Sekolah Kebangsaan adalah sesuatu yang amat selari dengan dasar bina negara. Oleh itu Sekolah Kebangsaan harus mengalami proses penstrukturan semula supaya ia menggambarkan kemajmukan dari segi kepimpinan berkualiti dan keterbukaan untuk subjek Bahasa Cina dan Bahasa Tamil diajarkan sebagai bahasa pilihan supaya ia menarik pelajar Cina dan India datang belajar dalam aliran kebangsaan ini.

Begitu juga isu merapatkan jurang pendidikan sama ada secara geograpikalnya dalam dan luar bandar, mahupun disebabkan oleh faktor sosio-ekonomi di kalangan warga murid yang tidak sama mahupun fokus pengajaran terhadap yang cerdik, sederhana dan lemah supaya pendekatan kolaboratif mengambil tempat supaya jurang yang terlalu dalam tidak terbina.

Profesion Keguruan adalah sesuatu yang penting dimartabatkan dengan pengembangan ilmu dan kemahiran supaya aspek pedagogi yang terjadi tidak sekadar orientasinya peperiksaan tetapi juga memberi penekanan kepada pendidikan yang menyeluruh iaitu membangunkan kokurikular dan ekstrakurikular yang seimbang dan boleh diukur seperti yang terjadi kepada pengukuran kognitif.

Natijah akhir dari asas teras ini adalah melonjakkan institusi pendididkan ke suatu tahap yang membanggakan. Kebanggaan kita terhadap sistem pendidikan negara diukur dari kesan penghayatan dan amal di samping kesan ilmu dan kemahiran.

Fokus kepada peperiksaan adalah perlu kerana pencapaian kognitif perlu diukur. Tetapi penyusunan kembali bidang kokurikular dan ekstra kurikular supaya ia berperanan mengembangkan bakat kepimpinan dan kepengikutan dalam organisasi perlu dilakukan.

KEMAHIRAN BERFIKIR

Aspek lain yang sangat penting dalam membangunkan sistem pendidikan ini ialah kemahiran berfikir sebagai asas pengembangan minda dan intelek supaya para pelajar diberikan asas berfikir sejak awal lagi.

Pendekatan hafazan dan pengingatan harus diikuti dengan pemupukan kaedah berfikir yang maju supaya pelajar tidak mengalami proses belajar secara sehala tetapi ada upaya interaktif yang mengembangkan lagi pemikiran sebagai asas menjana ilmu dan idea.

Isu pokok yang sering berbangkit terhadap modal insan yang dilahirkan dalam sistem pendidikan negara dalam konteks masyarakat yang majmuk ialah asas etika dan nilai yang menjadi landasan kepada proses pengilmuan dan pendidikan.

Pendidikan Islam seharusnya melalui proses tajdid ilmu dan pendidikan supaya wujudnya relevansi faktor rohaniah yang dijadikan fokus terhadap kualiti penghayatan dan amal.

NILAI PALING UTAMA DAN NILAI INTERAKTIF

Pendidikan Islam harus menjadikan Nilai Paling Utama (the supreme value) atau kerangka akidah sebagai asas pengembangan ilmu dan kemahiran dalam subjek seperti Quran dan Tilawah, Syariah dan Fekah, Syirah dan Sunnah supaya tidak saja menghasilkan produktiviti rohaniah yang tinggi tetapi terlihat dalam produktiviti amaliah yang tinggi juga.

Bagi pelajar Bukan Islam amat penting Nilai-Nilai Interaktif (interactive values) yang diambil dari saripati budaya dan tamadun, nilai-nilai murni yang sejagat, pemikiran falsafah yang mendukung kualiti manusiawi yang baik supaya mereka juga mempunyai etika dan nilai yang boleh berjalan seiring dengan pihak lain. Ia harus diolah dengan lebih kreatif, ada sumber contoh dan teladan yang diajar supaya olahan nilai-nilai interaktif ini memberi kesan penghayatan yang baik.

Justeru bagi menepati maksud falsafah pendidikan, pendekatan sepadu harus dijadikan faktor penting membangunkan ilmu dan kemahiran supaya tidak saja asas etika dan nilai mendasari subjek tetapi huraian dan pengajaran subjek sifatnya multi-disiplin.

Sekiranya ini terjadi pelajar akan dapat manfaat yang besar bagaimana pelbagai disiplin yang dipelajari mempunyai hubungan antara satu dengan lain bagi membolehkan pembinaan pemikiran terjadi secara holistik.

Oleh itu, dialog sistem pendidikan negara harus mengambil kira asas-asas fundamental ini supaya ukuran terhadap kemajuan dan kecemerlangan sesebuah sistem tidak hanya merujuk kepada aspek kemajuan teknologikalnya yang bersifat mekanistik tetapi diukur juga kualiti keinsanan yang menjadi bukti terbaik natijah sesuatu sistem itu.

PENULIS ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Malaysia Negara Ke-51 Paling Gembira Di Dunia


NEW YORK: Malaysia diiktiraf sebagai negara ke-51 paling gembira di dunia berdasarkan kaji selidik terbaru oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Status Malaysia yang mana penduduknya hidup paling bahagia dan gembira di dunia terkandung dalam 'Laporan Kebahagiaan Sedunia' yang dikeluarkan di ibu pejabat PBB di New York baru-baru ini.

Laporan tersebut, yang dikumpul bagi Persidangan PBB Mengenai Kebahagiaan di New York Isnin lalu adalah berdasarkan maklum balas kaji seldik dari tahun 2005 hingga pertengahan 2011 bagi mengukur tahap kebahagiaan 156 negara.

Kaji selidik itu dibuat berdasarkan beberapa penunjuk antaranya kemakmuran kebendaan, kecenderungan umum seseorang dan tahap kepuasan dengan aspirasi asas masing-masing.

Bagaimanapun, Malaysia menduduki ranking kedua di Asia Tenggara di belakang Singapura yang muncul sebagai negara paling gembira di rantau itu.

Mengikut senarai dunia itu, Singapura menghuni tangga ke-33, Thailand (52), Myanmar (72) dan Indonesia di ranking ke-83.

Negara maju Scandinavia seperti Denmark, Finland dan Norway menduduki tiga tempat teratas dalam senarai tersebut yang mencadangkan penduduk negara kaya cenderung untuk lebih bahagia walaupun kekayaan tidak menjadi faktor penentu untuk mengukur tahap kebahagiaan.

"Kebebasan politik, rantaian sosial yang mantap dan ketiadaan amalan rasuah adalah faktor bersama yang lebih penting daripada pendapatan dalam mengukur perbezaan kesejahteraan," menurut laporan itu.

Pada tahap individu pula, kesihatan mental dan fizikal yang baik, tempat seseorang untuk bergantung, jaminan pekerjaan dan keluarga yang stabil merupakan faktor penting, kata laporan itu.

Amerika Syarikat, negara paling kaya di dunia, menduduki ranking ke-11, Jepun di tempat ke-44, China di tempat ke-111 di belakang Iran (84) dan Syria di tempat ke-106.

Negara yang paling tidak bahagia ialah Togo, negara Afrika Barat. - BERNAMA